November 2008




Cendawan satu ketika dulu hanyalah tumbuhan liar, yang banyak didapati pada kayu reput, atas tanah, dalam hutan dan seperti kata pepatah, kelihatan selepas hujan.

Dengan kata lain, ciri-ciri tersebut menjadikan tumbuhan tersebut tidak mempunyai nilai komersial dan hanya penting untuk makanan semata-mata.

Itu senario dulu tetapi dengan perkembangan sektor pertanian yang semakin memberangsangkan, ramai menyedari bahawa cendawan sebenarnya satu tanaman industri yang berpotensi untuk menjana ekonomi.

Malah, dengan perkembangan bidang bioteknologi, cendawan juga boleh dianggap penyumbang kepada bidang tersebut kerana mempunyai nilai perubatan yang tinggi.

Berdasarkan statistik 2005, seorang penduduk negara ini makan hanya 324 gram setahun dengan keperluan sebanyak 8,424 tan setahun.

Jabatan Pertanian bagaimanapun menyasarkan penggunaan cendawan sebagai makanan sebanyak dua kilogram setahun.

Ketika ini, pelbagai cendawan yang popular ditanam di negara ini antaranya Auricularia sp (telinga kera /jeli hitam), Schizophyllum commune (cendawan kukur), Flammulina velutipes (jarum emas) dan Agarcius braslllensis (cendawan butang), Spesies lain termasuk Ganoderma sp. (Ling zhi), Hericum erinaceum (cendawan bunga kubis) Pleurotus cystidiosus (abalone); Pleurotus flabellatus (tiram merah jambu); Pleurotus citrinopileatus (tiram kuning); Pleurotus florida (tiram putih) dan Pleurotus sajor-caju (tiram kelabu).

Selain cendawan tiram kelabu yang popular sekarang, cendawan lain yang tidak kurang mendapat tempat di kalangan pengusaha tanaman tersebut ialah shiitake.

Buktinya, seorang doktor perubatan dan keluarganya berjaya mengusahakan tanaman tersebut di Gunung Jerai, Kedah sejak 1985 lagi.

Doktor perubatan terbabit, Dr Shirley Ooi,35, berkata, bapanya, Ooi Chooi Liang, adalah individu yang bertanggungjawab menggerakkan industri tanaman tersebut sedangkan pada masa itu, tidak ramai berminat dengan tanaman cendawan.

Mereka memulakan perusahaan tersebut dengan modal RM50,000 daripada simpanan sendiri. Ketika itu, sebagai permulaan bapa saya menanam 15 spesies cendawan termasuk cendawan brazil, butang dan oyster.

“Bagaimanapun, orang Malaysia tidak minat tanam cendawan ketika itu dan bapa saya hampir putus asa,’’ katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tidak lama selepas itu, bapanya mengambil keputusan untuk memberi tumpuan kepada spesies shiitake selain butang.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Kanada pada 1996 dan meninggalkan ayahnya untuk meneruskan perusahaan tanaman tersebut.

Ketika di sana, dia mendapat tahu bahawa selain brazil, cendawan shiitake antara yang popular dan ia mendorongnya untuk meneruskan projek tersebut.

Cendawan, shiitake katanya lebih kejap daripada segi teksturnya, tidak renyuh, tidak berbau dan rasanya juga macam daging. Ia juga mempunyai nilai perubatan.

“Orang gemar menggunakannya sebagai makanan tambahan, masak lemak cili api dan serunding.

“Sejak itu saya yakinkan bapa saya supaya memberi tumpuan kepada shiitake yang bermula pada 1997,” ujarnya.

Selepas berkhidmat sebagai doktor di Kanadam, beliau kembali ke tanah air untuk meneruskan projek tersebut bersama bapanya dan nasib mereka bertambah baik apabila salah seorang anggota keluarga mereka bersetuju melabur RM1 juta pada 2005.

Shiitake atau nama saintifiknya Lentinus edodes mengandungi lentinan iaitu sejenis sebatian anti kanser dan membantu mengurangkan kesan tumor dan tanpa kolesterol.

