ADINAN Amran menunjukkan hasil tuaian bunga roselle yang diusahakannya di Felda Layang-Layang, Kluang, Johor, semalam.



KLUANG 3 Okt. – Seorang peneroka, Adinan Amran, 48, kini boleh berbangga kerana hasil titik peluhnya mengusahakan tanaman roselle membuahkan pendapatan lumayan lebih RM3,800 sebulan.

Lebih membanggakan, tanaman itu bukan sahaja menambah pendapatannya sebagai peneroka di Felda Layang-Layang, malah ladang roselle di tanah seluas 9.7 hektar itu juga berjaya meningkatkan eksport makanan negara dan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Beliau berkata, sebanyak 4,000 pokok roselle yang ditanam sejak dua tahun lepas, kini berjaya menghasilkan 13,000 kilogram (kg) bunga dan dijual pada harga RM3.50 satu kg yang memberi pulangan RM45,500 dalam tempoh enam bulan.

“Pada mulanya, pokok roselle itu ditanam di tanah seluas 1.6 hektar dengan hasil pengeluaran mencecah lebih 6,000kg bunganya yang dijual dengan harga RM2.80 satu kg untuk menghasilkan pendapatan RM16,800 dalam tempoh enam bulan,” katanya ketika ditemui di ladangnya di sini, baru-baru ini.

Adinan berkata, hasil tani itu kemudian diserahkan kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang kemudian mengeksportnya melalui syarikat Aslah Sdn. Bhd., ke Australia, Amerika Syarikat dari Eropah.

“Saya gembira kerana harga roselle ini sentiasa meningkat dan permintaannya di luar negara terlalu tinggi sebab penduduk di Barat menggemari roselle sebagai makanan atau dijadikan jus minuman untuk membekalkan vitamin C,” katanya.

Katanya, selepas menyertai beberapa kursus dan berbekalkan pinjaman daripada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sebanyak RM20,000 dan Jabatan Pertanian berjumlah RM8,400 serta modal sendiri RM9,000, maka tanaman yang jarang-jarang ditanam secara besar-besaran itu diusahakan.

Adinan berkata, roselle adalah sejenis pokok yang mengeluarkan buah dan bunga, tetapi hanya kelopak bunga itu sahaja yang diambil dengan diasingkan selepas buahnya dipetik.

Mengenai penjagaan tanaman itu, beliau berkata, ia boleh digolongkan sebagai mudah dijaga namun terdapat beberapa penyakit yang sering menyerangnya akibat serangga dan terkena hujan.

Katanya, penyakit yang biasa menyerang ialah reput pangkal batang namun ia dapat diatasi dengan bantuan Jabatan Pertanian.

Benih pokok itu dibeli daripada Jabatan Pertanian dan ditanam dalam polibeg sebelum dipindahkan ke ladang. Pokok itu perlu disembur racun secara berkala dan selepas enam bulan ia mula mengeluarkan buah untuk dituai.

Menariknya, beliau berkata, apabila sudah berbuah, rumput-rumput di sekitar pokok itu tidak perlu dibersihkan sebaliknya perlu dibiarkan semak bersama pokok tersebut kerana keadaan itu memberi perlindungan kepada pokok.

Selepas buahnya dipetik ia akan diasingkan antara kelopak dan biji di sebuah bangunan di ladangnya oleh pekerja-pekerja sebelum bunga itu dihantar ke FAMA.

Kegigihan Adinan wajar dicontohi kerana selain meraih keuntungan bersih sebanyak RM3,800 sebulan, beliau juga mempunyai nilai aset RM143,000 dan menggajikan kira-kira 10 pekerja dengan upah antara RM600 hingga RM800 seorang setiap bulan.

Baginya, tanaman roselle amat berpotensi dikembangkan dan diceburi oleh peneroka atau usahawan lain yang ringan tulang mahu berbakti kepada tanah kerana pulangannya cukup lumayan.

About these ads