Ogos 2008
Arkib Bulanan
Ogos 29, 2008
Posted by harizamrry under
Agro - biz 1 Comment
 |
Nik Aizan Nik Abdullah menunjukkan rak yang boleh diletakkan bekas tanaman cendawan bertingkat-tingkat bagi meningkatkan pengudaraan dan mengelakkannya bertindih.
|
Perkembangan industri pertanian yang semakin rancak sekarang banyak didorong oleh penglibatan semakin ramai pihak dan memerlukan banyak input memandangkan permintaannya semakin tinggi.
Penggunaan tenaga buruh sebagai contoh juga bertambah menyebabkan kos pengeluaran meningkat terutama di ladang buah-buahan yang tidak menggunakan jentera atau mesin secara optimum.
Ladang buah-buahan seperti belimbing, jambu dan nangka memerlukan tenaga buruh yang banyak bagi kerja-kerja membungkus buah-buahan.
Pembungkusan buah-buahan perlu bagi mengelakkannya diserang serangga perosak lalat buah.
Serangan lalat buah akan menyebabkan buah-buahan tempatan sukar menembusi pasaran antarabangsa.
Justeru seorang pensyarah Jabatan Reka Bentuk Industri, Fakulti Reka Bentuk dan Arkitektur, Universiti Putra, Serdang, Selangor, Nik Aizan Nik Abdullah telah menjalankan kajian bagi membantu petani menyelesaikan masalah tenaga buruh.
“Menyediakan pembungkus bagi menghalang serangan serangga perosak lalat buah merupakan kerja yang remeh.
“Petani biasanya menggunakan kertas surat khabar lama sebagai pembalut buah,” katanya semasa pameran Ekspo Reka Bentuk, Penyelidikan dan Inovasi, UPM di Serdang, Selangor, baru-baru ini.
Kertas yang digunakan perlu dilipat menggunakan dawai kokot sebelum dibungkus pada buah dan diikat menggunakan dawai.
Kertas surat khabar lama ini biasanya akan koyak apabila terkena air hujan dan cahaya matahari pada masa satu hingga dua minggu.
Semua tugas yang remeh dan cerewet memerlukan tenaga buruh yang banyak dan meningkatkan kos pengeluaran.
“Kajian yang dijalankan mendapati kertas biodegredasi (reput secara semula jadi) lebih baik digunakan untuk membalut buah.
“Selain mesra alam, kertas berkenaan tidak menggunakan dakwat yang toksik kepada kesihatan manusia,” katanya.
Menggunakan kertas biodegredasi, Nik Aizan mengaplikasikan kaedah origami bagi melipat kertas.
Kertas yang dilipat sehingga kepada saiz tertentu akan mudah digunakan bagi membalut buah seperti belimbing dan jambu.
Kertas yang dapat menyerap kelembapan ini akan semakin membesar apabila saiz buah semakin membesar sehingga boleh dipetik.
Buat masa ini, Nik Aizan berkata, pihaknya boleh menghasilkan sehingga 10,000 keping pada satu-satu masa.
Belum dikomersialkan, produk ini masih dalam kajian bagi meningkatkan lagi mutu dan kualitinya.
Ditanya mengenai peningkatan produk pembungkusan buah-buahan ini, Nik Aizan berkata, selain untuk membungkus buah belimbing dan jambu, pihaknya akan menjalankan kajian bagi membungkus buah nangka.
Selain pembungkus belimbing, Aizan juga menghasilkan rak tempat meletakkan beg cendawan.
“Biasanya beg cendawan akan diletakkan bertimpa-timpa menyebabkan kurang pengudaraan.
“Ini akan menyebabkan beg cendawan tidak boleh digunakan dalam tempoh masa yang lama,” katanya.
Menggunakan teknik injection mold bagi menghasilkan rak tempat meletak cendawan daripada bahan high density polyetilene yang ringan dan tahan lasak.
Rak yang boleh diletakkan bertingkat-tingkat ini boleh tahan lama jika diselenggara dengan baik.
“Menggunakan sistem interlock, rak ini bukan saja ringan dan senang diangkut tetapi juga senang disusun.
“Kajian kami juga menunjukkan dengan pengudaraan yang baik, cendawan yang ditanam kurang tercemar,” katanya.
Rak tempat cendawan ini masih dalam kajian dan masih belum dikomersialkan.
Ogos 29, 2008
KUCHING: Lepasan Institut Pertanian Sarawak (IPS) di sini, perlu berani menceburkan diri dalam dunia keusahawanan tani berskala besar, bukan menggunakan kemahiran dan pengetahuan yang dimiliki untuk mendapat pekerjaan dalam sektor kerajaan atau swasta.
Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, berkata untuk lebih berjaya dalam bidang pertanian, mereka harus mengubah cara berfikir dan berani menceburkan diri dalam dunia keusahawanan.
Beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, berkata mereka akan terus ketinggalan sekiranya terus dan hanya berfikir menggunakan kemahiran serta pengetahuan yang diperoleh dari IPS untuk mencari pekerjaan, sama ada dengan kerajaan dan swasta.