Namun katanya, kerja menyediakan bahan untuk menanam cendawan tersebut melibatkan banyak perkara kerana ia merupakan spesies yang sensitif dan memerlukan keadaan bersih terutama semasa inokulasi.

Kaedah menanamnya lebih kurang sama dengan cendawan lain seperti tiram kelabu yang juga menggunakan polibeg tetapi perlu ditegakkan.

Tanaman cendawan yang diusahakannya juga tidak menggunakan tahi lembu dan lebih mesra alam iaitu kurang populasi bakteria.

Bahan yang digunakan termasuk dedak air, kalsium karbonat dan satu ramuan rahsia.

Benih yang digunakan pula dipilih daripada jenis yang bermutu.

Katanya benih tersebut mestilah yang berbunga besar, batang tebal dan kejap serta mempunyai insang tertutup untuk proses kultur tisu.

Bagi membolehkan ia menghasilkan keluaran lebih baik, benih seharusnya diambil daripada generasi ketiga.

Justeru, meskipun shiitake berasal dari Jepun, proses adaptasi dengan persekitaran di Gunung Jerai menjadikannya sebagai cendawan hibrid gunung tersebut.

Selain itu, ia perlu diubah kepada media oat terlebih dahulu dari kultur tisu sebelum ditanam sepenuhnya kerana dengan cara ini peluang hidup lebih tinggi berbanding terus kepada kultur tisu.

Polibeg shiitake perlu diletakkan menegak bagi membolehkan misellium nya bergerak dari atas ke bawah dan kemudiannya membentuk koloni.

Mengenai penjagaan pula katanya, apabila cendawan muncul di mulut polibeg dalam tempoh tujuh hingga sepuluh hari dan ‘rehat’ selama 20 hari.

Selepas 20 hari, ia perlu disiram dalam keadaan polibeg tertutup dan terbalikkan dan akan cendawan akan muncul semula pada hari kelima.

Ia boleh menghasilkan cendawan dalam tempoh tiga atau empat bulan sebelum memulakan penanaman baru.

Menurutnya, pengeluarannya hasil ladangnya kini mencecah 150 kilogram sehari dan ia banyak di pasarkan ke pasar raya-pasar raya besar.

Pada masa sama, beliau juga memanfaatkan media tanaman cendawan tersebut untuk menghasilkan baja kompos.

Baja tersebut digunakan untuk tanaman 25 jenis sayur-sayuran yang turut diusahakannya seperti brokoli di kawasan tersebut.

Selepas sekian lama, beliau bercadang mengembangkan perusahaan tersebut kepada bioteknologi berkaitan farmasutikal dengan memanfaatkan sebatian lentinan tersebut.

Kawasan ladang tersebut yang kini beroperasi atas nama syarikat AgroBio Future berkeluasan 10 ekar menjadi bukti kesungguhannya menceburi bidang pertanian selepas meninggalkan kerjaya sebagai doktor.

“Saya ingin menasihati mereka yang ingin menceburi perusahaan cendawan supaya menjaga kualiti dan mencari pasaran terlebih dahulu. Untuk maklumat lanjut boleh didapati di www.agrobio_future.com.

Pusat Latihan dan Kajian Atiqah Trading Agrotech, akan menganjurkan Kursus Intensif Penanaman Cendawan Tiram setiap awal, pertengahan dan akhir bulan.

Kursus bakal diadakan pada 13 dan 27 Disember ini di ladang Al-Fadtullah Mushroom Tanjong Malim, Perak.

Pada kursus tersebut, peserta akan didedahkan tentang cara penanaman cendawan tiram dan cendawan lain dari segi teori dan juga praktikal oleh pemilik ladang, Dr. Johari Mat Isa.

Syarikat tersebut telah berjaya mengeluarkan lebih 700 orang peserta dari pelbagai pelosok negara serta Brunei.

Ramai kalangan peserta syarikat tersebut telah mempunyai ladang sendiri dan ada yang telah pun berhenti kerja.

