Archive for November, 2010

Tanggungjawab menghasilkan anak pokok berkualiti menjadi keutamaan pegawai Taman Pertanian Universiti.



Menepati hasratnya sebagai peneraju dalam bidang pengajaran dan penyelidikan pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperhebatkan usaha mempromosi kekuatan yang dimiliki dengan menubuhkan Taman Pertanian Universiti (TPU) pada 1 Disember 2001.

Penubuhan TPU dengan pelbagai usaha strategik bukan sahaja dapat membantu memperkukuh UPM sebagai institusi unggul dalam bidang pertanian tetapi bukti kesungguhannya membantu orang ramai yang berminat dalam bidang tersebut.

Ini dapat dibuktikan dengan penubuhan Pusat Jualan di bawah Unit Hasilan Pertanian di TPU yang akan dikenali sebagai Pusat Perkebunan Universiti (UGC).

Pusat Jualan yang berfungsi sebagai hub kepada aktiviti pertanian terutamanya melibatkan jualan hasil pertanian seperti sayuran, buah-buahan, hasil ternakan, anak pokok buahan, anak pokok herba, pengembangan teknologi pertanian, klinik pertanian, kursus-kursus pertanian dan amali pelajar pertanian.

Pusat tersebut yang ditubuhkan tahun lalu kini memainkan peranan sebagai sayap pengembangan TPU dengan matlamat membantu melestarikan industri pertanian dan memberi manfaat kepada golongan sasar.

Unit tersebut ditubuhkan dengan pelbagai komponen yang akan menyokong kepada fungsi, peranan dan matlamat penubuhannya.

Antara komponen tersebut ialah pusat jualan, tapak semaian pokok buah-buahan, tapak semaian pokok bunga, ternakan ikan dan latihan pertanian.

Latihan pertanian akan diberi fokus dengan penganjuran pelbagai kursus, bengkel, pertunjukkan kaedah, khidmat nasihat pertanian atau klinik pertanian yang berkaitan dengan pembiakan pokok buahan, tanaman kontan, tanaman hiasan, cendawan, fertigasi, ternakan haiwan, ikan dan lain-lain.

Menurut Pegawai Pertanian TPU, Abdull Ghaffar Othman, kewujudkan unit tersebut penting sebagai promosi kepada aktiviti pertanian khususnya kepada pembiakan tanaman buah-buahan di UPM.

Pada masa ini, mereka yang berminat boleh membeli anak pokok buah-buahan yang telah sedia untuk dijual.

“Di pusat jualan ini, kami mampu mengeluarkan 11,000 anak pokok pelbagai jenis terutama buah – buahan tempatan yang berkualiti termasuk dari segi ketulenan klon dalam masa setahun.

Sayap program

“Tugas kita ialah menghasikan anak pokok berkualiti kerana permintaan daripada pelbagai pihak memang mengalakan” katanya.

Beliau yang juga Ketua Seksyen Pengajaran, Penyelidikan dan Khidmat Profesional berkata, pelbagai kemudahan telah dan sedang dibina yang mengisi komponen-komponen dalam UGC.

Ia termasuk mencantikkan kawasan sekitar dengan landskap yang menarik dan membina bangunan pusat jualan hasil tanaman dan juga hasil- hasil pertanian termasuk ternakan.

Kos pembangunan awal kawasan tersebut yang berkeluasan 7.4 hektar termasuk kemudahannnya melibatkan RM500,000.

Bangunan pusat jualan itu yang sedang dibina dan hampir siap juga akan menawarkan ruang untuk produk keluaran usahawan bimbingan Pusat Pengembangan, Keusahawanan dan Pemajuan Profesional (APEEC) UPM, salah sebuah pusat yang berperanan dalam membimbing usahawan pertanian memajukan diri.

APEEC juga menjadi sayap program pengembangan UPM, sebagai fasilitator dalam bidang pertanian untuk membimbing usahawan pertanian.

Bagaimanapun selain produk prosesan pertanian, pusat jualan ini dijangka menarik minat pembeli datang untuk membeli anak-anak pokok buah-buahan yang dihasilkan oleh unit tersebut.

Ia melibatkan anak pokok buah-buahan tempatan yang popular seperti durian , rambutan, mangga, nangka, cempedak dan pelbagai jenis lagi.

Yang menariknya, kerja biak baka dihasilkan sendiri oleh pelajar selain kakitangan unit berkenaan yang mempunyai kepakaran dalam bidang biak baka sejak berpuluh tahun lamanya. Sebarang pertanyaan boleh hubungi 03-89467301.

Update me when site is updated

Sarang burung walit yang baru dituai.



Selain menjadi satu industri yang menguntungkan, perniagaan sarang burung walit di Pulau Mutiara juga merupakan satu produk pelancongan.

Kemusnahan yang berleluasa pada habitat semulajadi burung itu telah memaksa ia mencari habitat baru yang lebih selamat di bangunan-bangunan konkrit yang terletak di kawasan bandar.

Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, kumpulan burung-burung itu telah mempunyai tempat perlindungan di kawasan bandar yang terdiri dari rumah-rumah burung konkrit yang dibina pengusaha industri sarang burung berkenaan.