Katanya, setiap lepasan IPS juga boleh merealisasikan pertanian sebagai perniagaan, kerana ramai petani di negara ini yang sudah bergelar usahawan tani berjaya dan contoh.
“Sebelum ini kita pernah mendengar cerita, ada kalangan mereka yang tidak pernah pergi ke sekolah, mampu menjadi usahawan tani yang berjaya, apatah lagi lepasan IPS yang sudah diberi latihan khas dalam bidang pertanian.
“Memang benar, untuk menjadi seorang usahawan tani yang berjaya bukanlah mudah, namun kunci kejayaan ialah tidak mudah putus asa dan sentiasa belajar dari kesilapan,” katanya di Majlis Penganugerahan Sijil Pertanian Malaysia IPS sesi 2006/2008 di sini, semalam.
Turut hadir, Menteri Muda Industri Makanan, Datuk David Teng Lung Chi; Menteri Muda Pertanian (Organisasi dan Koperasi) Datuk Peter Nyarok Entrie dan Menteri Muda Pertanian (Ekonomi Rumah Tangga dan Latihan) Datin Fatimah Abdullah.
Seramai 89 pelajar dari seluruh negeri ini berjaya menamatkan latihan pertanian selama dua tahun bermula 2006 lalu.
Dr Chan yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, berkata dunia kini berhadapan dengan krisis kekurangan dan kenaikan harga makanan ekoran pertukaran cuaca, kemerosotan alam sekitar dan kenaikan harga minyak dunia.
“Kita perlu melakukan sesuatu untuk mengurangkan impak cabaran itu dan berdasarkan kepada perkara itu, bidang pertanian kini menjadi lebih penting.
“Kerajaan menetapkan untuk menjadikan negeri ini dan negara sebagai pengeluar utama makanan dunia,” katanya.
Beliau berkata, kementeriannya mempunyai tugas besar di dalam membantu negara mengatasi defisit perdagangan.
Katanya, sasaran negara adalah untuk mencapai lebihan dagangan agro makanan sebanyak RM1.2 bilion pada 2010.
Ogos 28, 2008
Posted by harizamrry under
Agro - biz [2] Comments

BERMUTU: Pelajar UTM, Nur Abainah Shamsul Annuar (kiri) dan Ainul Zura Zulkepli menunjukkan produk PalmVico dan Wisderm. |
Produk diperluas sehingga ke pasaran luar negara termasuk Eropah dan Amerika Syarikat
KHASIAT minyak kelapa dara yang dihasilkan daripada santan kelapa sudah diketahui sejak dulu lagi dan digunakan secara meluas masyarakat terutama untuk penjagaan kesihatan.
Kini, sejajar dengan kemajuan teknologi terutama dalam bidang bioteknologi, minyak itu mula diperluaskan penggunaannya malah dikomersialkan bukan saja untuk pasaran tempatan, tetapi dieksport sehingga ke Eropah dan Amerika Syarikat.
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi pusat penyelidikannya, Chemical Engineering Pilot Plant (CEPP), Fakulti Kimia dan Kejuruteraan Sumber Asli tidak ketinggalan menghasilkan dua produk kecantikan dan kesihatan terbaru dengan jenama Wisderm serta Palmvico yang menggunakan minyak kelapa dara sebagai bahan asas.
Timbalan Pengarah CEPP, Prof Dr Mohamad Roji Sarmidi, berkata produk kecantikan Wisderm dihasilkan khusus untuk penjagaan kulit dan muka merangkumi losyen pelembap, pembersih dan penyegar.
Katanya, khasiat asid lemak rantaian pendek dan sederhana serta fitokimia pada minyak kelapa dara adalah antara kandungan utama dalam penghasilan Wisderm.
“Khasiat minyak kelapa dara pada produk ini menyediakan nutrisi kepada kulit pengguna kerana ia mudah diserap serta berfungsi sebagai emolien yang baik sesuai untuk semua jenis kulit.
“Losyen pelembap, misalnya diformulasikan untuk memberikan nutrisi lengkap, melindungi dan melembutkan permukaan kulit dengan meningkatkan keseimbangan semula jadi,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Katanya, produk Palmvico pula adalah makanan kesihatan tambahan yang dihasilkan menerusi gabungan minyak kelapa dara dan ekstrak minyak kelapa sawit.
Dihasilkan dalam bentuk kapsul gel lembut, beliau menjelaskan, gabungan kedua-dua minyak tersebut menyediakan asid lemak rantai sederhana dan pendek serta fitokimia seperti tokoferol, tokotrienol serta polifenol yang mampu membekalkan metabolit kepada badan manusia, selain antioksidan bagi tujuan metabolisme sel badan.
“Setiap kapsul mengandungi 450 mg minyak kelapa dara dan 50 mg ekstrak minyak kelapa sawit, manakala pengambilan Palmvico mampu memberikan metabolit dan kofaktor untuk metabolisma sel,” katanya.
Sambil menjelaskan kajian penyelidikan CEPP terhadap minyak kelapa dara bermula sejak tiga tahun lalu, beliau berkata, tumpu turut diberi kepada penghasilan produk kesejahteraan untuk manusia, haiwan dan tumbuhan.
