Archive for October, 2010

NORAZLAN menunjukkan kayu gaharu yang belum diproses.

Syarikat diterajui Norazlan miliki kilang di Padang, Indonesia, dapat geran RM500,000 buat penyelidikan

KOMODITI ini terkenal di seluruh dunia dengan pelbagai panggilan, Chen Xiang bagi masyarakat Cina, Jin-Ko (Jepun) dan Oud atau Oode di kalangan bangsa Arab.

am genus ‘Aquilaria’ adalah antara khazanah tumbuh-tumbuhan di Malaysia yang mempunyai permintaan tinggi dari luar negara. Secara keseluruhan terdapat lapan jenis pokok gaharu di dunia tetapi di Malaysia hanya ada empat jenis iaitu Karas, Candan Gajah, Candan Gunung dan Cendana.


Sekilogram kayu gaharu jenis karas dianggarkan bernilai di antara RM5,000 hingga RM60,000; Candan Gajah (RM180,000 hingga RM200,000) dan Candan Gunung (RM1 juta) manakala harga seliter minyaknya pula dianggarkan bernilai 10 kali ganda dari kayunya.

Di seluruh dunia, pokok gaharu yang dikenali sebagai Agarwood menjadi pilihan ramai berikutan kebolehannya mengeluarkan aroma menyenangkan dan menjadi kegemaran masyarakat di rantau Asia Barat.

Keistimewaan gaharu turut menyebabkan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) berusaha menjadikan negara ini sebagai pusat pengeluar gaharu terbesar di rantau Asia dalam tempoh enam tahun akan datang selepas mendapati hasil daripada penanaman pokok karas amat lumayan, sehingga mencecah RM800,000 untuk kawasan 0.4 hektar.
Buat masa ini, Malaysia adalah negara ketiga terbesar dunia sebagai pengeluar gaharu selepas India dan Indonesia, tetapi FRIM menjangka negara ini mampu menjadi pusat pengeluar gaharu terbesar di rantau Asia dalam tempoh yang disasarkan itu.

Permintaan dunia terhadap produk gaharu yang berguna dalam penghasilan kosmetik dan perubatan pula kini dianggarkan 4.5 juta kilogram dengan nilai RM18.4 bilion setahun.

Walaupun produk daripada kayu gaharu mempunyai permintaan tinggi dari seluruh dunia, tidak banyak syarikat tempatan yang menyedari potensi tanaman itu untuk dikomersilkan secara menyeluruh.

Jika ada sekali pun, kebanyakannya tidak mampu bertahan lama kerana penghasilan rangkaian produk kayu gaharu bukan saja membabitkan penyelidikan dalam bidang sains dan teknologi, malah ia membabitkan konsep metafizik.

Antara syarikat tempatan yang berjaya mengkomersialkan sepenuhnya tanaman itu ialah Konsesi Utama (M) Sdn Bhd yang ditubuhkan sejak 2000 untuk mempelopori usaha menjadikan kayu gaharu sebagai satu perniagaan berdaya maju.

Syarikat yang mempunyai kilang pengeluarannya sendiri di Bandar Teknologi Kajang itu ditubuhkan oleh usahawan gigih, Norazlan Lumi yang telah menjalankan kajian mengenai manfaat kayu gaharu selama lebih 10 tahun.

Beliau adalah pengasas dan Pengarah Urusan Konsesi utama iaitu satu-satunya syarikat Malaysia yang menghasilkan rangkaian produk daripada keseluruhan kayu gaharu bermula daripada akar hingga ke batangnya.

Norazlan, 50, sebelum itu adalah kontraktor kelas F yang mengambil keputusan beralih ke bidang keusahawanan berikutan kekangan jumlah projek yang boleh dikendalikannya selain minatnya ke arah produk kayu gaharu semakin berputik.

“Pada awalnya, saya berhasrat menceburi bidang pertanian tetapi menyedari persaingan sengit dalam industri itu menyebabkan saya menyelidik tanaman lain yang belum dikomersilkan sepenuhnya.

“Sekitar tahun 2000, saya mula didedahkan dengan kayu gaharu yang diperoleh daripada orang Asli dari hutan seluruh negara. Penjualannya adalah secara kecil-kecilan,” katanya ketika ditemui di kilangnya baru-baru ini.

Norazlan berkata, usaha itu berterusan untuk beberapa tahun dan pada masa sama beliau gigih menjalankan kajian bagi mendapatkan ekstrak kayu gaharu menerusi usahanya sendiri tanpa mendapatkan sebarang geran bantuan penyelidikan daripada mana-mana agensi.

Bagaimanapun, katanya selain mengadunkan bidang sains dan teknologi, pengusaha kayu gaharu tidak boleh sama sekali mengenepikan peranan bidang metafizik dalam mengusahakan tanaman itu.

“Kita sendiri maklum bahawa tanaman itu diambil daripada khazanah alam yang berharga, justeru langkah memprosesnya perlu dijalankan secara tertib antaranya jika boleh sentiasa berwuduk dan menjaga kebersihan sekeliling ketika memproses.

