Archive for December, 2010

TUGASAN menuai padi di Kampung Sungai Sireh, Tanjung Karang melengkapkan cabaran Agrochallenge pada hari keempat.



PAMERAN Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2010 yang berakhir 5 Disember lalu telah mencatat pelbagai kejayaan membanggakan.

Selain penyertaan menggalakkan usahawan dari dalam dan luar negara, pameran dwi tahunan itu turut menerima seramai 2.66 juta pengunjung melebihi jangkaan 1.5 juta pada peringkat awal.

Bagi yang berkesempatan mengunjungi pameran tersebut, pengalaman itu pastinya sedikit sebanyak membantu meningkatkan pengetahuan mengenai industri asas tani.

Ia juga dilihat mampu membuka mata dan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap potensi sektor pertanian yang boleh menjana pendapatan lumayan.

Sepanjang sepuluh hari berlangsung, MAHA International 2010 bukan sahaja menyajikan aktiviti berkaitan pameran teknologi pertanian dan penternakan, malah turut dimeriahkan dengan penganjuran pelbagai pertandingan berkaitan.

Antara yang mendapat perhatian adalah pertandingan cabaran perlumbaan agro, Agrochallenge MAHA 2010 anjuran Kelab Usahawan Tani Malaysia (Kuat) dengan sokongan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Memasuki tahun ketujuh penganjurannya, pertandingan yang berlangsung selama enam hari bermula 26 November hingga 1 Disember 2010 itu bermatlamat mempromosikan sektor pertanian dan agro pelancongan negara.

Ia melibatkan persinggahan ke empat lokasi pertanian iaitu sekitar Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Serdang, Taman Pertanian Bukit Cahaya Alam, Shah Alam, Pusat Homestay Sungai Sireh, Tanjung Karang dan berakhir di Homestay Kampung Sedia, Cameron Highland.

Lebih 100 peserta daripada kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), jabatan kerajaan, agensi-agensi di bawah MoA dan orang awam telah menyertainya.

Menurut Pengarah Projek Agrochallenge MAHA 2010, Aminuddin Mohamad, program itu mengetengahkan pendekatan hiburan dan santai bertujuan memberi keseronokan serta ilmu pengetahuan kepada para peserta.

“Kita mahu mengambil kesempatan sempena MAHA 2010 untuk membawa para peserta mendekati, memahami serta terlibat secara langsung dengan aktiviti pertanian dan penternakan.

“Dengan tema Lihat dan Percaya, cabaran tahun ini memilih lokasi persinggahan daripada kalangan pengusaha-pengusaha projek pertanian dan penternakan yang telah sukses.

“Melalui cara ini, para peserta dapat melihat sendiri kejayaan yang telah dikecapi pengusaha-pengusaha ini dan seterusnya mengikut jejak langkah mereka,” jelasnya.

Aminuddin menambah, program itu turut bermatlamat mendedahkan para peserta dengan penggunaan teknologi moden dalam sektor pertanian dan penternakan.

Katanya lagi, dia amat berpuas hati dengan penyertaan para peserta Agrochallenge tahun ini kerana kebanyakan mereka terdiri daripada golongan muda.

“Kita memang mengharapkan generasi muda untuk terlibat dalam program ini terutama para pelajar universiti kerana mereka lebih mudah memahami dan menerima perubahan dari sudut teknologi dan inovasi,” jelasnya.

Sesuatu yang unik bagi penganjuran Agrochallenge MAHA 2010 kali ini, perjalanan keseluruhan aktivitinya telah dirakam untuk diterbitkan dalam bentuk program televisyen 13 episod.

Ia bakal disiarkan di saluran Astro Prima sekitar awal tahun depan.

Bagi menambah kemeriahan, perlumbaan itu turut disertai beberapa selebriti daripada program-program hiburan realiti televisyen seperti Akademi Fantasia, Raja Lawak dan juga MyStar LG.

Update me when site is updated

Normah Mohd. Sir menyiram anak pokok stevia di kebun tanaman pokok itu di Hulu Langat, baru-baru ini.



ANCAMAN diabetes dan angka penghidapnya yang semakin meningkat di negara ini membuatkan usaha mencari pemanis alternatif turut diperhebat.

Pengambilan pemanis alternatif dilihat sebagai satu cara menggantikan gula sekali gus membantu mengawal jumlah pengambilan manisan dalam makanan dan jumlah pesakit diabetes di negara ini.

Menurut statistik Kajian Kesihatan dan Mobiditi Kebangsaan dianggarkan kira-kira 3.4 juta rakyat Malaysia menghidap diabetes pada 2010.