“Asas kesejahteraan organisma ialah keseimbangan atau homeostasis di peringkat sel dan bagi memperolehnya setiap sel perlu diberikan nutrisi lengkap dan dihindarkan dari bahan cemar. Itulah asas produk yang diberi tumpuan dalam setiap penyelidikan CEPP.
“Setakat ini, CEPP berjaya menghasilkan 16 produk berasaskan tumbuhan alam semula jadi seperti herba, nutraseutikal, perasa, wangian, makanan dan biobaja,” katanya.
KHASIAT MINYAK KELAPA DARA
Manfaat Minyak Kelapa Dara terhadap kesihatan manusia :-
Kecantikan luaran:
• Membantu mengurangkan berat badan dengan meningkatkan angka metabolik.
• Menghasilkan tenaga segera.
• Jika disapu, ia membantu membentuk hambatan kimia pada kulit untuk mengurangkan infeksi, mencegah garis-garis halus.
• Mengurangkan gejala psoriasis, eksim dan dermatitis.
• Melembut dan mengurangkan kekeringan dan kekenduran kulit serta memberi perlindungan dari sinaran ultraviolet.
• Mengurangkan masalah rambut gugur dan kelemumur.
Kesihatan dalaman:
• Meningkatkan tenaga dan daya tahan fizikal dan mental.
• Memperbaiki pencernaan dan penyerapan vitamin-vitamin dan asid amino.
• Melancarkan sekresi insulin dan pengaliran glukosa darah serta mengurangkan risiko diabetis.
• Mengurangkan stress pada pancreas dan sistem – sistem enzim dalam tubuh.
• Meningkatkan penyerapan kalsium dan magnesium untuk tulang dan gigi yang kuat. Ia juga melindungi diri dari serangan osteoprosis.
• Mencegah risiko sakit jantung.
• Mencegah atherosclerosis dan stroke serta membantu menurunkan tekanan darah tinggi.
Meningkatkan daya tahan tubuh:
• Membantu fungsi sistem daya tahan pada tubuh, melindungi tubuh dari kanser payudara, kanser colon dan kanser rahim.
• Berfungsi sebagai antioksidan, mengurangkan radang kronis.
• Melindungi tubuh dari radikal bebas yang meningkatkan tahap penuaan dan penyakit degeneratif.
• Meredakan gejala-gejala yang dihubungkan dengan pembesaran prostate
• Mengurangkan tekanan epileptis dan membantu melindungi tubuh kita dari penyakit ginjal dan infeksi pundi kencing.
• Membantu mencegah sakit liver dan memiliki kandungan kalori yang lebih rendah berbanding lemak-lemak yang lain.
Membunuh virus, bakteria dan kulat.
• Membunuh virus (yang menyebabkan mononucleosis, influenza, hepatitis C, cacar air dan herpes) bakteria (yang menyebabkan pneumonia, sakit telinga, infeksi kerongkong, gigi berlubang, keracunan makanan, infeksi saluran kencing, meningitis dan gonorrhea) kulat (yang menyebabkan candida, jock itch, kadas dan infeksi yang lain) serta membunuh cacing pita, lice, giardia, dan parasit.
Hubungan suami isteri.
• Menyegarkan dan merawat sel kulit menjadi lebih tegang (elastik).
• Memperbaiki kandungan asid dalam rahim dan bertindak sebagai agen pelincir alami (natural).
• Membunuh kulat, bakteria dan virus atau sakit kulit pada kemaluan
(keputihan).
• Amat baik bagi mengatasi masalah monopos wanita.
*Rujukan: Buku “ The Healing Miracles of Coconut Oil : Dr.Bruce Fife” dan Internet.
Untuk keterangan lanjut tentang produk sila kunjungi laman web ini. www.bio-asli.com/?id=w6767w
Ingin Mendaftar sebagai ahli VIP: www.bio-asli.com/daftar.asp?id=w6767w
Ogos 28, 2008
Malaysia berpotensi jadi pengeluar utama dunia
DATUK Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika merasmikan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan, Pembungkusan dan Pengedaran (CPPC) Kenaf di Bachok, Kelantan baru-baru ini, melahirkan keyakinan tanaman itu mampu menjadi komoditi terpenting negara seperti getah dan kelapa sawit.
Menurut Perdana Menteri, Malaysia berpotensi menjadi pengeluar kenaf terkemuka dunia dalam jangka masa panjang berdasarkan kekuatan yang ada khususnya pengalaman dalam pengurusan ladang berskala besar, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta jalinan antarabangsa yang kukuh.
Sehubungan itu, beliau mahu semua pihak berusaha menjadikan tanaman itu sebagai sumber penting negara menerusi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), khususnya menggantikan tembakau yang kurang kompetitif sejajar pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas Asean (Afta).
Walaupun usaha membangunkan kenaf bermula lebih 10 tahun lalu menerusi perancangan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), secara umumnya masih ramai tidak tahu rupa bentuk tanaman itu dan kegunaannya yang banyak ditanam di tanah jenis bris di kawasan pesisir pantai.