Di tengah-tengah Georgetown, bandar yang diisytihar mempunyai Tapak Warisan Dunia oleh Unesco, AeroBio (M) Sdn. Bhd. telah membina satu pusat sehenti di Jalan Pasar bagi mempamerkan perusahaan sarang burung walit.

Menurut N.S.Yong, Penasihat Perniagaan Strategik dan Perancangan Korporat syarikat tersebut, pusat berkenaan terletak di kawasan zon warisan di Georgetown, Pulau Pinang .

Pusat tersebut mempunyai kemudahan membersih serta memproses sarang burung selain kedai yang menjual barangan dan produk sarang burung dan kafeteria yang menawarkan minuman sarang burung.

“Di pusat ini pengunjung akan diberi maklumat, antara lain tentang penternakan burung walit serta pembersihan sarang burung,” Yong memberitahu Bernama yang berkunjung ke pusat tersebut.

Di pusat AeroBio ini, burung-burung walit akan muncul dan membuat sarang burung dengan kerelaan sendiri kerana pusat itu tidak menggunakan sistem bunyi yang biasa digunakan rumah burung yang lain bagi menarik perhatian burung-burung itu.

“Kami hanya menyediakan satu suasana yang punya lebih kelembapan serta kemalapan yang sesuai bagi burung walit menyediakan sarang mereka dalam premis di pusat ini,” kata beliau.

Menurut Yong, burung-burung itu telah berada di situ semenjak beberapa tahun sebelum pusat tersebut dibina dan itulah sebabnya beliau merasakan tidak perlu menggunakan sistem bunyi bagi menarik perhatian burung walit.

Menurut Yong, yang mempunyai 15 tahun pengalaman dalam industri ini, burung walit memerlukan 40 hingga 60 hari untuk membina sarang sebelum sarang itu boleh dikumpul.

”Kebiasaannya waktu puncak adalah pada pukul 7.00 petang hingga 7.30 petang di mana burung walit akan pulang ke sarang”, kata beliau, sambil menambah proses pembersihan serta pengadunan sarang burung mengambil masa sehingga tiga bulan.

Beliau berkata, pusat tersebut boleh mengeluarkan 8.0 kg sarang burung setiap hari dan kebanyakan pelanggannya adalah dari Taiwan, China dan Hong Kong.

Di pusat tersebut pelawat mempunyai peluang melihat “terbang lalu” burung walit di atas kepala mereka kerana burung-burung tersebut bebas berterbangan dalam premis itu.

“Pengunjung akan mengalami satu situasi unik seolah-olah mereka berada di habitat burung walit dan mengetahui rahsia tentang sarang burung atau dikenali juga sebagai Kaviar dari Timur,” kata beliau. Pusat tersebut juga dilengkapi makmal di mana pelawat boleh melihat proses pembersihan sarang burung.

“Produk penjagaan kesihatan kami adalah dari pusat penternakan kami, termasuk pati dari sarang burung,” katanya lagi.

Update me when site is updated

Jan hulsen (dua dari kanan) memberi taklimat mengenai bagaimana mengenal pasti keadaan ternakan yang menghadapi masalah kesihatan atau stres.



Melawat beberapa ladang ternakan lembu tenusu bersama-sama dengan pakar yang dibawa dari Belanda, Jun Hulsen ke beberapa lokasi ternakan lembu memberikan pengalaman yang menarik.

Lawatan tersebut merupakan anjuran peneraju produk tenusu tempatan Dutch Lady Milk Industries Bhd. (DLM) selama dua hari melalui Program Pembangunan Tenusu Dutch Lady itu amat berguna.

Ia membantu menyalurkan kepakaran dan maklumat kepada para penternak tempatan untuk membekalkan hasil susu segar secara terus kepada syarikat tersebut.

DLM menjangka program menyalurkan kepakaran yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan membuahkan kejayaan seperti mana yang dilakukan oleh penternak Belanda, Indonesia dan Vietnam di bawah naungan Friesland Campina.

Projek berkenaan dimulakan pada Mei 2008 apabila syarikat berkenaan mendapati pengeluaran susu segar tempatan hanya mewakili tiga peratus daripada keseluruhan keperluan susu negara.

Menurut Ketua Bahagian Korporat dan Kawal selia DLM, Rohana Safinah Abdul Hamid, pihaknya mengamalkan konsep pembelian susu segar terus dari ladang ke DLM.

Selain itu, ia menyediakan skim pembayaran menarik melalui sistem pemberian bonus dan sistem penalti berdasarkan kualiti susu.

Misalnya susu gred A dibeli pada harga RM2 seliter, gred B (RM1.80 seliter) dan gred C (RM1.70 seliter).

Lawatan ke ladang bermula dengan ladang ternakan lembu tenusu Pa’abas Diary, Melaka yang terlibat dalam program pembasmian kemiskinan.

Diuruskan oleh syarikat Induk Cekal Sdn. Bhd. dan dipantau oleh JPV Melaka dengan memberikan saraan kepada 64 buah keluarga miskin.

