Mac 2010


LADANG ternakan Falcon Livestock Sdn. Bhd. yang terletak di Kampung Tengah, Lenggeng, Negeri Sembilan.



PENGALAMAN membantu ayah membela lembu ketika berusia 15 tahun telah menyuntik semangat beliau untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Bertitik tolak daripada situ, Muhammad Fauzi Daud, 46, telah mencuba pelbagai perniagaan demi mencari kepuasan dalam bidang tersebut.

Antara yang sukses adalah perusahaan perabot di mana beliau akhirnya berjaya mempunyai kilang perabotnya sendiri.

Menjelang tahun 1997, beliau mencuba nasib dalam bidang penternakan pula apabila membeli 20 ekor kambing baka Jamnapari daripada Indonesia.

Selain baka itu, beliau turut menternak kambing daripada jenis Boer dan kambing kampung di samping ternakan lain seperti lembu serta rusa.

”Selepas lima tahun terlibat dalam aktiviti ini, saya merasakan adalah lebih baik saya memberi fokus kepada satu jenis ternakan sahaja.

”Ketika itu saya melihat baka Jamnapari mempunyai potensi untuk diperkembangkan kerana mempunyai susu dan daging selain mudah diternak,” katanya ketika ditemui di ladang ternakan kambingnya di Kampung Tengah, Lenggeng, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Justeru, bermula tahun 2005, beliau mula merangka strategi memperluas projek ternakannya dengan memperkenalkan konsep ladang kontrak.

Beliau yang sebelum itu telah menubuhkan syarikat United Falcon Sdn. Bhd. pada tahun 1995 memulakan operasi penternakan menerusi Projek Mini Perladangan Kontrak Kambing dan Bebiri.

Projek berkenaan menawarkan pakej bekalan baka, pembinaan kandang, kursus, pemantauan projek, mesin memproses makanan, khidmat susulan serta pembelian balik anak kambing yang berusia enam bulan dan ke atas.

Peringkat awal pelaksanaan projek itu telah mendapat sokongan daripada beberapa agensi kerajaan seperti Felda dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

Pada tahun 2005 pula, syarikat berkenaan telah dijenamakan semula sebagai Falcon Livestock Sdn. Bhd. dengan operasi penternakan telah diusahakan di ladang seluas 20 ekar yang terletak di Lenggeng, Negeri Sembilan.

Beliau yang juga Pengarah Urusan syarikat itu memberitahu, pihaknya turut menerima penyertaan daripada Kementerian Pertanian di bawah penyeliaan Jabatan Veterinar.

Jabatan berkenaan akan bertindak sebagai mentor kepada pelaksanaan Projek Mini Perladangan kontrak Sistem Pawah di kawasan bandar, pinggir bandar serta luar bandar.

Menarik mengenai konsep ladang kontrak pawah, ia menyasarkan penyertaan dari golongan miskin, miskin tegar dan juga berpendapatan rendah.

”Menerusi sistem ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan membeli sebanyak 27 ekor kambing daripada syarikat kami untuk diberi kepada penternak.

”Penternak pula hanya perlu membayar sebahagian sahaja daripada kos ternakan iaitu RM25,000 menerusi pembiayaan Tekun Nasional (Tekun) di bawah skim pinjaman kredit mikro.

”Dalam masa kontrak selama lima tahun, penternak perlu mengembalikan semula 27 ekor kambing kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar sebagai pusingan untuk diberikan kepada penternak lain pula,” jelasnya.

Cara itu akan memudahkan penternak kerana mereka tidak akan terbeban dengan hutang pinjaman sehingga seratus peratus.

Mereka turut mendapat jaminan kejayaan aktiviti ternakan dan pasti tidak akan berhadapan dengan masalah teknikal serta pasaran kerana pihak syarikat telah menyediakan modul penternakan lengkap.

Konsep pawah itu juga tidak memerlukan kawasan ternakan yang luas untuk meminimumkan penggunaan tanah dengan konsep satu ekar bersamaan 100 ekor kambing.

Dari segi makanan ternakan pula, syarikat itu memperkenalkan konsep pemakanan kos rendah yang tidak menggunakan palet menerusi bantuan penyelidikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Namun, untuk peringkat tiga bulan pertama, para penternak akan dibekalkan dengan makanan berkhasiat tinggi serta ubat-ubatan untuk mengelakkan haiwan ternakan mengalami tekanan atau stres.

”Penternak akan diajar cara mengadun makanan daripada daun, rumput yang ditanam dan rumput liar bagi memastikan ia cukup nutrien dan sesuai untuk pembiakan kambing.

”Rumput dan daun ini akan diadun dengan jerami padi serta bahan buangan industri lain yang bersesuaian.

”Kita juga ada menjalankan aktiviti penanaman rumput dari jenis Napier, Malberi dan Gliricidia. Kesemua jenis ini mempunyai kandungan protein sehingga 15 peratus,” katanya.

Dari segi pembiakan, para penternak akan dibimbing untuk membiakkan baka secara natural menggunakan pejantan.

Faktor kesihatan turut diberi keutamaan di mana pemeriksaan akan dibuat enam bulan sekali bagi memastikan ladang dan haiwan ternakan bebas daripada sebarang wabak penyakit.

”Konsep penternakan kos rendah ini mengetengahkan sistem sekuriti bio untuk keselamatan haiwan ternakan.

Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) berterusan juga dijalankan bersama Mardi serta JPV.

”Kita turut mengamalkan konsep bebas bahan buangan kerana najis-najis haiwan ini akan di kitar semula sebagai baja tanaman seperti rumput, pisang, jagung dan ubi selain dijual dalam bentuk sebagai baja organik.

”Untuk pembinaan kandang pula, ia akan menggunakan material terbuang dan masih berada dalam keadaan baik. Reka bentuk kandang juga akan berubah-ubah dan mengalami peningkatan dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Sebanyak empat jenis pakej perladangan kontrak disediakan untuk para penternak iaitu RM20,000, RM30,000, RM40,000 dan RM55,000.

Di samping itu, terdapat lagi tiga projek individu yang melibatkan kos RM100,000 di Selangor dan Negeri Sembilan untuk fungsi pengeluaran susu serta sebuah ladang di Pahang untuk pembiakbakaan.

Selepas menjalankan penternakan selama setahun, penternakan diberi jaminan memperolehi pendapatan tambahan antara RM300 hingga RM1,500 bergantung kepada pakej yang diambil.

