NURWAHIDAH Hambali (kiri) dibantu oleh pekerjanya membungkus timun yang dipetik untuk dipasarkan.

KUALA SELANGOR 29 Julai – Tidak mudah menyerah kalah dan kuat semangat merupakan kunci kejayaan, Nurwahidah Hambali, 28, pengusaha muda yang kini hidup selesa dengan hasil dari ladang timun seluas 0.6 hektar miliknya.

Menurut graduan Institut Pertanian Semenanjung Malaysia itu, jika semangatnya tidak kuat, pasti ladang timun yang diusahakan sejak empat tahun lalu dan kini memberi pendapatan sehingga RM5,000 sebulan, telah lama berkubur.

Ini kerana, kata Nurwahidah, pada tahun pertama dia mengusahakan ladang timun tersebut, beliau mengalami kerugian besar akibat pokok timunnya tidak menjadi.

Namun, berkat kesabaran dan sokongan suaminya, Norhisham Ramlan, 35, ibu kepada dua anak ini meneruskan tanaman timunnya di samping mengikuti kursus-kursus tambahan bagi menambahkan ilmu dan pengalaman.

Akhirnya, dia bangkit semula dan kini berjaya mendapat hasil yang sememangnya lumayan sehingga terpaksa mendapat bantuan empat pekerja kerana tidak cukup tangan untuk mengerjakan ladang sendirian.

“Kini bagi mendapatkan hasil tanaman yang lebih banyak dan bermutu, saya menggunakan kaedah tanaman fertigasi iaitu penanaman di bawah satu bumbung dengan permulaan 4,000 beg.

“Saya juga masih meneruskan tanaman timun di atas tanah,” kata beliau ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Ditanya mengapa beliau memilih menanam timun sebagai punca rezekinya, Nurwahidah berkata, timun kini mendapat permintaan yang tinggi di pasaran dan harga ladangnya juga menguntungkan iaitu RM1 hingga RM1.30 sekilogram.

Tambahnya, penjagaan tanaman timun juga tidak terlalu rumit kerana apa yang penting ialah benih yang baik, dibaja seminggu sekali, disiram dua kali sehari dan dikawal dari serangga perosak.

“Selepas satu musim atau 65 hari, 15 tan timun sudah boleh dipetik secara berperingkat-peringkat setiap hari untuk dipasarkan.

“Perlu diingat, timun seelok-eloknya dipetik pada sebelah pagi bagi menjamin kesegarannya,” tambahnya lagi.

Ujar Nurwahidah, dia menjual 60 peratus hasil timunnya kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang datang mengambil timun di kebunnya enam kali seminggu.

Sebahagian lagi hasil tanaman timun itu, katanya, akan dijual di pasar atau kedai runcit di sekitar Kuala Selangor.

Dia berhasrat meluaskan projek timunnya kepada 1.2 hektar pada masa depan bagi meningkatkan hasil pengeluaran dan memenuhi permintaan di pasaran.

“Bagi tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, saya melihat bekalan makanan mentah akan berkurangan berikutan krisis ekonomi sejagat.

“Jadi saya berharap dapat membantu dengan hasil tanaman saya ketika itu,” katanya yang juga menanam cili padi, cili merah dan selepas ini bakal memulakan tanaman tembikai wangi pula.

About these ads