KENINGAU: Projek industri ternakan haruan yang akan dimajukan di daerah ini dijangka dapat menjana ekonomi luar bandar, termasuk memberi sumber pendapatan yang lumayan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Yahya Hussin, berkata selain membantu usaha kerajaan membasmi kemiskinan penduduk luar bandar, ia juga diharap berupaya memenuhi keperluan bekalan makanan tempatan.

“Keningau dipilih sebagai antara pusat perintis ternakan haruan dan pusat penyelidikan bagi memperluaskan industri itu ke seluruh negeri ini dalam jangka panjang.

“Kita menyokong penuh projek pembangunan ekonomi yang digerakkan menerusi agensi kerajaan dan swasta seiring pelaksanaan Koridor Pembangunan Sabah (SDC),” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian bengkel Kesedaran Agro-industri Haruan anjuran bersama Institut Kajian Pembangunan Sabah, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pejabat Daerah Keningau di sini, kelmarin.

Teks ucapannya dibacakan Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Bobbey Suan.

Hadir sama, Ketua Penyelidik dan Pengasas `Haruan Research Group’ UPM, Abdul Manan Mat Jais dan Pegawai Daerah Keningau, Zulkifli Nasir.

Yahya turut mengingatkan penduduk setempat supaya mengambil peluang daripada projek itu dengan menyertai bengkel dan memulakan usaha secara bersungguh-sungguh.

About these ads