Setakat ini sebanyak 38 projek di bawah Felda, 50 projek TEKUN , 40 projek JPV dan 30 projek individu dari seluruh negara telah dilaksanakan di bawah syarikat tersebut.

Ia tidak termasuk projek daripada kalangan Orang Asli di sekitar kawasan Kampung Tekir dan Labu di Negeri Sembilan.

Selain di Lenggeng, Falcon Livestock Sdn. Bhd. turut mempunyai cawangan ladang ternakan di Berjuntai Bestari, Selangor.

Untuk pasaran, syarikat itu mempunyai pusat jualan yang dikenali sebagai Halal Eksotik di Semenyih, Selangor untuk tujuan jualan daging, pembelian aqiqah dan juga korban

Dengan segala perkhidmatan yang disediakan, Fauzi berharap lebih banyak organisasi kerajaan dan swasta tampil bekerjasama dengan syarikatnya untuk membantu golongan susah keluar dari belenggu kemiskinan.

Menurutnya lagi, inisiatif itu juga secara tidak langsung dapat menambahkan populasi kambing di negara ini bagi memenuhi permintaan sebanyak 1.5 juta ekor setahun.

Mereka yang berminat untuk menyertai program ladang kontrak berkenaan boleh menghubungi Fauzi di talian 019-6509690 atau 03-55115233/5244.

Sangkar ikan siakap yang sedang dalam pembinaan.



BERMASTAUTIN berhampiran Sungai Kakap, Pekan, Pahang menjadikan Raja Zainuddin Raja Omar tidak ‘segan’ dengan hidupan air. Gemarkan sesuatu yang baru, Raja Zainuddin mula mencari aktiviti yang lebih mencabar sebagai mata pencarian.

“Saya mula menyusuri anak Sungai Kakap bagi meninjau potensi ikan siakap di sana.

“Malah Sungai Kakap juga mendapat namanya daripada ikan siakap,” katanya semasa ditemui di sangkar ikan siakap kepunyaannya di Sungai Kakap, Pekan, Pahang.

Lawatan ke sangkar ikan Raja Zainuddin merupakan salah satu daripada siri lawatan program Agrochallenge ke-6 Putrajaya ke Pekan anjuran Kelab Usahawan Tani Malaysia (KUAT).

Menceburkan diri dalam penternakan ikan siakap putih di Sungai Kakap pada tahu 2002, Raja Zainuddin bermula hanya dengan 16 petak.

Beliau memperoleh benih ikan siakap dengan bersaiz tiga hingga empat inci dari Terengganu dan Johor yang diletakkan dalam sangkar terapung berkeluasan 10 kaki x 10 kaki x 5 kaki.

Biasanya ikan siakap boleh dituai pada bulan ke lima atau mencapai berat lebih kurang 500 gram (g).

“Ketika ini kami sudah boleh memilih dan menggredkan ikan yang sesuai untuk dipasarkan di sekitar Kuantan.

“Kami menjual ikan segar pada harga RM12 hingga RM16 sekilogram,” katanya.

Melihat kepada usahanya yang mendatangkan hasil lumayan, beberapa rakannya berminat untuk bersama-sama dalam ternakan ikan siakap sangkar.

Pada 2005, hasil kerja keras, Raja Zainuddin bersama-sama rakannya mempunyai 60 sangkar ikan siakap.

“Melihat kepada kesesuaian kawasan dengan ikan yang dituai mendapat sambutan yang menggalakkan di sekitar Kuantan, kami menambah bilangan sangkar sehingga mencapai jumlah 60 petak.

“Menguruskan sangkar yang banyak bukan suatu kerja yang mudah tetapi dengan kerja gotong-royong antara pemilik sangkar dapat memudahkan kerja,” katanya.

Sehingga kini tapak ternakan ikan Raja Zainuddin mempunyai 234 sangkar ikan siakap di dua tapak ternakan berlainan.

Ketika diminta berkongsi mengenai masalah dan cabaran menternak ikan dalam sangkar, Raja Zainuddin berkata, dia tidak menghadapi masalah besar besar kecuali keadaan air, teritip serta pasaran ikan kolam.

Ini menyebabkan mereka tidak meletakkan sangkar yang lebih dalam bagi mengelakkan masalah teritip.

“Biasanya ikan kolam lebih murah berbanding ikan sangkar tetapi rasanya agak berlainan.

“Masalahnya apabila pengguna yang lebih gemar membeli pada harga rendah tidak mengendahkan kualiti ikan yang dibeli,” katanya.

Bagaimanapun bagi mendapatkan benih ikan yang lebih berkualiti, Raja Zainuddin bersama-sama usahawan ikan sangkar mengusahakan Sg. Kakap Enterprise pada tahun ini bagi menghasilkan benih ikan.

Selain itu Jabatan Perikanan juga menghulurkan bantuan melalui Pusat Asuhan Benih Ikan Pinggir Laut Sungai Kakap bagi memastikan benih ikan yang dihasilkan bermutu.

Menyentuh mengenai makanan ikan, Raja Zainuddin berkata, pihaknya tidak bergantung kepada pelet atau ikan baja.

“Walaupun harganya murah, kami lebih gemar menggunakan anak-anak ikan yang tidak digunakan,” katanya.

Apa yang membanggakan kolam ternakan ikan Raja Zainuddin telah menerima pelajar dari institusi pengajian tinggi untuk menjalani latihan amali.

Mohd. Akmal Ali pelajar jurusan Perniagaan Tani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) gembira dapat mendalami ilmu perniagaan dalam industri perikanan.

“Saya bercadang mendalami pelbagai ilmu dalam bidang pertanian dan perikanan sebelum menceburkan diri dalam bidang perniagaan,” katanya.

MInat Jamal Abdillah kepada arowana mendorong beliau memeliharanya dalam akuarium.



“SAMPAI bila saya nak menyanyi?,” soal Jamal Ubaidillah Ali atau Jamal Abdillah apabila ditanya mengapa dia menceburi ternakan ikan kelisa atau arowana, satu industri akuakultur bernilai tinggi.

Jamal membayangkan dia tidak mungkin menyanyi seumur hidup untuk menampung hidup meskipun kerjaya seni itu menjadikannya popular.

