GERIK 7 Ogos – Sebuah syarikat bertaraf bumiputera, Eco Tilapia Sdn. Bhd. (ETSB) melabur sebanyak RM4.1 juta bagi mengusahakan ternakan ikan dalam sangkar di Tasik Temenggor di sini.

Pengarah Urusan ETSB, Mohd. Yussof Kassim, berkata, buat masa ini, syarikat mempunyai 600 sangkar bersaiz 96 meter padu setiap satu yang mampu mengeluarkan kira-kira 1,200 tan ikan tilapia merah dalam satu musim.

Beliau berkata, syarikat juga menghasilkan dua tan ikan tilapia setiap hari untuk dihantar kepada pelanggan tetap sekitar Gerik, Lenggong dan Ipoh.

”Kami juga turut menghantar bekalan ikan segar ke pasaran Singapura menerusi pembekal yang dilantik,” katanya ketika ditemui di kawasan ternakan ikan milik Eco Tilapia di Tasik Temengor, Banding, di sini semalam.

Mohd. Yussof berkata, ladang ternakan ikan dalam sangkar berkenaan beroperasi sejak 1 Ogos 1988 dengan 20 unit sangkar terbiar milik Jabatan Perikanan Perak.

Menurutnya, hasil tunjuk ajar pihak Jabatan Perikanan, beliau mula belajar menternak ikan tilapia merah dan berjaya mengeluarkan hasil dalam masa tiga bulan.

“Semuanya bermula sekadar suka-suka dan tambahan produk kepada pelancong yang datang ke chalet yang saya usahakan di Pulau Tikus, Tasik Temengor.

“Berikutan kejayaan projek ekopelancongan itu, saya berazam untuk memperluaskan lagi ternakan dalam sangkar.

”Pada masa itu, saya merupakan pengusaha pertama projek ternakan ikan tilapia merah dalam sangkar,” katanya.

Menurut Mohd. Yusoff, selain membantu kerajaan meningkatkan pengeluaran sumber bekalan makanan negara, projek berkenaan turut menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Katanya, sehingga kini, seramai 12 penduduk di sekitar Gerik dan Tasik Temengor diambil bekerja di syarikat berkenaan bagi memastikan pengeluaran produk berada dalam keadaan baik dan mampu memenuhi permintaan.

About these ads