“Jika amalan itu dikekalkan, Insya-Allah perniagaan kayu gaharu boleh diusahakan sehingga berjaya,” katanya.

Pada 2005, syarikat itu melangkah setapak apabila mula mengendalikan kilang untuk menghasilkan ekstrak daripada kayu gaharu dengan menggunakan empat dapur pemproses membabitkan pelaburan kira-kira RM25,000.

“Kini, syarikat mempunyai 36 dapur pemproses untuk mendapatkan ekstrak daripada kayu gaharu,” katanya.

Antara produk yang dihasilkan oleh syarikat itu termasuk minyak gaharu asli, minyak wangi gaharu asli, teh gaharu, setanggi gaharu, tikar dan tasbih gaharu, krim kulit gaharu dan produk hiliran minyak lintah gaharu.

Buat masa ini, Norazlan berkata rangkaian produknya adalah untuk pasaran luar negara dengan rantau Asia Barat menjadi penyumbang utama hasil jualan syarikat iaitu kira-kira 90 peratus.

Konsesi Utama terus melangkah maju apabila berjaya memperoleh geran bernilai RM500,000 daripada Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) bagi membolehkannya menjalankan penyelidikan untuk menghasilkan produk penjagaan kulit daripada kayu gaharu.

Kajian itu dilaksanakan menerusi kerjasama syarikat dengan Loji Pandu Kejuruteraan Kimia, sebuah anak syarikat Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Pada masa sama, Norazlan berkata Konsesi Utama terus melangkah maju apabila membuka kilang sulungnya di luar negara iaitu di Padang, Indonesia pada akhir tahun lalu dengan sasaran menembusi pasaran serantau.

Katanya, syarikat turut menjalin kerjasama penyelidikan dengan institusi pengajian tinggi terkemuka republik itu, Universiti Bogor untuk mengkaji khasiat tanaman berkenaan.

Paling membanggakan, katanya Konsesi Utama turut dilantik oleh kerajaan Kemboja sebagai penasihat dalam industri perusahaan dan tanaman kayu gaharu selepas berjaya membuktikan peranannya dalam perkembangan industri itu di Malaysia.

Pada masa ini, Norazlan turut dibantu oleh anak sulungnya, Norsharizam, 28, kini ketua eksekutif syarikat yang berperanan mengukuhkan pasaran rangkaian produk Konsesi Utama.

Norsharizam berkata, syarikat berhasrat mengukuhkan rangkaian pemasarannya di dalam negara memandangkan terdapat permintaan luas terhadap produk itu yang kurang disedari masyarakat.

“Permintaan terhadap kayu gaharu tidak akan putus selagi kegunaannya dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Update me when site is updated

Ciptaan mesin mengupas nanas secara automatik dijangka memberi impak kepada industri tanaman nanas.



Hanya pengambil masa kurang daripada 10 saat anda sudah boleh menikmati keenakan isi nanas siap di potong kecil. Mudah bukan, malah anda tidak perlu lagi terkial-kial serta membuang masa untuk membuang kulit buah tersebut dengan menggunakan pisau.

Mesin pengupas nanas automatik dicipta khas oleh Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Batu Pahat adalah untuk kegunaan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS).

Selain itu, ia juga sesuai untuk kegunaan syarikat yang mengusahakan makanan berasaskan nanas selain hotel serta pasar raya besar.

Menurut Penolong Pegawai Latihan Vokasional ADTEC, Asziman Sukran, mesin tersebut berfungsi menggunakan kuasa pneumatik yang direka khas menggunakan kaedah terbaru.

“Keberkesanan mesin tersebut telah terbukti berupaya untuk memperbaiki dan mempercepatkan proses mengupas nanas.

“Apabila proses tersebut boleh dipercepatkan maka kos buruh juga secara automatik turut berkurangan,” ujarnya ketika ditemui pada pameran Pertandingan Inovasi sempenan Karnival Malaysia Inovatif 2010 (MI 2010) bagi Zon Selatan di Batu Pahat, Johor baru-baru ini.

Tambah beliau, sebanyak empat tan nanas dapat dikupas dengan mudah dalam masa sehari bagi setiap mesin yang dihasilkan.

Ini kerana mesin tersebut amat mudah untuk dikendalikan dan sesuai untuk semua jenis golongan serta peringkat usia.

Mesin tersebut mampu mengupas dan mengasingkan empulur nanas pada masa yang sama dan proses pengupasan tersebut hanya memerlukan seorang sahaja pengendali.

Ia juga mudah untuk dibersihkan, tidak memerlukan pengendali yang begitu mahir malah boleh melaksanakan proses pengupasan secara berterusan.

Kepantasan proses mengupas nanas menggunakan mesin tersebut adalah pada kadar 300 biji bagi sejam berbanding 60 biji sejam jika dikendalikan secara manual.

Jelas Asziman, sehingga kini terdapat tiga spesifikasi mesin pengupas nanas automatik telah dipasarkan dan harga bagi sebuah mesin bergantung kepada spesifikasi yang dikehendaki pengusaha.

Bagi pengusaha makanan berasaskan nanas yang berminat untuk mendapatkan mesin tersebut, tempahan boleh dibuat melalui Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Update me when site is updated

Penyakit puru yang banyak menyerang ternakan kambing dan biri-biri.



