Archive for September, 2010



Pulau Ketam merupakan sebuah kampung nelayan yang terletak di negeri Selangor. Dengan menaiki feri kira-kira 30 minit dari Pelabuhan Klang, kita boleh sampai ke pulau ini.

Hanya 20 peratus daripada keluasan Pulau Ketam didiami oleh penghuni yang kebanyakan terdiri daripada nelayan.

Kira-kira 80 peratus daripada kawasan tersebut adalah kawasan perhutanan paya bakau.

Basikal merupakan kenderaan utama yang digunakan oleh penghuninya.

Bekalan air untuk pulau ini disalurkan dari bandar Klang di tanah besar melalui paip bawah tanah.

Pelbagai aktiviti dijalankan oleh penghuni untuk menampung kehidupan mereka.

Antaranya ialah membuat bot nelayan, menangkap ikan, menjalankan perniagaan kecil (yang diwarisi secara turun-temurun) dan akuakultur.

Aktiviti membuat bot nelayan di Pulau Ketam adalah satu perniagaan yang penting di mana bot yang dihasilkan akan dijualkan kepada nelayan-nelayan tempatan dan luar.

Lain-lain aktiviti seperti perniagaan restoran dan kedai runcit biasanya diusahakan untuk kemudahan pelancongan.

Bagaimanapun, aktiviti menangkap ikan dan akuakultur merupakan sumber pendapatan utama bagi kebanyakan penghuni di Pulau Ketam. Aktiviti ini menyediakan sumber protein utama kepada penduduk tempatan di samping menjadi daya tarikan kepada pelancong-pelancong.

Akuakultur di Pulau Ketam biasanya dijalankan di pinggir laut.

Pengusaha terlebih dahulu perlu mendapat kelulusan perlesenan.

Rumah rakit juga perlu dibina, dimana rumah rakit perlu diapungkan di atas permukaan laut dengan menggunakan bekas-bekas plastik kosong.

Sauh digunakan untuk menetapkan rumah rakit supaya ia tidak digerakkan oleh ombak atau angin kencang.

Kawasan untuk membina rumah rakit adalah bergantung kepada kedalaman laut dan jenis ikan yang akan dipelihara.

Jenis ikan yang biasa dipelihara seperti kerapu dan sebagainya.

Rumah rakit yang dibina di kawasan laut mempunyai sangkar-sangkar untuk menempatkan ikan ternakan.

Baka ikan biasanya diimport dari Taiwan, negara yang maju dengan aktiviti nelayan.

Kedalaman laut akan mempengaruhi kederasan aliran air laut.

Kedalaman laut sedalam 10 hingga 12 meter merupakan kawasan berarus sederhana, manakala 15 hingga 20 meter merupakan kawasan berarus deras.

Kederasan aliran air adalah penting kerana ia akan mempengaruhi jenis ikan yang akan diternak. Ikan yang lebih aktif umpamanya memerlukan kederasan aliran yang deras berbanding ikan yang kurang aktif.

Terdapat banyak jenis infrastruktur di dalam rumah rakit dan mereka masing-masing mempunyai fungsinya yang tertentu.

Antaranya adalah lampu yang dipasang sekeliling rumah rakit dan jala-jala yang menutup kawasan penternakan anak-anak ikan.

Fungsi lampu-lampu tersebut adalah untuk menerangi kawasan rumah rakit untuk mengelakkan pencurian ikan.

Pada masa sama, jala yang menutup kawasan anak ikan pula berfungsi untuk melindungi anak-anak ikan daripada sinaran matahari terik serta melindungi ikan-ikan daripada serangan helang.

Update me when site is updated

Shamsiah Abdullah (dua dari kanan) bersama penduduk menunjukkan ubi gadung yang diambil dari pokok sebelum diproses bagi membolehkan ubi tersebut dimakan.



Beracun tetapi boleh dimakan. Bunyinya agak pelik namun itulah hakikatnya. Malah hanya memakan sebesar sebiji epal, ubi ini boleh membunuh.

Ubi gadung atau nama saintifiknya, Dioscorea daemona sejenis tumbuhan yang menjalar bukanlah makanan yang boleh dimakan begitu sahaja.

Ubi gadung dikatakan berasal dari India tetapi tersebar luas ke Asia Tenggara di kawasan hutan sekunder, belukar dan turut ditanam di kawasan taman.

Namun menariknya ubi yang beracun ini menjadi hidangan popular penduduk kampung di Baling, Kedah yang menjadikan ubi gadung sajian istimewa mereka.

Istimewanya ubi gadung yang melalui proses nyah racun yang dijalankan penduduk di Kampung Bukit Palong Bongor, Baling mempunyai kelainan tersendiri apabila sekurang-kurangnya antara tiga hingga empat hari sebelum boleh dijamah.

Seorang penduduk, Abdullah Abdul Ghani, 64, antara penduduk kampung yang mahir ‘menghasilkan’ ubi gadung yang enak dimakan bersama kelapa parut yang disalut sedikit garam dan gula.

Menurut Abdullah, ubi tersebut berbuah pada musim tertentu dan untuk ‘memulihkan’ racun yang terdapat sebelum dapat dimakan.

