Februari 2009


SEMUA orang apabila memperkatakan mengenai projek pertanian akan menggambarkan tanah ladang yang luas, mesin-mesin hebat merata tanah, anak-anak pokok spesies terkini menunggu hari untuk ditanam dan juga hasilnya yang berpotensi untuk pasaran eksport.

Maka istilah-istilah gah dan besar digunakan untuk menggambarkan kehebatan projek-projek pertanian seperti membawa pertanian tempatan ke persada dunia, pertanian sehebat sektor konglomerat dan sebagainya.

Usaha mengkomersialkan pertanian itu memang baik tetapi tentu sukar bagi mereka yang mempunyai tanah sekangkang kera dan sumber kewangan terhad untuk menjadi ‘gergasi pertanian’ seperti dikehendaki kerajaan.

Sehubungan itu, bagi mengelakkan golongan ini terpinggir, pelbagai insentif, inisiatif dan projek diperkenalkan bagi membolehkan pengendali projek-projek pertanian mini juga boleh meningkatkan pengeluaran mereka dan memasarkan produk dengan lebih cekap.

Bagi meneruskan kesinambungan usaha membentuk lebih ramai usahawan tani berjaya, Seminar Pertanian Bestari 2009 – Jana Hasil dari Dunia Tani akan diadakan 21 Mac ini di Institut Integriti Malaysia, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Berbeza dengan tahun 2008 yang menekankan projek berskala mega, pemilihan projek-projek pertanian pada tahun ini menekan beberapa aspek utama iaitu pertama, projek yang mampu berdaya saing.

Kedua, projek yang berskala mini tanpa memerlukan modal yang besar, ketiga, projek yang mempunyai pasaran dan permintaan tinggi dan terakhir, projek yang dapat memberi pulangan yang memberangsangkan.

Usaha ini dilihat bertepatan dengan senario ekonomi dunia yang semakin merudum. Sehingga Februari tahun ini, puluhan ribu pekerja sektor swasta di negara ini telah diberhentikan sama ada secara sementara ataupun kekal.

Angka tersebut akan terus meningkat dari masa ke semasa. Bukan setakat kehilangan pekerjaan malah harga barang-barang runcit dan kos hidup juga tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan yang positif.

Bagi individu yang terlibat dalam pemberhentian kerja tersebut, sektor pertanian boleh menjadi alternatif untuk membantu diri, selain mengadakan perniagaan kecil-kecilan.

Sehubungan itu, Kumpulan Perintis yang merupakan penganjur seminar melihat masyarakat perlu mengambil mengambil kesempatan dari dunia pertanian yang agak kalis kegawatan kerana semua manusia terpaksa makan.

Melalui projek Pertanian Bestari 2009, Perintis menyarankan dan menggalakkan sekurang-kurangnya sebuah keluarga mempunyai satu projek pertanian berskala sederhana atau mini untuk menambahkan pendapatan.

Kali ini, empat projek pertanian mini iaitu ternakan keli biotek, ternakan lintah, tanaman cendawan dan tanaman serai peha ayam akan diketengahkan setelah mengambil kira faktor hasil yang memberangsangkan daripada projek tersebut.

Seramai empat orang usahawan tani berjaya yang bernaung dan dipantau di bawah projek tani Kumpulan Perintis telah dikenalpasti bagi berkongsi peluang perniagaan ini.

Di antara kelebihan utama bagi mereka yang menyertai seminar ini adalah berpeluang mempelajari teknik ternakan ikan keli dan lintah serta teknik tepat penanaman cendawan dan serai peha ayam dalam sehari secara tepat dan sistematik.

Manfaat lain termasuk pakej pertanian mini ini hanya dibuka kepada peserta seminar sahaja, setiap projek pertanian yang dipilih akan dipantau oleh para mentor secara percuma dan tiada yuran kursus lanjutan yang akan dikenakan.

Antara tujuan seminar tersebut adalah para peserta dapat membuat perbandingan dan pemilihan yang tepat selepas mendengar dan mempelajari kesemua projek mini yang disediakan oleh mentor-mentor yang terpilih.

Selain mendapat tunjuk ajar, mentor juga akan berkongsi cara pemasaran dan pengalaman mengusahakan projek-projek tersebut.

Kebanyakan projek pertanian tersebut dapat dimulakan dengan modal serendah RM1,600 – sehingga RM3,000 mengikut jenis projek yang ingin dimasuki oleh individu.

Ketua Projek Pertanian Bestari, Kumpulan Perintis, Muhd. Hilmy Hamzah, memaklumkan, peserta individu perlu membayar RM180 seorang. manakala berkumpulan iaitu dua peserta dan ke atas perlu membayar RM150 setiap orang.

Di bawah rancangan Pertanian Bestari, Perintis berhasrat memperluaskan agenda pengukuhan ekonomi rakyat ke tanah rancangan FELDA, penduduk miskin tegar dan koperasi-koperasi yang ingin menjayakan projek untuk ahli-ahli mereka.