Industri penternakan kambing dan biri-biri boleh terjejas jika ternakan terdedah kepada serangan penyakit. Di antara penyakit utama yang boleh menyebabkan kematian tinggi ternakan ruminan khususnya kambing dan biri-biri ialah penyakit pneumonia (radang paru-paru).

Penyakit tersebut disebabkan oleh serangan bakteria Pasturella haemolytica dan serangan cacing.

Jangkitan penyakit lain seperti penyakit seperti puru (Contagious ecthyma), jangkitan tali pusat (navel infection), busuk kaki (foot rot) serta luka misalnya selepas ekor dipotong (docking) dan penyakit kulit juga penting dan perlu dikawal.

Walaupun penyakit tersebut tidak boleh membawa kepada kematian tetapi ia memberi kesan rasa tidak selesa kepada haiwan serta menjejaskan kesihatan.

Jangkitan penyakit akan mempengaruhi pengambilan pemakanan dan seterusnya akan menjejaskan produktiviti.

Rawatan penyakit kulit tersebut selalunya menggunakan bahan kimia seperti larutan iodin, potassium permanganate, formalin dan sebagainya.

Walaupun rawatan dengan cara itu boleh menyembuhkan penyakit tetapi ia mengambil masa yang lama. Dalam banyak keadaan akan memberi kesan sampingan.

Kajian terbaru Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mendapati Enhanced Virgin Coconut Oil atau minyak kelapa dara ditambah nilai (Evco) berpotensi untuk digunakan bagi merawat serta mencegah penyakit kulit pada haiwan ternakan.

Evco adalah produk yang berpotensi untuk digunakan dalam industri penjagaan kesihatan dan bahan pengawet.

Produk itu mengandungi bahan aktif yang dikenali sebagai monolaurin, moncaprin dan monocaprilin dan telah mendapat hak cipta di Malaysia (MY 140578-A) pada Disember tahun lalu .

Terkini, Pegawai Penyelidik Prinsipal Kanan MARDI, Dr. Kamariah Long, yang juga pencipta Evco telah mempelbagaikan kegunaan produk berkenaan untuk diuji sebagai bahan alternatif untuk mencegah penyakit pada haiwan.

Evco telah diuji bersama pakar penyakit haiwan, Dr. Mohmad Mustafa, juga Pegawai Penyelidik Prinsipal Kanan MARDI dalam menangani masalah penyakit ternakan kambing dan biri-biri.

Penyakit-penyakit tersebut termasuk puru , jangkitan tali pusat , busuk kaki dan luka selepas prosedur pemotongan ekor.

Menurut Dr. Mohmad, dengan menggunakan Evco, penyakit tersebut cepat sembuh jika dibandingkan dengan menggunakan rawatan cara biasa seperti semburan iodin, crystal violet atau penggunaan bahan kimia lain.

Bahan sebatian bioaktif dalam Evco telah menyebabkan luka kering dengan lebih cepat serta saiz luka mengecut, tidak membengkak dan seterusnya menghalang jangkitan kuman.

“Biasanya semburan komersial mengambil masa lebih dari tiga hari untuk menyembuhkan luka, kesan docking dan puru manakala semburan Evco pula mengambil masa yang lebih singkat,” katanya.

Update me when site is updated

Daun ubi keledek yang telah diproses menjadi makanan ringan yang berkhasiat.



UBI keledek biasanya digunakan dalam masakan sebagai hidangan petang dalam bentuk gorengan atau kuih seperti lepat dan kuih talam. Bagaimanapun daun ubi keledek yang kaya dengan nutrisi biasanya dibuang begitu saja atau dijadikan makanan ternakan.

Kajian menunjukkan daun keledek kaya dengan polifenol, lutein, vitamin A dan B, kalsium serta zink.

Di negara ini, walaupun ubi keledek ditanam dengan meluas tetapi banyak yang tidak diketahui mengenai tanaman ini.

Pegawai Penyelidik, Pusat Penyelidikan Teknologi Makanan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. K Jeevan berkata, kandungan nutrisi bagi daun keledek setara dengan sayuran yang dibeli di pasar.

“Tambahan pula kosnya murah memandangkan daun keledek merupakan bahan sampingan tanaman keledek.

“Ini membolehkan masyarakat mendapatkan nutrisi dengan kos yang lebih rendah,” katanya semasa ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Kajian ke atas kandungan polifenol dan ciri anti radikal dilakukan bagi mencari punca sumber antioksidan semulajadi, makanan berfungsi dan nutraseutikal.

Sayuran berdaun seperti daun keledek mempunyai kelebihan dituai beberapa kali setahun menjadikannya mudah dipasarkan.

Dr. Jeevan menambah, kandungan antioksidan dan polifenol yang tinggi berbanding sayuran lain dapat memberikan pilihan kepada pengguna mendapatkan sayuran berkhasiat pada harga yang murah.

Selain itu, daun ubi keledek yang mengandungi bahan semulajadi boleh membantu mengurangkan pergantungan kepada bahan sintetik import yang digunakan dalam pembangunan produk makanan.

