Pengusaha di Kampung Pengkalan Kuap terima tempahan dari hotel, restoran dan pasar raya sekitar Kuching
SARAMAHAN: Penanaman cendawan semakin mendapat tempat di kalangan pengusaha tempatan berikutan permintaan menggalakkan, selain harga yang tinggi di pasaran.
Mohamad Kamis, 68, dari Kampung Pengkalan Kuap di sini, adalah antara yang terbabit dalam perusahaan berkenaan yang memberikan beliau pulangan pendapatan antara RM20,000 hingga RM30,000 sebulan.
Pembabitannya dalam penanaman cendawan bermula pada 1992, apabila anak perempuannya yang bekerja dengan seorang ahli perniagaan Cina yang mengusahakan tanaman itu, memperkenalkan perusahaan terbabit kepada beliau.
“Bermula dari situ, saya dan anak saya mula berjinak-jinak dengan perusahaan ini dan dalam tempoh dua bulan selepas itu, cendawan yang ditanam mula menampakkan hasil.
“Memang pada mulanya kami hanya menanam secara suka-suka, tetapi setelah melihat hasilnya agak lumayan, kami mula menceburi bidang ini secara serius,” katanya ketika ditemui.
Beliau berkata, dengan bantuan anak perempuannya juga beliau belajar untuk memasarkan cendawan itu sendiri dengan berjumpa tauke di pasar raya terdekat, selain turut menerima tempahan daripada pihak hotel di sekitar Bandaraya Kuching.
Selepas cendawan yang diusahakannya semakin dikenali, beliau tidak lagi perlu mencari pembeli, sebaliknya pembeli yang datang ke situ untuk mendapatkan bekalan.
“Sekarang semua sudah berubah kerana pada setiap bulan ada saja pihak tertentu datang atau akan menelefon untuk mendapatkan bekalan cendawan daripada saya,” katanya.
Menceritakan pengalamannya menceburi perusahaan itu, Mohamad berkata, beliau memulakan penanaman cendawan dengan modal RM15,000 dan tahun ini genaplah 15 tahun beliau menceburi perusahaan berkenaan.
Kini beliau mempunyai tiga pekerja yang membantunya menghasilkan pelbagai jenis cendawan termasuk cendawan kelabu , cendawan abalone dan cendawan putih.
“Harga runcit cendawan ketika ini ialah antara RM3 dan RM15 sekilogram mengikut jenis. Anggaran kasar tempahan yang saya terima setiap bulan melebihi 5,000 kilogram,” katanya.
Berikutan permintaan dan galakan yang diberikan kerajaan, beliau bercadang memperbesarkan perusahaannya. Setakat ini beliau hanya mempunyai dua rumah cendawan dan bercadang untuk menambahnya kepada empat dalam masa terdekat, bagi meningkatkan pengeluaran serta memastikan bekalan yang lebih konsisten.
Menyentuh mengenai proses penanaman cendawan, beliau berkata, proses tanaman cendawan mempunyai tiga peringkat ‘rumah’ penghasilan iaitu rumah proses, rumah peram dan rumah hasil.
Cendawan mampu dikutip dalam tempoh dua bulan setengah dan setiap beg mampu mengeluarkan enam kali hasil dalam tempoh berkenaan.
Rumah proses bahan penanaman cendawan disediakan daripada campuran habuk kayu getah, dedak padi dan kapur pertanian dalam nisbah 100: 10: 1. Kesemua bahan itu dibancuh di dalam mesin ‘mixer’ supaya sebati dan ditambah 50 peratus hingga 75 peratus air.
Selepas dibancuh, bahan tadi dimasukkan ke dalam ‘beg’ yang berbentuk seperti botol yang mempunyai span kecil di bahagian penutup untuk aliran udara. Setiap beg boleh memuatkan antara 900 gram hingga 1 kilogram bahan bancuhan berkenaan.
Mohamad berkata, beg berisi bahan itu perlu dikukus selama 10 hingga 12 jam di tempat pengukus untuk membasmi kuman dan selepas dikukus, ia perlu dibiarkan sejuk selama 24 jam sebelum dipindahkan ke rumah peram iaitu tempat pembenihan benih cendawan dilakukan.
“Proses di rumah peram dianggap paling kritikal kerana pekerja dan bilik mestilah bersih serta perlu disembur ubat pembasmi kuman sebelum beg diletakkan di rak peram. Di rak peram ini, beg cendawan mula bertukar warna daripada coklat perang kepada warna putih. Pertukaran warna ini berlaku bermula dari penutup botol beg sehingga ke bawah dalam masa dua bulan setengah untuk menjadi warna putih keseluruhannya.
“Beg yang menunjukkan pertumbuhan positif iaitu berisi cendawan putih yang banyak akan dipindahkan ke rumah hasil, manakala yang bertukar warna oren atau hitam akan disingkirkan kerana dikategorikan sebagai rosak,” katanya.
Mohamad berkata, proses ‘di rumah hasil’ agak rumit dan memerlukan pemantauan rapi kerana di sinilah cendawan akan bercambah dan membesar sebelum dipetik dengan pengawalan suhu paling sesuai adalah 27 darjah celsius hingga 30 darjah celsius.
“Cendawan ini tidak boleh terkena air kerana ia cepat rosak dan tidak tahan lama. Beg diletakkan di rak khas dan pengawalan suhu menggunakan saliran air di tapak lantai rak berkenaan. Konsep tanaman di sini ialah secara organik dan tiada baja kimia atau racun digunakan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Mardi negeri, Mahmud Aban, berkata kementeriannya sedang giat menjalankan usaha untuk menggalakkan orang ramai menceburi perusahaan penanaman cendawan kerana permintaannya yang semakin meningkat.
“Permintaan terhadap cendawan kini semakin meningkat terutama daripada pihak hotel, restoran dan pasar raya di sekitar bandar raya ini. Ini menunjukkan cendawan semakin digemari oleh orang ramai khususnya untuk menu hidangan majlis tertentu,” katanya.
Beliau berkata, cendawan juga dipercayai mengandungi pelbagai khasiat, antaranya ialah ia mampu mengawal pengaliran darah secara teratur, selain dipercayai mempunyai antitrombotik iaitu merendahkan tekanan darah dan kandungan glukosa serta lipid dalam badan manusia.
Selain itu, beliau berkata, cendawan juga boleh meningkatkan sistem imun badan melawan jangkitan virus dan bakteria, merencatkan tumbesaran tumor dan sebagai antioksida serta aktiviti pelindung genetik manusia.
Selain digunakan dalam masakan, pelbagai produk berasaskan cendawan juga boleh dihasilkan termasuk kerepek, ubat gigi, shampoo, ubat-ubatan dan kosmetik.
Justeru, petani dan penduduk di Sarawak amnya perlu merebut untuk menceburi perusahaan yang menjanjikan pulangan lumayan ini.