“Ubi beracun ini amat bahaya jika proses membuang racun dan getahnya tidak dilakukan dengan cermat,” katanya kepada Mega baru-baru ini.

Menurutnya, pada musim kemarau ubi ini masih mampu bertahan kerana pokok menjalar ini mempunyai ketahanan sebelum mampu mengeluarkan ubi yang besar.

Biasanya, menurut Abdullah, walaupun mengambil masa untuk menghasilkan ubi ini tetapi penduduk kampung bergotong-royong bersama membersihkan ubi ini untuk dimakan beramai-ramai.

Bagi Abdullah biarpun mengambil masa dan terpaksa melalui proses tertentu termasuk merendam ubi berkenaan di dalam sungai tetapi keenakan ubi ini membuatkan penduduk kampung sepertinya tidak keberatan untuk mengusahakan ‘produk’ baru ini.

Seorang penduduk, Shamsiah Ismail, 60, pula berkata, keenakan ubi gadung terutama apabila direbus dan kukus mendorong penduduk di situ sanggup melakukannya biarpun agak rumit.

Shamsiah menambah sekalipun terpaksa mengambil masa dan perlu mematuhi petua daripada mula mengupas ubi gadung sehingga membasuh, merendam bagi menghilangkan sejenis getah berbisa yang terdapat di dalam kandungan ubi ini membuatkan ia terpaksa diproses secara lebih berhati-hati.

Katanya, membasuh dan merendam juga memerlukan perhatian yang rapi supaya isi ubi gadung yang kekuningan akan bertukar warna sebelum dapat dimasak.

Tambahnya, alat khas termasuk raga merendam kepingan ubi gadung yang dihiris nipis juga perlu disediakan bagi mengeluarkan bisa racun ubi ini.

Katanya, ubi ini mempunyai sejenis getah berbahaya dikenali getah ipoh perlu dibuang dan dibersihkan terlebih dahulu sebelum direndam di dalam air yang mengalir sekurang-kurangnya tiga hari.

“Ubi berwarna kekuningan ini perlu dibersihkan sekurang-kurangnya tiga hari sebelum bertukar menjadi warna putih,” ujarnya.

Menurutnya, selepas ubi bertukar warna putih barulah ia disaluti dengan garam untuk menghilangkan terus racun di dalamnya.

Rakannya, Aishah Omar, 53, berkata bukan sahaja keenakan isinya yang manis malah jika disagat airnya yang putih boleh dibuat bedak untuk melicinkan wajah menjadi amalan penduduk.

Katanya, bukan sahaja untuk dimakan, ubi gadung juga boleh dijadikan bahan seperti bedak melicinkan kulit muka oleh kebanyakan penduduk kampung pada zaman dahulu.

Menariknya, ubi gadung yang dikategorikan sebagai tumbuhan liar dan mampu menjalar panjang sehingga 20 meter dengan batangnya berduri dan boleh hidup bertahun lamanya.

“Bermacam-macam lagi khasiat ubi gadung selain dari menu istimewa penduduk kampung yang biasanya akan dibuat pada musim menuai padi,” ujarnya.

Sungguhpun pelik namun penduduk sentiasa berhati-hati dalam menghasilkan ubi gadung supaya tidak tersilap.

Bagi penduduk di Baling ini ubi gadung turut sinonim dengan zaman Jepun kerana pada zaman itu penduduk turut bergantung kepada sumber tersebut kerana sekali diproses ubi tersebut boleh disimpan sebagai stok.

Ubi ini boleh dikomersialkan menjadi salah satu produk baru. Itulah hebatnya ubi gadung.

Update me when site is updated

Pertanian di kawasan perumahan sewajarnya digalakkan bagi menampung keperluan sumber makana



BERBEZA daripada kawasan kejiranan lain, kawasan kejiranan di Jalan Pokok Mangga, Bandar Melaka mempunyai sawah padi dan ladang sayur-sayuran sebagai taman.

Malah, kawasan di bawah tiang kabel elektrik turut digunakan untuk menanam kangkung.

Mereka yang menanam dan menjaga tanaman padi dan sayur-sayuran tersebut adalah para penghuni di Jalan Pokok Mangga itu sendiri.

Seratus tiga puluh kilometer dari Jalan Pokok Mangga adalah kawasan kejiranan Fasa 4, Presint 8, Putrajaya, yang mana penghuni-penghuninya secara kolektif menanam sawi di hadapan pangsapuri mereka.

Mereka bersama-sama mengerjakan kawasan sayur tersebut, dan selepas penuaian sayur, hasilnya turut dikongsi antara mereka.

Begitu juga dengan para penghuni di Lorong 23, Taman Seri Inderapura, Kuantan.

Mereka menanam sawi dan kacang panjang di tanah yang dulunya terbiar di depan rumah mereka.

Walaupun seperti petani sambilan, penghuni Taman Seri Inderapura adalah bersemangat dan berhemat serta mereka prihatin kepada kesihatan mereka.

Sayur-sayuran yang ditanam oleh mereka adalah segar, sihat dan murah kerana ia ditanam secara organik, tanpa penggunaan sebarang racun dan baja kimia.