Peserta juga diajar cara pemasaran dan juga membuat pinjaman.

Untuk keterangan lanjut boleh hubungi Haji Dr. Johari dan Alia di talian 05- 4541635 atau 019-3544888. Penyertaan adalah terhad.

JASIN: Jabatan Perikanan akan meneruskan kerjasama dengan semua hotel dan resort di setiap negeri sebagai langkah awal untuk mempromosikan ikan air tawar supaya menjadi antara menu utama makanan di premis berkaitan.

Timbalan Ketua Pengarahnya, Suhaili Lee, berkata usaha sama yang akan bermula awal tahun depan itu dijangka memberi banyak manfaat, bukan saja kepada pelanggan yang dapat menikmati makanan dengan mudah, malah pemilik hotel serta penternak ikan yang kebanyakan masyarakat luar bandar.

Katanya, pihaknya juga akan membantu pemilik hotel untuk mendapatkan bekalan ikan air tawar menerusi perkenalan dengan penternak ikan air tawar yang terbabit dalam Program Dasar Jaminan Makanan Nasional anjuran Jabatan Perikanan.

“Jabatan ini berharap promosi makanan ikan air tawar ini memberi manfaat kepada penternak kerana ia sekali gus mampu membantu mereka menjual hasil ternakan kepada hotel.

“Pada masa sama, ia turut menggalakkan masyarakat supaya terus menjalankan ternakan ikan atau udang di kawasan terbiar di tempat mereka dan Jabatan Perikanan sedia membantu menerusi Program Dasar Jaminan Makanan Nasional,” katanya selepas menghadiri majlis penutupan Seminar Gerai Ikan Bakar peringkat negeri di Perkampungan Ikan Bakar Terapung (PIBT) Umbai Baru, Serkam di sini, kelmarin.

Majlis itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Desa negeri, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam, Ghazale Muhamad dan Pemangku Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Rosmawati Ghazali.

Suhaili berkata, beberapa hotel yang menjadikan masakan ikan air tawar sebagai menu di restoran mereka mendapat sambutan baik di kalangan masyarakat khususnya pada waktu makan tengah hari dan malam.

Katanya, langkah itu dilihat mampu diperluaskan ke hotel lain, sekali gus menyahut seruan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani supaya menjadikan ikan air tawar yang berprotein tinggi sebagai antara makanan harian penduduk di negara ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Suhaili berkata, semua pengusaha ikan bakar di seluruh negara perlu mementingkan kesegaran dan kualiti ikan seterusnya menghasilkan sajian yang menepati Piawaian Keselamatan Makanan.

Beliau berkata, pengusaha makanan itu juga perlu menitikberatkan pengendalian ikan yang sempurna, selain memastikan kaedah mempamer dan penyimpanan ikan serta tahap kebersihan premis serta pekerja mereka.

“Penurunan kualiti ikan dalam bentuk fizikal, kimia dan biologi adalah berpunca daripada pengendalian ikan yang tidak sempurna. Sebagai contoh, penggunaan ais yang kurang serta penggunaan peti ikan yang tidak sesuai termasuk aktiviti semasa mengendalikan penyediaan sajian.

“Sehubungan itu, perlu diingatkan bahawa aspek pengendalian ikan dijadikan agenda utama dalam usaha memperbaiki dan menjamin sajian serta menjamin nilai jualan yang lebih besar,” katanya.


Wanita Kuala Pahang menjemur ikan untuk dijadikan ikan kering bagi menghadapi musim tengkujuh.

PEKAN: Permintaan yang semakin meningkat terhadap ikan kering atau ikan masin menjelang musim tengkujuh menyebabkan ramai nelayan mengambil kesempatan meningkatkan pendapatan melalui penjualan hasil laut itu.

Bagaimanapun, kekurangan bekalan ikan menyebabkan permintaan tidak dapat dipenuhi sekali gus menjejaskan usaha ke arah meningkatkan pendapatan masing-masing.