“Jika daun keledek digunakan sebagai sayuran bermakna daun yang biasanya dibuang boleh menjadi sumber ekonomi kepada pekebun kecil.

“Ini bakal memberikan kesan yang besar kepada sektor pertanian dan makanan selain pembukaan lebih banyak ladang keledek manakala pengeluar makanan akan dapat mengurangkan kos bahan mentah,” katanya.

Bahan aktif dalam daun keledek sesuai digunakan sebagai bahan untuk snek berkhasiat dan tepung dalam pembuatan roti dan mi.

Update me when site is updated

MOHD. Azhar menunjukkan telur-telur itik yang dieram menggunakan inkubator ciptaannya.



MENYELUSURI laluan kawasan sawah padi menghijau di Kampung Kuar, Mukim Tajar, Alor Setar, Kedah, pandangan pasti tertumpu kepada sebuah rumah kampung yang dikelilingi banyak haiwan seperti itik, angsa dan beberapa spesies ayam unik.

Kelihatan persis taman haiwan. Namun lokasi tersebut sebenarnya merupakan pusat penternakan dan pengeluaran produk berasaskan itik yang mengetengahkan konsep reban terbuka.

Menurut pengusahanya, Mohd. Azhar Muthalib, 29, perusahaan itu diwarisi daripada ayah mertuanya yang telah memulakan projek penternakan itik sejak tahun 1985.

”Ketika itu, ayah mertua saya hanya menternak itik secara kecil-kecilan sebagai sumber makanan untuk keluarga.

”Melihat sambutan menggalakkan daging itik di pasaran, pada tahun 2004 saya cuba menjalankan beberapa kajian dan tinjauan mengenai potensi perniagaan haiwan ternakan ini.

”Dengan tiada pengalaman dalam aktiviti penternakan itik, saya mengambil risiko berhenti kerja sebagai konsultan bank dan perlahan-lahan mempelajari teknik pemeliharaan itik daripada ayah mertua saya,” katanya ketika di temui di rumahnya di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

Beliau yang merupakan graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam pengajian Ijazah Perniagaan pada mulanya hanya bertindak membantu ayah mertuanya dalam urusan pemasaran daging itik.

Pada peringkat awal pengkomersialan perniagaannya, hanya terdapat kira-kira 600 hingga 700 ekor itik yang dipelihara di kawasan sekitar rumahnya seluas satu ekar.

Sehingga pada tahun 2007, Mohd. Azhar membuat pinjaman modal sebanyak RM20,000 daripada Agrobank untuk memperkembangkan projek ternakan itiknya.

Antara jenis itik yang dipelihara adalah daripada spesies Moscovi untuk pengeluaran daging, itik telur dan juga angsa daripada jenis Chamble.

Kini, perusahaannya telah mempunyai lebih 2,000 ekor itik dan angsa termasuk beberapa spesies induk untuk tujuan pembiakbakaan.

Bercerita mengenai proses pembiakan, Azhar memberitahu, dia ada mencipta sendiri kotak inkubator untuk memudahkan proses penetasan telur itik.

Binaan kotak tersebut mempunyai termometer untuk tujuan kawalan suhu sementara mentol lampu dan air berfungsi memberi kesan kepanasan dan kelembapan lebih sekata.

Kotak tersebut turut dijual kepada mereka yang berminat dengan tawaran harga RM350 seunit.

Untuk menggunakan kotak inkubator itu, telur-telur yang telah dikenal pasti mempunyai baka bersesuaian akan dipilih dan dimasukkan ke dalamnya.

Telur-telur itu kemudian dibiarkan di dalam kotak berkenaan dengan kawalan rapi sehingga menetaskan anak itik.

Telur yang didapati tidak mempunyai baka pula akan diguna untuk menghasilkan telur masin.

Dalam memastikan reban itiknya sentiasa kekal bersih dan tidak berbau, setiap hari Mohd. Azhar akan menyembur campuran ubat khas di kawasan persekitarannya.

Malah, dia juga ada menyertai kursus-kursus yang dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar, dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Ia merupakan sebahagian daripada usahanya untuk menambah pengetahuan mengenai teknik penternakan itik dan sebagai persediaan menghadapi sebarang masalah dalam operasi penternakannya.

‘Dari segi pasaran, itik-itik yang diternak ini biasanya boleh dijual selepas melepasi tahap matang iaitu berusia sekitar 80 hari atau apabila beratnya sudah mencecah lima kilogram (kg) untuk itik jantan dan tiga kg untuk itik betina

” Bagi itik hidup, ia dijual pada harga pasaran RM7.80 sekilogram sementara yang telah diproses, harganya boleh mencecah antara RM12 hingga RM14 sekilogram,” jelas bapa kepada seorang anak itu.

Mohd. Azhar memberitahu, itik-itiknya menerima permintaan tinggi daripada restoran-restoran di sekitar kawasan rumahnya selain dibeli oleh penduduk-penduduk kampung.

Update me when site is updated

Maznah Mazlan dan Zainuddin Wan Yusof menunjukkan dua jenis produk daripada roselle yang diusahakan oleh penduduk Kampung Tebu Hitam, Rompin, kelmarin.