Dalam usia mencecah awal 50-an, sesuatu perlu dilakukan dan ternakan ikan menjadi pilihan memandangkan minatnya sudah lama di situ.

Jamal berterus terang bahawa minatnya dalam ternakan ikan telah berputik secara sekian lama.

Pada awal 1993 , dia membuka kedai haiwan peliharaan termasuk ikan akuarium di Kelana Jaya berniaga selama dua tahun sebelum menjualnya kerana kesibukan.

Namun, meskipun tidak lagi mengusahakan perniagaa kedai peliharaan, dia masih memelihara ikan sebagai satu daripada hobi.

Malah, kerana minatnya yang mendalam kepada ikan aroawana, dia mempunyai akuarium sendiri yang menempatkan ikan kesayangannya itu.

Jamal berkata, jiwanya begitu tenang melihat ikan berenang damai dalam akuarium.

Katanya, setiap kali kembali daripada konsert atau aktiviti luar, dia akan terus ‘menyapa’ ikan arowana yang dipelihara dalam akuarium.

Ikan tersebut seakan menjadi penawar kepada jiwa resahnya. Barangkali dengan kesibukan, Jamal kelihatan lebih tenang dan damai memberi makanan cengkerik di dalam akuarium tersebut.

Apatah lagi melihat ikan arowana yang mempunyai pelbagai warna menarik dan berkilauan menjadikannya teruja dan sangat menyeronokkan.

Tidak cukup dengan itu, Jamal mengorak langkah lebih jauh dengan menceburi ternakan ikan bernilai tinggi itu dengan melabur kira-kira RM360,000.

Pelaburan tersebut membolehkannya memiliki 20 ekor ikan kelisa super red di samping 20 ekor spesies Malaysia Gold.

Bayangkan seekor ikan bernilai kira-kira RM5, 000 bagi induk matang dan setipa ikan diletakkan cip sebagai pengenalan.

”Harapan saya mahu menjadikannya sumber yang menguntungkan boleh mencapai keuntungan RM1 juta jika semuanya berjalan dengan baik,” katanya.

Pelaburan itu dibuat selepas menerima pakej yang ditawarkan oleh Bukit Merah Aquaculture Sdn. Bhd. pada tahun lepas.

Ladang ternakan ikan arowana tersebut terletak di Simpang Empat, Semanggol, Perak.

Syarikat tersebut ditubuhkan sangat tepat pada masanya Malaysia memberi keutamaan kepada ternakan ikan arowana dan Bukit Merah merupakan kawasan yang sesuai untuk ternakan dan menjadi tempat asal habitat ikan arowana di negara ini.

Ternakan ikan arowana ini telah mula dijalankan di atas tanah seluas 34 ekar semenjak 2003 dan sejumlah 400 buah kolam telah dibangunkan untuk tujuan ternakan ikan arowana jenis merah dan emas.

Menurut pemilik ladang, Ahmad Don yang juga Pengarah Urusannya, ladang beliau berupaya untuk mengeluarkan 10,000 ekor anak ikan berukuran antara tujuh dan lapan sm setiap tahun.

Pasaran utama anak-anak ikan ini adalah untuk eksport ke negara seperti Jepun, Hong Kong, China, Taiwan dan Kanada.

Ladang ini telah memperolehi sijil CITES yang membolehkannya menjalankan perdagangan ikan arowana ke pasaran antarabangsa.

”Saya membuka kepada pelabur menyerrai program ini dengan harapan mereka mendapat keuntungan dengan menawarkan spesies Malaysia Gold,” katanya.

Spesies ini mendatangkan margin keuntungan lebih berbanding spesies lain.

Pakej yang ditawarkan melibatkan 20 ekor spesies Malaysian Gold bernilai RM50,000 dengan ikatan kontrak selama tujuh tahun.

Pelabur mempunyai pilihan sama ada membayar makanan ternakan sendiri selama tempoh dua tahun setengah atau 30 bulan bernilai RM2,000 sebulan atau RM60,000 selama tempoh tersebut.

Oleh itu katanya, selama tempoh ternakan 30 bulan itu, jumlah kos yang diperlukan ialah RM100,000 tetapi pelabur boleh memperoleh RM300,000 selepas itu

Pada masa sama, anak ikan yang dihasilkan di bahagi dua antara pelabur dengan syarikat BMA.

Menurut Ahmad, beliau kini mempunyai lebih 400 pelabur dengan 80 peratus merupakan bumiputera.

Bukit Merah Aquaculture Sdn. Bhd. boleh dihubungi di talian 05-8905997, emel: info@bmaquaculture.com atau layari http://www.bmaquaculture.com.

Ismail Ali bangga menunjukkan ikan arowana gold.



EMAS berenang dengan warna yang pelbagai dan dianggap membawa tuah. Mungkin itu kata-kata paling tepat menggambarkan bagaimana ikan arowana terlalu berharga.

Sebab itu, industri ini semakin menarik minat mereka yang berkemampuan untuk melabur, kerana melihat potensinya yang boleh menjana keuntungan lumayan.

Sebab itu, banyak syarikat telah menceburkan untuk membuat pelaburan sama ada sebagai perniagaan teras atau cabang perniagaan, dan jumlahnya semakin meningkat terutama di kawasan Bukit Merah.

Bagi Happy Arowana Farm, keluasan kawasan yang mencecah 200 hektar (500 ekar) itu sewajarnya dimanfaatkan sebagai kawasan pertumbuhan industri ternakan ikan arowana.

Apatah lagi menurut pemiliknya Ismail Ali, 33, kira-kira 90 peratus kawasan tersebut telah diwartakan sebagai ladang ternakan ikan tersebut.

“Kawasan ini terkenal sebagai pusat ternakan ikan kelisa kerana kesesuaian airnya dengan pH antara 6.8 dan 7.4 dari tasik berhampiran,” katanya sambil menjelaskan kesemua kawasan ternakan pada asalnya merupakan bendang sawah.

Ismail, anak jati Alor Pungsu, berhampiran kawasan Bukit Merah menceritakan, penglibatannya sebenarnya bertitik tolak daripada pengalamannya sejak kecil iaitu pada 1987 yang sering mencari ikan di Sungai Kerian.

Sehinggalah pada tahun lepas, dia menyambung minatnya meskipun terlibat dengan beberapa pekerjaan lain.