Keadaan ini turut dirasai sebahagian besar nelayan di perkampungan nelayan Kuala Pahang dekat sini yang sukar memenuhi permintaan daripada peraih luar terutama Kuantan dan sekitar Pekan bagi mendapatkan bekalan hasil laut itu.

Walau bagaimanapun, sekumpulan wanita yang juga isteri nelayan kampung berkenaan, Rafeah Che Wan, 41, Aminah Daud, 60, Khatijah Yahya, 44, dan Fatimah Jusoh, 46, tetap bersedia mengambil upah membuat ikan kering walaupun bekalan yang diterima tidak mencukupi bagi menampung permintaan.

Menurut Aminah, pada kebiasaannya, menjelang musim tengkujuh permintaan terhadap ikan kering semakin meningkat bagi mengganti ikan basah yang berkurangan kerana nelayan tidak turun ke laut.

“Jumlah ikan kering tidak mencukupi walaupun ramai nelayan yang menjalankan perusahaan itu kerana penyediaannya berdasarkan lebihan ikan basah yang dijual,” katanya ketika ditemui di perkampungan nelayan berkenaan, kelmarin.

Antara ikan yang menjadi pilihan ialah ikan selayang, tamban, duri, penalin, selar kuning dan ikan kunyit.

Kerja-kerja memproses ikan mula dilakukan pada waktu pagi dan ikan dijemur sekitar jam 10 pagi hingga 5 petang dan mengambil masa antara dua hingga empat hari sebelum kering.

ALOR STAR: Industri ternakan ikan keli di negeri ini akan memasuki fasa baru apabila hasilnya ditinkan dan sedia untuk dimakan seperti sardin, sekali gus memberi nilai tambah kepada sektor berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata projek itu akan diusahakan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang melihat ikan berkenaan berpotensi ditinkan supaya pemasarannya lebih meluas, berbanding hanya dijual secara mentah di pasar.

Katanya, ikan keli dalam tin jenama La’zatt itu yang dihasilkan dalam empat perisa, iaitu lada hitam, kari pekat, kari dan sos tomato dijangka mula dipasarkan dalam negeri mulai bulan depan sebelum dieksport.

Katanya, selain itu satu perusahaan mengeluarkan coklat berperisa durian dan kopi yang dipasarkan menggunakan jenama Pasttee akan diwujudkan.

“Projek ini yang dilaksanakan melalui Pusat Pelaburan Negeri Kedah (KIC) akan memberi lonjakan dalam sektor agro industri di negeri ini yang mana hasil pertanian dan penternakan diproses supaya mendapat pasaran yang lebih luas sehingga mampu meneroka pasaran eksport.

“Ia adalah tambahan kepada produk agro industri seperti kuih-muih dan ikan pekasam yang sudah mula mendapat tempat di pasaran,” katanya selepas melancarkan majalah `New Passage’ dan logo `Kedah Australia Energy and Hydrocarbon Institute’ (Kasehi), di sini, kelmarin.

Majalah itu yang diterbitkan dua kali setahun bertujuan mempromosi sektor pertanian dan industri di negeri ini kepada pelabur asing dan tempatan.

Azizan berkata, kerajaan negeri juga merancang mewujudkan sebuah kilang mengetinkan buah-buahan, termasuk rambutan supaya harga buah berkenaan tidak terlalu murah pada musim buah setiap tahun.

“Usaha itu dijangka dapat menstabilkan harga buah pada musim buah-buahan setiap tahun, sekali gus memberi sumber pendapatan yang lebih terjamin kepada pemilik dusun,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Kasehi diwujudkan antara GLC negeri ini dengan sebuah pusat latihan di Australia yang bertujuan melatih tenaga kerja tempatan bagi memenuhi permintaan Hab Hidrokarbon Kedah yang akan dilaksanakan di negeri ini menjelang 2013 dan memerlukan kira-kira 15,000 tenaga kerja.