Seminar ini turut dijayakan dengan penerangan khas daripada TEKUN Nasional sebagai pembiaya paling efektif membantu pengusaha yang ingin memulakan sesuatu projek pertanian.

Sebarang maklumat lanjut dan pendaftaran diri boleh menghubungi talian 03-6187 3796 atau 019-6634527 atau layari www.agrohub.net.

ag_021

Sebahagian peserta Bengkel Fertigasi Siri I teruja dengan tanaman cili di Mambau, Negeri Sembilan.



BENGKEL Usahawan Fertigasi Mega-Utusan dengan kerjasama Agro Bank (Siri 2) bermula hari ini sehingga 1 Mac ini.

Peserta yang berjaya diterima pada siri kali ini berpeluang mendapat bimbingan beberapa topik seperti Pengenalan Skim Dari Agro Bank, Rancangan Perniagaan dan Strategi Pemasaran.

Topik lain termasuk PengenalanTeknologi Fertigasi, Sistem Pengairan Fertigasi, Penanaman Secara Fertigasi, Kawalan Musuh Tanaman dan Latihan Perniagaan

Latihan Amali akan dijalankan di Tapak Projek, Kampong Batu 3, Mambau, Negeri Sembilan, manakala bengkel teori diadakan di Pusat Latihan Agro Bank (Abadi) Bangi, Selangor.

Memandangkan sambutan yang menggalakkan, pihak penganjur akan mengadakan bengkel berikutnya yang dijadualkan pada 20 hingga 22 Mac.

Menurut Pengurus Abadi, Abdul Shukor Abdul Jabbar, peserta yang telah menghantar borang penyertaan diharap bersabar kerana peserta dihadkan kepada jumlah yang kecil.

Hasil maklum balas yang diperolehi oleh peserta bengkel siri pertama yang lalu, rata-rata peserta berpuas hati topik-topik yang diberikan amat berfaedah selain latihan amali di tapak bengkel.

Beliau memujikan peserta lalu yang memberi tumpuan kepada semua topik-topik yang disediakan.

Orang ramai yang ingin menyertai bengkel ini dikehendaki menghantar butir-butir peribadi ke:

Urusetia Bengkel Usahawan MEGA-Utusan-AgroBank, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Kompleks Sri Utusan, Lot 6, Jalan P/10,Kawasan Perusahaan Bangi, Seksyen 10, 43650 Bandar Baru Bangi,Selangor Darul Ehsan dan fakskan di nombor berikut 03-89243911.

Sebarang maklumat mengenai bengkel itu boleh menghubungi urusetia di talian 012-2846811 (Rosli).

ag_0111

Dr. Mahamud Sahid antara pakar dalam teknologi fertigasi tekun membimbing bakal usahawan menggunakan sistem tersebut.



Sektor pertanian di negara ini telah melalui pelbagai perubahan bermula dengan kaedah konvensional hinggalah kepada pengeluaran yang memerlukan teknologi tinggi bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti tanaman yang dihasilkan.

Salah satu daripadanya yang mendapat tempat di kalangan petani moden masa kini adalah sistem fertigasi pengeluaran tanah rendah.

Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Mahamud Shahid berkata, sistem fertigasi merupakan pengeluaran tanaman tanpa tanah yang menggabungkan pengairan dan baja dalam satu sistem.

“Biasanya diletakkan di bawah struktur pelindung tanaman bagi menjamin pengeluaran hasil tinggi dan berkualiti serta menjadi alternatif terhadap sistem konvensional,” katanya semasa ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Umumnya hanya beberapa jenis sayur-sayuran dan buah yang mempunyai nilai pasaran tinggi seperti cili merah, tomato, timun, zukini, terung, melon dan strawberi.

Tujuan asal fertigasi adalah untuk mengelakkan tanaman daripada jangkitan penyakit akar seperti Pythium, Fusarium, Rhizoctonia dan penyakit layu bakteria yang kebanyakannya bawaan tanah.

Walaupun ramai yang mengatakan kaedah fertigasi melibatkan kos yang tinggi tetapi sebenarnya kos permulaan dapat diatasi selepas satu musim selain mengurangkan penggunaan air dan baja.

Sementara itu penggunaan tenaga kerja yang minimum dengan penggunaan alat pengatur masa automatik mengurangkan kos.

Biasanya kos pada musim pengeluaran pertama adalah lebih tinggi berbanding dengan musim ke dua dan seterusnya.

Pada musim kedua dan seterusnya, kos menjadi rendah kerana medium masih boleh digunakan sehingga tiga atau empat pusingan jika diuruskan dengan baik.

Biasanya selepas satu pusingan, medium akan dirawat racun kulat sebelum digunakan semula pada pusingan akan datang.

Sehingga kini sejak fertigasi dimulakan terdapat ramai petani yang menggunakan teknik tersebut dalam tanaman mereka.

