serdang 22 Ogos – Khabar gembira untuk pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) apabila Agro Bank memutuskan untuk menambah jumlah pinjaman skim kredit mikro bagi Modal Usahawan Tani (MUST) kepada kadar maksimum RM40,000 dalam tempoh dua bulan lagi.

Naib Presiden Agro Bank, Ab. Malik Ahamad berkata, skim tersebut hanya dibuka kepada usahawan IKS yang berhasrat untuk membuat pinjaman kali kedua dan seterusnya.

”Kita telah memutuskan untuk meningkatkan jumlah pinjaman, memandangkan pinjaman maksimum sebelum ini iaitu sebanyak RM20,000 tidak mencukupi sehingga ada di kalangan pengusaha yang terpaksa membuat pinjaman dengan Agro Bank secara berulang kali bagi mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di sini hari ini.

Beliau memberitahu, untuk tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, Agro Bank telah meluluskan pinjaman kepada 10,000 usahawan IKS yang ingin memulakan perniagaan di bawah skim kredit mikro sebanyak RM121.4 juta.

Menurut Ab. Malik, sebanyak 90 peratus usahawan di bawah skim kredit mikro telah berjaya meningkatkan pendapatan mereka kepada 50 peratus dalam tempoh setahun hingga dua tahun sahaja.

”Statistik ini diperoleh daripada kajian yang dibuat hasil kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM) selama enam bulan pada pertengahan tahun lalu bagi menilai keberkesanan skim kredit mikro,” ujarnya.

Katanya lagi, hasil daripada kajian itu juga mendapati usahawan IKS masih mempunyai ruang yang luas untuk mengembangkan perniagaan mereka khususnya dalam sektor pertanian berasaskan produk makanan dan herba.

Ab. Malik menjelaskan, Agro Bank juga telah meluluskan pinjaman kepada 91,840 orang pengusaha IKS dengan jumlah pinjaman sebanyak RM2.46 bilion sejak Januari hingga Julai lalu.

Tambah beliau, pinjaman yang disalurkan oleh Agro Bank bukan sahaja membantu usahawan IKS memasarkan produk mereka di dalam negara, malah di luar negara juga.

About these ads