ROMPIN 18 Okt. – Tanaman roselle yang dikatakan berasal dari India kini tidak asing lagi bagi masyarakat negara ini. Tanaman tersebut bukan sahaja berkhasiat malah mampu menjana pendapatan lumayan kepada pengusahanya.

Ada ketikanya buah roselle yang kaya dengan vitamin C, B1, B2 dan D dianggap sebagai ‘pokok emas’ kerana setiap bahagiannya mempunyai keistimewaan tertentu.

Keistimewaan yang dimaksudkan ialah bermula daripada buah, daun hinggalah ke batang pokok berkenaan yang boleh dijadikan sajian atau untuk tujuan perubatan tradisional.

Malah, roselle atau nama tempatannya seperti asam paya, asam kumbang atau asam susur merupakan spesies bunga seperti bunga raya yang mudah ditanam dan mengeluarkan hasil selepas 65 hari ditanam.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila kira-kira 22 penduduk di Kampung Tebu Hitam di sini mengambil inisiatif mengusahakan tanaman tersebut.

Menurut salah seorang pengusaha roselle, Mohd. Don Bakar, 68, tanaman itu mudah dijaga dan bernilai tinggi jika dibandingkan dengan sayur-sayuran lain.

‘‘Sejak saya mengusahakan roselle tiga tahun lalu, banyak perbezaan yang dialami dan kerja-kerja penanaman juga lebih mudah. Jika dibandingkan dengan sayur-sayuran, tanaman roselle mudah diusahakan dan tidak memerlukan kos yang tinggi.

‘‘Malah, ia tidak mudah diserang penyakit seperti tanaman yang lain,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian jual beli antara Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan peserta ladang kontrak di Kampung Tebu Hitam di sini, baru-baru ini.

Majlis tersebut turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan.

Turut hadir Timbalan Pengarah FAMA negeri (Pengurusan), Norazmin Fithri Abdul Aziz; Pegawai FAMA Daerah, Zainuddin Wan Yusof dan Penolong Pegawai Pertanian Daerah, Shaharudin Ramli.

Mohd. Don memberitahu, dia memilih untuk mengusahakan tanaman tersebut setelah diperkenalkan oleh seorang rakannya beberapa tahun lalu.

‘‘Sebelum ini saya mengusahakan sayur-sayuran tetapi setelah melihat potensi pendapatan yang begitu memberangsangkan maka saya mengambil keputusan untuk terus mengusahakannya.

‘‘Kerja-kerja penanaman begitu mudah apabila mendapat kerjasama dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) terutama untuk mendapatkan benih,” jelasnya.

Bagi Arman Abu, 34, sejak tanaman itu diusahakan oleh beberapa penduduk kampungnya, dia mengambil peluang menjual buah roselle dan beberapa jenis makanan berasaskan roselle.

‘‘Saya cukup gembira apabila tanaman ini diperkenalkan di sini kerana dapat menjana pendapatan harian saya.

‘‘Selain menjual buah roselle yang diperoleh dari ladang penduduk di sini, saya turut mempelbagaikannya dengan menghasilkan jem, jus minuman, biskut, kek, puding dan acar.

‘‘Apa yang saya perhatikan ialah minuman roselle kini mula menarik perhatian penduduk sekitar,” jelasnya.

Apa yang boleh dibanggakan kata Arman, ialah tanaman roselle di kawasan tersebut mula menarik perhatian Jabatan Pertanian negeri termasuk FAMA.

Sementara itu, Maznah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah berkata, pihaknya bercadang menjadikan kawasan berkenaan sebagai kawasan pengeluaran roselle dengan menyediakan tanah seluas 60 hektar untuk penanamannya.

‘‘Pada masa ini tanaman ini diusahakan di kawasan seluas enam hektar sahaja dengan pengeluaran kira-kira 400 kilogram sebulan.

‘‘Oleh itu, saya akan berusaha dan berbincang dengan Jabatan Pertanian untuk mengisytiharkan kawasan ini sebagai kawasan pengeluaran roselle,” katanya.

Maznah berkata, tanaman roselle mempunyai potensi yang cerah untuk dimajukan apabila ia turut dieksport ke Australia.

‘‘Selain itu, ia mendapat permintaan yang begitu tinggi daripada orang ramai di negara ini,” tambahnya.

Update me when site is updated

AHmad Ishak (tiga dari kiri) dan Rohizad Ridzwan (tiga dari kanan) bermesra dengan Mat Som Ismail (kiri) dan pemenang-pemenang lain selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan ‘Kitchen Garden and Edible Landscape di Shah Alam, semalam.



SHAH ALAM 20 Okt. – Peneroka Felda Sungai Tengi, Hulu Selangor, Mat Som Ismail diumumkan sebagai johan kategori individu pertandingan ‘Kitchen Garden and Edible Landscape’ anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di sini hari ini.

Beliau berjaya memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 berserta hadiah iringan.

Hadiah tersebut disampaikan oleh Pengarah Kanan FAMA, Ahmad Ishak. Turut hadir, Pengarah FAMA Selangor, Rohizad Ridzwan.