Kawasan-kawasan kejiranan seperti di atas menunjukkan aktiviti-aktiviti pertanian tidak semestinya tertumpu di kawasan luar bandar sahaja.

Penanaman pokok dan penternakan haiwan di dalam atau di pinggiran bandar dikenali sebagai pertanian bandar, dan ia merupakan cara yang semakin penting untuk mengeluarkan makanan untuk manusia.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (FAO) menganggarkan terdapat seramai 800 juta penghuni bandar (65 peratus daripada mereka adalah wanita) di dunia yang terlibat dalam pertanian bandar.

Malah, 15 peratus daripada pengeluaran makanan dunia berasal daripada persekitaran bandar.

Pada Mac 2006, kerajaan Malaysia telah menghidupkan semula kempen Buku Hijau untuk menggalakkan penduduk bandar mewujudkan taman-taman sendiri untuk penanaman sayur-sayuran serta penternakan ayam dan ikan untuk kegunaan sendiri.

Lebihan makanan boleh dijual dalam pasar tempatan dan pasar tani tanpa keperluan orang tengah.

Malaysia memandang penting pertanian bandar sebagai salah satu cara efektif untuk mengurus kawasan terbuka dalam bandar, menyediakan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan dan menyediakan makanan yang sihat dan segar pada kos rendah.

Makanan yang dihasilkan dalam bandar mendekatkan sumber makanan dengan penduduk bandar.

Ini membolehkan makanan yang dihasilkan bukan sahaja lebih segar tetapi juga lebih murah kerana kurang pengangkutan diperlukan berbanding dengan makanan import atau makanan yang dibawa masuk dari tempat jauh.

Pertanian bandar juga menambah kepada keluasan kawasan hijau dalam bandar.

Justeru, ini akan meningkatkan nilai estetik atau kecantikan pemandangan dalam bandar, dan lebih penting lagi, kawasan hijau boleh menyejukkan bandar melalui penyejatan air dari pokok ke udara.

Kawasan bandar boleh sampai dua darjah Celsius lebih panas daripada kawasan di luar bandar.

Update me when site is updated

Tengku Farizan Che Ku Jusoh menunjukkan mufin yang diperbuat daripada ubi gadung hasil penyelidikan Universiti Sultan Zainal Abidin.



Ubi gadung bukanlah sesuatu yang asing bagi masyarakat di negeri Pantai Timur khususnya Kelantan dan Terengganu terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman memandangkan habitatnya sering ditemui di hutan.

Berdasarkan kajian saintifik, terdapat kandungan steroid yang tinggi dalam ubi ini berbentuk gula iaitu saponin.

Steroid merupakan sumber asli yang penting dalam penghasilan ubatan dan hormon manakala saponin juga bersifat antiagresif platlet iaitu boleh menghalang pengetulan (agresif) platlet di dalam darah.

Justeru, secara tidak langsung saponin dapat menghalang penyakit darah membeku dalam saluran trombosis.

Selain itu, negara-negara lain turut menanam ubi gadung untuk tujuan komersial kerana ekstrak ubi ini dipercayai boleh diproses menjadi pil pencegah kehamilan, hormon seks dan bahan kortison di samping dikatakan boleh membunuh siput perosak.

Di Mexico, ubi ini ditanam secara komersial untuk tujuan penghasilan steroid manakala di Kashmir pula ubi gadung digunakan untuk membasuh bulu biri-biri sebelum dijadikan pakaian atau barangan perhiasan bagi membunuh kutu dan serangga.

Pun begitu, disebabkan kesukaran membuang racun yang terdapat pada ubi berkenaan menyebabkan ubi gadung kurang dikomersialkan berbanding ubi kayu dan ubi keledek.

Bagaimanapun, cabaran tersebut disahut oleh Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Terengganu bagi mengkomersialkan ubi tersebut sebagai makanan ruji masyarakat di negara ini.

Langkah UniSZA menjalankan penyelidikan menyeluruh tentang potensi tumbuhan ini ternyata menarik perhatian kerajaan negeri apabila satu memorandum persefahaman (MoU) Program Penyelidikan Pertanian Ubi Gadung UnisZA dan kerajaan negeri ditandatangani baru-baru ini.

Kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM 2.2 juta kepada UniSZA yang akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh universiti itu untuk menjalankan kajian terhadap potensi ubi ini.

Penyelidikan bakal melibatkan 10 projek utama yang diterajui oleh 20 penyelidik terdiri daripada pensyarah, pelajar pasca siswazah dan pegawai sains dari universiti terbabit.

Kajian meliputi penyelidikan agronomi, etnobotani, morfologi, anatomi, taksonomi, germplasm, pembiakbakaan, penyaringan fitokimia, pencarian kimia seni, biopesticde, teknologi in-vitro, sifat antibakteria dan antiinflamasi, pengendalian lepas tuai, kejenteraan dan pengkomersialan.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniSZA, Prof. Dr. Abd. Manaf Ali, bagi tujuan peringkat awal ini, pihaknya memulakan kajian terhadap bidang agronomi iaitu kaedah penghasilan tanaman ubi gadung secara produktif.

Katanya, selain itu, kajian turut ditumpukan dalam penyelidikan racun serangga kerana ubi berkenaan mempunyai ciri-ciri biopesticide yang baik iaitu berpotensi besar dalam menghasilkan racun serangga selain kegunaan untuk sumber makanan dan farmaseutikal.