PERMINTAAN tinggi industri burung walit atau burung layang-layang mencetuskan satu perusahaan baru dan Pahang sendiri tidak ketinggalan dengan anggaran nilai pengeluaran sarang burung sebanyak RM36 juta setahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak, berkata industri burung walit meningkat setiap tahun dan sehingga kini sejumlah 1,484 premis perusahaan dijalankan oleh 1,036 pengusaha di negeri ini.

Beliau berkata, permintaan tinggi terutama kalangan masyarakat Cina membuatkan nilai dagangan sarang burung terbabit di Malaysia kini berjumlah RM500 juta.

“Harga sekilogram sarang burung mentah ialah sekitar RM1,000 hingga RM20,000 dan perkembangan terbabit mencetuskan aktiviti menukar bangunan komersial dan rumah dalam bandar menjadi pusat perusahaan sarang burung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Bajet 2009 bagi porfolionya, di Sidang Dewan Undangan Negeri, di sini, semalam.

Tan Mohd Aminuddin berkata, biarpun perusahaan terbabit menguntungkan, namun pelbagai isu timbul seperti risiko penyakit, najis dan kebersihan bandar, masalah kebisingan, penurunan nilai hartanah serta menjejaskan kualiti hidup.

Beliau berkata, dibimbangi perkembangan perusahaan yang tidak terkawal boleh menimbulkan konflik, kerajaan bersetuju mengawal perusahaan melalui proses pelesenan.


PESERTA Projek Diraja Ternakan Kambing Boer, Mohd Hanafi Abdul Rani, bersama kambing Boer dan Black Bengal di Kampung Domis, Tanah Merah.

TANAH MERAH: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan melakar sejarah penternakan negara apabila menghasilkan baka kambing kacukan Boer dan Black Bengal (BB), dipercayai kejayaan pertama di dunia menerusi kelahiran anak kambing kembar kacukan itu, bulan lalu.

Kelahiran anak kambing kembar jantan dan betina pada 9 Oktober lalu menerusi pengkacukan secara tabii itu adalah kejayaan daripada usaha sepasukan pegawai veterinar yang menjalankan pengkacukan itu di Ladang Kambing Projek D’Raja Kampung Domis, di sini.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Datuk Dr Mohd Zairi Serlan, berkata usaha itu dimulakan Mei lalu menggunakan induk jantan muda baka Boer dengan kambing betina BB, iaitu baka kambing yang hanya ditemui di Bangladesh dan Utara India.

Beliau berkata, kambing baka BB tidak didapati di negara ini kecuali Kelantan menerusi usaha membawa masuk beberapa ekor ternakan terbabit dari Bangladesh bertujuan sebagai penyelidikan dan cubaan pengkacukan untuk menilai manfaat yang boleh diperoleh darinya.

Katanya, berdasarkan data Jabatan Perkhidmatan Veterinar, pengkacukan itu adalah yang pertama di negara ini dan semakan juga mendapati dua baka terbabit juga tidak pernah dikacukkan mana-mana agensi atau perternak di dunia.

“Projek ini mencatatkan kejayaan kerana dua anak kembar kambing kacukan yang kini berusia lebih sebulan itu dilahirkan dengan kecergasan kacukan (hybrid vigour) iaitu mempunyai sifat yang lebih baik berbanding dua baka ternakan yang digunakan.

KUALA LUMPUR 20 Nov. – Malaysia kini merupakan pengeluar terbesar ikan hiasan dunia apabila berjaya mencapai jumlah pengeluaran tahunan hampir 700 juta ikan berbanding 458 juta ikan pada 2005.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, pada masa ini, negara mensasarkan peningkatan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 860 juta ikan hiasan pada 2010, iaitu di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).

Beliau berkata, setakat ini, negara telah menternak lebih 250 spesies, termasuk pelbagai jenis ikan eksotik untuk pasaran domestik dan dunia.

“Bagaimanapun, dalam pengeksportan ikan hiasan itu, Malaysia merupakan negara kedua terbesar apabila berjaya mengeksport hampir 100 juta ikan hiasan setahun,” katanya selepas merasmikan Aquafair Malaysia 2008, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain Mustapa berkata, kerajaan bakal melancarkan zon industri perikanan yang dikenali Prospektus Industri Zon Akuakultur (AIZs) yang bertujuan membangunkan infrastruktur dan sokongan perkhidmatan industri perikanan.