Menurut Mat Som, 54, kejayaan itu adalah hasil usaha dia bersama isterinya, Rusiah Imran, 47, untuk menjadikan halaman rumahnya dipenuhi dengan pelbagai tanaman sejak setahun lalu.

Katanya, berkat ketekunan mereka, halaman rumahnya kini telah dipenuhi kira-kira 60 jenis pokok seperti kacang panjang, kucai, terung, kubis, cili dan kangkung.

“Mungkin kemenangan ini juga adalah bonus buat saya dan isteri yang bakal mengerjakan ibadah haji tidak lama lagi.

“Duit yang dimenangi ini bolehlah digunakan ketika berada di tanah suci nanti agar ia lebih berkat,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah pertandingan itu.

Sementara itu, Ahmad berkata, penilaian mencari pemenang dibuat selama sebulan pada September lalu dan pemenang-pemenang akan layak ke peringkat kebangsaan.

Beliau memberitahu, pada tahun ini, sebanyak 410 peserta akan berentap di peringkat kebangsaan bagi memenangi hadiah lumayan yang ditawarkan.

Bagi kategori komuniti, Taman Sri Puteri, Cheras, Hulu Langat dekat sini muncul sebagai johan, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tiram Jaya, Tanjung Karang (sekolah menengah) manakala Sekolah Kebangsaan Gombak Setia, Gombak (sekolah rendah).

Pemenang bagi ketiga-tiga kategori memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM1,500.

Update me when site is updated


celoteh juru lelong Khairuddin Ismail menarik minat pembida yang mencari ternakan terbaik bagi ladang mereka.

“Kita akan mulakan dengan plot satu, 10 ekor biri-biri Dorper betina baka dengan harga RM4,500,” kata juru bida, Khairuddin Ismail sambil menunjukkan kepada plot yang akan dilelong.

Sepuluh ekor biri-biri Dorper betina mengembek dalam plot 1 mencari makanan.

Mentol di plot yang akan dibida dinyalakan bagi membolehkan pembida menentukan plot pilihan mereka.

Episod membida bermula, pembida mengangkat nombor masing-masing sebagai tanda menambahkan pembidaan dengan nilai RM50 sekali.

Khairuddin yang berpengalaman sebagai juru bida di Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) selama 15 tahun, berdiri menghadap plot yang diisi dengan 10 ekor biri-biri Dorper. Setiap satu mempunyai harga, jantina dan kegunaan sama ada untuk baka atau sembelihan.

Seramai 50 orang pembida yang datang dari seluruh negara telah meninjau plot diberikan nombor, duduk di tempat yang dikhaskan.

“RM4,500 satu…!”Jerit Khairuddin dengan matanya meliar memandang pembida.

Belum sempat dia menghabiskan ayatnya pembida dengan nombor 015 mengangkat kadnya.

“Sekarang siapa berani dengan RM4,550…!” Katanya menarik minat bukan saja pembida tetapi juga mereka yang datang untuk meninjau lelongan biri-biri Dorper yang pertama kali dijalankan di Projek Agropolitan Pekan, Pahang, baru-baru ini.

Pembidaan semakin rancak apabila nama pembeli pertama akan diabadikan di ladang berkenaan.

Setengah jam berlalu, harga yang ditawarkan telah meningkat lebih dua kali ganda, masing-masing berebut mengabadikan nama di ladang berkenaan.

“RM13,950… dua kali…!” Belum sempat juru lelong menghabiskan kata-katanya, pembida dengan nombor 011 mengangkat kadnya.

Akhirnya tinggal hanya tiga pembida yang benar-benar berminat mendapatkan Dorper dalam plot 1.

“Sapa berani lawan untuk harga RM14,900… satu, RM14,900 …. dua, RM4,900 tiga.. ! Kalau macam tu, plot 1 kepunyaan 015!” Katanya.

Pembantu juru bida Azhar Ibrahim, memalu gong tiga kali sebagai menandakan plot 1 telah menjadi milik pembida dengan nombor 015.

Aktiviti bidaan berjalan rancak dan mengambil masa lebih empat jam dengan 435 ekor biri-biri Dorper bernilai RM265,550.

Aktiviti bidaan biri-biri Dorper diadakan buat kali pertama selepas genap setahun Projek Agropolitan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jualan biri-biri Pekan Dorper Auction dianjurkan bersama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Melebihi jangkaan

Bidaan kali pertama itu melibatkan biri-biri Dorper dengan jenama Pekan Dorper yang diternak di bawah Projek Agropolitan Pekan bagi golongan miskin tegar.

Kini biri-biri Dorper merupakan salah satu aktiviti utama di Agropolitan Pekan selepas ladang kelapa sawit.

Dalam tempoh setahun, Projek Agropolitan Pekan telah berjaya menggandakan populasi biri-biri baka Dorper kepada hampir 2,000 ekor daripada 1,000 ekor pada peringkat permulaan.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John gembira dengan kejayaan yang dicapai.

“Kami tidak menyangka mendapat sambutan yang melebihi jangkaan dengan lebih 50 pembida mengambil bahagian memandangkan ini adalah aktiviti pertama di Agropolitan Pekan” katanya.

