HAMZAH Zainuddin (kanan) melihat kualiti batang pokok kenaf selepas turut sama menuai pokok yang telah matang di Kampung Tepong Merchong, Nenasi, Pekan, semalam.



PEKAN 1 Ogos – Kementerian Perusahaan, Komoditi dan Perladangan bercadang membuka tiga kilang memproses pokok kenaf di tiga negeri di Pantai Timur tidak lama lagi.

Timbalan Menterinya, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, cadangan itu dibuat memandangkan potensi tanaman pokok tersebut yang boleh dikomersialkan dan memberi pendapatan tambahan kepada petani.

Katanya, secara tidak langsung projek tanaman itu akan menjadi salah satu komoditi penting negara pada masa depan bagi menggantikan tembakau yang kini diusahakan secara kecil-kecilan.

“Kementerian merancang membina kilang tersebut di Pahang, Terengganu dan Kelantan bagi memproses kenaf.

“Salah sebuah kilang tersebut mungkin didirikan di Pekan kerana didapati para peserta di sini bersemangat dan berjaya mengeluarkan hasil tertinggi berbanding negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pemberian insentif dan penuaian kenaf di Kampung Tepong Merchong, Nenasi di sini hari ini.

Hamzah memberitahu, bagi melihat potensi pokok tersebut mengeluarkan hasil berkualiti, kementerian bercadang mewujudkan pusat kajian pembangunan pokok kenaf.

Katanya, setakat ini pihaknya mengadakan kajian dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi mencari dan menghasilkan benih berkualiti untuk dibekalkan kepada peserta.

Tambahnya, ini kerana pokok itu mempunyai potensi dan boleh dikembangkan khususnya dalam penghasilan fiber berkualiti untuk pasaran luar negara.

“Kita mempunyai Pusat Pembangunan Fiber di Banting yang bukan sahaja mengkaji kenaf malah tanaman lain yang mempunyai potensi pengeluaran fiber berkualiti.

“Permintaan terhadap fiber oleh syarikat multinasional cukup tinggi dalam pengeluaran barangan elektronik mereka dan dikatakan harga dijual juga lebih tinggi berbanding tanaman lain,” jelasnya.

Katanya, keyakinan kerajaan mewujudkan komoditi baru itu dibuat berikutan permintaan terhadap pokok tersebut daripada syarikat elektronik dan multinasional di negara ini.

“Ia adalah sumber baru pendapatan petani kerana mereka boleh menerima pendapatan lebih tinggi berbanding tanaman komoditi lain seperti tembakau,” katanya.

About these ads