Dr. Mahamud berkata, fertigasi jika dilakukan dengan teliti dapat menjana pendapatan lumayan kepada petani.

“Sejak akhir-akhirnya kajian yang dijalankan mendapati halia sesuai ditanam secara fertigasi kerana boleh ditanam di tempat yang sama tanpa risiko dijangkiti dengan penyakit akar.

“Persekitaran dan suhu juga boleh dikawal dengan kaedah fertigasi,” katanya yang menggunakan baja khusus bagi rizom.

Halia yang ditanam secara fertigasi hanya mengambil masa empat setengah bulan bagi menghasilkan sehingga 14 kilogram rizom dalam satu polibeg.

halia

PENGENALAN

Halia dikategorikan sebagai sayuran umbisi .Ia juga merupakan tanaman herba atau rempah.Tanaman halia dikatakan berasal dari Asia Tenggara telah lama di kenali di Asia dan kini di seluruh dunia.Halia digunakan sebagai bahan perasa dalam pelbagai masakan.Halia boleh di proses untuk pengeluaran minyak dan hasil ekstrak oleoresin.Minyak halia boleh di jadikan bahan perasa minuman buah-buahan,confectionary kosmetik dan ubatan. Oleoresin pula boleh digunakan untuk bahan perasa minuman tetapi lebih untuk ubatan. Ubat-ubatan dari halia boleh mengawal penyakit antaranya demam,batuk,sesak dada,pleurisy,cramps,migrane, sengugut,sakit kepala,sakit gigi,sakit tulang,sakit perut dan sakit gastrointestinal. Halia ditanaman dikawasan tropika meliputi tanah ketinggian 1500 meter dari aras laut dan boleh hidup dalam berbagai keadan cuaca dan jenis tanah.

ANALISA SITUASI

2.1 Analisa Produk

2.1.1 Jenis Dan Varieti
Halia atau nama botaninya, Zingiber officinale Roscoe dari famili Zingiberaceae digunakan sebagai rempah perasa dan ubatan. Ciri-ciri rizom halia seperti kandungan serabut, hasil dan pungency (pedas) berbeza dari varieti ke varieti.

Terdapat dua jenis di Malaysia, iaitu :
- Jenis Bentong rizom besar dan (Halia Bkt. Tinggi) berwarna pucat keputihan
- Jenis Tanjung Sepat rizomnya berbentuk (Halia Indonesia) panjang dan berwarna kekuningan muda

2.1.2 Benih
Halia ditanam daripada keratan rizom berumur 9 bulan. Pada masa kini benih hanya boleh diperolehi daripada pengusahapengusaha halia di mana sebahagian daripada halia yang dituai disimpan untuk dijadikan benih. Benih/rizom halia pada masa kini dijual pada harga RM4.00/kg. Sebanyak 1,800 kg rizom segar adalah diperlukan untuk seluas 1 hektar.

2.1.3  Zon Pengeluaran
Di Malaysia, negeri-negeri pengeluar utama halia ialah Sabah, Sarawak, Pahang, Selangor dan Johor. Di Negeri Pahang, kawasan utama pengeluaran halia ialah di Bentong. Di Negeri Sabah, kawasannya ialah di Keningau dan Tambunan. Keluasan tanaman di semua negeri adalah seperti tercatat di bawah :

Jadual 1 : Keluasan tanaman halia mengikut negeri (1996 – 2000)

NEGERI

KELUASAN (HEKTAR) MENGIKUT TAHUN

1996

1997

1998

1999

2000

Johor

27.0

53.0

88.0

71.0

55.2

Kedah

0.4

-

-

-

-

Kelantan

20.0

13.0

17.0

21.0

15.7

Melaka

-

-

-

-

-

N.Sembilan

1.0

2.0

2.0

1.0

0.3

Pahang

47.0

80.0

115.0

117.0

91.8

P.Pinang

-

-

-

-

0.6

Perak

-

1.0

-

-

6.0

Perlis

-

-

-

1.0

-

Selangor

448.0

337.0

94.0

72.0

72.0

Terengganu

-

-

-

-

2.0

Sumber : Jabatan Pertanian
• Tiada Maklumat

Pada tahun 2000, jumlah pengeluaran halia dari kawasan yangmengeluarkan hasil (225.7 hektar) di Semenanjung Malaysia dilaporkan sebanyak 1,859.3 metrik tan.

2.1.4 Keperluan Tanah Dan Cuaca
Halia memerlukan taburan hujan sebanyak 200 – 260 cm setahun dan cuaca yang panas. Halia sesuai ditanam dipelbagai jenis tanah yang mempunyai saliran baik, kaya dengan bahan organik serta gembur dan peroi, dan tidak menyekat tumbesaran rizom. Halia hidup subur dalam keadaan pH 5.0 – 6.5. Tanah yang paling sesuai ialah yang bertekstur lom dari segi membekal nutrien, air dan udara kepada akar tanaman. Ia juga boleh ditanam di tanah gambut setelah ianya diperbaiki dengan sistem pengaliran yang efisien, pengapuran sehingga pH tanah melebehi 5.0, dan pemberian baja makro dan mikro yang mencukupi. Halia juga sesuai di tanam dikawasan rendah di mana suhunya 22-34°C dan mempunyai purata taburan hujan sebanyak 2,000-2,500 mm/tahun.Masa yang paling sesuai untuk menanam ialah pada bulan Februari hingga Mac, iaitu pada musim permulaan hujan.

