“JABATAN Pertanian? Jenama beras? Patani di Siam (Thailand) ke? Itu antara tanggapan pelanggan ketika saya mula-mula memperkenalkan jenama Petani secara komersial pada 1995,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Zulkifli Bamadhaj (M) Sdn Bhd, Zulkifli Khalid.

Katanya, ketika itu, beliau baru berjinak-jinak mengembangkan semula perniagaan yang diusahakan ayah, Khalid Ahmad, 74, dan ibunya, Mahani Abdullah, 71, menyebabkan dia hampir bosan dan berputus asa apabila kerap diajukan soalan sama ketika mempromosikan produk keluaran syarikat keluarganya.

Menurut Zulkifli, keluarganya tidak memberinya banyak pilihan apabila menyuruhnya mewarisi perniagaan keluarga yang diusahakan sejak 1965 itu.

“Keluarga hanya beri dua pilihan sama ada jadi petani di kebun kelapa sawit atau usahakan perniagaan berasaskan herba dan tradisional jenama Petani.

“Pada mulanya saya ikut ayah masuk ke kebun, selepas mencuba beberapa hari saya tidak sanggup kerana kerja sebagai petani terlalu berat dan buat keputusan untuk majukan jenama Petani walaupun ketika itu perniagaan dalam keadaan sakit,” katanya.

Mengimbas sejarah, Zulkifli berkata Jenama Petani pada mulanya dihasilkan datuknya pada 1965 ketika bekerja sebagai pemutar filem di sebuah panggung wayang di Muar.

Bagi mencukupkan perbelanjaan keluarga, Ahmad membuat perniagaan sambilan menghasilkan minyak urut yang diberi jenama Petani dan dijual di depan panggung wayang setiap hari.

“Jenama Petani dicipta sendiri datuk saya dengan menggambarkan dirinya yang pernah menjadi petani di sebuah perkampungan kecil, sebelum berhijrah ke bandar Muar,” kata Zulkifli.

Menurutnya, pada ketika itu datuknya menghasilkan sendiri minyak urut dan majun. Setiap hari beberapa orang kampung akan datang ke rumahnya membawa raga dan mengambil barangan untuk dijaja dengan berjalan kaki, dan setiap penjaja akan diberi komisen daripada hasil jualan.

Perniagaan Ahmad itu kemudiannya diwarisi anaknya, Khalid sebelum tiba pula giliran Zulkifli selaku cucu Ahmad dan satu-satunya anak lelaki Khalid.

Zulkifli berkata, pada awal pembabitan dalam perniagaan keluarga, dia hanya diberi sebuah van yang dimuatkan dengan produk yang dikeluarkan syarikat milik bapanya, tanpa wang sesen pun untuk memulakan perniagaan.

Berbekalkan van yang separuh penuh dengan muatan berisi majun dan minyak urut itu, Zulkifli membuat perjalanan hampir setiap hari dan tunai yang diraih, digunakan sebagai modal pusingan untuk menambah barangan yang kehabisan stok, sebelum meneruskan perjalanan untuk hari-hari seterusnya.

“Ayah hanya menasihatkan di mana ada jalan, di mana ada lorong, di mana ada kedai, pergi masuk dan jual barang yang dibawa dan formula yang diturunkan itu diguna pakai sehingga kini malah dimantapkan dengan pelan pemasaran terbaru.

“Walaupun perit ketika itu ditambah dengan jenama Petani yang masih belum dikenali saya teruskan usaha kerana tidak mempunyai pilihan kerana saya sedar ia sebenarnya lebih baik berbanding ketika saya bekerja makan gaji di Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, baru merangkak naik dalam perniagaan, sekali lagi beliau dikejutkan dengan arahan kerajaan setiap produk herba dan tradisional wajib mendapat kelulusan Lesen Amalan Pengilangan Baik (GMP) daripada Kementerian Kesihatan pada 1998.

Namun arahan itu tidak mematahkan semangatnya, malah disahutnya dengan positif dan kini semua produk jenama Petani turut mempunyai kelulusan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Biro Farmaseutikal Kebangsaan Malaysia, Kementerian Kesihatan.

Katanya, walaupun ketika itu fikiran kusut memikirkan mencari dana bernilai RM60,000 bagi memperolehi lesen namun beliau berikhtiar kerana sedar syarat yang ditetapkan akan membawa perubahan yang lebih baik terhadap produk keluaran syarikatnya.

“Ketika itu memang tidak ada duit sebanyak itu. Saya cuba pinjam dengan insitusi kewangan tetapi tidak dilayan berikutan rekod kurang baik malah seorang pegawai Mara ketika memberi jawapan sinis industri herba tidak ada dalam senarai untuk pinjaman.

“Tergugat sedikit semangat ketika itu tetapi alhamdulillah berkat duit yang dipinjam daripada keluarga, saya berjaya mengatasi cabaran itu. Saya juga buat perjanjian dengan kontraktor untuk membuat bayaran secara ansuran bagi membina kilang dan mengekalkan hubungan baik dengan semua pembekal.

“Akhirnya perusahaan keluarga yang sekian dijalankan di rumah berpindah ke kilang baru di Kawasan Perindustrian Bukit Bakri. Sejak itu, bermula sejarah perniagaan saya dijalankan secara lebih komersial,” katanya.

Zulkifli berkata, perniagaannya bertambah baik apabila masyarakat negara ini mula berubah dan menerima produk berasas herba serta alam semula jadi pada 2002.

Katanya, pemerhatiannya mendapati pada 199 kebanyakan pengguna produk herba dan tradisional berusia 45 tahun ke atas tetapi trend mulai berubah sejak 2002 apabila pengguna berusia lewat 20-an mula berminat menggunakan produk itu.

Penerimaan baik masyarakat pengguna termasuk golongan muda terhadap produk Petani, membolehkan operasi syarikat pantas berkembang daripada cuma lapan pekerja kepada 70 orang pada hari ini.

Jika ketika awal perniagaan diasaskan pada 1965 jenama Petani hanya tertera pada dua produk, kini syarikat itu menghasilkan lebih 40 jenis produk yang diedarkan di lebih 2,000 kedai dan cawangan niaga di seluruh negara.

Jenama Petani boleh diperoleh di Farmasi Pusrawi, sebuah kaunter pameran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang dan beberapa pasar raya terkemuka di seluruh negara.

Antara produk berjenama Petani ialah majun, kapsul kacip fatimah manjakani plus untuk wanita dan kapsul ubijaga tongkat ali plus untuk lelaki.

>Profil

Nama: Zulkifli Khalid

Usia: 36 tahun

Jawatan: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Zulkifli Bamadhaj (M) Sdn Bhd, Zulkifli Bamadhaj Beveragers Industries, Sumandale Health & Beauty Industries

Tempat lahir: Muar, Johor

Pendidikan: Diploma Pemasaran

Adik-beradik: Anak kedua daripada dua beradik.

About these ads