Katanya, kewujudan zon itu dijangka mampu menarik pelaburan berjumlah RM2 bilion dalam tempoh empat hingga lima tahun.

Beliau berkata, kementeriannya telah mengenalpasti tanah seluas 25,000 hektar di seluruh negara untuk menjayakan projek akuakultur itu.

“Kelulusan tanah bagi program-program AIZs adalah di bawah skop pihak berkuasa tempatan iaitu kerajaan negeri,” katanya.

Menurut Mustapa, setakat ini, 1,000 hektar tanah dan empat lokasi telah dikenalpasti bagi tujuan pembangunan yang berkaitan dengan AIZs khususnya bagi pusat penternakan ikan hiasan.

Katanya, cadangan mewujudkan zon akuakultur bagi ikan hiasan mampu menarik pelabur luar negara dan domestik.

durian yang telah disejuk bekukan di kompleks bilik sejuk FAMA di Muar, Johor.



APABILA tiba musim buah-buahan, mereka yang paling gembira bukan sahaja penjual atau pemilik gerai serta pasar tani, malah penggemar buah-buah khususnya durian antara yang menunggu saat itu.

Ini kerana, ketika musim inilah mereka berpeluang menikmati pelbagai jenis buah-buahan segar bermusim, harga murah dan merasainya di mana juga.

Ketika ini, penggemar buah-buahan bagaikan kemaruk melihat lambakan buah dijual di tepi jalan dan tentunya mereka tidak akan melepaskan peluang untuk menikmatinya.

Malangnya, di sebalik kegembiraan tersebut dan kemeriahan pesta buah, pemilik dusun kadangkala bimbang kerana masalah lambakan selalunya menghantui mereka.

Buah yang terlalu banyak, dijual pada harga murah, tidak mungkin dapat dinikmati sekiranya disimpan terlalu lama yang boleh menyebabkannya rosak.

Seiring dengan kedatangan musim buah-buahan, masalah lambakan itu juga merisaukan kerajaan kerana bimbang ia akan menjejaskan industri tersebut dan mengikis keyakinan orang ramai terhadap kualiti produk segar di pasaran.

Agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagaimanapun mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan Gerai Buah-buahan Segar (GBBS) bagi membantu mempromosi hasil dusun tersebut.

Berdasarkan laman web agensi tersebut, GBBS merupakan salah satu daripada program pembangunan usahawan di bawah bimbingan FAMA.

Ia merupakan rangkaian gerai jualan buah-buahan milik usahawan sedia ada di seluruh negara yang telah dipilih untuk ditambah baik dengan imej yang seragam dan susun atur yang kemas serta menarik.

GBBS diwujudkan sebagai saluran alternatif kepada pengguna mendapatkan buah-buahan yang berkualiti serta sebagai luang kepada usahawan untuk meningkat urus niaga buah-buahan.

Sehingga kini FAMA telah berjaya membangunkan seramai 163 usahawan dengan 326 gerai di seluruh negara.

Selain GBBS, langkah terbaru FAMA ialah dengan menubuhkan kompleks sejuk beku di Jalan Solok Tangkak, Johor bagi mengatasi masalah lambakan yang selalunya melibatkan durian.

Kompleks sejuk beku itu dibina dengan peruntukan khas sebanyak RM480,000 bertujuan mengatasi masalah lambakan dan juga mengeksport durian sejuk beku.

Menurut Pegawai FAMA Daerah Muar/Ledang, Abd. Malek Ramli, pusat tersebut dibuka tahun lalu dengan percubaan menjalankan proses sejuk beku durian dengan menyimpannya selama lapan jam pada suhu -40 darjah Celsius.

Selepas itu buah berkenaan di masukkan ke dalam penyejuk bersuhu -18 darjah Celsius.