Ismail memberitahu, dia bermula secara serius setelah mengambil kira potensi industri tersebut yang berpotensi dikembangkan dan menjana usahawan tempatan.

Selepas berusaha dengan modal permulaan RM80,000 dengan berniaga menjual induk ikan kelisa, Ismail mengorak langkah lebih jauh untuk mengembangkan lagi projek ternakannya.

Katanya, ikan arowana bagaikan emas berenang dan membiak untuk menjana pendapatan. Dalam tempoh lima bulan sahaja terlibat dalam perdagangan induk, dia mampu menjana pendapatan lumayan

“Satu ketika saya mengalami kerugian kerana masalah yang tidak dijangka tetapi tidak mematahkan semangat,” katanya.

Dia membuka kolam ternakan dan menawarkan kepada mereka yang berminat untuk melabur, dan pada masa sama masih menjual induk ikan.

Pakej yang ditawarkannya tidak begitu membebankan iaitu seorang pelabur ditawarkan induk ikan arowana emas (Malaysia Gold atau spsies lain seperti high back dengan 20 induk setiap satu pakej.

Ketika ini, syarikat berkenaan menawarkan 30 buah kolam atau 30 pakej manakala fasa kedua akan menyusul yang menawarkan 70 buah kolam.

Setiap pakej menawarkan kontrak lima tahun dengan penyelenggaraan dan makanan dibiayai oleh syarikat.

Kata Ismail, hasil anak akan dipawah 50 peratus untuk syarikat dan 50 peratus lagi untuk pelabur

“Ketika ini saya menguruskan kolam yang bernilai RM4 juta,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berharap agar kerajaan dapat membantu terutama dalam memberi insentif memajukan industri tersebut, khususnya dalam bidang penyelidikan atau pembiakbakaan.

Mengulas perkara tersebut, Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Junaidi Che Ayub berkata, mana-mana pengusaha yang berminat menjalankan penyelidikan boleh memohon di bawah geran yang ditawarkan oleh agensi kerajaan berkaitan,

“Mereka perlu mengadakan kerjasama dengan institusi penyelidikan tempatan termasuk universiti untuk tujuan ini,”katanya.

Ikan arowana katanya merupakan komoditi yang unik terutama Malaysian Gold kerana ia satu-satunya spesies di dunia.

Beliau berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Najib Tun Razak mengenai tiga komoditi di beri tumpuan menjadikannya industri yang semakin popular.

“Potensinya memang besar sebab itu ramai yang menyatakan minat melabur tetapi kita (Jabatan Perikanan) menasihati mereka supaya berhati-hati dengan tawaran pakej pelaburan yang tidak meyakinkan,” katanya.

Junaidi berkata, akan ada pihak mengambil kesempatan menipu orang awam dengan menawarkan pakej menerusi seminar sedangkan mereka mungkin tidak memiliki kolam sekali pun.

“Tawaran pakej BMA (Bukit Merah Aquaculture) memang baik sebab mereka ada ladang dan kolam,” katanya.

Beliau mengingatkan demikian kerana ada kes pengusaha rumpai laut yang menipu pelanggan dengan menawarkan pakej tetapi sebaliknya tidak wujud sedangkan ada peserta telah melabur.

Info

Taksonomi Arowana

Kelas: Pisces

Order Clupeiformes

Suborder Osteoglossoidei

Famili Osteoglossidae

Genus : Scleropages sp.

Spesies: Scleropages formosus

Berdasarkan pengkelasan ini ikan dalam famili Osteoglossidae dikatakan merupakan kumpulan ikan air tawar mempunyai ciri ikan primitif. Ini berdasarkan kepada fosil yang telah ditemui dimana asal usul arowana telah wujud pada zaman kewujudan dinosour di zaman karbon kira-kira 360 juta tahun dahulu.

Antara spesies ikan air tawar lain yang terkandung dalam famili ini termasuklah

l Arapaima gigas iaitu sejenis ikan air tawar yang terbesar dan arowana perak (silver), Osteoglossum bicirrhosum dan O. ferreirai yang berasal dari Amerika Selatan.

l Arowana mutiara (Scleropages leichardtii) dan arowana hitam (Scleropages jardinii) yang berasal dari Australia juga tergolong dalam famili Osteoglossidae.

l Heterotis niloticus boleh ditemui dai bahagian barat Afrika dan Sungai Nil

Jenis arowana

Pada asalnya Arowana Asia (Scleropages formosus) terbahagi kepada tiga varieti utama iaitu Arowana Emas, Arowana Merah dan Arowana Hijau.

Arowana Emas

Terdapat dua varieti iaitu varieti emas Malaysia dan emas Indonesia.

Arowana Emas Malaysia merupakan jenis yang terbaik dan cantik berbanding varieti Indonesia.

Melalui pembiakan dalam kurungan pelbagai varieti seperti blue base gold dan high back gold telah dihasilkan. Jenis albino merupakan jenis arowana emas yang paling jarang ditemui di pasaran.

Arowana Merah

Arowana Merah berasal dari Kalimantan, Indonesia tetapi ia telah dihasilkan secara intensif di ladang arowana tempatan.

Arowana Hijau

Arowana Hijau merupakan jenis yang paling meluas taburannya di negara kita..

Ternakan ikan arowana di Bukit Merah sangat popular di kalangan pengeksport.- Gambar hiasan



BERDASARKAN laporan Jabatan Perikanan, industri ikan hiasan Malaysia telah berkembang dengan pesat.

Ini berdasarkan statistik anggaran tahun 2008 bahawa pengeluaran dari industri ikan hiasan adalah 733 juta ekor ikan.

Ini bersamaan dengan nilai RM759 juta dan ini merupakan peningkatan sebanyak 31.4 peratus (pengeluaran) dan 17.3 peratus (nilai pengeluaran) jika berbanding dengan tahun 2007.

Dalam Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) sehingga tahun ini , ikan hiasan telah di kenal pasti sebagai salah satu komoditi dan bidang usaha yang diberi keutamaan.

Salah satu spesies ikan hiasan utama negara adalah ikan arowana (Scleropages formosus) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengenal pasti industri ikan arowana sebagai salah satu industri bernilai tinggi.

Bagi memastikan pembangunan industri ikan arowana yang berterusan, Jabatan Perikanan telah mengadakan satu Pelan Pengurusan Pemuliharaan Ikan Arowana di Tasik Bukit Merah supaya habitat asal ikan arowana ini dapat dipulihara.