Beliau menambah aktiviti bidaan akan diadakan dari masa ke semasa mengikut kesesuaian dan bilangan biri-biri.

Dalam tempoh setahun Projek Agropolitan telah menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan dalam usaha meningkatkan taraf hidup para peserta projek.

Malah, kejayaan projek perintis penternakan biri-biri akan menjadi pelopor pembangunan 250 unit kandang ternakan (APU) di Agropolitan Pekan yang melibatkan sejumlah 25,000 biri-biri baka Dorper.

Apabila jumlah berkenaan dicapai, Agropolitan Pekan bakal mempunyai populasi biri-biri terbesar di satu lokasi tunggal di Asia dan dalam tempoh lima tahun tempat ini akan menjadi pusat pembidaan Dorper.

Projek Agropolitan merupakan sebuah projek sosioekonomi bersepadu yang dilaksanakan oleh ECERDC dengan matlamat membasmi kemiskinan di kalangan masyarakat miskin tegar.

Melalui aktiviti ekonomi yang dijalankan peserta projek mampu menjana pendapatan tetap antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.

Felda dilantik bagi menyelaras dan mengurus projek berkenaan dan pada permulaan 30 peserta Orang Asli telah melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti ternakan Dorper sejak Julai tahun lalu.

Selain 11 buah APU sedia ada untuk menempatkan biri-biri, 60 buah APU sedang dibina, 30 dijangka siap November 2010 manakala bakinya pada 2011.

Update me when site is updated

ABDUL Fatah menunjukkan buah nanas yang baru dipetik sedia dijual kepada peraih.



SAYA pernah gagal dan ditipu ketika mula-mula menceburi bidang pertanian. “Namun, semua itu saya jadikan sebagai pengajaran serta pengalaman berguna untuk terus berjaya didalam bidang ini,” ujar Datuk Abdul Fatah Iskandar ketika ditemui di ladang nanasnya di Kuala Selangor.

Bagi yang mengenalinya, Abdul Fatah bukanlah orang asing di kalangan masyarakat kerana beliau merupakan bekas ahli politik suatu ketika dahulu.

Abdul Fatah merupakan bekas ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Sijangkang, Kuala Langat, Selangor.

Beliau pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri Selangor dan juga merupakan pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Dari 1998-2008 beliau menjadi Ketua Bahagian UMNO Kuala Langat dan kini tidak lagi bertanding dalam pemilihan UMNO Kuala Langat mulai Oktober 2008.

Bagaimanapun, populariti beliau dahulu tidak pernah dijadikan ‘modal’ untuk berjaya dalam sektor baru yang diceburinya kini.

Berdasarkan kecenderungan serta minat yang mendalam terhadap sektor pertanian, beliau nekad untuk bertani seterusnya kini beliau mampu bergelar usahawan tani.

Keputusan meninggalkan keselesaan kerusi empuk serta sejuknya udara yang dihembus alat penghawa dingin tidak sedikit pun dikesali beliau.

Malah beliau merasakan tindakan tersebut telah terlambat kerana baru menyedari potensi bidang pertanian yang amat menguntungkan.

Menceritakan semula detik permulaan di dalam sektor pertanian, Abdul Fatah bermula secara kecil-kecilan dengan mengusahakan tanaman serai.

“Pada mulanya saya sendiri tidak yakin bahawa serai boleh ditanam di kawasan paya gambut.

“Tetapi ada seorang hamba Allah ini bersungguh-sungguh menyakinkan saya bahawa serai boleh ditanam di kawasan tersebut akhirnya saya bersetuju mengusahakannya,” jelas beliau.

Namun, percaturan mempertaruhkan tanaman serai nyata terpesong jauh kerana tanaman tersebut tidak mampu hidup dengan baik.

Justeru beliau mengalami kerugian, namun nasib beliau amat baik kerana beberapa orang tempatan telah mencadangkan kepadanya untuk menanam nanas pula.

“Pada peringkat awal saya juga agak risau, takut-takut jika pekara yang sama berulang semula.

“Lalu saya dapatkan nasihat dari mereka yang berpengalaman serta mengkaji sendiri cara terbaik untuk mengusahakan tanaman nanas tersebut,” katanya.

Berbekalkan sebidang tanah seluas tiga ekar, Abdul Fatah memulakan tanaman nanas secara kecil-kecilan sebagai percubaan.

Setelah melihat tanaman tersebut subur serta menyakinkan untuk ditanam secara besar-besaran, beliau beralih kepada ladang kelapa sawitnya seluas sembilan ekar.

Pokok kelapa sawit milik beliau pada waktu itu adalah pada peringkat awal penanaman, justeru bagi mendapatkan hasil memerlukan masa yang panjang.

Justeru beliau mengambil keputusan untuk melakukan tanaman secara integrasi iaitu dengan tanaman nanas.

” Pada peringkat awal saya hanya ingin menanam kelapa sawit sahaja, tetapi memandangkan masih terdapat ruang kosong saya mula memikirkan untuk menanam tanaman kontan yang lain,” ujarnya.