Pengurus Projek Ladang Lembu Air Pa’abas, Hasan Salleh berkata, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada program basmi kemiskinan.

“Ladang ini memulakan operasinya pada Februari 2008 di tapak seluas 2.5 hektar di Bukit Apit dengan 50 ekor lembu betina dan dua ekor jantan baka Jersey tulen,” katanya semasa menerima lawatan media dan Jan Hulsen di ladang berkenaan baru-baru ini.

Menurut Hasan, lembu berkenaan diberi makan rumput napier, jagung, pelet, hampas isirung sawit (PKE) dan pelepah kelapa sawit (OPF) selain garam galian.

Bagaimanapun, beliau berkata, ladang berkenaan berhadapan dengan masalah kualiti dan bekalan rumput serta dedak bagi mendapatkan susu lembu yang berkualiti.

Kini ladang berkenaan mempunyai lembu daripada baka Jersey dan Frisien yang memberikan faedah saraan kepada 64 keluarga miskin di kawasan berkenaan.

“Pekerja di sini digalakkan menanam jagung dan rumput napier sebagai salah satu punca pendapatan lain memandangkan napier dan jagung merupakan makanan tambahan selain pelet, PKE, hampas isirung kelapa sawit (PKC) dan garam galian,” katanya.

Lembu tenusu di Ladang Pa’abas berupaya mengeluarkan lebih 10 liter susu sehari bagi seekor bibit lembu dengan kualiti terbaik.

Menggunakan kaedah pembiakan secara semulajadi dan permanian beradas antara Jersey tulen dan kacukan Jersey Fresien memberikan kualiti susu yang lebih baik.

Ladang yang menghadapi masalah kematian bibit yang tinggi selepas kelahiran, jelas Hulsen mungkin disebabkan tekanan atau stres.

Menurut beliau, ia dapat diatasi dengan mengurangkan tekanan, ventilasi, tingkatkan kebersihan ladang, memendekkan masa memerah susu serta meluaskan ruang rehat.

Lawatan kemudian diikuti ke ladang Jaswan yang dimiliki Pengerusi Koperasi Serbaguna Tenusu Melaka, Jusuwantha Singh Dulip Singh.

menternak lembu tenusu

Koperasi berkenaan mempunyai 435 ahli dengan 70 orang ahli yang bergiat secara aktif.

Ladang yang terletak di Merlimau, Melaka menternak lembu tenusu secara perniagaan keluarga selama lebih 30 tahun.

Di ladang seluas 2.5 ekar dengan hampir 20 ekor lembu Housten dan Jersey.

Berminat meningkatkan operasi beliau memerlukan lebih banyak tanah untuk meluaskan ladangnya memandangkan ternakannya hanya memakan rumput selain pelet, soya dan PKC sebagai makanan selingan.

Hulsen turut memuji lembu tenusu di ladang Jawsan yang disifatkan sihat dan boleh dilihat melalui keadaan bulunya yang berkilat.

Sementara itu di ladang Macres Sdn. Bhd. yang baru lima bulan beroperasi mendapatkan bekalan lembu baka Fresien dari negara Thailand.

Pengurus Bahagian Tanaman dan Ternakan Lembu, Mamat Tambi berkata, kira-kira 85 peratus lembu berkenaan merupakan baka Frisien selain baka Shahiwal dan Jersey.

“Kini terdapat 56 ekor lembu betina dan dua ekor jantan dengan 38 ekor bunting dan pengeluaran susu pertama dijangka pada bulan September,” katanya.

Dijangka seekor lembu bibit boleh mengeluarkan 45 hingga 55 liter susu sehari seekor bergantung kepada makanan yang diberikan.

Manakala Ketua Seksyen Tenusu Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Dr. Siti Salmiyah Tahir berkata, sehingga Jun lalu JPV telah menerima 9.7 juta liter susu yang dikeluarkan oleh ladang-ladang seluruh negara.

“Melalui program bersama DLM ini, JPV akan mengendalikan kajian kualiti ke atas susu yang dikeluarkan serta mengadakanlawatan sambil belajar ke ladang-ladang susu yang telah dikenal pasti,” katanya.

Siti Salmiyah menambah pihaknya juga akan membantu daripada segi penumpuan sokongan dan teknikal kepada penternak, memaksimumkan sumber, meningkatkan hasil serta membantu ke arah pembangunan ladang ternakan baru.

Update me when site is updated

KEMATANGAN buah mangga boleh ditentukan dengan melihat perubahan warna yang ketara dari warna hijau ke hijau kekuningan bergantung kepada klon. – Gambar hiasan



Pengenalan
TANAMAN mangga boleh dikategorikan kepada buah-buahan yang bermusim dan banyak ditanam di Negeri Kedah, Perlis, Perak dan Melaka.

Kebiasaannya, terdapat dua musim bagi pokok mangga iaitu musim utama pada bulan April, Mei, Jun dan musim kedua iaitu bulan September, Oktober dan November.

Nama saintifik bagi mangga ialah Mangifera indica Linn yang tergolong dalam famili Anacardiaceae.