Di negara ini, Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar (PPPAT) merupakan sebuah pusat penyelidikan di bawah Institut Penyelidikan Perikanan, Jabatan Perikanan.

PPPAT yang terletak kira- kira 15 kilometer dari Kuala Klawang, Negeri Sembilan, PPPAT Glami Lemi yang dahulunya beroperasi di Batu Berendam Melaka mula beroperasi di Titi, Jelebu Negeri Sembilan mulai awal tahun 2007.

Fungsi utama PPPAT ini ialah menjalankan pelbagai kajian dalam bidang akuakultur termasuklah;

lMenjalankan program penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang akuakultur dan perikanan air tawar

lMengkaji, mengumpul dan menyebarkan maklumat yang berkaitan.

lMemelihara perhubungan dan kerjasama penyelidikan dengan lain-lain sektor perikanan dan organisasi

Objekitif PPPAT

lMewujudkan teknologi yang sesuai untuk pembiakan dan ternakan ikan makan dan ikan hiasan air tawar

lMewujudkan pengurusan perikanan yang rasional dan akuakultur mapan persekitaran

lMenjadi pusat rujukan dan perkhidmatan pakar

lMeningkatkan keupayaan teknikal penternak dan kakitangan jabatan melalui latihan dll.

lMeningkatkan hasil keseluruhan ikan yang berkualiti di dalam negara

lPemuliharaan biodiversiti hidupan akuatik

Untuk mencapai objektif tersebut PPPAT Glami Lemi menjalankan aktiviti penyelidikan dalam bidang bioteknologi molekul dan penentuan foligenetik ikan air tawar.

Dalam bidang bioteknologi enzim, penyelidikan ditumpukan untuk menyaring mikro organisma yang boleh berupaya mereputkan komponen-komponen tumbuhan yang tidak dapat dihadam oleh ikan.

Dalam bidang pembiakan ikan, PPPAT mencari kaedah pembiakan terkini serta menghasilkan induk, benih dan baka berkualiti.

PPPAT juga menjalankan kajian ternakan untuk pelbagai spesies ikan air tawar serta merancang program pemilihan genetik ikan untuk menambah produktiviti ternakan ikan.

Selain itu, ia penting dalam bagi mewujudkan kaedah pengurusan perikanan yang rasional dan amalan akuakultur yang mapan kepada persekitaran bagi perairan tertutup. Juga sebagai tempat rujukan dan perkhidmatan pengembangan di dalam bidang perikanan darat seluruh negara.

Ia juga menyimpan inventori spesies ikan di perairan darat Malaysia dan memulihara biodiversiti hidupan air.

Pasaran ikan arowana tertumpu kepada eksport.

Negara eksport utama ialah Jepun, Hong Kong, China, Taiwan dan Kanada.

Dr. Ramli Mohd. Noor bangga dengan kejayaannya menghasilkan GenKimo di Serdang, baru-baru ini.



Penggunaan pelbagai jenis racun dalam pertanian menyebabkan ketidakseimbangan ekosistem.

Justeru penggunaannya perlu dihadkan dan digantikan dengan pelbagai mikroorganisma bermanfaat (IMO).

Selain menggantikan racun serangga, IMO boleh digunakan dalam proses penapaian sisa tanaman industri bagi makanan ternakan.

Hasil daripada silaj berkenaan bukan saja boleh digunakan bagi makanan ternakan tetapi juga sebagai baja sekali gus menghalau serangga dan mengurangkan bau busuk.

Justeru penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menjalankan kajian menghasilkan silaj makanan ternakan menggunakan IMO.

Mendapat pendidikan di Jepun, Pegawai Penyelidik Program Pemakanan Ternakan, Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik, Dr. Ramli Mohd Noor menjalankan pelbagai kajian mengenai makanan ternakan.

Bermula sebagai kajian sampingan, akhirnya Ramli berjaya menghasilkan silaj makanan ternakan menggunakan IMO tempatan.

Produk yang dinamakan GenKimo dalam bahasa Jepun bermaksud mikroorganisma setempat yang sihat.

“GenKimo merupakan sejenis produk probiotik yang mengandungi mikroorganisma hidup yang terdiri daripada bakteria kecil satu sel.

“Ini termasuk lactobacillus, yis dan bakteria fotosintetik,” katanya semasa ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Produk GenKimo dihasilkan melalui proses penapaian dan pemencilan secara semulajadi yang menggunakan 100 peratus bahan organik tempatan.

Dr. Ramli berkata, teknologi GenKimo berasal daripada Korea menggunakan hanya tumbuhan dan mikrob serta boleh diklasifikasikan sebagai produk halal.

Menggunakan bakteria berfaedah, enzim dan asid organik, GenKimo dapat membantu meningkatkan kesihatan dalam ternakan, kualiti persekitaran, daya tumbesaran tumbuhan dan ketahanan terhadap penyakit.

penapaian nutrien asli

“GenKimo bermula dengan pemprosesan silaj bagi memaksimumkan penapaian nutrien asli yang ada dalam tanaman foraj (daun) atau sisa industri pertanian.

“Silaj merupakan proses bagi menyimpan makanan ternakan dalam tempoh tertentu,” katanya.

Secara asasnya, penapaian silaj berlaku secara biasa di bawah keadaan anerobik (tanpa oksigen) dengan kehadiran bakteria yang ada pada tanaman.

Bagaimanapun dalam bidang bioteknologi bilangan inokulan silaj atau bahan tambahan silaj akan ditambah bagi meningkatkan nutrien dan tenaga dalam silaj.

Bagi pelbagai aplikasi, Ramli menghasilkan tiga jenis GenKimo iaitu GenKimo 1 bagi penternakan dan tanaman, GenKimo-bio bagi makanan ternakan dan GenKimo-composeed.

GenKimo-1 bagi ternakan dalam bentuk cecair pribiotik bagi minuman ternakan.

Hanya setitik diperlukan dalam minuman ternakan bagi mengurangkan bau, merawat bahagian dalaman, meningkatkan pencernaan, mengurangkan penyakit dan meningkatkan suhu semasa musim hujan.

“Kajian di ladang-ladang ternakan ruminan yang menggunakan GenKimo mendapati kadar kematian adalah rendah berbanding yang tidak menggunakannya,” katanya.