Kenaf atau nama saintifiknya Hibiscus cannabinus adalah sejenis tanaman jangka pendek berserat dan bukan berkayu yang berasal dari Afrika (barat Sudan) dengan sejarah tanaman ini melebihi 4,000 tahun.
Tanaman ini tergolong dalam keluarga Hibiscus yang mempunyai persamaan dengan tanaman kacang bendi dan kapas. Secara morfologinya, kenaf mempunyai kaitan rapat dengan tanaman roselle (Hibiscus sabdariffa).
Kenaf juga dikenali tanaman herba jangka pendek musim panas yang mampu menghasilkan serat panjang (25-30 peratus) pada bahagian kulit luar batang yang dinamakan ‘bast’ dan juga serat pendek yang lebih dikenali sebagai ‘core’ (70-75 peratus) dari bahagian dalam batang.
Ia mampu mencapai ketinggian lapan sehingga lima meter dan biasanya dituai dalam tempoh 120 hingga 150 hari selepas ditanam. Hasil berat batang kering bagi kenaf adalah antara 15 hingga 20 tan metrik bagi setiap hektar tanaman.
Kenaf juga boleh dituai dalam tempoh antara 45 hingga 60 hari untuk dijadikan makanan ternakan memandangkan dalam usia itu, kandungan protein kasar dalam daunnya melebihi 20 peratus dan kebiasaannya, selepas 80 hari kadar protein dalam kenaf akan menurun disebabkan penurunan kadar nisbah daun kepada batang dan juga pembentukan serat di dalam bahagian batang.
Pemilihan jenis kenaf bergantung kepada persekitaran dan agroiklim yang berbeza iaitu dari segi pertumbuhan pokok, keperluan fotokala, bentuk daun, bunga, biji benih dan lilitan batang, manakala penyaringan jenis bergantung kepada nisbah kulit luar per bahagian dalam dan jumlah berat hasil sehektar.
Di Malaysia, antara jenis kenaf yang sesuai ditanam ialah V36, G4, KB6, Tainung, Quiping dan Khon Kaen 60. Jenis V36 diusahakan secara meluas di Malaysia kerana mempunyai ciri-ciri yang sesuai dengan iklim negara ini, selain mempunyai serat bermutu tinggi.
Kini, kenaf ditanam secara skala komersial di China, Myammar, India, Bangladesh dan Thailand, namun di Malaysia, industri ini mula mendapat perhatian serius disebabkan keperluan sektor industri sebagai alternatif menggantikan bekalan bahan mentah tertentu terutama kayu yang semakin sukar diperoleh.
Kenaf mempunyai pelbagai kegunaan dan secara tradisinya, ia sering dijadikan tali atau beg guni. Namun dengan perkembangan industri serat dan gentian yang semakin meluas, kenaf mula mendapat perhatian untuk dijadikan bahan mentah bagi kegunaan lain.
Antara kegunaannya ialah dijadikan bahan mentah dalam industri bio komposit sebagai bahan pembuatan untuk dek, permukaan meja, atap gentian, tingkap, pintu dan lantai serta perkakasan bagi produk elektronik dan komponen automotif termasuk pelapik utama pintu.
Selain itu, ia juga boleh dijadikan bahan pembungkusan, kertas tulis dan cetak serta kertas keselamatan selain makanan ternakan dalam bentuk silaj, foder, palet dan kiub serta kegunaan industri tekstil seperti kemeja T, baju dan tuala mandi.
Penanaman kenaf yang diusahakan secara perladangan berskala besar dalam pembangunan ECER dijangka mampu memberi peluang pekerjaan kepada lebih 10,000 petani di Kelantan dan Terengganu dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan menerusi tuaian kenaf yang dihantar untuk diproses oleh CPPC, selain berpeluang menceburi bidang sampingan lain termasuk keusahawanan.
Buat permulaan kerjasama syarikat tempatan, Symphony Advance Sdn Bhd (SASB) dan syarikat Korea, Samsung Cheil Industries Inc bagi membangun dan mengeksport komposit polimer kenaf bagi penghasilan komponen elektronik serta automotif menyaksikan 1,000 tan serbuk kenaf dieksport ke negara itu sebelum ditingkatkan kepada lebih 2,000 tan setiap bulan.
Menerusi ECER, Majlis Pembangunan ECER dengan kerjasama Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi melalui Lembaga Tembakau Negara (LTN) membangunkan industri kenaf menggunakan model ladang secara estet dan penanaman secara kontrak untuk menyokong peladang kecil berkelompok.
Projek terbabit akan menggunakan kaedah pertanian ladang nukleus yang mana syarikat induk akan mewujudkan CPPC sebagai pusat bagi kegiatan hiliran kenaf, selain memproses gentian kenaf bagi pekebun kecil kerana kosnya tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis ECER, Datuk Jebasingam Issace John, berkata pembangunan ladang kenaf boleh diintegrasikan dengan kegiatan bersepadu pertanian lain seperti penternakan lembu fidlot dan ikan dalam sangkar, selain mewujudkan perladangan kontrak dan peluang keusahawanan.