“Mengikut kebiasaannya, ubi ini perlu direndam selama tiga hari dalam air yang mengalir iaitu seperti air sungai yang mana ia mengambil masa terlalu lama.

“Oleh itu, kita akan mengkaji secara mendalam tentang kaedah yang lebih baik menggunakan teknologi moden seperti membuat kajian untuk sekilogram ubi itu perlu melibatkan berapa banyak air dan berapa banyak toksin daripada ubi itu dapat dinyahkan.

“Selain itu, kita juga dalam usaha untuk menghasilkan tanaman ini dalam tempoh tiga hingga enam bulan sahaja melalui program penambahbaik benih dan kaedah penanaman sistematik,” katanya.

Beliau berharap penyelidikan komprehensif yang dilakukan oleh UniSZA mampu merungkai khasiat sebenar yang terdapat di dalam ubi tersebut.

“Saya berharap dengan kajian ini dapat dimanfaat untuk diusahakan oleh rakyat luar bandar sebagai sumber pendapat yang baru,” jelasnya.

Update me when site is updated



TEMERLOH 5 Sept. – Ketika orang lain sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi, tiga beranak di Kampung Badok di sini tidak menang tangan menyiapkan tempahan dodol daripada orang ramai sejak sebulan lalu.

Resipi Dodol Sejati yang dicipta sejak lapan tahun lalu menerima sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

Bagi Mohd. Fauzi Mohd. Nor, 61, perniagaan dodol yang diusahakan bersama isteri Asmah Ahmad, 59, dan anak lelakinya Mohd. Fazli, 30, dibuat secara kecil-kecilan pada 2002 kini merupakan sumber utama pendapatan keluarga.

Menurutnya, usaha gigih bertahun-tahun mengusahakan dodol secara tradisional akhirnya mendapat perhatian Jabatan Pertanian Pahang (JPP) yang membekalkan mesin pengacau berharga lebih RM3,000 kira-kira tiga tahun lalu.

“Sejak menerima mesin tersebut, kami sudah berani menerima tempahan dalam jumlah besar berbanding sebelum ini yang menerima tempahan secara terhad,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Mohd. Fauzi berkata, pada hari biasa dia hanya menjual kira-kira 60 kilogram dodol sebulan tetapi menjelang Ramadan dan Syawal tempahan yang diterima meningkat sehingga 350 kilogram.

Malah katanya, dia terpaksa mengacau tiga kawah dodol sehari bagi memenuhi tempahan yang diterima daripada orang kampung dan para peniaga di sekitar bandar itu.

Tambahnya, harga dodol yang dijual adalah sekitar RM19 sekilogram.

“Sehingga kini saya tidak berhasrat mempelbagaikan perisa dodol dan hanya menumpukan pada perisa asli namun, mungkin akan mempelbagaikan resipi jika menerima sambutan baik daripada pelanggan,” katanya.

Katanya, keenakan dodol yang dihasilkan sering menerima pujian pemimpin tempatan yang membuat tempahan bagi majlis tertentu.

“Orang ramai mula mengenali Dodol Sejati yang dihasilkan dan tempahan semakin banyak diterima untuk peniaga di bandar ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Fauzi berkata, dia baru menerima mesin pemerah santan daripada jabatan itu dan berhasrat menjadi pembekal dodol asli terbaik di seluruh Pahang dalam masa terdekat.

Sebagai permulaan dia mendirikan bengkel dodol sendiri bernilai RM10,000 sebagai tempat memproses dodol.

“Dengan adanya bengkel itu saya berhasrat mengeluarkan lebih banyak dodol bukan sahaja pada musim perayaan malah pada hari-hari biasa,” katanya.

Update me when site is updated

Musleha Punari sentiasa berusaha mengembangkan perusahaannya menjadi lebih besar dengan mewujudkan lebih banyak cawangan.



MENJUAL kuah rojak, makanan ringan serta produk pertanian di pasar tani pada tahun 1990-an merupakan titik permulaan bagi Punari @Zainudin Salleh, 59, membina empayar perniagaannya.

“Ketika mula-mula menceburi perniagaan pasar tani saya hanya memikirkan mencari rezeki untuk keluarga,” katanya ketika ditemui di premisnya di Sungai Leman, Sekinchan, Selangor.

Sebelum berjinak-jinak dengan dunia perniagaan dia pernah bekerja sebagai buruh di Singapura dan berkebun.

Matlamatnya hanya satu, untuk mencari rezeki bagi anak-anak dan isteri.

Kini, selepas lebih 10 tahun berkecimpung dengan perniagaan kecil-kecilan, akhirnya dengan bantuan dan galakkan isteri Mastura Senon, dia berjaya membina empayar MHP Enterprise.

Menggunakan jenama Masri, gabungan nama suami isteri Mastura dan Punari – memberikan tuah kepada Punari sehingga produknya berjaya mendapat tempat di rak-rak di pasar raya besar seperti Giant.

Sebagai pengasas, Punari memulakan usaha kecil membangunkan MHP Enterprise hanya dengan modal RM10,000.