Selain itu, buah mangga juga di kenali sebagai buah mempelam di Negeri Kedah , buah asam pula di Johor dan buah pauh di Kelantan.

Pokok mangga mula mengeluarkan buah pada tahun pertama hingga tahun kelima selepas ditanam, ia juga bergantung kepada jenis klon yang ditanam.

Tempoh buah mangga boleh dipetik adalah di antara 110 hingga 150 hari selepas pendebungaan bergantung kepada klon yang tertentu.

Bagi kematangan buah mangga, ia boleh dilihat pada perubahan warna yang ketara dari warna hijau ke hijau kekuningan bergantung kepada klon.

Jarak tanaman yang sesuai bagi pokok mangga ialah 7 m x 7 m atau 9 m x 9 m dengan sistem segi empat sama. Klon buah mangga yang ditanam di ladang UPM ialah MA 224 ( Chok Anan ), MA 223 (Nam Dok Mai ), MA 194 ( Apple), MA 128 ( Harumanis ) dan banyak lagi.

Kebiasaannya buah mangga dimakan segar dan boleh juga dijadikan produk seperti jus, jeruk, halwa dan lain-lain. Buah mangga sangat berkhasiat, manis, enak dan mengandungi Vitamin A, C, B2 dan B3.

Update me when site is updated

RAMBUTAN memerlukan masa antara 100 dan 130 hari dari bunga kembang hingga buah masak. – Gambar hiasan



Pengenalan
RAMBUTAN tergolong dalam famili Sapindaceae dan nama saintifiknya ialah Nephelium lappaceum.

Pokok rambutan mempunyai dua musim buah yang utama iaitu pada bulan Jun hingga Ogos dan musim kedua pada bulan Disember hingga Januari.

Musim berbuah boleh berubah bergantung kepada faktor iklim semasa dan kesuburan pokok.

Jarak tanaman yang sesuai bagi pokok rambutan ialah 9 meter (m) x 9 m dengan menggunakan sistem segi empat sama ataupun segitiga sama.

Secara umumnya, pokok rambutan klon (kahwin) boleh mengeluarkan buah pada umur antara tiga dan empat tahun selepas ditanam.

Bagi anak pokok rambutan yang baru ditanam di kebun, ia memerlukan kerja penyelenggaraan yang berkala dan berterusan seperti kerja menyiram, membaja, kawalan penyakit dan perosak, kawalan rumpai serta pemangkasan penjagaan dan pembentukan.

Pembiakan pokok

Pokok rambutan mudah dibiak dengan menggunakan kaedah cantuman mata tunas.

Kaedah pembiakan ini memerlukan tiga komponen yang utama iaitu anak pokok penanti, kayu mata tunas pokok baka terpilih dan peralatan cantuman.

Bagi komponen kayu mata tunas, pastikan memilih mata tunas yang subur, matang dan berkualiti supaya cantuman mudah berjaya.

Cantuman mata tunas yang berjaya perlu diberikan naungan sebelum ditanam di kebun.

Kerja penyelenggaraan yang teratur perlu dilakukan supaya anak pokok subur, tidak berpenyakit dan cepat membesar.

Apabila anak pokok mencapai umur antara lima dan tujuh bulan selepas dicantum, ia oleh ditanam di kebun.

Klon rambutan

Pokok rambutan yang ditanam diladang UPM ialah seperti R4 (Ya Tow/Penang), R7 (Twa liap Thow), R99, R153(Bunga Mawar), R156(Muar Gading), R 162(OH Heok), R191 (anak sekolah).

Bagi tempoh kematangan buah rambutan, ia mengambil masa 100 hingga 130 hari iaitu antara tiga dan empat bulan dari bunga kembang hingga buah masak.

Rambutan mempunyai perbezaan daripada segi bentuk buah, rasa, ketebalan isi, warna kulit buah, bentuk daun dan bentuk pokok.

Update me when site is updated

Norshaida Mohd. Yusof menunjukkan rimbunan bunga costus chili red.


LANDSKAP yang menarik bukan sahaja dapat menjadikan sesebuah kawasan itu lebih berseri tetapi juga memberi ketenangan dan kedamaian kepada sesiapa sahaja yang melihatnya.

Malaysia mungkin tidak mempunyai sejarah seni landskap yang panjang berbanding negara-negara Eropah. Namun hari ini hiasan landskap semakin menjadi ikutan khususnya di kalangan pemilik-pemilik rumah di bandar bagi menjadikan kediaman mereka lebih cantik, menenangkan dan hijau.

Justeru tidak hairanlah ada orang sanggup berhabis duit menghias halaman kediaman mereka dengan pokok-pokok dan bunga-bunga mengikut konsep tertentu.

Menyedari prospek perniagaan yang cerah dalam bidang berasaskan bunga dan landskap itu, Norshaida Mohd. Yusoff, 40, nekad untuk melibatkan diri secara serius dalam perniagaan yang awalnya diusahakan oleh suaminya, Zainor Khalid Zainudin sejak 15 tahun lalu.

Ternyata pengorbanannya tidak sia-sia apabila perniagaan tersebut kian berkembang sehingga menjadi antara nurseri bunga terbesar di kawasan Janda Baik, Pahang.

