SIK 11 Jun – Bagi memastikan pokok mangga yang ditanam mampu berbuah lebat, ia sentiasa memerlukan penjagaan sempurna, selain teknik cantasan yang betul mesti diikuti oleh penanam sebagai satu rahsia untuk menjadikannya berbuah lebat.

Pemilik ladang yang menyertai projek perintis tanaman mangga Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Ayub Ahmad memberitahu, berpandukan tunjuk-ajar daripada MARDI, pokok-pokok mangga perlu dicantas sejak daripada kecil bagi memastikan dahan-dahan pokok tidak menjadi terlalu banyak sehingga membantutkan pengeluaran buah.

Menurutnya, orang ramai yang berminat menanam mangga perlu mengikis persepsi bahawa lebih banyak daun atau dahan, pokok itu akan menghasilkan buah yang lebih banyak.

Sebenarnya kata Ayub, lebih sedikit dahan dan daun yang ada di pokok mangga, bermakna akan lebih banyak buah yang dapat dihasilkan oleh pokok tersebut.

“Ini kerana jika banyak dahan dan daun, banyak nutrien daripada pokok akan disalurkan kepada daun berbanding penghasilan buah.

“Jika lebih banyak daun, bermakna lebih sedikit buah yang akan dihasilkan oleh setiap pokok mangga itu,” jelasnya.

Oleh itu tambahnya, beliau menghabiskan banyak masa untuk membuang daun-daun supaya proses penghasilan buah dapat dihasilkan sehingga ke tahap maksimum.

“Pokok mangga yang kelihatan rendang dan agak rendah itu juga memudahkan proses untuk memetik buah di ladang.

“Selain itu pegawai-pegawai MARDI selalu turun ke ladang mangga yang diusahakan penduduk setempat bagi tujuan meninjau hasil dan masalah yang dihadapi oleh pekebun seperti saya,” katanya.

Sementara itu Timbalan Pengarah Program Pembangunan Usahawan MARDI, Khadzir Darus yang turut melawat ladang mangga milik Ayub berkata, peladang tanaman itu perlu mengikut panduan yang betul terutama ketika memangkas dahan dan membuang daun pada pokok mangga mereka.

“Pokok mangga yang berdaun lebat tidak dapat menghasilkan buah dengan banyak, namun daun yang kurang juga membantutkan tumbesaran pokok.

“Jadi mereka perlu belajar cara-cara penjagaan pokok yang betul,” katanya.

Menurutnya, para pegawai MARDI mengajar Ayub untuk mencantas dahan kebun mangga miliknya itu supaya pokok itu menjadi bentuk seakan-akan kipas bagi memudahkan cahaya matahari sampai ke dahan dan daun.

“Cantasan begini perlu bagi menjamin pokok mangga sihat dan dapat menghasilkan buah yang bermutu tinggi,” jelasnya.

“Pihak MARDI amat mengalu-alukan peladang mangga yang berminat untuk mempelajari teknik cantasan pokok mangga dan mereka boleh berkunjung ke pejabat MARDI untuk mendapatkan tunjuk ajar penanaman daripada para pegawai yang bertugas,” jelasnya.

About these ads