Beliau berkata, pihaknya juga memproses isi durian untuk tujuan sama tetapi untuk pasaran tempatan.

Bilik sejuk beku tersebut mampu memuatkan 200 tan metrik durian segar pada satu-satu masa dan 100 tan metrik isi durian.

Beliau berkata, bagi sebiji durian ia mampu menghasilkan 10 peratus isi dan ia dikeluarkan daripada biji secara manual dan menggunakan alat pelerai khas yang diperoleh daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

‘‘Kita telah mengeksport 100 tan metrik durian sejuk beku ke Australia pada Julai lalu, ‘’ ujarnya kepada Mega.

Kualiti durian yang dihasilkan daripada proses sejuk beku itu katanya, tidak berubah melainkan warnanya sedikit kekuningan.

Setakat ini katanya, durian segar diperoleh di sekitar Muar dan ada juga yang datang dari Jerantut, Pahang.

Usaha tersebut meskipun masih di peringkat awal tetapi berjaya membuktikan bahawa durian yang disejuk beku tanpa dikopek juga masih berkualiti.

Pada masa sama, masalah lambakan jika berlaku pada masa akan datang, boleh ditangani.

Kadangkala, buah segar juga dihantar ke pusat tersebut untuk disejuk beku jika ia tidak dipasarkan kerana harganya terlalu rendah.

‘‘Kita terima buah segar setiap musim buah yang hebat (tahun lalu) tetapi pada tahun ini jumlah pengeluaran agak sederhana,” ujarnya.

Ketika ini pihaknya juga dalam dalam proses percubaan untuk menghasilkan buah cempedak sejuk beku supaya kompleks tersebut dapat dimanfaatkan ke tahap maksimum.

Penanam ubi Cassava di Kampung Kasa pasir Mas menunjukkan hasil tanaman mereka yang belum dapat dipasarkan.



KOTA BHARU 20 Nov. – Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) kini
giat memperkenalkan penanaman ubi Cassava sebagai suatu tanaman
industri untuk pasaran eksport dengan memanfaatkan tanah terbiar.

Ini ekoran sebuah syarikat mengetengahkan idea tersebut, sekali gus
menyatakan kesediaan membina kilang memproses dengan kos dianggarkan
RM20 juta di Rantau Panjang.

Ubi kanji ini menghasilkan bahan biodegradable iaitu resin
bagi pembuatan barangan plastik, terutama pembungkusan makanan yang
mesra alam dan ia dikatakan mendapat permintaan tinggi terutama di
Eropah.

Syarikat berkenaan berhasrat memperoleh bekalan bahan mentah
daripada petani dalam kawasan KADA dan ini dianggap mampu menjana
peningkatan ekonomi mereka; tidak lagi sekadar bergantung kepada satu
sumber semata dan menjadi tanaman gantian tembakau.

Ia mendapat sambutan menggalakkan daripada petani dan penanaman
dimulakan pada tahun lepas dengan benih yang sebahagiannya dibekalkan
oleh KADA yang turut membimbing dan menyediakan beberapa kemudahan lain.

Sehingga kini lebih 230 hektar tanah dalam kawasan KADA ditanam
secara berperingkat dengan anggaran hasil sebanyak 3,800 tan melibatkan
95 petani yang sedia mencuba termasuk di jajahan Pasir Mas.

Namun mereka kini kemungkinan berdepan dengan kerugian besar kerana
longgokan hasil tidak dapat dipasarkan apabila kilang tidak wujud dan
syarikat yang menjanjikan pasaran buat mereka lesap entah ke mana.

Apatah lagi jika musim tengkujuh berterusan dan banjir kemungkinan
memusnahkan seluruh tanaman itu sementara mereka menunggu dengan resah
tentang kemungkinan masih ada pembeli.

Mereka mendakwa KADA bersikap lepas tangan dalam menyelesaikan
kemelut yang mereka dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) hadapi dalam
projek yang seakan sudah tidak punyai masa depannya.