“Siapa sangka produk yang bersifat kampung seperti kerepek, baulu, rempeyek dan biskut tradisional mempunyai potensi yang cukup tinggi dan unik di pasaran,” katanya.

Ini yang menjadi kekuatan awal kepada syarikatnya dalam ruang modal yang terbatas dan infrastruktur serba sederhana menjadi kuat daripada semasa ke semasa.

Bagaimanapun, tidak mahu terlalu lama mengetuai MHP Enterprise, Punari memberikan sepenuh kepercayaan kepada anak sulungnya, Musleha Punari.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam bidang Perniagaan Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Musleha berjaya membawa pelbagai peningkatan kepada produk jenama Masri dan MHP Enterprise.

Sebagai pengurus MHP Enterprise, Musleha berjaya melonjakkan jualan kasar selain mendapat pengiktirafan halal daripada Majlis Agama Islam Selangor dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam usaha membawa produk syarikat ke pasaran yang lebih luas.

“Pada mulanya saya menangis apabila ayah memberikan tanggungjawab menguruskan MHP Enterprise.

“Mana tidaknya, dengan kelulusan yang ada tentu saja saya berpeluang menjawat jawatan lebih baik di syarikat antarabangsa,” katanya.

Mendapat pelbagai anugerah dan pengiktirafan MHP Enterprise kini mempunyai 40 orang pekerja tetap dan sementara.

Bukan itu saja, kini MHP Enterprise juga menjadi pusat jualan untuk produk-produk makanan ringan tradisional yang diusahakan oleh penduduk sekitar.

Kini MHP Enterprise banyak menerima pelawat yang menginap di hotel dan inap desa sekitar Kuala Selangor, Sekinchan dan kawasan sekitarnya selain peserta kursus dari agensi kerajaan dan swasta.

“Kami juga menerima delegasi dan pelancong asing seperti Iran, Belanda, Indonesia, Perancis, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Nepal, Filipina, Singapura, Myanmar, Brunei dan Thailand,” kata Musleha.

MHP Enterprise akan terus memandang ke hadapan dan disasarkan selepas ini, syarikat terbabit akan mengembangkan perusahaannya dengan mewujudkan lebih banyak cawangan.

Di samping peningkatan kualiti terhadap produk melalui kerjasama penyelidikan bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Sirim Berhad dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di harap produk selepas ini boleh menembusi dan bersaing di pasaran global pula.

Bagi yang berminat boleh melayari laman blog www.mhp2020.blogspot.com atau hubungi Musleha di 019-3682346 atau 019-3779136.

Update me when site is updated

MELAKA 13 Sept. — Fadhilat Herbs Enterprise (Fadhilat Herbs), syarikat pengeluar minuman kesihatan, bakal memasarkan produk minuman herba ke Indonesia pada bulan depan.

Pengarah Urusan Fadhilat Herbs Asnawi Ghazali berkata, buat permulaan, syarikat itu akan membekalkan minuman herba kemunting cina kepada sebuah hospital swasta di Jakarta sebagai makanan tambahan untuk merawat pesakit di hospital itu.

“Produk kita telah mendapat lesen daripada Kementerian Kesihatan di sini, sekarang kita sedang dalam proses untuk mendapatkan lesen daripada pihak berkuasa di Indonesia,” katanya di sini.

Asnawi berkata, kos permulaan untuk memasarkan produk tersebut ke Indonesia termasuk mendapatkan lesen melebihi RM55,000 dan berharap dapat menguasai pasaran di Jakarta menjelang akhir tahun ini, sebelum ke seluruh Indonesia.

Katanya, Fadhilat Herbs juga sedang dalam perbincangan dengan Tabung Haji untuk membekalkan minuman tenaga herba terbaru syarikat itu ‘Thaji’ kepada jemaah yang mengerjakan haji atau umrah.

Untuk kerjasama itu, Fadhilat Herbs akan memperkenalkan pembungkusan baharu produk itu dalam botol berisi padu 200ml atau 250ml berbanding botol asal satu liter, katanya.

Beliau berkata, pada awal penubuhan syarikat itu pada 2007, Fadhilat Herbs hanya mampu menjual 30 botol minuman kemunting cina sebulan tetapi kini syarikat itu mampu menjual antara 40,000 dan 60,000 botol minuman tersebut dengan jumlah jualan sekitar RM300,000 sebulan.

Bagi memasarkan produknya, katanya Fadhilat Herbs mempunyai tujuh pusat jualan di mana dua pusat jualan berada di Melaka, Selangor (dua), Kuala Lumpur (satu), Perak (satu) dan Negeri Sembilan (satu) di samping mempunyai lima stokis di Johor (dua), Pahang (satu), Terengganu (satu) dan Kelantan (satu).

“Kita amalkan jualan terus kepada pengguna dan strategi promosi kita daripada mulut ke mulut, kita mahu pelanggan dapat khasiat terbaik daripada minuman kita dan pelanggan itu sebarkan kepada orang lain,” katanya.

Beliau berkata, syarikat itu mempunyai dua buah kilang, satu di kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Telok Mas untuk penyediaan bahan mentah dan satu lagi di Kompleks Kilang SME Bank di Telok Mas dekat sini digunakan untuk memproses bahan mentah itu menjadi produk.