GenKimo-1 untuk tanaman pula menggunakan konsep persekitaran hutan yang subur dengan mengumpulkan mikrob berguna dari sana.

Ramli berkata, aktiviti mikrob di hutan yang subur menghasilkan enzim dan asid amino yang baik untuk pereputan dan penghadaman serta meningkatkan bilangan mikrob berguna.

“Mikrob berguna ini amat baik untuk menghalang dan merencatkan bakteria jahat,” katanya.

GenKimo-1 untuk tanaman amat sesuai bagi menggalakkan percambahan, tumbesaran, penghasilan dan keranuman produk tanaman.

Selain itu produk ini juga dapat meningkatkan keupayaan proses fotosintesis tanaman serta menukar bahan organik kepada baja dengan cepat.

Produk berkenaan juga berupaya menambah daya ketahanan tumbuhan terhadap serangan serangga dan penyakit serta mampu memulih dan menambah baik keadaan fizikal, kimia dan biologi tanah.

Ramli berkata, GenKimo-bio pula merupakan makanan aditif (tambahan) ternakan yang mengandungi bahan pribiotik dan enzim.

“Produk yang kos efektif ini, boleh digunakan dengan selamat kerana tidak mengandungi bahan toksik.

“Ia juga berupaya meningkatkan metabolik asas, tahap kesihatan, menjamin peningkatan berat badan harian serta kecekapan kadar pertukaran makanan,” katanya.

GenKimo-bio juga dapat mengurangkan bau busuk, kos rawatan dan stres pada ternakan.

Produk GenKimo-composeed atau baja dalam bentuk serbuk mengandungi koloni bakteria terpilih pengurai bahan organik dan pengaktif mikrobial tanah.

Dr. Ramli berkata, produk berkenaan mampu menghasilkan baja organik bermutu tinggi serta mengekalkan mikrob efektif yang mampu memperbaiki kerosakan dan mengembalikan kesuburan fizikal, kimia dan biologi tanah.

“GenKimo-composeed juga mampu merangsang pertumbuhan yang baik serta meningkatkan daya ketahanan penyakit.

“Menyegarkan tanah dan memperbaiki agregat tanah,” katanya.

Produk berkenaan mampu dikomersialkan memandangkan ia memenangi pelbagai anugerah dalam dan luar negara seperti di Pingat Emas semasa BioMalaysia 2008 dan Pingat Perak semasa SITF 2009 di Seoul, Korea Selatan.

Pelabur rugi lebih RM100 juta sertai pelaburan sejak dua tahun lalu

KUALA LUMPUR: Kira-kira 50,000 pelabur kerugian lebih RM100 juta kerana menyertai pelaburan penternakan cacing, lintah, sarang burung layang-layang, lembu dan kafe ala kopitiam di seluruh negara sejak dua tahun lalu. Menggunakan status syarikat skim berkepentingan, lima syarikat terbabit dipercayai menyalahgunakan lesen perniagaan masing-masing, walaupun berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Pengarah Kanan Penguatkuasaan SSM, Mohammad Redzuan Abdullah, berkata dua daripada syarikat itu sudah didakwa dan beberapa lagi akan dihadapkan ke mahkamah tidak lama lagi.

Katanya, satu daripada lima syarikat berkenaan, Island Red Cafe Franchise Sdn Bhd sudah didakwa di Mahkamah Majistret Ampang atas tiga pertuduhan menipu dan memperdayakan pelabur membabitkan pelaburan RM16 juta.

Baru-baru ini, SSM menyerbu Hadhari Cattle Industry Sdn Bhd dan Hadhari Agro Holding Sdn Bhd kerana dipercayai mempengaruhi orang awam untuk melabur dalam skim ‘Projek Pembangunan Usahawan’. Difahamkan, pelabur skim itu tidak menerima pulangan seperti dijanjikan pengurusan syarikat berkenaan.

Mohammad Redzuan berkata, modus operandi lima syarikat berkenaan ialah menawarkan saham serendah RM1,000 seunit dan menjanjikan pulangan sehingga 10 kali ganda daripada nilai pelaburan, selain insentif lain seperti kupon makanan, pakej pelancongan dan kad diskaun.
Ada syarikat menawarkan pakej pembayaran pelaburan secara ansuran bulanan untuk menarik lebih ramai menyertai skim mereka, malah sesetengah syarikat menggunakan kaedah perniagaan pelbagai peringkat (MLM) dengan pelbagai strategi pemasaran, termasuk menggunakan selebriti dan VIP.

Serentak itu, SSM kini memburu syarikat yang menganjurkan skim pelaburan sedemikian atau menyalahgunakan skim berkepentingan, terutama dalam sektor pertanian dan inovasi baru.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, SSM menerima 90 aduan membabitkan skim pelaburan berkepentingan dan daripada jumlah itu, 60 adalah syarikat yang tidak tahu mereka melanggar peraturan skim berkepentingan serta diberi notis sebelum mematuhi mengikut peraturan ditetapkan SSM.

“Bagaimanapun, kebanyakan daripada 60 syarikat itu mengambil keputusan menutup operasi dan tidak meneruskan skim berkepentingan, sebaliknya meneruskan perniagaan seperti biasa mengikut Akta Syarikat 1965.

“Selain itu, 10 syarikat dikenal pasti degil dan meneruskan skim berkepentingan. Notis sudah dikeluarkan dan ada yang meminta diberi tempoh untuk mematuhi syarat ditetapkan.

“Bagi yang masih ingkar, kita sudah mengumpulkan bukti dan saksi untuk mendakwa mereka di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menerima aduan kes itu, tetapi sukar bertindak kerana kekurangan bukti sebelum menyalurkan maklumat kepada SSM bagi membolehkan tindakan diambil.

Selain polis, SSM bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Bank Negara jika kes membabitkan aktiviti pengambilan deposit haram atau melanggar peraturan Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 (Bafia), Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Beliau berkata, ramai pelabur tidak mengetahui skim berkepentingan hanya boleh dijalankan syarikat berstatus berhad (Bhd), bukannya syarikat sendirian berhad (Sdn) atau berstatus syarikat perniagaan tunggal.

“Syarikat yang menganjurkan skim berkenaan perlu mempunyai prospektus, surat ikatan amanah antara pelabur dengan syarikat dan terma serta pemegang amanah syarikat. Jika ketiga-tiga syarat tidak dipenuhi, pelabur tidak wajar menyertai skim kepentingan ini,” katanya.