“Disebabkan kenaf adalah tanaman mudah dan mesra alam serta tidak memerlukan tenaga buruh yang intensif, petani boleh menambah pendapatan dengan membabitkan diri dalam aktiviti bersepadu seperti penanaman jagung, penternakan ikan dan haiwan ternakan lain.
“Ladang kenaf tidak memerlukan penjagaan rapi seperti ladang jagung yang boleh digunakan sebagai makanan ternakan, manakala najis haiwan ternakan pula boleh dikitar semula menjadi baja untuk tanaman kenaf,” katanya.
Ogos 27, 2008
 |
| PUAS HATI: Semua dapat rasa menaikkan kelah. |
KUALA TAHAN: Sejak ikan kelah (Tor duronensis) diberi publisiti pada tahun 1822 oleh seorang pemancing British, Francis Hamilton Buchanan, menyaksikan si Raja air tawar ini sering diburu kaki pancing sama ada ditangkap untuk dimakan dan dipelihara, malah tidak kurang juga menjadikannya sebagai ikan sukan.
Di Malaysia, ikan berkenaan sering menghiasi akuarium di kebanyakan rumah atau kedai ikan peliharaan, paling tragis ia menjadi juadah makan malam atau tengah hari.
Kelah mendiami sungai dan tasik, ia akan naik ke anak sungai yang pantas serta dasar sungai yang berbatu-batan untuk membiak. Seperti spesies ikan kap yang lain, kelah adalah omnivor dan makan bukan saja alga, krustasia, serangga, katak dan ikan yang lain, tetapi juga buah ara yang jatuh daripada pokok di tepi sungai menjadi tumpuan.
Bagi geng Memerang Bentong iaitu Karim Janggut, Mubin, Arafin Jahar, Abdul Razak, Termizi Arafin dan Ghazali Arafin dengan dibantu tekong Pak Abu Abdullah, ekspedisi menjejak kelah di Sungai Keniam Kecil, Taman Negara, Kuala Tahan baru-baru ini menyaksikan mereka berpesta tangkapan.
Karim berkata, ekspedisi tiga hari dua malam itu menyaksikan masing-masing membawa pulang dua ekor kelah seorang seperti disyaratkan Perhilitan, malah melepaskan semula ikan bersaiz kecil bagi memastikan populasinya dipelihara.
“Sekurang-kurangnya dengan mengamalkan sistem tangkap dan lepas, generasi akan datang masih boleh melihat spesies ini suatu hari nanti,” katanya ketika ditemui Joran, baru-baru ini.
Menurut Karim, sebelum masuk ke Sungai Keniam Kecil, beliau mengarahkan pemancing supaya membawa tali pita atau alat timbangan bagi mengukur kelah yang ditangkap iaitu kurang dua kilogram perlu dilepaskan.
“Walaupun itu tangkapan pertama, kelah bersaiz kecil wajib dilepaskan. Sekiranya tidak dipatuhi, pemancing terbabit akan dipotong namanya daripada menyertai apa jua ekspedisi yang dianjurkan Memerang Bentong. Pada masa yang sama, mendidik pemancing supaya lebih prihatin terhadap kelah dan memastikan bekalan ikan sentiasa terjamin.
“Memang benar, ikan banyak di sungai tetapi kalau tiada keinsafan dalam diri betapa pentingnya memuliharanya bekalan akan berkurangan. Kita juga akan rugi apabila sungai di negara ini tiada lagi spesies kelah mendiaminya,” katanya.
Bagi Arafin pula, walaupun tiada peraturan ditulis bahawa kelah betina atau ikan beratnya melebihi empat kilogram ke atas wajib dilepaskan semula ke habitat asalnya, namun kami berpegang teguh dengan prinsip supaya ikan berkenaan perlu dijadikan baka atau induk.
“Tidak dinafikan, ketika bertarung ada juga ikan bersaiz ini mati kerana terlalu lama. Jadi ikan ini kita ambil dan dimasak di dalam hutan untuk dimakan, bukannya dibawa pulang ke rumah,” katanya.
Katanya, bermula di jeti masuk Kuala Tahan ke Sungai Keniam, berpuluh lubuk kelah dikenal pasti Geng Memerang, namun cabang anak Sungai Keniam Kecil menjadi pilihan kerana ia sentiasa memberi hasil yang lumayan.
“Kelah di sini suka makan kelapa sawit tua yang berminyak dan pantang dilempar ke air, sudah pasti disambar. Begitu juga memancing di sini, tidak perlu menggunakan batu ladung kerana dikhuatiri mengganggu kedamaian air sungai berkenaan dan kelah akan lari bersembunyi,” katanya.
Mereka yang ingin merasai pengalaman menjejak kelah Sungai Keniam Kecil boleh menghubungi Pak Abu, 0179261464.