2.1.5 Amalan Kultur

Tanah perlu dibajak dan digembur sebelum menyediakan batas berukuran 70 cm lebar dan 25 – 30 cm tinggi. Bagi tanah yang berasid, kapur (GML) sebanyak 2.5 tan/ha ditabur semasa tanah dibajak. Bagi tanah mineral, baja organan sebanyak 4 tan/ha digaulkan dengan tanah di atas batas sebelum menanam.

Halia ditanam daripada keratan rizom berumur 9 bulan. Rizom disimpan di tempat redup selama 2 minggu untuk menggalakkan percambahan tunas. Selepas itu, rizom dikerat 5 cm panjang (sekurang-kurannya 2 mata tunas). Sebayak 25 – 30 keratan boleh didapati daripada 1 kg rizom. Sebanyak 1800 kg rizom segar adalah diperlukan untuk seluas 1 hektar.

Keratan-keratan rizom perlu direndam dalam larutan racun kulat seperti Benomyl, dan dibiarkan kering sebelum ditanam. Selepas ditanam, naungan perlu disediakan untuk pucuk-pucuk baru yang muncul dalam masa 2 –4 minggu selepas menanam. Jarak tanaman yang disyorkan ialah 45 cm di anatara baris dan 30 cm di antara pokok. Kepadatan pokok 45,000 sehektar.

Baja kapur sebanyak 2.5 tan/ha ditabur semasa membajak tanah, sekiranya pH kurang dari 5.Kadar pembajaan yang disyorkan adalah seperti berikut :

Jadual 2 : Jadual pembajaan tanaman halia

PUSINGAN

MASA

JENIS BAJA

KADAR/HA

1

Sebelum menanam

Baja Organan

4 tan

2

4 minggu

NPK 12:12:17:2

300 kg

3

8 minggu

NPK 12:12:17:2

300 kg

4

12 minggu

NPK 12:12:17:2

300 kg

5

16 minggu

NPK 12:12:17:2

300 kg

6

20 minggu

NPK 12:12:17:2

300 kg

Sumber : Jabatan Pertanian.

Untuk mengelakkan pertumbuhan rumpai, racun herba pracambah seperti Alachlor atau Atrazine disembur pada kadar 4 lit/ha ke atas batas, sebaik sahaja keratan-keratan halia ditanam. Selepas itu,dua pusingan merumput secara manual di atas batas diperlukan. Rumpai di sekeliling batas boleh dikawal dengan penyemburan racun herba seperti Glufosinate ammonium. Penimbunan tanah di pangkal pokok perlu dilakukan semasa merumput, supaya rizomrizom tidak terdedah Serangga dan penyakit utama yang menyerang tanaman halia ialah :

Jadual 3 : Pengurusan serangga dan penyakit

JENIS SERANGGA/PENYAKIT

KAWALAN

1. Ulat Pengorek

(Udaspes folus)

Sembur racun Permethrin

2. Layu Bakteria

(Pseudomonas solanacearum

Musnahkan pokok yang berpenyakit

Gunakan benih yang sihat

Tentukan saliran yang baik

3. Bintik Daun

(Phyllosticta zaingibera)

Sembur racun kulat Benomyl

Sumber : Jabatan Pertanian

Pada masa sekarang, pengeluaran halia masih dihasilkan secara konvensional oleh pengusaha-pengusaha. Walau bagaimanapun, pengeluaran sayur-sayuran termasuk halia adalah digalakkan supaya diusahakan secara organik dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan.

Untuk mendapatkan journal penuh, sila download disini:

pelan-pasaran-komoditi-halia

Sudah tentu, peluang untuk menyertai Desaraya dibuka kepada semua peniaga pasar tani yang berkeupayaan dan mempunyai modal sekurang-kurangnya RM50,000.

PENGENALAN
Pembangunan pesat Pasar Tani yang mencapai kemuncaknya pada tahun 1995 dengan bilangan operasi sebanyak 160 tapak telah mendorong FAMA memperkenalkan konsep Desaraya.

Desaraya adalah sebuah premis jualan yang kekal atau tetap yang menawarkan berbagai barangan runcit seperti di pasar mini, yang dijalankan oleh gabungan sekumpulan peniaga pasar tani.

Fungsinya ialah melatih peserta pasar tani dalam bidang pengurusan kedai runcit secara menyeluruh, dengan tujuan mendorong mereka membuka kedai runcit sendiri.