Beliau mendedahkan kebanyakan syarikat yang menganjurkan skim berkepentingan berdaftar dengan SSM, namun statusnya sebagai syarikat sendirian berhad tidak melayakkannya menganjurkan skim itu.

Justeru, katanya, pengguna perlu menyemak dengan SSM jika ditawarkan mana-mana pelaburan skim berkepentingan untuk mengetahui status syarikat yang menganjurkan skim pelaburan itu.

“SSM memandang berat kes ini kerana mahu melindungi kepentingan pelabur, terutama berpendapatan rendah atau mereka yang melabur menggunakan wang pencen, gratuiti, wang simpanan dan pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB),” katanya.

Sebuah syarikat tempatan, Setia Brothers Sdn. Bhd. berjaya memanfaatkan khasiat susu kuda liar untuk membunuh dan mengekang penularan sel kanser melalui produk Niemans Feramilch Capsule.

Produk dalam bentuk kapsul itu mengandungi serbuk susu kuda liar tulen yang diperoleh daripada lebih 10,000 ekor kuda yang diternak di sebuah ladang di Irian Jaya, Indonesia.

Pengarah Urusan Setia Brothers, Norhayati A. Rahim berkata, kapsul susu kuda liar itu dikelaskan sebagai makanan tambahan yang boleh menjadi alternatif perubatan moden.

Katanya, produk itu telah diuji secara saintifik di makmal oleh penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) dan hasilnya menunjukkan sel kanser yang dititiskan susu kuda liar berkurangan kira-kira 60 peratus.

“Sejak kita memperkenalkan susu kuda liar asli dalam bentuk cecair kira-kira 12 tahun lalu, ia telah banyak membantu para pesakit kanser.

“Sejak itu kita sentiasa membuat penambahbaikan seperti menjadikannya dalam bentuk kapsul dan yang terbaru ialah pembungkusan yang lebih menarik dan penggunaan jenama Niemans Feramilch Capsule,” katanya kepada Utusan Malaysia pada MAHA 2008 di sini hari ini.

Norhayati berkata, selain sesuai digunakan penghidap kanser, kapsul berkenaan juga boleh digunakan antaranya untuk pesakit lelah, darah tinggi, denggi dan sakit sendi.

Katanya, ia juga boleh dijadikan makanan tambahan untuk semua peringkat umur dan boleh diambil satu kapsul sehari atau selang dua hari.

“Untuk bayi, kita sarankan ia diberikan kepada yang berusia enam bulan ke atas sahaja manakala bagi pesakit kanak-kanak dan dewasa ia bergantung kepada tahap keseriusan penyakit namun ia tidak boleh melebihi empat kapsul sehari,” katanya.

Sebotol Niemans Feramilch Capsule yang mengandungi 60 kapsul dijual pada harga RM198 manakala untuk pek yang mengandungi 20 kapsul dijual dengan harga RM96.40.

Setia Brothers Sdn. Bhd.

Address:
No. 52-1,Jalan 2A/27A , Seksyen 1
Wangsa Maju ,Setapak
Kuala Lumpur
Malaysia
53300
Telephone: 03 4143 8750
Fax: 03 4143 8749

http://www.niemans.com.my/

DENGAN mengenakan jeans dan kemeja lusuh di samping topi ala koboi yang tidak pernah lekang di kepalanya, Mohamed Akbar, 50, pastinya kelihatan seperti lelaki biasa di kalangan individu yang baru pertama kali terserempak atau bersua dengannya.

Namun, siapa sangka di sebalik penampilan biasa lelaki ini yang mudah mesra dengan sesiapa saja, dia yang lebih dikenali dengan panggilan Haji Mat antara penternak rusa bertaraf jutawan.

Boleh dikatakan, projek ternakan diusahakannya antara projek Bumiputera paling besar dan berjaya di negara ini.

Mohamad yang juga pemilik D’Paradise Deer Valley and Exotic Farm (D’Paradise) di Bukit Beruntung, Selangor berkata, penampilannya memang sebati dengan dirinya yang dibesarkan dalam kehidupan susah.

Ini terutama apabila mengenangkan kembali saat kecil bersama ibu bapa yang melakukan kerja pertanian dan memelihara lembu sebagai punca pendapatan.

Selepas menamatkan pelajaran di tingkatan lima, Mohamed mula belajar berdikari dengan bekerja sebagai tukang kasut.

“Jika iimbas semula kisah hidup ini, saya memang bukan berasal daripada keluarga senang, malah pendidikan yang saya terima juga tidak sampai ke menara gading.

“Sejak tamat persekolahan, pekerjaan pertama yang saya lakukan sendiri ialah menjadi tukang kasut dan faham-faham sajalah, hasil daripada kerja itu tidaklah lumayan,” katanya.

Menceritakan bagaimana dia boleh berkecimpung dalam bidang penternakan rusa yang pastinya asing bagi rakyat di negara ini, Mohamad berkata, segala-galanya bermula 10 tahun lalu apabila dia mula membeli sebanyak 20 rusa baka Timorensis yang diimport dari Australia.

Pada waktu itu dia sudah empat tahun menjalankan penternakan lembu dan kambing sebaik berhijrah ke Kuala Lumpur pada 1996.

Namun, Mohamed mendapati ternakan rusa yang baru cuba disertainya pada waktu itu menunjukkan peningkatan lebih memberangsangkan berbanding ternakan lembu dan kambing yang lebih rumit untuk diuruskan.

“Ketika saya berjinak-jinak dalam ternakan lembu dan kambing, memang boleh dikatakan ternakan yang saya usahakan itu berjaya, tetapi yang membuatkan saya berubah fikiran dan beralih kepada ternakan rusa adalah selepas mendapati rusa yang saya baru beli itu tidak memerlukan perbelanjaan besar.

“Penternakan rusa mampu menghasilkan kadar pulangan lebih cepat tanpa perlu menjual dagingnya seperti lembu atau kambing,” kata Mohamed.

Membuatkan dia lebih tertarik mengenai rusa adalah kerana tempoh matang haiwan berkenaan lebih cepat berbanding ternakan lain iaitu hanya dalam masa 18 bulan.