Katanya, kilang itu mempunyai 35 orang pekerja dan mampu menghasilkan antara 1,500 ke 2,000 botol minuman kesihatan kemunting cina sehari.

Asnawi berkata, bagi menghasilkan minuman tersebut, kilang di IKS Telok Mas akan menjalankan proses pembersihan dan pengeringan pokok kemunting cina dan buah melada pahit selama tujuh hari sebelum pokok kemunting cina diasingkan dahan, batang, akar, daun dan bunga.

“Kita tanam sendiri pokok-pokok ini dan ada juga yang kami beli dari penduduk di kawasan sekitar sini,” katanya.

Beliau berkata, proses mengekstrak khasiat pokok kemunting cina dan buah melada pahit dijalankan dengan kaedah rebusan mengikut nisbah tertentu ramuan dahan, batang, akar, daun dan bunga pokok kemunting cina juga buah melada pahit.

Katanya, masalah utama Fadhilat Herbs sekarang ialah meningkatnya produk tiruan yang cuba meniru imej minuman kemunting cina dan melada pahit malah ada kes di mana botol-botol produk yang asli di isi semula dengan produk tiruan dan dijual dengan harga yang jauh lebih murah.

“Ada juga yang kata dia anak syarikat kami jadi produk dia produk anak syarikat kami, Fadhilat Herbs tidak mempunyai anak syarikat,” katanya.

Update me when site is updated

Norashikin Mat Zain menunjukkan HASIL PENYELIDIKANNYA filem nipis boleh urai daripada batang pisang.



Kesedaran awam mengenai pembuangan sisa pepejal terutamanya plastik masih rendah walaupun kebanyakan faham kepentingan menjaga alam sekitar.

Pembuangan sisa plastik ini banyak mendatangkan kemudaratan.

Menerusi permasalahan yang dihadapi dunia, kajian telah dijalankan dan telah berjaya menghasilkan filem boleh urai (biodegradable).

Filem boleh urai ini dihasilkan daripada bahan buangan pertanian dan campuran bahan kimia lain yang kandungannya adalah selamat dan tidak mengandungi bahan toksik.

Filem boleh urai ini mengandungi kekuatan mekanikal yang tinggi dan hanya memerlukan kos yang rendah untuk dihasilkan.

Ia boleh digunakan untuk pelbagai pembungkusan menggantikan plastik.

Filem ini reput akibat proses pereputan mikroorganisma terhadap filem tersebut.

Filem boleh urai ini boleh digunakan untuk menggantikan penggunaan plastik untuk pembungkusan makanan.

Plastik biasa mempunyai toksik yang boleh meresap ke dalam makanan.

Filem yang dihasilkan ini mempunyai pasaran yang sangat meluas.

Ini kerana terdapat beribu-ribu cawangan pasar raya yang menggunakan plastik.

Filem ini juga murah kerana dihasilkan daripada bahan terbuang.

Usaha kajian ini dapat membantu negara mengurangkan kos pengurusan sampah, memelihara alam sekitar dan juga melindungi kesihatan manusia dan juga melindungi hidupan marin.

Update me when site is updated

KAMARUDIN Abdul MENUNJUKKAN KEDUDUKAN ENJIN SERTA RUANG MUATAN YANG BOLEH DI BUKA UNTUK MEMUDAHKAN PROSES MENGALIHKAN BARANGAN YANG DIBAWA OLEH JENTERA INI.



SAYA hampir-hampir terduduk dan pitam akibat terkejut ketika mendapat tahu syarikat kerugian hampir RM2 juta ketika harga besi melambung beberapa tahun dahulu.

“Namun semua itu tidak pernah menghalang saya untuk terus mengembangkan perniagaan ini,” luah Datuk Kamarudin Abdul ketika membuka bicara pada pertemuan di kilang miliknya di Subang, Selangor baru-baru ini.

Beliau yang juga merupakan pemilik kepada syarikat AAZBINA Kejuruteraan dan Pembekal Sdn. Bhd. merupakan antara anak tempatan yang telah puas bergelumang dengan pelbagai risiko dalam bidang perniagaan.

AAZBINA yang dibangunkan oleh beliau sejak setengah 1988 tidak mungkin mampu terus berdiri megah andai beliau tidak memiliki semangat yang teguh dan kental dalam mengusahakan apa yang dimilikinya kini.

AAZBINA merupakan antara syarikat yang memiliki berpengalaman luas dan pakar dalam bidang kejuruteraan logam, kejuruteraan elektrik dan elektronik serta kimpalan.

Syarikat itu juga merupakan salah satu pengeluar yang bertanggung jawab membekalkan kenderaan, mesin, enjin serta perkhidmatan penyelenggaraan kepada syarikat penerbangan dalam negara.

“Apa yang pihak saya hasilkan adalah seperti jentera motor treler pelbagai guna bagi memenuhi keperluan pengangkutan di lapangan terbang dan sebagainya,” ujar Kamaruddin.

Namun, menyedari hakikat syarikat tersebut tidak seharusnya tertumpu kepada satu bidang sahaja, AAZBINA melakukan transformasi yang agak berlainan dengan kebiasaannya.