Sehingga kini, sebanyak 16 buah Desaraya telah dibangunkan dan berjaya menempatkan 62 orang peserta Pasar Tani dengan kemampuan luang pasaran purata sebanyak RM1 juta sebulan.

TUJUAN

*Membantu kaum Bumiputera menceburi bidang pemasaran hasil pertanian
*Memberi latihan kepada peserta Pasar Tani menceburi bidang peruncitan dan pemborongan di premis kekal.
*Memudahkan kerja-kerja penggredan, pembungkusan dan amalan pemasaran yang baik melalui kemudahan peralatan yang disediakan di premis perniagaan kekal.

SKOP PERKHIDMATAN FAMA

* Penyediaan peluang perniagaan dalam bidang peruncitan
* Khidmat nasihat
- kursus – pemadanan perniagaan (business matching)
- maklumat pasaran – direktori perniagaan
- program mentor-mentee
* Khidmat urusetia
* Maklumat harga panduan
* Panduan susun atur dan persembahan produk
* Perkhidmatan bagi mendapatkan premis untuk disewa oleh peserta
* Promosi produk baru
* Hak mengguna imej Desaraya berupa papan tanda, susun atur premis perniagaan dan pakaian seragam

KUMPULAN SASARAN

* Semua peserta pasar tani yang berkeupayaan dan mempunyai modal sekurang-kurangnya RM50,000

* Usahawan dari kalangan kategori perniagaan yang berbeza (proses, sayur, buah, ikan, daging, barangan runcit)

KELAYAKAN

Kelayakan : 18 tahun – 60 Tahun
Permit : memiliki permit sah daripada FAMA
Bayaran Tapak : Pemilik tapak dikehendaki membayar sebelum perniagaan mula
Barang Jualan : Menjual hasil- hasil pertanian/ barang sendiri atau mendapat bekalan daripada FAMA
Peniaga Makanan : Perlu hadir kursus pengendalian makanan & suntikan demam kepialu (typhoid)
Pertukaran permit : Peserta hanya boleh mewariskan permit perniagaan kepada waris yang sah sahaja dengan kelulusan pihak FAMA

Lain- lain : Sekurang-kurangnya dua usahawan dalam satu premis perniagaan

CARA MEMOHON
Penyertaan Desaraya hanya diberikan kepada peserta Pasar Tani sahaja. Pemilihan peserta Pasar Tani bagi menyertai Desaraya akan dibuat oleh FAMA berdasarkan prestasi peserta.

wu_0112

ISMAIL Saad mengumpul baja vermikompos dari hasil cacing di pusat ternakannya di Balik Pulau, Pulau Pinang, semalam.



BALIK PULAU 24 Feb. – Apabila disebut saja perkataan cacing, ramai yang rasa geli membayangkan haiwan invertebrat itu yang lembik dan hidup di dalam tanah.

Namun cacing sebenarnya haiwan yang amat berguna dalam bidang pertanian terutama najisnya di samping fungsinya menggemburkan tanah bagi pengudaraan dan saliran.

Kajian mengenai peranan cacing komersial dalam pertanian juga bermula sejak 1998.

Ketika itu Jabatan Pertanian mula mengimport tiga spesies cacing dari Australia iaitu cacing Lumbricus rubellus (cacing merah), Eisenia fetida (cacing harimau) dan Perionyx excavatus (cacing biru) kerana spesies tempatan sukar ditemui dalam jumlah yang banyak.

Kajian mengenai pembiakan cacing atau vermes bagi menghasilkan vermikompos (baja) yang baik untuk tanaman juga giat dilakukan pelbagai pihak.

Vermikompos merupakan bahan organik hasil daripada proses atau aktiviti mikrobial cacing tanah ke atas bahan organik mentah seperti sisa-sisa pertanian dan ternakan.

Menyedari potensi dan hasil lumayan daripada bidang penghasilan baja vermikompos mendorong seorang guru, Ismail Saad, 43, menghabiskan masa kira-kira dua tahun hanya untuk belajar tentang tabiat cacing.

Bapa kepada tujuh anak itu berkata, sedikit pun hatinya tidak menyesal terpaksa memperuntukkan masa yang lama hanya untuk belajar tentang tabiat invertebrat itu kerana ilmu yang diperoleh mampu menjadikan vermikompos yang lebih baik.

”Saya bermula dengan hanya dua kotak iaitu pada awal tahun 2006. Memang saya tidak mahu buat banyak-banyak kerana saya ingin melengkapkan diri dengan ilmu cacing terlebih dahulu.

”Saya belajar bukan hanya di dalam negeri Pulau Pinang tetapi juga di merata tempat lain di Perak, Kedah dan Perlis. Alhamdulillah, selepas memulakannya secara aktif, kami mampu menjana pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan,” katanya yang mengusahakan vermikompos bersama empat orang kawan sekampungnya.