Menyorot rentetan perjalanan projek ini, semasa menyakinkan
pengurusan KADA pada 2006, syarikat yang dikatakan menunjukkan minat
mendalam untuk melabur, memohon kerjasama KADA untuk terbabit dengan
mendorong petani menjadi pembekal bahan mentah.

KADA mengkajinya dengan teliti dan membuat pertimbangan panjang
lebar dari pelbagai aspek termasuk mendapat pandangan dan nasihat
daripada pelbagai pihak yang mempunyai kepakaran, terutamanya dari
sudut ekonomik dan viability.

KADA seterusnya melihat projek ini berpotensi sebagai satu komoditi
baru yang diperkenalkan bagi memberikan satu sumber pendapatan tambahan
kepada petani.

Di samping itu, ia diharap dapat mengoptimumkan penggunaan tanah
khususnya kawasan tanah tinggi yang tidak dapat diusahakan dengan
tanaman padi, apatah lagi tanaman ini mudah dikendalikan.

Sehubungan itu, KADA membuat keputusan menerima cadangan ini dengan
melantik PPK Jaya Peringat dan PPK Kubang Sepat sebagai pihak yang akan
bertindak sebagai pembeli hasil ubi kayu daripada petani dan seterusnya
membekal kepada kilang.

Pada 18 Mac 2007, satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani
antara syarikat berkenaan dengan PPK sebagai satu mekanisme pelaksanaan
projek.

Ia menjanjikan harga pembelian yang menguntungkan semua pihak di
mana petani memasarkannya melalui PPK dengan harga 50 sen sekilogram
manakala pengilang akan membeli dengan harga 80 sen daripada PPK.

Pendapatan

Bagi tanaman seluas 0.4 hektar yang dianggarkan menghasilkan 24
hingga 30 tan, petani boleh membayangkan pendapatan sekitar RM11,000
hingga 13,000 setiap kali tuaian selepas tempoh matang dalam lingkungan
6 hingga 10 bulan.

Seterusnya, KADA dengan kerjasama syarikat dan PPK berkenaan telah
menggerakkan program penanaman ubi kayu Cassava mengikut jadual
tertentu dengan sasaran 5,000 tan hasil buat permulaan bagi menampung
keperluan syarikat.

Pengurus Besar KADA, Ibrahim Mat memberitahu, malangnya, selepas
beberapa ketika, pemilik syarikat berkenaan menghilangkan diri tanpa
dapat dikesan sehingga kini.

”Janji untuk mendirikan kilang pemprosesan tidak menjadi kenyataan
tetapi pada masa yang sama ubi kayu Cassava yang ditanam itu telah mula
membesar dan mengeluarkan hasil. Ini mencetuskan masalah pemasaran,”
katanya.

KADA terpaksa memikul tanggungjawab besar bagi menyelesaikan masalah
longgokan hasil dengan berusaha sedaya upaya menerusi pelbagai saluran
termasuk pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta pihak-pihak lain
bagi mencari pasaran.

Pada mulanya dikatakan ada beberapa pihak yang telah menunjukkan
minat untuk membeli hasil tersebut tetapi setelah dibuat susulan, pihak
yang berkenaan telah menyepikan diri dan tidak memberikan sebarang
keyakinan.

Namun demikian, menurut Ibrahim, KADA terus berusaha untuk
menyelesaikan masalah tersebut termasuk membuat cadangan tertentu
kepada pihak-pihak yang berkenaan.

Masalah ini juga telah dikemukakan kepada pihak Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani untuk sama-sama mencari jalan
penyelesaian demi kepentingan petani.

Akhir-akhir ini, terdapat sebuah syarikat dari Melaka yang
menyatakan persetujuan secara dasar untuk membeli hasil petani dan KADA
sedang mengadakan rundingan lanjut.

KADA tentunya memahami masalah ini perlu diselesaikan dengan secepat
mungkin dan berharap rundingan itu akan membuahkan hasil bagi
melenyapkan keresahan petani dan menyakinkan semula petani terhadap
potensi penanaman ini.

Laman Berikutnya »

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 183 other followers