Pelanggannya bukan saja daripada rakyat tempatan bahkan syarikat-syarikat dari luar negara.

Menariknya, Norshaida yang lebih mesra disapa Aida, tidak mempunyai kelulusan khusus dalam bidang pertanian terutama bunga. Sebaliknya hanya belajar daripada suami dan melalui Internet selain bersandar pada pengalaman.

Setiap pengunjung yang berpeluang menjejak kaki di Kalis Nursery & Landscaping di Lot 5359, Kampung Cherenging, Janda Baik, Bentong, pasti dipanjat rasa kagum menyaksikan pelbagai bunga eksotik yang kebanyakannya jarang dilihat dan mempunyai nilai yang tinggi.

Suasana nurseri berkeluasan 11.4 hektar itu cukup tersusun dan kemas bagai sebuah ‘syurga bunga’ membuktikan ia dijaga rapi oleh pemiliknya.

Malah kata Aida, nurseri tersebut dijaga umpama seorang ibu menjaga anaknya, yang dibelai dan dibelek tanpa rasa jemu.

Sengaja dia dan suami memilih bungabunga eksotik kerana setakat ini tidak ramai pengusaha bunga di Malaysia yang memilih untuk menanam bunga jenis itu apatah lagi menjadi pemborong dan pembekal.

Baginya bunga jenis itu amat unik dan karakternya berbeza serta agak pelik yang sukar dilihat berbanding bunga-bunga tempatan.

”Di Kalis Nursery & Landscaping ini, anda boleh melihat lebih daripada 100 jenis spesies bunga eksotik yang terdiri dari keluarga Heliconia, Ginger, Costus, Calathea, Musacea dan banyak lagi.

”Kesemua baka bunga ini diimport dari Hawaii, Costa Rica, Porto Rico, Venezuela, sedikit dari Yunan, China, Indonesia dan negara-negara di sekitar kepulauan Caribbean dan negara-negara yang beriklim tropika.

”Hari ini, bunga-bunga jenis eksotik menjadi pilihan untuk landskap mahupun menghias rumah kerana selain tahan lama, ia sememangnya cantik untuk tatapan umum dan sukar ditemui,” ujarnya.

Selain memenuhi pasaran tempatan, bunga-bunga eksotik daripada ladangnya turut dieksport ke Dubai, Thailand, Jepun dan Singapura.

Menurut Aida, selain senang dijaga, bunga-bunga eksotik ini tahan lama dan sesuai dengan cuaca panas di negara ini.

Mempunyai 12 orang pekerja, jelas Aida, ladangnya kini yang sedang dalam proses pengubahsuaian akan tampil dengan konsep baru iaitu konsep kontemporari tropika.

Hari ini Aida serta suaminya bukan sahaja menjual pelbagai jenis pokok-pokok eksotik malah mereka turut menawarkan perkhidmatan nasihat serta melakukan kerja-kerja landskap.

”Selain menjadi pembekal bunga-bungaan eksotik, kami juga bersedia mereka bentuk landskap premis pelanggan dan menjual barang-barang untuk perhiasan kolam dan landskap termasuk bangku rotan, batu dan kayu.

”Kami akan cuba memenuhi permintaan serta cita rasa pelanggan dan lakukan sebaik mungkin,” katanya.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan bunga-bunga eksotik di Kalis Nursery & Landscaping, boleh mengunjungi kebun bunga itu di Janda Baik atau menghubungi talian Aida di 019-6111361.

Update me when site is updated

KUALA KRAU 25 Okt. – Seorang ibu tunggal dari Felda Kota Gelanggi 3, Jerantut di sini membuktikan bahawa statusnya bukan alasan untuk berputus asa dan mengharapkan ihsan pihak lain.

Sikap positif yang diamalkan Roslelawati Yacob, 37, membuahkan hasil apabila perusahaan makanan sejuk beku yang diusahakannya semakin berkembang dan mendapat sambutan ramai.

Meskipun tanpa bantuan suami, Zuraee Abdullah yang meninggal dunia akibat penyakit jantung enam tahun lalu, berkat kesungguhannya, dia berjaya menubuhkan sebuah syarikat, Eyxora Enterprise Sdn. Bhd.

Menurutnya, nama syarikat itu adalah gabungan nama anak bongsunya, Eyzetty, 8, dengan arwah suami.

Syarikatnya mengeluarkan produk karipap empat rasa iaitu perasa sardin kentang ayam, keledek daging, tembosa ikan, donat kentang, che mek molek dan pau.

”Bermula secara kecil-kecilan iaitu menjaja dari rumah ke rumah dan pejabat serta pekan sehari, kini perusahaan ini semakin melebarkan sayapnya sehingga mendapat permintaan tinggi di kebanyakan pasar raya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Anak peneroka Felda Kota Gelanggi 3, Jerantut, itu amat berterima kasih kerana Felda dan kerajaan memberi peluang yang luas kepadanya menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

Dalam hal ini ujarnya, setiap anak peneroka perlu berani, rajin dan berfikiran positif untuk berjaya dalam bidang yang diceburi khususnya perniagaan yang banyak persaingan.