Stevia, tanaman sub-tropikal yang berasal dari Amerika Selatan ialah antara pemanis alternatif terkini yang ditemui.

Stevia memberi kesan tidak penting terhadap glukosa dalam darah dan oleh itu digunakan sebagai pemanis dalam diet untuk mengawal karbohidrat.

Ia dijadikan pengganti pemanis dalam pembuatan makanan dan penggunaannya, dan semakin diiktiraf badan-badan antarabangsa.

Penggunaannya di Malaysia juga semakin meluas apatah lagi di kemuncak kenaikan harga gula di pasaran dunia baru-baru ini.

Sebuah syarikat pengeluar, CT Lang Sdn. Bhd., yang mengeluarkan dua produk minuman berteraskan kesihatan, kini menggunakan stevia sebagai pengganti gula dalam produk mereka.

Pengurusnya, Abdullah Mohamad berkata, stevia berpotensi besar sebagai tanaman industri baru kerana proses penanamannya yang tidak rumit dan mampu mengeluarkan hasil selepas tiga bulan penanaman.

‘‘Stevia boleh menjadi pengganti gula memandangkan kerajaan semakin giat menggalakkan rakyat untuk mengurangkan pengambilan gula dalam makanan dengan melupuskan subsidi terhadap komoditi itu baru-baru ini,” katanya.

Menurut beliau, Jepun menggunakan stevia sebanyak 50 hingga 60 peratus dalam jumlah pemanis di negara itu dan ia digunakan dalam kebanyakan produk makanannya.

Abdullah berkata, ekstraknya adalah 300 hingga 400 kali ganda lebih manis daripada ekstrak yang diambil daripada tebu.

Abdullah berkata, Malaysia yang mengimport sepenuhnya gula perang dari India, perlu memikirkan cara untuk mengurangkan pembelian gula dari luar dan sebaliknya cuba membangunkan industri stevia tempatan.

Katanya, dengan menggunakan kaedah tersebut, ia bukan sahaja mengurangkan pergantungan sumber gula dari luar, bahkan membantu pekebun kecil dan memberi sumber ekonomi baru untuk mereka.

Dalam hal ini, syarikatnya telah pun mula bertemu dengan wakil-wakil rakyat dalam menggalakkan pekebun kecil menanam stevia dalam skala yang kecil.

‘‘Wakil rakyat boleh membantu dari segi memberi bantuan baja dan biji benih dan hasil daripada tanaman itu boleh dijual kepada syarikat, yang memerlukan ekstrak stevia untuk mengeluarkan produk kami,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini petani di Bagan Serai, Perak dan Silam, Sabah bersetuju dengan idea ini dan dijangka memulakan penanam an dalam masa terdekat.

Penanaman pokok stevia ini dimulakan dengan mematangkan biji benih selama sebulan.

Selepas itu, ia akan mengambil masa tiga bulan sebelum ekstrak dari daunnya diambil untuk diproses menjadi pemanis.

Abdullah berkata, proses penanaman yang tidak rumit, kos yang agak rendah dan pusingan hasil yang memberangsangkan menjamin potensi stevia bukan sahaja di dalam negara malah untuk dieksport ke luar negara.

Dengan memperkenal modul tanaman secara kecil-kecilan kepada pekebun kecil, ini bukan sahaja membantu pekebun malah mewujudkan satu rangkaian komersial penanaman stevia.

Untuk permulaan, dijangka sebanyak RM40,000 diperlukan bagi penanaman stevia di kawasan seluas 0.4 hingga 0.8 hektar, kata Abdullah.

Dengan adanya stevia, rakyat Malaysia mempunyai alternatif selain gula terutama penggunaannya yang menjangkau nilai RM5 billion setiap tahun.

Abdullah berkata, pandangan skeptikal rakyat Malaysia mengenai stevia merupakan penyebab mengapa ramai yang tidak tahu mengenai potensi dan kebaikan tanaman itu.

Bagaimanapun, dengan usaha kecil syarikat ini diharap lebih banyak pemahaman mengenai potensi tanaman ini dapat diterap sekali gus menjadikannya satu daripada pemacu ekonomi kepada sektor pertanian negara, katanya.

Update me when site is updated

Warning: Unknown: open(/var/chroot/home/content/g/i/g/gigco/tmp/sess_e0bed5f17b45a9792a42493769417f4c, O_RDWR) failed: No such file or directory (2) in Unknown on line 0

Warning: Unknown: Failed to write session data (files). Please verify that the current setting of session.save_path is correct () in Unknown on line 0