Jelas Ismail, berbeza dengan vermikompos sedia ada yang menggunakan jerami padi, batang jagung atau sisa sayuran yang baru dituai, beliau bersama kawan-kawannya menggunakan najis kambing yang dikisar menggunakan sebuah mesin khas yang dibeli dengan harga RM7,000.

Katanya, tahi kambing tersebut diperoleh mereka daripada kandang-kandang kambing seluruh Balik Pulau.

Menurut beliau, kaedah tersebut lebih baik dan praktikal serta mampu menghasilkan vermikompos yang lebih banyak kerana mudah reput dan amat digemari cacing.

”Kalau guna bahan lain, terpaksa menunggu agak lama untuk membolehkan bahan-bahan tadi reput sebelum dimakan cacing tetapi dengan menggunakan tahi kambing yang dikisar, dalam masa dua hingga tiga minggu sudah boleh diambil hasil.

”Baja vermikompos ini juga tahan lama. Ia masih boleh digunakan dalam masa dua hingga tiga tahun, tidak rosak. Khasiat yang ada pun tetap sama,” katanya yang hanya memperuntukkan masa tiga jam sehari iaitu dari pukul 4 petang hingga 7 malam untuk membuat vermikompos di Tanah Projek Vermikompos, Jalan Bharun di sini.

Menurut Ismail, vermikompos mengandungi pelbagai jenis hormon dan enzim yang dikeluarkan oleh bakteria dari dalam perut cacing yang boleh membantu tumbesaran pokok.

”Malah tumbuhan yang menggunakan vermikompos membesar lebih cepat berbanding baja organik biasa.

”Sambutan daripada masyarakat luar dan Jabatan Pertanian juga menggalakkan. Dengan jumlah kotak cacing yang ada iaitu 31 pada masa ini, kami tidak mampu memenuhi permintaan,” katanya.

Menurut Ismail, dia menggunakan cacing merah dan cacing harimau iaitu cacing yang suka tinggal dalam bahan organik separuh reput di bangsalnya.

Katanya, cacing kompos mempunyai ciri-ciri seperti suka makan di lapisan atas, selera makan yang besar dan membiak dengan cepat.

”Sifat ini memudahkan kerja mengasingkan cacing dan vermikompos semasa menjalankan kerja mengutip hasil. Cacing makan mengikut berat badannya, misalnya jika berat seekor adalah 4 gram jadi ia memerlukan makanan dengan berat yang sama setiap hari.

”Air pula akan disalurkan dua hari sekali. Paling cacing suka ialah air hujan yang membantunya membiak dengan cepat. Kalau air biasa yang berklorin, ia lambat membiak dan ada yang mati,” katanya.

Menurutnya, proses penambahan makanan akan dilakukan lebih kerap selepas sebulan cacing dilepaskan ke dalam kotak.

Tambahnya, satu sifat yang ada pada cacing kompos ialah ia membiak dengan cepat.

”Sepasang cacing kompos boleh bertelur sehingga 50 kapsul setahun dengan setiap kapsul mempunyai dua hingga lima ekor anak cacing.

”Ketika memulakan perusahaan baja ini, kami telah melepaskan kira-kira 20,000 benih cacing. Rasanya jumlah itu sudah semakin banyak kerana cacing memang cepat membiak,” ujar Ismail.

Selain mengusahakan baja vermikompos, Ismail berkata, mereka turut menjual ‘teh cacing’ iaitu air hasil daripada proses penyiraman cacing dan ayam kampung yang diternak secara kecil-kecilan di sebelah pusat vermikomposnya.

Katanya, teh cacing itu amat sesuai untuk aktiviti penyiraman untuk tanaman dan sayur-sayuran.

”Kami juga menjual baja tahi kambing yang dikisar. Ada juga permintaan untuk mendapatkan benih cacing, namun setakat ini kami belum lagi menjualnya kerana benih cacing sukar diperoleh.

”Banyak pihak ingin belajar membuat baja vermikompos dan penternakan cacing daripada kami. Kami amat gembira dapat membantu mereka. Ini antara lain dapat meningkatkan produktiviti masyarakat kampung terutama di Balik Pulau ini,” katanya sambil tersenyum.

KUALA LUMPUR 23 Feb. – Seramai 11,000 usahawan tani di seluruh negara telah menerima bantuan pinjaman peralatan dan geran padanan bertujuan menaik taraf premis dan pengeluaran produk berasaskan pertanian.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, daripada jumlah itu, seramai 8,000 usahawan baru menerima bantuan peralatan bernilai RM10,000 seorang.

Beliau berkata, 3,000 lagi usahawan sedia ada menerima bantuan bernilai RM50,000 hingga RM100,000 secara geran padanan.

“Dalam tempoh 2005 hingga 2008, kementerian diberi peruntukan RM95.71 juta untuk membangunkan industri asas tani dan berjaya melahirkan 11,000 usahawan.