Kini mereka beralih arah kepada bidang pertanian. Namun AAZBINA tidak terus terjun kepada bidang penternakan mahu pun pertanian yang hakiki.

Sebaliknya, syarikat tersebut memperkenalkan dua kenderaan dikenali sebagai Jentera Pengangkut Pelbagai Guna yang digerakkan melalui kuasa tujahan daripada sistem hidraulik dan enjin diesel.

“Demi memastikan syarikat terus berkembang, saya perlu memikirkan jalan keluar daripada kepompong biasa dan ciptaan terbaru ini merupakan antara hasilnya,” katanya.

Jentera ciptaan beliau tersebut merupakan sebuah kenderaan yang boleh digunakan pada hampir apa jua bentuk muka bumi di negara ini.

Memiliki enjin yang kecil dan hanya berfungsi sebagai pengepam cecair hidraulik, kuasa bagi pengangkut tersebut sebenarnya dijana melalui sistem hidraulik yang mudah.

Ia mampu mengangkut pelbagai jenis bebanan seperti buah kelapa sawit, seberat empat hingga lima tan sehari, baja dan racun.

Selain itu, ia juga mampu mendaki bukit yang memiliki kecerunan bersama muatan penuh tanpa sebarang masalah.

Tahan lasak serta mudah untuk dikendalikan, badan jentera tersebut direka khas dengan menggunakan besi lembut.

Manakala sistem kuasa yang digunakan adalah bermula dari sebuah enjin sederhana kecil yang berfungsi untuk mengepam cecair dalam sistem hidraulik.

Seterusnya sistem hidraulik tersebut akan menujah serta memutarkan rantai yang disambung terus kepada roda hadapan jentera tersebut.

Ini bermakna kuasa tujahan jentera tersebut diletakkan sepenuhnya ke atas kekuatan tekanan sistem hidraulik yang digunakan.

Berbeza dengan jentera yang menggunakan kuasa tujahan secara terus daripada enjin, gabungan enjin bersama sistem hidraulik adalah lebih baik.

“Proses pembinaan jentera ini tidak terlalu sukar kerana AAZBINA memiliki pengalaman yang luas dalam menghasilkan kenderaan ringan untuk tujuan tersebut.

“Penggunaan sistem hidraulik juga terbukti mampu memberi kuasa pacuan yang lebih baik berbanding enjin jentera biasa,” ujarnya.

Memiliki tiga roda, hendal kawalan yang mudah serta enjin yang kecil menjadikan jentera tersebut amat praktikal digunakan dikawasan ladang.

Ia juga mudah diselenggara kerana menggunakan komponen jentera buatan tempatan selain memudahkan pemiliknya untuk mendapatkan alat ganti.

Pada asalnya ia direka untuk membantu serta memudahkan pekerja ladang memunggah dan mengumpulkan buah kelapa sawit dalam kawasan ladang yang luas.

Namun penggunaan jentera itu kini boleh dipelbagaikan dan diperluaskan dalam lain-lain sektor seperti penternakan dan perikanan.

Manakala sebuah lagi ciptaan iaitu Treler Motosikal (TMS) berfungsi sebagai pembawa atau loader khas bagi aktiviti pertanian terutamanya untuk perladangan kelapa sawit.

Reka bentuk TMS menyerupai kereta sorong namun ia memiliki roda yang lebih besar iaitu menyamai saiz roda motosikal pada sebelah sisinya.

Apa yang menarik adalah rekaan pada bahagian penyambung TMS yang mudah dipasang serta fleksibel terhadap sebarang selekoh bersudut tajam memudahkan pengguna membawanya.

TMS dipasang pada bahagian belakang motosikal dengan soket yang ‘mesra pergerakan’ ciptaan AAZBINA.

Sebagai mana yang kita ketahui penggunaan motosikal di kawasan yang tidak rata pasti menyebabkan pergerakan kenderaan tersebut akan terhoyong-hayang.

Namun melalui penggunaan soket khas yang dibina, pengguna tidak perlu lagi risau TMS akan mengganggu pergerakan motosikal mereka.

Malah ia boleh dibawa dengan mudah melalui jalan yang tidak rata serta berliku-liku.

Rekaan bagi kedua-dua ciptaan AAZBINA tersebut diilhamkan oleh Lembaga Kelapa Sawit Malaysia (MPOB) namun syarikat beliau telah dipertanggungjawabkan untuk merealisasikannya.

Bagi yang berminat boleh menghubungi Kamarudin di talian pejabat beliau 03-7846 3498 atau 03-7846 3499.

Update me when site is updated

PENGGUNAAN GenKimo dapat mengurangkan kadar kematian akibat serangan penyakit di samping sebagai makanan tambahan ternakan. – Gambar hiasan



Penggunaan bahan kimia seperti antibiotik dalam industri ternakan bagi mempercepatkan tumbesaran mencetuskan pelbagai polemik.

Justeru penggunaan antibiotik walaupun belum diharamkan di negara ini perlu dihadkan dan digantikan dengan pelbagai mikroorganisma bermanfaat (IMO).

Selain menggantikan antibiotik, IMO boleh digunakan dalam proses penapaian sisa tanaman industri bagi makanan ternakan.

