RAMLI Salleh (kiri) bersama anaknya, Basri menunjukkan hasil tanaman limau madu di kebun milik mereka di Kampung Lubuk Batu, Kuala Pegang, Baling, Kedah.
– Gambar AZMAN MD. NOOR


Ketika kebanyakan pekebun memilih tanaman komoditi utama seperti getah dan kelapa sawit untuk mendapat keuntungan, namun lain pula bagi dua beranak yang lebih suka mengusahakan tanaman limau madu.

Malah, usaha berani Ramli Salleh, 70, dan anak sulungnya, Basri, 35, mula meraih hasil lumayan dan dijadikan contoh oleh para pekebun lain.

Mereka membuktikan kesungguhan mengusahakan tanaman limau madu sehingga mengeluarkan hasil sebanyak 12 tan metrik semusim.

Kebun milik mereka seluas lapan hektar di Kampung Lubuk Batu, Kuala Pegang, di sini yang diusahakan sejak tahun 2001 dijalankan secara sepenuh masa, kini mampu menguasai pasaran limau madu tempatan.

Menurut Basri, kebun yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah mereka dijaga sepenuhnya bagi menjamin mutu buah yang lebih baik dalam meneroka pasaran buah limau madu.

Katanya, bermodalkan kira-kira RM100,000 hasil pinjaman daripada Agro Bank dan wang simpanan sendiri, dia bersama bapanya telah berusaha untuk memastikan tanaman limau madu mengeluarkan hasil berganda dengan penjagaan rapi.

”Semua usaha menanam dan menjaga dilakukan sendiri bagi memastikan tanaman ini mengeluarkan hasil mengikut jadual,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Basri mengakui walaupun sedikit sebanyak masalah berlaku terutama dari segi serangan penyakit, namun mereka mendapat khidmat nasihat dari Jabatan Pertanian.

Katanya, jabatan itu turut membantu memastikan tanaman limau madu secara komersial itu dapat berbuah lebat dan tidak diserang penyakit secara serius.

Keperluan limau madu untuk pasaran tempatan cukup melegakan dua beranak ini.

Ini kerana setelah limau itu cukup tua, ia boleh dikutip sendiri oleh peraih dan pembeli yang datang ke kebun.

Malah, jelas Basri, selain peraih tempatan pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) turut membeli hasil tanamannya untuk diedarkan kepada penjual buah di luar daerah ini.

Basri berkata, kebiasaannya peraih dan pembeli akan datang memetik sendiri buah limau di pokok dan membelinya pada harga di ladang kira-kira RM1 sekilogram.

Tambah beliau, walaupun harganya agak rendah berbanding dengan harga di pasaran, tetapi kerja memetik buah dilakukan oleh mereka sendiri.

Kata Basri, kebiasaannya setiap hari antara 200 hingga 300 kilogram buah dapat dikutip oleh peraih dan pembeli.

Bagi Ramli pula, mengusahakan tanaman limau madu amat berpotensi tinggi kerana permintaan di pasaran cukup menggalakkan berbanding buah-buahan lain.

Usaha bekas guru itu tidak sia-sia dan berbaloi sehingga boleh dibanggakan terutamanya dapat memberi dorongan kepada anaknya untuk terlibat dalam bidang pertanian itu.

Selain itu, usaha tersebut dianggap sebagai menyahut seruan dan hasrat kerajaan untuk menjadikan pertanian sebagai satu perniagaan.

”Usaha ini untuk memberi dorongan kepada anak saya supaya terlibat dalam bidang pertanian selain memperoleh pendapatan yang lumayan,” katanya.

Baginya, walaupun baru pertama kali terlibat dengan tanaman itu, sekurang-kurangnya, beliau dapat belajar selok-belok tanaman limau madu.

Ladang limau madu dua beranak itu juga menjadi contoh betapa usaha pertanian secara komersial boleh menandingi dan mendatangkan hasil berlipat ganda setanding dengan tanaman komoditi lain.

Limau madu itu yang rasanya agak manis merupakan satu daya tarikan kepada peminat buah-buahan tersebut.

Kejayaan Ramli dan anaknya mengusahakan tanaman komersial itu telah membuka mata kebanyakan petani di sekitar kampungnya yang sebelum ini hanya membiarkan tanah sawah terbiar dan ditumbuhi lalang.

Pengusaha tanaman limau lain juga menunjukkan minat mempelajari teknik yang dilaksanakan oleh Ramli dan anaknya dan mereka seringkali berkunjung ke ladang limau madu tersebut.

About these ads