ANTARA sangkar-sangkar menternak ikan miliki pengusaha tempatan di perairan Kukup Laut, Pontian, Johor.

PONTIAN 19 Mei – Selain terkenal dengan makanan laut yang segar, Kukup Laut juga dikenali sebagai antara pusat ternakan ikan dalam sangkar yang terbesar di negara ini dengan menyumbang pendapatan kira-kira RM20 juta setahun.

Kegiatan tersebut yang mula diusahakan secara besar-besaran pada tahun 1981, telah memberikan peluang kepada penduduk tempatan memanfaatkan segala potensi yang ada di kawasan tersebut.

Kini terdapat 8,000 buah petak sangkar di perairan Kukup Laut yang turut menjadi tarikan tambahan kepada para pelancong yang berkunjung ke situ selain Taman Negara Pulau Kukup serta aktiviti memproses hasil-hasil laut.

Bagaimanapun sejak-sejak akhir, industri akuakultur itu berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan bekalan bahan api sama ada diesel mahupun petrol.

Pada masa yang sama, 70 pengusaha ternakan ikan dalam sangkar meminta pihak berkuasa segera membantu dengan memberikan e-diesel seperti golongan nelayan.

Ketiadaan kemudahan itu dan ketiadaan stesen minyak yang beroperasi di Pekan Kukup Laut juga menyukarkan mereka untuk mendapatkan minyak diesel dan petrol bagi kegunaan harian.

Pengerusi Persatuan Penternak-Penternak Ikan Kukup, Ong Lian Lee, 43, berkata, sehingga kini ahli-ahlinya belum menerima e-diesel dan e-petrol walaupun permohonan telah dimajukan kepada pihak-pihak berkenaan.

Menurutnya, ahli-ahlinya memerlukan bahan api itu untuk berulang-alik ke sangkar bagi kegunaan generator, pam mencuci jaring, injin memotong makanan ikan dan pam oksigen.

Katanya, kawasan tersebut kini mempunyai kira-kira 8,000 petak sangkar yang menternak pelbagai jenis ikan dengan pengeluaran sebulan kira-kira 300 tan yang dianggarkan bernilai RM2 juta.

“Dalam setahun pengeluarannya antara RM20 juta hingga RM25 juta, sekaligus menjadikan kawasan ternakan ikan dalam sangkar di Kukup Laut antara yang terbesar di negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.

Bagaimanapun, dengan kesukaran mendapatkan bekalan e-diesel telah menyukarkan para penternak kerana mereka terpaksa membelinya secara kecil-kecilan, ujarnya.

“Ini ditambah dengan ketiadaan stesen minyak di Pekan Kukup Laut dan penternak terpaksa mendapatkan bekalan di bandar Pontian yang terletak kira-kira 20 kilometer dari sini,” katanya.

Seorang penternak, Goh Keng Siong, 44, memberitahu, terdapat 20 jenis ikan yang diternak oleh para pengusaha di situ, antaranya haruan tasik, senangin, jenahak, ikan merah, kerapu, siakap, unga putih dan bawal emas.

Katanya, 60 peratus daripada hasil ternakan itu dieksport ke Singapura, 20 peratus ke Hong Hong dan selebihnya untuk pasaran tempatan.

“Kami memerlukan antara 6,000 hingga 10,000 liter minyak sehari bagi memastikan segala kerja-kerja berkaitannya dapat berjalan dengan lancar tanpa ada sebarang gangguan,” ujarnya.

Keng Siong berkata, masalah tersebut juga telah dikemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

“Memandangkan keperluan yang banyak itu, kami sukar untuk mendapatkan bahan api di stesen-stesen minyak dan ini tentunya membebankan para pengusaha apabila kehabisan diesel mahupun petrol,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajan dapat menimbangkan rayuan mereka agar kegiatan yang menyumbangkan kepada ekonomi negara ini berjalan dengan lancar.

About these ads