“Pada 2009 dan 2010, kementerian telah diperuntukkan sebanyak RM167 juta,” katanya pada sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai langkah meningkatkan bilangan usahawan tani di luar bandar.

Mustapa berkata, antara langkah utama kementerian bagi bilangan usahawan asas tani kecil dan sederhana terutama di luar bandar ialah:

l Meningkatkan infrastruktur dan peralatan yang melibatkan pembinaan ruang kerja baru dan menaik taraf ruang kerja sedia ada serta kilang mini.

l Penyelidikan dan pembangunan produk yang menyediakan khidmat sokongan bagi pembangunan teknologi pemprosesan bagi meningkatkan jangka hayat dan kualiti produk.

l Khidmat nasihat, rundingan dan galakan untuk mendapatkan persijilan dan kualiti yang diperlukan.

l Promosi dan pemasaran yang melibatkan penyediaan pusat persediaan produk, pembungkusan dan pelabelan produk, penyertaan dalam ekspo dan karnival perdagangan industri asas tani dalam dan luar negara.

l Penyediaan pusat aparentis dan inkubator yang lengkap dengan mesin pemprosesan bagi membantu pengusaha yang kurang mampu.

Mustapa berkata, bantuan dan latihan yang disediakan pula ialah:

l Pakej bantuan menyeluruh melibatkan penyediaan latihan dan bimbingan, kemudahan pemasaran serta penyediaan modal melalui geran bernilai RM10,000 untuk usahawan baru.

l Bantuan dan perkhidmatan melalui aktiviti menaik taraf atau pembinaan bengkel baru pada tahap amalan pembuatan baik (GMP), bantuan peralatan dan mesin, membangunkan produk baru, kaedah pembungkusan mengikut segmen pasaran dan khidmat analisis kualiti.

l Bantuan dan perkhidmatan pembekalan peralatan pemprosesan.

l Perkhidmatan sokongan teknikal bagi membantu usahawan industri asas tani meningkatkan pengetahuan dan kemahiran.

l Skim pinjaman disediakan oleh Agrobank, SME Bank dan beberapa bank lain kepada usahawan tani yang berhasrat membesarkan perusahaan mereka.

wu_0111

PEKERJA mengisi ikan keli pekasam ke dalam bungkusan sebelum dipasarkan. – UTUSAN/FAIZAL ABU HASSAN



ARAU 23 Feb. – ‘Bakti disemai, bukti dituai’. Pepatah ini elok benar dipadankan dengan Pertubuhan Peladang Kawasan A1 (PPK A1), Guar Sanji, di sini.

Apa tidaknya, bakti yang ditabur oleh PPK itu kepada seluruh ahlinya menerusi projek ikan pekasam ternyata telah membuahkan hasil.

Mulai tahun 2006, PPK A1 melancarkan projek pekasam ikan talapia dan mulai Januari lalu pula maju setapak lagi dengan projek terkini sempena azam baru tahun 2009.

Kali ini, pekasam ikan keli pula yang dijuruskan setelah mendapati projek perintisnya iaitu pekasam talapia ternyata membawa pulangan berganda.

Projek ini terbukti bukan sahaja memberi ‘wang saku’ atau pendapatan sampingan kepada keluarga PPK, tetapi membuka satu lagi industri hiliran berasaskan bahan mentah tempatan di kawasan itu sendiri.

Pegawai Pertanian Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Hasfa Azian Zakaria memberitahu, projek pekasam ikan keli itu bertujuan membantu ahli PPK A1 menokok pendapatan bulanan.

Projek itu katanya, dibuat selaras dengan matlamat PPK A1 yang memberi tumpuan kepada industri asas tani yang menjadikan ikan sebagai bahan mentah utama.

Di bawah projek tersebut, beliau menyatakan, sehingga kini pihaknya memproses kira-kira 100 hingga 200 kilogram ikan keli seminggu untuk pekasam.

”Bekalan ikan dibeli daripada tiga penternak yang terdiri daripada ahli PPK ini sendiri,” ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau memberi contoh, “Kami membelanjakan RM900 untuk menghasilkan 60 kilogram pekasam ikan keli yang dijual RM20 sekilogram.”

Hasfa Azian memberitahu lagi, setelah ditolak perbelanjaan berkaitan, PPK A1 mencatat keuntungan RM300 bagi setiap 100 kilogram ikan keli mentah.

Kata beliau lagi, selain pekasam ikan keli, pihaknya juga menghasilkan serunding ikan yang sama dan meraih keuntungan RM300 bagi setiap 100 kilogram ikan.

Beliau menyatakan, projek industri hiliran itu benar-benar berjaya kerana keuntungan diterima secara terus oleh keluarga PPK itu sendiri.

”Ini kerana, bekalan ikan kami peroleh daripada penternak yang terdiri daripada ahli PPK A1. Kerja-kerja menghasilkan pekasam dan serunding itu pula dibuat oleh isteri dan anak ahli PPK ini sendiri,” ujarnya.