Bermula setahun yang lalu, kini tanaman nenas beliau telah membuahkan hasil dan kini ladangnya sedang dalam proses penuaian.

Terdapat tiga jenis baka nanas yang ditanam oleh beliau iaitu Yanke (Selangor Sweet), Josaphine serta Morris.

Bagi setiap seekar tanah, beliau mampu memuatkan tujuh hingga lapan ribu pokok nanas dalam satu-satu masa.

Malah jika tanpa diintegrasikan ia boleh memuatkan 12 hingga 14 ribu pokok di dalam satu-satu masa.

Menurutnya, bagi pasaran sekitar Kuala Selangor, nanas jenis Yanke mendapat permintaan utama malah harganya juga agak mahal, sekitar empat hingga lima ringgit.

Manakala bagi nanas baka Morris atau Josaphine boleh dijual dengan harga serendah seringgit sebiji.

Jelas Abdul Fatah, nanasnya akan diambil peraih justeru beliau tidak perlu memikirkan jalan untuk memasarkannya.

Malah stok nanas yang sedia ada miliknya tidak pernah mencukupi untuk menampung permintaan walau hanya di sekitar Kuala Selangor.

“Nanas dari jenis Yanke amat diminati, yang sedia ada sekarang pun telah ditempah oleh peraih walaupun masih belum memasuki musim menuai,” katanya.

Beliau juga banyak mendapat bantuan dari segi khidmat nasihat daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dari segi penyediaan tanaman, penggunaan hormon pembuahan, serta penjagaan tanaman nanas sehingga ia mengeluarkan hasil.

Update me when site is updated

ZAHARI Mohamad sedang memberi makan dedak kepada ternakannya di ladang YZH Agro Enterprise di Kampung Semanyir, Endau.



MERSING 6 Okt. – Minat yang mendalam dalam bidang ternakan lembu dan kambing mendorong seorang belia di Kampung Semanyir, Endau dekat sini menceburi bidang yang menjanjikan pulangan lumayan itu.

Bagi Zahari Mohamad, 26, seharian ‘bergelumang’ dengan haiwan ternakannya menjadikan dia lebih cenderung untuk bekerja sendiri daripada makan gaji dengan orang lain.

Pengerusi Belia Wawasan Kampung Semanyir itu nekad menyahut seruan kerajaan yang menggalakkan golongan belia menceburi bidang ternakan dan pertanian bermula dengan ternakan secara kecil-kecilan dengan memelihara empat ekor kambing di belakang rumahnya.

Dengan modal permulaan RM7,000 pada tiga tahun lalu, dia menubuhkan syarikat YZH Agro Enterprise dan mula membeli beberapa ekor kambing dan lembu serta membuat kandang untuk menempatkan ternakan tersebut.

Kini, dengan modal RM80,000, Zahari membesarkan lagi kandang ternakan lembu dan kambingnya di kawasan seluas lapan hektar termasuk tapak tanah yang disewa dengan kadar RM500 setahun berhampiran rumahnya.

Zahari memberitahu, dia menggunakan sistem pembangunan tanah komplot dan sistem pawah bersama Jabatan Vateriner serta dibekalkan dengan lima ekor lembu betina dan seekor jantan.

Katanya, setiap anak lembu pertama yang dilahirkan akan diserahkan kepada Jabatan Vateriner, manakala induk lembu itu menjadi miliknya.

“Bagi saya, sistem ini menguntungkan kedua-dua pihak kerana masing-masing ada kepentingan terhadap ternakan tersebut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Berkat usaha gigihnya, kini dia mempunyai 40 ekor lembu yang diberikan makanan rumput dan dedak.

“Selain lembu, saya kini mempunyai 84 ekor kambing daripada jenis Boey, Janapai, kampung dan biri-biri.

“Kesemua ternakan ini untuk pasaran di sekitar Endau dan Mersing. Saya cuba untuk memperluaskan pasaran ke luar daerah ini,” katanya.

Katanya, kos penternakan melebihi RM3,500 sebulan termasuk gaji enam belia yang membantunya menjaga ternakan tersebut.

Zahari menyasarkan untuk menjual 10 ekor lembu sebulan bagi tujuan aqiqah, korban dan majlis keramaian seperti perkahwinan dengan harga antara RM2,500 hingga RM3,000 seekor bergantung kepada saiz lembu tersebut.

“Kambing pula dijual berdasarkan berat iaitu RM25 sekilogram dan setakat ini pasaran kambing agak menggalakkan,” katanya.

Justeru, orang ramai yang berminat membuat tempahan boleh menghubungi YZH Agro Enterprise di 012-7041139 atau datang ke No.52, Kampung Semanyir, Endau atau menghubungi Penyelia Ladang, Mohd. Al-Hafiz Mustapha Kamal di talian 012-7828058.

Update me when site is updated

Warning: Unknown: open(/var/chroot/home/content/g/i/g/gigco/tmp/sess_e0bed5f17b45a9792a42493769417f4c, O_RDWR) failed: No such file or directory (2) in Unknown on line 0

Warning: Unknown: Failed to write session data (files). Please verify that the current setting of session.save_path is correct () in Unknown on line 0