Mengimbau sejarah perniagaannya, Roslelawati memberitahu, perniagaannya bermula selepas suaminya yang bekerja sebagai seorang tukang masak hotel meninggal dunia secara mengejut.

Ujarnya, arwah suami banyak mengajar mengenai ilmu masakan seperti membuat kuih-muih.

”Ilmu yang diturunkan suami itu menjadi modal penting untuk memulakan perniagaan sejuk beku ini,” katanya.

Pada peringkat permulaan ujarnya, dia menjalankan perniagaan di sebuah balai raya yang diubahsuai dengan bantuan Felda dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Kota Gelanggi 3.

Roslelawati bersyukur kerana kini mempunyai sebuah premis perniagaan di Simpang Kampung Pulau Tawar, Jerantut, hasil bantuan Jabatan Pertanian Pahang sebanyak RM20,000 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

”Seramai tujuh pekerja bertugas membuat tempahan kuih-muih seperti karipap empat rasa kerana permintaan tinggi daripada pelanggan.

”Saya berbangga kerana secara langsung dapat membantu anak-anak peneroka memperoleh pendapatan sampingan apabila bekerja di syarikat saya,” katanya.

Roslelawati menambah, produknya kini bukan sahaja dipasarkan di Wilayah Jengka tetapi turut mendapat permintaan tinggi di hotel dan pasar raya seluruh negeri ini dan Lembah Klang.

Felda juga, jelasnya, banyak membantu dengan membuat tempahan bagi majlis-majlis keramaian.

”Kejayaan ini membuktikan golongan wanita berstatus ibu tunggal boleh berjaya jika berusaha gigih, tidak malu dan berdaya saing,” katanya.

Sepanjang terlibat dalam bidang perniagaan, Roslelawati banyak melibatkan diri dalam pelbagai kursus, seminar dan bengkel keusahawanan.

Update me when site is updated

Antara kambing Senan Crose peliharaan Hanafi Pai’man yang kini semakin membiak di Meru, Klang, Selangor.



MUSIM haji yang menjelang diikuti Hari Raya Korban, membuatkan minda teringat kepada Hanafi Pai’man, 40. Beliau salah seorang asnaf zakat di Meru, Klang, yang pernah ditemui beberapa waktu lalu.

Semasa ditemui ketika itu beliau pernah menyatakan: “Saya nak cuba ikut macam Rasulullah.” Iaitu menternak kambing demi menyara keluarganya.

Bukan mudah menyara sebuah keluarga yang besar. Bersama isteri, Masriah Abdul Ghaffar, 41, mereka dikurniakan sembilan anak. Isterinya pula tidak begitu sihat. Lalu, kira-kira tiga tahun lalu, Hanafi nekad berhenti kerja. Kemudian, menceburkan diri dalam dunia pertanian.

“Dahulu saya pernah berkerja di kilang papan. Gaji tak seberapa, adalah dalam RM500 ke RM800 sebulan. Kemudian, kilang itu pula berpindah ke tempat yang lebih jauh. Tidak berbaloi rasanya memerah keringat berkerja di sana, maka saya mulai berjinak-jinak memelihara kambing,” katanya.

Demikianlah Hanafi berkongsi cerita. Benar, kedatangan kami dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) disambut ceria di samping beliau bangga menunjukkan kambing yang diternaknya.

“Saya menternak kambing dari baka Senan Crose. Alhamdulillah, LZS telah memberikan saya modal untuk mengusahakan penternakan ini. Kini, setelah berhenti kerja maka saya dapat menumpukan perhatian dalam penternakan kambing,” jelasnya.

Di samping menternak kambing, Hanafi turut mengambil upah melakukan pendawaian elektrik.

Kadang-kadang, ada juga kontraktor atau kawan-kawan yang memanggilnya untuk membuat pendawaian elektrik.

Di samping itu, Hanafi tidak membiarkan kawasan di belakang rumahnya kosong. Beliau bukan sekadar membina kandang kambing, bahkan turut membina kolam bagi tujuan menternak itik selain mengusahakan pertanian ala fertigasi.

“Dahulu saya cuba menanam cili di dalam polibeg. Apa orang kata, teknik fertigasi. Tetapi, malangnya kurang menjadi. Saya fikir mungkin kerana faktor cuaca. Cili tidak begitu tahan dengan cuaca begitu lembap.

“Untuk memasang plastik sebagai pelindung, banyak pula belanjanya. Insya-Allah, selepas ini saya akan mengalihkan kepada tanaman sayuran lain pula. Mungkin kacang bendi dan terung, yang lebih kuat daya tahannya.

“Di samping itu, saya juga menternak itik. Ada dua jenis itik, iaitu hitam dan putih. Itik hitam untuk telur dan itik putih untuk daging. Dahulu, saya dan bapa mengusahakan ternakan keli dan lintah. Tetapi, tidak berapa menjadi. Sebab itu kami beralih memelihara itik pula,” jelasnya.