Bahan berkenaan yang telah siap diproses dan dinamakan probiotik sebagai makanan tambahan ternakan mempunyai mikrob yang hidup untuk tingkatkan kesihatan hos.

“Probiotik menjadikan ternakan lebih sihat dan boleh didapati dalam bentuk cecair, pil atau serbuk mengikut keperluan,” kata Pegawai Penyelidik Program Pemakanan Ternakan, Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Ramli Mohd. Nor.

Mendapat pendidikan di Jepun, kini beliau giat menjalankan pelbagai kajian mengenai makanan ternakan.

“Penggunaan probiotik jika digunakan dengan meluas boleh menggantikan antibiotik,” katanya.

Biasanya penternak ayam menggunakan antibiotik untuk merangsang pertumbuhan sehinggakan ada negara yang mengharamkan penggunaannya.

Ayam yang diberikan probiotik kurang berlemak sama seperti ayam kampung.

Produk probiotik hasil kajian Dr. Ramli yang dinamakan GenKimo dalam bahasa Jepun bermaksud mikroorganisma setempat yang sihat.

“GenKimo merupakan sejenis produk probiotik yang mengandungi mikroorganisma hidup yang terdiri daripada bakteria kecil satu sel.

“Ini termasuk lactobacillus, yis dan bakteria fotosintetik,” katanya.

Produk GenKimo dihasilkan melalui proses penapaian dan pemencilan secara semulajadi yang menggunakan 100 peratus bahan organik tempatan.

Dr. Ramli berkata, teknologi GenKimo berasal dari Korea Selatan menggunakan hanya tumbuhan dan mikrob serta boleh diklasifikasikan sebagai produk halal.

Menggunakan bakteria berfaedah, enzim dan asid organik, GenKimo dapat membantu meningkatkan kesihatan dalam ternakan, kualiti persekitaran, daya tumbesaran tumbuhan dan ketahanan terhadap penyakit.

Bagi pelbagai aplikasi, Dr. Ramli menghasilkan tiga jenis GenKimo iaitu GenKimo 1 bagi penternakan dan tanaman, GenKimo-bio bagi makanan ternakan dan GenKimo-composeed.

GenKimo-1 bagi ternakan dalam bentuk cecair probiotik bagi minuman ternakan.

Hanya setitik diperlukan dalam minuman ternakan bagi mengurangkan bau, merawat bahagian dalaman, meningkatkan pencernaan, mengurangkan penyakit dan meningkatkan suhu semasa musim hujan.

“Kajian di ladang-ladang ternakan ruminan yang menggunakan GenKimo mendapati kadar kematian adalah rendah berbanding yang tidak menggunakannya,” katanya.

Dr. Ramli berkata, GenKimo-bio pula merupakan makanan tambahan ternakan yang mengandungi bahan pribiotik dan enzim.

“Produk yang kos efektif ini, boleh digunakan dengan selamat kerana tidak mengandungi bahan toksik.

“Ia juga berupaya meningkatkan metabolik asas, tahap kesihatan, menjamin peningkatan berat badan harian serta kecekapan kadar pertukaran makanan,” katanya.

GenKimo-bio juga dapat mengurangkan bau busuk, kos rawatan dan stres pada ternakan.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik MARDI, Dr. Wan Zahari Mohamed berkata, permintaan berlipat ganda terhadap daging dan telur memberikan impak yang besar terhadap industri ternakan.

Justeru, dengan industri ternakan yang tumbuh bagai cendawan, MARDI dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Universiti Putra Malaysia (UPM), Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) dan FELDA sebagai penganjur bersama serta disokong bersama-sama oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Pengajian Tinggi menganjurkan Persidangan Makanan Ternakan Antarabangsa buat kali keempat.

Persidangan tersebut dijadualkan pada 21 hingga 23 September ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bharu, Johor.

Dr. Wan Zahari menambah,

bagi membantu penternak, penganjur mengadakan Seminar Satelit bertajuk Membangunkan Usahawan Penternakan Berdaya Saing sempena Persidangan Antarabangsa Pemakanan Ternakan (ICAN) ke-4 pada 21 September di tempat yang sama.

“Ia juga bertujuan mempromosikan teknologi pemprosesan makanan supaya nilai pemakanan meningkat selaras dengan kadar pertumbuhan dan tumbesaran ternakan.

“Selain itu persidangan berkenaan dapat meningkatkan jaringan antara penyelidik dari dalam dan luar negara bagi polisi makanan ternakan sejajar dengan senario semasa yang berkaitan dengan industri ternakan unggas dan akuakultur.

“Ini bagi memberikan pendedahan kepada penternak mengenai isu penting dalam pengurusan dan pemakanan ternakan.

“Memberikan peluang kepada peserta mempelajari kaedah pengurusan perniagaan serta mempelajari pengalaman usahawan berjaya,” katanya.

Update me when site is updated

Warning: Unknown: open(/var/chroot/home/content/g/i/g/gigco/tmp/sess_e0bed5f17b45a9792a42493769417f4c, O_RDWR) failed: No such file or directory (2) in Unknown on line 0

Warning: Unknown: Failed to write session data (files). Please verify that the current setting of session.save_path is correct () in Unknown on line 0