Pendek kata, bermula dari bahan mentah, kemudian ke peringkat memproses dan memasarkannya, ia dilaksanakan tanpa khidmat orang tengah.

Wartawan dan jurugambar Utusan Malaysia turut dihidangkan dengan juadah pekasam ikan keli semasa membuat liputan berita ini.

Hidangan yang disajikan berupa pulut yang dimakan bersama kelapa parut dan ikan keli pekasam goreng.

Rasanya selazat makanan yang cukup popular di Kelantan iaitu ‘pulut ikan kering’ (PIK).

Apabila Hasfa Azian ditanya berhubung resipi pekasam ikan keli itu pula, beliau secara berseloroh mengaitkannya dengan lagu Siti Nurhaliza iaitu Biarlah Rahsia.

wu_021

MENYELERAKAN… Pekasam ikan keli enak dihidangkan bersama nasi dan pulut.



ARAU 23 Feb. – Pertubuhan Peladang Kawasan A1 (PPK A1), Guar Sanji, di sini akan memperbesarkan lagi projek pekasam ikan keli secara berjadual untuk manfaat ahli.

Pengerusinya, Ilias Ali berkata, salah satu perancangannya ialah memasarkan pekasam tersebut ke hotel-hotel dan restoran terkemuka di Perlis.

Pada sama yang sama kata beliau, pihaknya juga akan menambah kios PPK A1 di beberapa pasar raya termasuk yang sedia ada di Giant Sungai Petani, Kedah.

”Projek menghasilkan pekasam ikan keli ini secara tidak langsung telah memberikan pendapatan sampingan kepada sebahagian keluarga ahli PPK ini sendiri.

”Contohnya, seorang wanita yang bekerja menghasilkan pekasam ikan keli dengan kami boleh mendapat gaji kira-kira RM320 sebulan,” ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini.

Bagi suri rumah yang mengambil upah membuat mini popia berasaskan pekasam ikan keli pula, mereka boleh mendapat kira-kira RM200 sebulan.

”Pendapatan itu belum lagi dikira membuat serunding berasaskan pekasam ikan keli yang boleh mendapat gaji kira-kira RM200 sebulan,” ujarnya.

Kata beliau lagi, ini bermakna, industri hiliran berasaskan ikan keli dan pekasam ikan keli, seseorang suri rumah yang bekerja dengan PPK A1 boleh memperolehi pendapatan sampingan antara RM500 hingga RM600 sebulan.

”Saya bagi pihak PPK A1 amat berterima kasih kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang banyak membantu kami menjayakan projek ini.

”Tanpa bantuan MADA terutama yang membekalkan kepakaran dan pelbagai idea bernas, tentunya kami tidak mampu mencapai matlamat sebagaimana yang disasarkan,” tegasnya.

KUANTAN: Pahang dijangka muncul sebagai pengeluar keladi salak pertama negara apabila kawasan seluas 20 hektar di Kampung Pandan 1, di sini dijadikan tapak percubaan tanaman berkenaan.

Sebagai permulaan, Pengarah Urusan Restu Rimbunan Rahmat Sdn Bhd, Nazri Rahmat, berkata, 2.4 hektar daripada keseluruhan kawasan akan dijadikan tapak semaian manakala dua hektar lagi sebagai tapak tanaman percubaan yang akan dilaksanakan pertengahan bulan depan.

Beliau berkata, Koperasi Warta Warisan Kuala Lumpur (KOWARTA) bersetuju membiayai projek bernilai RM7 juta itu bagi pembelian benih, baja, jentera dan pembinaan kilang memproses hasil tanaman.

Katanya, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berkenaan memperuntukkan kawasan berkenaan bagi melaksanakan projek pertama yang berpotensi di pasaran antarabangsa.

“Keladi salak dikenal pasti sebagai tumbuhan pertama di dunia menghasilkan kolagen,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Beliau berkata, syarikatnya mengadakan usahasama dengan sebuah syarikat pengeluar tanaman keladi salak dari Indonesia Pt. Mitra Sentosa Hutama Agro di segi kepakaran teknikal, pemindahan teknologi dan bekalan benih tanaman.

Katanya, kajian selama lapan tahun oleh syarikat itu berakhir dengan penemuan kolagen dan seterusnya diuji dan disahkan kandungannya di makmal perubatan Belanda, Korea dan Jepun.

“Setiap 100 kilogram ubinya akan menghasilkan satu kilogram kolagen bagi kegunaan industri pembuatan kosmetik, perubatan dan pemakanan.

“Ini adalah satu kelebihan kerana sebelum ini kolagen hanya didapati daripada sumber haiwan yang terbatas untuk umat Islam,” katanya.

Keladi salak atau lebih dikenali sebagai Talas Jepang Satoimo dijadikan makanan asasi penduduk Jepun dan Indonesia adalah pengeksport utama tanaman berkenaan ke negeri matahari terbit itu.

Laman Berikutnya »

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 160 other followers