Ogos 27, 2008
 |
| PERIKSA: Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Junaidi Che Ayub (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Trapia Malaysia Sdn Bhd, Albert Altena (dua dari kiri) dan kakitangan syarikat terbabit melihat ikan tilapia yang diternak di Tasik Banding, Perak. |
PERAK: Yayasan Emkay mengambil inisiatif untuk membantu memulihara spesies ikan yang semakin kurang di Hutan Royal Belum seperti kelah, temoleh dan tengalan dengan menubuhkan pusat penyelidikan di Pulau Banding dekat Hulu Perak.
Dengan sumbangan hampir RM1 juta, yayasan di bawah Kumpulan Syarikat Emkay itu berjaya menyiapkan Pulau Banding Rainforest Research Centre, baru-baru ini.
Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Emkay, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar, berkata pihaknya kini di peringkat akhir rundingan dengan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi memulakan kajian bagi memulihara beberapa spesies ikan yang semakin berkurangan di Tasik Banding dan Tasik Temenggor.
Katanya, kerjasama itu ialah antara Usains Holdings, iaitu anak syarikat USM dengan Yayasan Emkay.
“Jika perjanjian dapat dimuktamadkan bulan ini, beberapa penyelidik dari USM, Pulau Pinang akan ditempatkan di Pulau Banding Rainforest Research Centre mulai bulan depan bagi memulakan kajian mengenai spesies ikan yang semakin berkurangan di Royal Belum.
“Selepas berjaya membiak benih ikan seperti kelah, temoleh dan tengalan, kita akan melepaskan anak ikan di beberapa sungai utama sekitar Tasik Banding dan Tasik Temenggor.
“Dengan cara ini, kami dapat membantu Orang Asli menambah pendapatan dengan menjual ikan yang lebih besar,” katanya ketika ditemui di penempatan suku Jahai Kampung Sungai Tiang, kira-kira 40 kilometer dari Grik.
Mustapha berkata, Yayasan Emkay hanya membantu membina bangunan Pulau Banding Rainforest Research Centre dan menaja operasi tahun pertama pusat berkenaan.
Katanya, selepas ini pengurusan pusat penyelidikan itu akan diserahkan kepada Yayasan Pulau Banding, satu lagi entiti di bawah Kumpulan Emkay.
Pulau Banding Rainforest Research Centre, bersebelahan dengan jeti awam Pulau Banding, iaitu kurang satu kilometer daripada Belum Rainforest Resort, hotel 70 bilik milik Kumpulan Syarikat Emkay.
Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Tiang, Tapong a/l Langsat, berkata anak buahnya terpaksa mencari sumber pendapatan baru seperti menjual rotan, kayu gaharu dan madu lebah kerana kebanyakan lubuk di Tasik Banding sudah kekurangan ikan besar.
Katanya, dulu sungai dan kawasan tasik sekitar Kampung Sungai Tiang, memang terkenal sebagai lubuk ikan temoleh, kelah dan tengalan.
Namun, beliau berkata, sekarang ikan berkenaan semakin berkurangan mungkin kerana kaedah memancing melampau seperti penggunaan bom atau pukat dengan mata terlalu kecil.
“Dulu boleh dapat ikan besar. Sekarang ikan kecil saja. Tak boleh jual. Untuk makan sendiri, bolehlah,” katanya.
Ogos 27, 2008
KUALA LUMPUR: Permintaan tinggi terhadap makanan laut menyaksikan pelbagai pihak agresif menternak udang harimau, udang putih, siakap dan kerapu dalam sangkar.
Malah harga tinggi di pasaran luar terutama China, Taiwan, Hong Kong dan Jepun, mendorong ramai penternak beralih angin dengan memperkenalkan pelbagai sistem terkini termasuk menternak dalam kolam plastik untuk memastikan hasilnya bersih dan berkualiti.
Terbaru, ketam nipah atau ketam lumpur (Scylla serrata) kini mula mendapat tempat di hati pengguna atau pengusaha restoran. Peningkatan harga daripada RM15 kepada RM25 sekilogram di pasaran China, Singapura, Hong Kong dan Dubai.
Sama Aqualculture Sdn Bhd yang beroperasi di Taiping, Perak turut menyahut permintaan itu dengan menternak ketam dalam kolam gentian kaca yang nyata menguntungkan.
Pengarah Urusannya, Dzulkarnain Zainal, berkata ketam nipah cepat membesar dalam masa singkat berbanding penternakan keli, udang harimau, tilapia, ketutu mahupun siakap.
“Dalam usia tujuh hari dengan saiz sebesar siling 20 sen, anak ketam membesar sehingga matang dalam tempoh dua bulan atau 80 hari dengan berat 500 hingga 600 gram seekor. Dalam tempoh itu, anak ketam diberi makanan ikan baja dan pallet sekali dalam sehari.
“Dalam tempoh itu juga, disiplin pemberian makanan perlu dititikberatkan kerana ketam yang lapar boleh menyerang antara satu sama lain.
“Pada masa sama, ketam yang bersalin kulit perlu diasing bagi mengelakkan ia dimakan ketam lain memandangkan kulitnya yang lembut,” katanya.
