JOHOR BAHRU 21 Jun – Projek pasar tani bergerak iaitu penjualan produk pertanian menggunakan karavan akan dimulakan di Johor selewat-lewatnya hujung tahun ini, sebelum ia diperluaskan ke seluruh negara.

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Badruddin Amiruldin berkata, buat permulaan, pihaknya menyasarkan 10 buah karavan akan beroperasi di bandar raya ini bagi menjual produk pertanian di sekitar kawasan perumahan dan pejabat agensi kerajaan.

“Karavan ini akan bergerak dari satu tempat ke satu tempat dan dengan itu orang ramai dapat menjimatkan petrol kerana tidak lagi perlu ke pasar atau pasar raya bagi mendapatkan bekalan dapur.

“Johor dipilih sebagai perintis kerana kos sara hidup di sini yang tinggi dan kita akan memantau karavan-karavan itu supaya harganya berpatutan memandangkan produk yang dijual diambil terus dari ladang atau sumber tanpa menggunakan orang tengah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja di tapak Pasar Tani Mega Larkin, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah FAMA Johor, Zainal Abidin Yang Rashid dan ahli-ahli jawatan kuasa Pasar Tani Mega Larkin.

Badruddin berkata, kos sebuah karavan dianggarkan kira-kira RM50,000.

Katanya, pelaksanaan konsep pasar tani bergerak itu juga bergantung kepada kemampuan dan kesediaan para peniaga pasar tani di negeri ini untuk menjalankan perniagaan tersebut.

Dalam pada itu, FAMA juga menyasarkan untuk mengadakan sekurang-sekurangnya satu pasar tani kekal yang mempunyai bangunan sendiri di setiap negeri.

Katanya, setakat ini hanya terdapat tiga pasar tani kekal iaitu di Bukit Gambir (Johor), Jerantut (Pahang) dan Yan (Kedah).

Katanya, di Johor, FAMA kini telah menandatangani kontrak dengan pihak ladang untuk membekalkan produk mereka kepada pasar tani.

About these ads