TAWAU, 28 Julai (Bernama) — Sawit Kinabalu Farm Sdn Bhd, anak syarikat Sawit Kinabalu, menyasarkan menternak 35,000 ekor lembu daging menerusi sistem ternakan integrasi lembu dan ladang kelapa sawit, menjelang 2017.

Pengurus Sawit Kinabalu Farm Sdn Bhd, Dr Mohd Azid Kabul berkata pada masa ini ladang integrasi yang pertama seumpamanya di Sabah itu menternak sebanyak 7,452 ekor lembu di 13 ladangnya di negeri itu.

Lima daripada ladang berkenaan terletak di Tawau dan lapan lagi di Lahad Datu.

“Ketika projek ini dimulakan pada 2004, jumlah lembu yang diternak ialah sebanyak 3,372 ekor.

“Sawit Kinabalu Farm Sdn Bhd, sebuah anak syarikat kerajaan Negeri Sabah, komited dalam pengeluaran lembu daging melalui ladang integrasi lembu di ladang kelapa sawit,” katanya pada taklimatnya kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Yahya Hussin yang melawat ladang berkenaan di Balung, dekat sini, Isnin.

Ladang berkenaan diwujudkan selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran daging dalam negeri dan seterusnya mengurangkan import.

Selain menjual daging, ia juga membekalkan baka lembu daging kepada penternak yang berminat dalam sektor berkenaan di Sabah.

Sementara itu, Dr Mohd Azid berkata sistem ternakan dan kualiti pengurusan yang diguna pakai ladang berkenaan diiktiraf oleh Persatuan Penternak Brahman Australia (ABBA).

Katanya sistem berkenaan, selain menghasilkan lembu daging, ia juga membantu pihak pengurusan ladang mengurangkan kos penyelenggaraan seperti kos buruh dan racun, sebanyak 30 peratus.

Selain melawat ladang itu, Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah turut melawat ladang integrasi kambing yang diternak di ladang kelapa sawit di Kg Wakuba, dekat sini.

– BERNAMA

About these ads