Berkat bernaung sebagai asnaf di LZS, Hanafi mengikuti pelbagai siri kursus. Termasuklah kursus kemahiran keusahawanan dan kursus menternak kambing.

Kata Hanafi, sungguh pun kambing peliharaannya belum banyak, beliau tetap menerima tempahan jika ada pembeli.

“Sama ada untuk akikah, korban, kenduri atau apa sahaja, insya-Allah saya boleh membekalkannya. Bahkan, bukan sekadar kambing, lembu pun jika mahu, saya boleh usahakan,” katanya.

Demikianlah kesungguhan Hanafi menjadi penternak berjaya. Beliau turut mempunyai kenalan yang membekalkan kambing dan lembu kepadanya untuk pasaran semasa.

Hingga kini, kambing Senan Crose milik Hanafi sudah pun membiak menjadi 12 ekor. Untuk memudahkan beliau, LZS membekalkan mesin memproses makanan beserta 20 tong fiber bagi tujuan memeram daun-daun yang sudah diproses.

Ia akan menjadi makanan kambing pada musim hujan kelak. LZS turut memberikan modal tambahan bagi membesarkan kandang kambingnya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada LZS, khususnya kepada pembayar zakat. Dengan wang zakat itulah, banyak meringankan bebanan saya. Terutamanya bagi pendidikan anak-anak,” katanya.

Nampaknya, sudah ada tanda-tanda anak-anak Hanafi akan menjadi anak yang cemerlang. Anak keduanya, Mohd. Abdul Rahman, 19, kini melanjutkan pendidikan dalam bidang Bahasa Arab dan Komunikasi di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai.

Hanafi juga beruntung, justeru kedua orang tuanya Pai’man Abdul Latif, 80, dan ibunya, Markiah Ahmad, 60, sentiasa menyokong usahanya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa saya. Mereka sering membantu keluarga saya, menengokkan anak-anak kala isteri saya keuzuran, bahkan banyak menyokong saya selama ini,” ujar Hanafi penuh kesyukuran.

Nota: Sesiapa yang berminat mendapatkan bekalan kambing dan lembu untuk korban dan akikah, boleh menghubungi Hanafi di talian 019-292 5609 atau 03-3392 4497 (Pai’man).

Update me when site is updated

AZON Ahmad dibantu anak-anaknya menyediakan kuih baulu di bengkel perusahan mereka di Kampung Bukit Pasir, Endau, Mersing. (Gambar kecil, kuih denderam).



MERSING 28 Okt. – Permintaan terhadap kuih tradisional seperti baulu dan denderam masih lagi tinggi meskipun tidak ramai orang yang berminat dalam perusahaan kuih tersebut.

Bagi ibu tunggal, Ezon Ahmad, 45, menceburi bidang membuat baulu dan denderam sejak 14 tahun lalu sememangnya menjadi punca rezeki bagi membesarkan sembilan anaknya yang kini berumur antara enam hingga 26 tahun.

Menurut Ezon, dia mewarisi ilmu membuat kuih tradisional tersebut daripada ibunya secara tidak formal semasa membantunya membuat kuih tersebut sejak kecil lagi.

“Bermula dari situlah, saya mempelajari sedikit demi sedikit cara dan kaedah untuk membuat baulu dan denderam daripada ibu,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Blok 6, Kampung Bukit Pasir, Endau, dekat sini baru-baru ini.

Namun, katanya, pada masa itu cara membuatnya lebih asli dengan membakar baulu menggunakan tempurung dan sabut kelapa.

“Kini cara membuat baulu lebih mudah kerana ia dibakar menggunakan ketuhar yang boleh dibeli di mana-mana.

“Tambahan pula, saya menerima bantuan mesin pengadun dan ketuhar serta bengkel berjumlah RM10,000 daripada Jabatan Pertanian, dua tahun lalu,” katanya.

Beliau menambah, untuk membuat denderam pula, walaupun hanya perlu digoreng, tetapi, jika adunannya tidak betul, kuih berkenaan menjadi keras atau lembik serta tidak sedap dimakan.

“Saya sentiasa memastikan adunan bahan-bahan yang dibuat dalam sukatan yang betul bagi memastikan kuih tersebut sentiasa enak dan disukai pembeli,” katanya.

Kini, katanya, tidak ramai berminat dalam perusahaan membuat kuih tradisonal kerana mereka beralih kepada kuih muih moden yang lebih meluas pasarannya.

“Jika ilmu ini tidak diturunkan kepada golongan muda, saya khuatir generasi akan datang tidak dapat merasai keenakan kuih tradisonal kerana tiada siapa yang tahu cara untuk membuatnya,” katanya.

Bagaimanapun, dia mengakui bahawa pendapatannya tidak menentu kerana ia bergantung pada kuantiti yang dijual dan ditempah di kedai atau tempahan di sekitar Endau dan Tanjung Gemok.

Menurutnya, sebiji baulu dijual dengan harga sepuluh sen sahaja manakala denderam pula turut dijual dengan harga sama, sekali gus memberikannya pendapatan sekitar RM1,000 sebulan bergantung pada tempahan yang diterima.