Dzulkarnain berkata, menternak ketam nipah tidak memerlukan kawasan luas untuk membuat kolam, sebaliknya ruang tepi kawasan letak kereta atau di belakang rumah sudah memadai bagi menempatkan tiga kolam ternakan seluas 3 x 1 meter.
“Ia pasti menjimatkan dan keselamatan ternakan dapat dikawal, berbanding jika diternak dalam kolam tanah atau batu,” katanya.
Katanya, menternak ketam dalam kolam gentian kaca amat ringkas dan sesuai kerana kadar asid, alkali serta ammonia dalam air mudah dikawal.
Dalam perkembangan lain, Sama Aqualculture dengan kerjasama Prime Trends menganjurkan seminar dan kursus ternakan ketam nipah kepada yang berminat pada hari Sabtu setiap bulan.
“Penyertaan dikenakan bayaran RM200 seorang dan peserta akan diberi penerangan mengenai ternakan ketam nipah, prospek perniagaan dan peluang pasaran.
“Pada masa yang sama, kami turut menawarkan kepakaran dan menjual peralatan yang diperlukan bagi menternak ketam kepada bakal penternak.
“Selain menjual benih ketam dan makanan, kami juga membeli ketam-ketam dewasa berkenaan dengan harga RM28 sekilogram. Dalam erti kata lain penternak tidak perlu risau akan hasil ternakan mereka kerana kami yang mencari pasarannya,” katanya.
Ogos 27, 2008
Jawatankuasa ambil langkah pastikan pembangunan setanding China, India
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pembangunan Industri Herba akan ditubuhkan sebagai langkah mengembang dan mengukuhkan sektor industri herba negara.
Menerusi jawatankuasa itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan industri itu setanding dengan China dan India yang menjadikan herba sebagai produk kesihatan dan perubatan sejak turun temurun.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Mokhtar Ismail, berkata jawatankuasa itu akan membabitkan pelbagai kementerian termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kementerian Kesihatan bagi membatu memajukan industri itu.
Katanya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) juga membuat kajian pelbagai produk dan pasaran herba antarabangsa yang kini pada peringkat akhir.
“Kita jangka Jawatankuasa Pembangunan Industri Herba dapat diwujudkan sebelum akhir tahun ini.
“Laporan kajian industri herba oleh Fama juga dijangka siap sebelum akhir tahun ini dan akan menjadi panduan kepada pemain industri itu untuk mengambil langkah ke arah meletakkan herba negara mampu menembusi pasaran global,” katanya.
Beliau bercakap kepada Berita Harian selepas merasmikan bengkel “Khasiat Herba Dan Pemakanan Sempurna – Satu Sorotan Khazanah Islam” di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini, semalam.
Mohd Mokhtar berkata, ada 10 herba tempatan yang produknya boleh dikembangkan lagi dari segi nilai komersial seperti tongkat ali, kacip fatimah, cengkudu, misai kucing, serai wangi dan duku anak.
Beliau berkata, Malaysia sebenarnya mempunyai pelbagai khazanah herba belum diterokai secara meluas terutama di Sabah dan Sarawak.
“Kita harap dengan ada jawatankuasa yang akan memberi perhatian kepada pembangunan industri herba itu juga dapat membantu usahawan kecil yang terbabit dalam perniagaan produk herba,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata, lebih 6,000 spesies tumbuhan tropika di negara ini dikenal pasti berpotensi dibangunkan sebagai produk herba.
Katanya, tanggungjawab membangunkan produk itu perlu dilaksanakan secara lebih agresif oleh mereka yang menceburi perniagaan berkenaan di samping kajian badan kerajaan seperti Mardi dan Jabatan Pertanian.
Bagaimanapun, katanya, terdapat juga produk herba yang dipasarkan tidak melalui proses penyelidikan rapi menyebabkan kesan buruk kepada kesihatan pengguna.
“Oleh itu, pihak membuat kajian dan institusi penyelidikan tumbuhan dan pemakanan perlu peka kepada kesan sampingan dan memaklumkan kepada kerajaan mengambil langkah sewajarnya.
“Satu piawaian bersesuaian produk herba juga perlu dibangunkan bagi menyokong pasaran industri herba negara pada peringkat global,” katanya.
Ogos 27, 2008
Peneroka usaha kebun sendiri dakwa rugi RM200 sebulan
KOTA TINGGI: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) diminta menyiasat kilang sawit Felda di sini yang didakwa mewujudkan dua harga sawit berbeza antara peneroka yang menanam semula melalui Felda dengan peneroka yang menanam semula tanpa melalui Felda.
Perbezaan harga yang berlaku sejak kira-kira dua minggu lalu itu menyebabkan peneroka yang memajukan kebun sendiri mengalami kerugian hampir RM24 bagi satu tan dan dijangka mengalami kerugian lebih RM200 sebulan.
Difahamkan, kilang berkenaan bertindak atas arahan pihak atasan di Kuala Lumpur yang menyifatkan peneroka yang menanam semula tanpa melalui Felda dikategorikan sebagai peneroka kelas B, manakala peneroka yang menanam semula melalui Felda sebagai kelas A.