Katanya, dalam tempoh itu rusa betina mampu bunting manakala rusa jantan pula mula mengeluarkan tanduk atau lebih dikenali sebagai velvet, sekali gus membantu pengeluaran hasilnya.

“Ini yang ramai orang tidak tahu mengenai rusa. Kebanyakan orang menganggap rusa sebagai liar dan sukar diternak, tetapi haiwan ini sebenarnya lebih jinak dan sangat sukar mengamuk berbanding lembu atau kambing.

“Lebih istimewa lagi, tanduk yang tumbuh pada rusa jantan boleh dibuat ubat dan jika dijual, harganya saja boleh mencecah hingga RM1,000 sekilogram tanpa perlu mengorbankan rusa berkenaan,” katanya.

Selepas tujuh tahun melihat potensi ternakan itu, Mohamed nekad menjual semua ternakan lembu serta kambing yang diusahakannya dan beralih terus kepada penternakan rusa tanpa mahu menoleh ke belakang.

Sehingga kini dia mampu tersenyum bangga apabila baka rusa Timorensis yang dulunya berjumlah 20 ekor kini bertambah sehingga 1,500 ekor membabitkan 600 ekor induk betina dan 300 induk jantan.

Sementara itu, bakinya membabitkan 300 anak rusa Timorensis jantan dan 300 betina.

Selain baka itu, Mohamed mempunyai empat baka rusa berlainan membabitkan baka rusa tempatan dikenali sebagai Sambar sebanyak 70 ekor, Axis-axis iaitu baka rusa dari India (15), serta dua baka rusa dari Amerika Syarikat iaitu Fellow (10) dan Nilgai (13).

Dengan jumlah rusa melebihi 1,500 ekor, dia berkata, kadar pulangan daripada tanduk rusa yang dijual, termasuk daging, mampu mencecah hingga RM500,000 setahun.

Mohamed berkata, semua bahagian rusa sememangnya boleh menjadi sumber pendapatan utama bagi penternak haiwan berkenaan. Selain tanduknya yang berharga, kulit serta tengkoraknya mempunyai nilai di pasaran.

“Dagingnya kalau dijual kebiasaannya mencecah hingga RM80 sekilogram, manakala kulitnya pula mencecah hingga RM500 sekilogram. Tengkorak kepalanya berharga kerana ia selalu dijual dengan kadar harga RM800 setiap satu sebagai perhiasan,” katanya.

Menurutnya, faktor kawasan menjadikan rusa mudah diternak serta dibiakkan berikutan tidak memerlukan kawasan besar.

Katanya, haiwan berkenaan boleh dibiakkan cukup sekadar dengan meletakkannya di kawasan untuk memudahkan bergerak, sekali gus menyenangkan kerja memberi makanan.

COKLAT produk Perlis diusahakan dua usahawan muda lepasan siswazah, Wan Shaharuni Wan Ali dan Nor Hanani Mokhter nyata membanggakan.

Graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) ini juga berhasrat menjadikan usaha mereka itu sebagai salah satu tarikan pelancong ke negeri yang terkenal dengan pengeluaran mempelam harumanis.

Mereka mengusahakan produk itu hampir dua tahun lalu menggunakan jenama Chocolike yang kini semakin mendapat permintaan memberangsangkan termasuk di pasaran Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Chocolike dihasilkan menggunakan seratus peratus koko asli gred A iaitu mentega koko untuk coklat jenis pralin, truffle dan crunchy. Coklat lain seperti lolychoc pula dihasilkan dengan ramuan koko gred B atau koko kompaun yang dicampur dengan lemak sayur-sayuran.

Menurut Wan Shaharuni, 33, selain coklat susu, Chocolike mempunyai pelbagai jenis perisa seperti mentega kacang, kacang hazel, strawberi serta buah campuran.

“Kami kini mengkaji untuk menghasilkan coklat berperisa mangga terutama mangga keluaran Perlis,” katanya.

Menerusi syarikat Citra Jentayu Enterprise, Chocolike dipasarkan melalui ejen yang dilantik di seluruh negara selain individu yang menempah melalui laman web http://www.chocolike.com.my.

Akhir bulan ini, pengeluaran coklat berkenaan akan dilakukan sepenuhnya di bengkel lengkap dengan pelbagai mesin pemprosesan coklat di Pusat Perantis Bukit Temiang, Beseri dengan mendapat bantuan daripada Jabatan Pertanian.

“Pengeluaran coklat ini dihasilkan menggunakan biji koko tempatan yang diperoleh daripada Lembaga Koko Malaysia (LKM).

“Coklat keluaran syarikat kami akan mendapat pemantauan yang rapi daripada pihak berkaitan terutama daripada segi pengiktirafan halal, kod bar dan pembungkusan.

“Kini, kami menggunakan kira-kira 150 kilogram bongkah coklat sebulan. Ia mencecah 250 kilogram sebulan apabila tiba musim perayaan namun apabila bermula operasi di pusat perantis itu, kami dijangka menggunakan 1,500 kilogram coklat sebulan,” katanya.

Menurut Nor Hanani, 31, pembabitan mereka dalam industri berkenaan setelah mengkaji kecenderungan penggemar coklat di negara ini terutama umat Islam yang kini mempunyai kesedaran tinggi mengenai produk coklat halal.

Kedua-dua usahawan berkenaan sebelum ini meletak jawatan sebagai eksekutif di syarikat automobil terkemuka semata-mata mengejar cita-cita menjadi usahawan coklat di Perlis.

Kata Nor Hanani, semuanya bermula pada akhir 2008 selepas dia dan Wan Shaharuni mengikuti kursus asas pembuatan coklat anjuran LKM selama empat hari di Bangi, Selangor.

“Selepas itu, kami mengambil keputusan berhenti kerja dan memulakan perniagaan coklat melalui bantuan LKM yang menyediakan bahan mentah iaitu koko selain pemantauan agensi itu terhadap kualiti coklat.

“Selepas berpuas hati dengan maklum balas orang ramai, kami memulakan perniagaan ini dari rumah dengan modal sendiri,” katanya.

Usaha mereka turut mendapat perhatian daripada Jabatan Belia dan Sukan yang memberi sumbangan untuk membeli peralatan acuan coklat tahun lalu melalui dana usahawan muda.

Mereka juga menerima bantuan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) yang menjalankan ujian makmal bagi mendapatkan fakta nutrisi dan pelekat.

Laman Berikutnya »

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 160 other followers