“Dulu kehidupan kami sekeluarga sangat susah, kini, sekurang-kurangnya dengan bantuan mesin berkenaan, kuantiti pengeluaran dapat ditingkatkan.

“Hasil jualan kuih tersebut, dapatlah menampung perbelanjaan kami sekeluarga terutama untuk menanggung perbelanjaan persekolahan anak-anak,” katanya.

Ezon juga bertuah kerana anak-anaknya termasuk yang masih bersekolah di Tingkatan Dua dan Empat turut membantu kerja membuat kuih tersebut.

Selain anak lelaki sulungnya, Shafie Ghozali, 26, dua anak perempuannya Norhidayu, 14 dan Noraini, 16, turut membantu menghantar kuih tersebut ke kedai berhampiran atau ke rumah pelanggan yang membuat tempahan.

“Kami tidak dapat menghantar kuih luar dari Endau kerana mereka berdua sibuk dengan persekolahan, di samping tiada kenderaan untuk menghantar kuih,” katanya.

Katanya, dia bangga dengan kegigihan anak-anaknya yang tidak jemu membantu walaupun penat selain sibuk dengan aktiviti di sekolah.

“Saya tidak ada cara lain lagi, selain bergantung kepada mereka untuk membantu, kadang-kadang saya kasihankan mereka kerana terpaksa berkorban serta membantu keluarga dalam usia masih muda kerana saya tidak tahu memandu kenderaan,” katanya.

Selain itu, ibu tunggal ini berkata, dia ucapkan terima kasih kepada Jabatan Pertanian yang memberi bantuan ketuhar, mesin pengadun dan bengkel tersebut

“Saya juga berharap ada pihak yang sudi untuk membantu membesarkan bengkel perusahaan baulu ini, selain cuba untuk dapatkan bantuan mesin lain kerana saya tidak mempunyai modal mencukupi,” katanya.

Katanya, selain baulu dan denderam, dia juga turut menerima tempahan membuat kuih moden terutama menjelang musim perayaan selain untuk majlis kenduri.

Orang ramai yang ingin membuat tempahan dan membantu keluarga ini, boleh mengunjungi mereka di alamat Blok 6, Kampung Bukit Pasir 86900 Endau, Mersing, Johor atau menghubungi 017-8408697.

Update me when site is updated

TANJONG KARANG 31 Okt. – Jika Temerloh, Pahang terkenal dengan penternakan ikan patin, Tanjong Karang, Selangor pula bakal menjadi kawasan sumber utama penternakan ikan baung dalam usaha mempromosikan agropelancongan di negara ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas, Tani Datuk Seri Noh Omar berkata, bagi merealisasikan perancangan itu, Jabatan Perikanan akan melepaskan kira-kira 10,000 benih anak ikan baung di Sungai Ban Canal, Homestay Kampung Sungai Sireh di sini selewat-lewatnya pada Disember ini.

“Kita akan perkenalkan kawasan ini sebagai sumber ikan baung dan menggalakkan kaki pancing dari seluruh negara datang ke sini sekali gus mendekatkan diri mereka dalam sektor pertanian,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan memancing sempena program sehari di Sungai Ban Canal Tanjong Karang, Homestay Kampung Sungai Sireh di sini hari ini.

Seramai 1,200 peserta dari seluruh negara menyertai pertandingan memancing anjuran Jabatan Perikanan bermula seawal pukul 8 pagi sehingga pukul 1 tengah hari.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Perikanan, Datuk Suhaili Lee berkata, benih-benih anak ikan baung akan diambil dari tiga pusat pengumpulan benih anak ikan milik jabatan itu yang terletak di Negeri Sembilan dan Pahang.

“Tujuan kita melepaskan benih anak ikan baung ialah untuk menambah dan membiakkan sumber ikan yang terdapat dalam Ban Canal ini secara besar-besaran.

“Buat permulaan kita akan lepaskan 10,000 benih anak ikan baung yang setiap ekor bernilai lima sen mengikut saiz di sungai sepanjang kira-kira tiga kilometer ini dan sekiranya mendapat sambutan menggalakkan, kita akan teruskan usaha ini dengan menambah jumlah benih anak ikan tersebut,” katanya.

Ditanya mengapa memilih spesies ikan jenis baung, Suhaili berkata, potensi untuk ikan itu membiak sangat tinggi kerana sungai itu merupakan habitat asal bagi ikan dari spesies sama.

Sementara itu, seorang penduduk dari Kampung Haji Razali di sini, Ngahmadi Ngamin, 57, yang memenangi tempat pertama pertandingan memancing berkata, dia bersyukur kerana minatnya dalam aktiviti memancing sejak 20 tahun lepas memberi tuah kepadanya apabila memenangi wang tunai RM20,O00 serta hamper. – BERNAMA

Update me when site is updated

Warning: Unknown: open(/var/chroot/home/content/g/i/g/gigco/tmp/sess_e0bed5f17b45a9792a42493769417f4c, O_RDWR) failed: No such file or directory (2) in Unknown on line 0

Warning: Unknown: Failed to write session data (files). Please verify that the current setting of session.save_path is correct () in Unknown on line 0