Peneroka Felda Air Tawar Dua, Aziz Abd Hamid, berkata pihaknya mempersoalkan kriteria yang digunakan Felda untuk membezakan peneroka kepada kelas A dan B menyebabkan kilang sawit terbabit terpaksa membayar harga sawit lebih rendah kepada peneroka kelas B.
Katanya, sebagai contoh resit yang dikeluarkan kilang sawit Semencu pada 21 Ogos lalu yang membayar sebanyak RM519.40 bagi satu tan kepada peneroka kelas A, manakala peneroka kelas B pula menerima sebanyak RM495.88 bagi satu tan berdasarkan perahan sama iaitu 19.60.
“Perbezaan RM23.52 itu semakin ketara apabila ada peneroka kelas B yang menghantar sawit mereka melebihi 10 tan kerana hasil kebun sawit mereka jauh lebih tinggi daripada hasil kebun yang dimajukan oleh Felda sendiri,” katanya.
Aziz berkata, sehubungan itu, peneroka terbabit meminta MPOB menyiasat kilang terbabit bagi memastikan peneroka mendapat harga standard yang ditetapkan oleh kerajaan setiap hari.
Beliau berkata, peneroka bagaimanapun kini masih menghantar buah sawit ke kilang sawit Felda walaupun mengalami kerugian bagi menampung keperluan kilang berkenaan sambil berharap perbezaan harga itu dihapuskan segera.
“Tindakan kilang sawit Felda itu seperti menggalakkan peneroka untuk menghantar buah sawit ke kilang swasta yang akhirnya akan merugikan kilang sawit Felda sendiri,” katanya.
Ogos 27, 2008

ADA PASARAN: Mohd Kamil (kiri) mendengar penerangan Fahim mengenai Projek Tanaman Maman di Kampung Gaduk, Gemencheh. |
Penanaman secara ladang mampu beri pulangan lumayan
TAMPIN: Jika Lenggeng, dekat Seremban terkenal dengan kawasan penanaman serai terbesar di negeri ini, kawasan Gemencheh, dekat sini pula tersohor dengan penanaman maman, sejenis sayuran yang dibuat lauk dan menjadi bahan campuran utama untuk membuat rendang ayam, daging, ikan atau ikan bilis.
Maman atau nama saintifiknya Cleome Gynandra, mula dijumpai lebih seabad lalu terutama di kawasan Gemencheh seperti di Kampung Geduk, Sungai Dua, Kampung Seri Asahan, Gemencheh Lama, Kampung Sungai Jernih, Bukit Rokan dan Felda Bukit Rokan.
Selain dibuat lauk dan menjadi bahan utama campuran rendang bagi hidangan ‘wajib’ penduduk negeri ini untuk menyambut Ramadan dan hari raya, maman juga boleh dikatakan menjadi penawar pelbagai penyakit seperti kembung perut, buasir, sakit kepala, mengurangkan sakit pinggang atau sendi lutut atau belakang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gemencheh, Datuk Mohd Kamil Abdul Aziz, berkata dianggarkan ada keseluruhan lima hektar kawasan penanaman maman di kawasan Gemencheh yang diusahakan penduduk secara kecil-kecilan.
“Kita dapati permintaan maman semakin meningkat yang menyebabkan pengeluaran yang dihasilkan tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan orang ramai. Jadi, saya menggalakkan penduduk di kawasan ini mengusahakan secara komersial dengan mengusahakan tanah terbiar untuk dijadikan kebun atau ladang maman,” katanya.
Mohd Kamil berkata, seorang penduduk Kampung Geduk, Fahim Mahmud, 45, menyahut seruan itu dengan memberanikan diri mengusahakan tanaman maman secara komersial di kawasan seluas 1.2 hektar sekali gus memberi pulangan lumayan kepadanya.
Sementara itu, Fahim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Geduk berkata, sebagai pemimpin dia tampil ke depan untuk mengusahakan kebun maman itu bagi menunjukkan contoh kepada penduduk kampung.
“Saya mengusahakan kebun maman sejak tiga tahun lalu di kawasan seluas 1.2 hektar dengan mengusahakan secara berfasa bagi memastikan bekalan sentiasa ada dan dapat menampung permintaan pelanggan.
“Setiap bulan, kebun ini mampu menghasilkan kira-kira 16,000 kilogram maman untuk dipasarkan dengan pendapatan mampu mencecah RM8,000 sebulan,” katanya yang turut mendapat bantuan empat pekerjanya bagi mengusahakan kebun itu.
Katanya, dia menjadikan maman sebagai tanaman utama untuk diusahakan kerana menyedari permintaannya tinggi, selain ia mudah dijaga dan boleh dituai dalam tempoh 21 hari.
“Sayur maman laris terutama pada musim perayaan, cuti sekolah dan Ramadan untuk dijadikan hidangan istimewa seperti rendang. Kadangkala saya tidak mampu memenuhi permintaan,” katanya yang turut mengusahakan tanaman pisang, serai, nangka madu dan ternakan ikan keli.
Orang ramai yang ingin mendapatkan bekalan maman boleh menghubunginya di talian 013-6250024.
Laman Berikutnya »