PELBAGAI cara dilakukan dalam pembuatan produk perubatan agar khasiat dan kelebihan ubat tersebut dapat dinikmati oleh semua peringkat pengguna.

Terbaru, sejenis snek atau gula-gula untuk fungsi perubatan telah dihasilkan menggunakan bahan asas tumbuh-tumbuhan herba.

Pembuatan gula-gula yang diberi nama Amli Licorice Candy itu memfokuskan kepada penggunaan daun herba dukung anak sebagai ramuan utama selain dicampurkan dengan bahan sampingan seperti air bunga lawang dan tepung gandum.

Dukung anak atau nama saintifiknya Phyllanthus niruri merupakan sejenis tumbuhan herba berkhasiat yang banyak digunakan dalam perubatan tradisional.

Ia dipercayai dapat memberi banyak faedah untuk tujuan kesihatan dan juga sebagai penawar kepada pelbagai penyakit.

Penyelidikan mengenai gula-gula tersebut telah dijalankan oleh sekumpulan pensyarah dari Fakulti Perhotelan dan Pengurusan Pelancongan, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menurut salah seorang pensyarah, Roslina Ahmad, idea untuk menghasilkan gula-gula berkenaan timbul setelah mendapati khasiat tumbuhan herba dukung anak berpotensi untuk dikomersialkan.

“Daun tersebut juga senang untuk diperoleh kerana ia membiak dengan mudah di banyak kawasan.

“Tambahan pula sekarang ini terdapat beberapa pihak yang mengusahakan tanaman tumbuhan ini secara perladangan,’’ katanya pada Persidangan dan Pameran BioMalaysia 2008 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Walaupun untuk tujuan perubatan, namun gula-gula tersebut mempunyai rasa yang sedikit manis dan berpudina sesuai dimakan oleh semua peringkat umur termasuk kanak-kanak pada bila-bila masa.

Produk yang melalui proses penyelidikan lebih tiga bulan itu mudah untuk dihasilkan dan hanya memerlukan kos yang rendah.

Penghasilannya melibatkan proses seperti campuran bahan, adunan dan pemanasan sebelum dihasilkan dalam bentuk jeli yang kemudiannya akan di potong secara memanjang.

Melihat kepada kelebihannya, sumber herba tersebut kini semakin diperluaskan penggunaannya di kalangan pengamal perubatan moden.

Produk gula-gula herba berkenaan sedang dalam proses untuk dipatenkan dan bakal dikomersialkan untuk memberi manfaat kepada ahli masyarakat.

About these ads