JIKA 10 tahun lalu, Alex Thian, 38, hanyalah pekerja kilang roti yang mengutip sisa roti untuk diberi kepada ikan yang dipelihara atas tujuan ‘suka-suka’, namun kini beliau mampu tersenyum dengan tiga kolam penetasan ikan hibrid, selain tiga pusat pembenihan ikan air tawar miliknya.

Tambah membanggakan, beliau adalah usahawan pertama yang berani membawa teknologi ikan hibrid ke Sarawak, sekali gus menjadi pembekal tunggal benih ikan tilapia hibrid yang turut dihantar ke Sabah bagi kegunaan pengusaha kolam di sana.

Alex kini memiliki sebuah pusat pembenihan ikan yang dikenali sebagai Honey Aquaculture terletak di Batu 12, Jalan Kuching-Serian.

Walaupun teknologi ikan hibrid sudah diperkenalkan sejak 20 tahun lalu, ia tidak begitu dipraktikkan kerana pengusaha kolam ikan tidak berani mendapatkan benih kacukan itu berikutan harganya yang agak mahal selain kos pemakanan yang tinggi.

Selain itu, induk ikan hibrid hanya boleh bertelur sebanyak lima pusingan bagi memastikan kualiti anak ikan yang dihasilkan dapat mencecah berat 500 gram dalam tempoh lima bulan sebelum dituai atau dijual kepada pembeli.

Alex, yang bergelumang dengan ternakan ikan sejak usia muda lagi, mengakui sebelum ini pernah gagal dalam percubaan mengkacukan spesies ikan tilapia tempatan tanpa menggunakan sebarang nasihat atau teknik saintifik.

“Sudah semestinya proses dilakukan itu gagal kerana saya tidak pernah belajar bagaimana mengkacukkan ikan sehingga pada 2006 saya dihantar berkursus di Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok, Jerantut, Pahang.

“Selepas itu barulah saya tahu ikan tilapia hibrid hanya dihasilkan menerusi kaedah saintifik menerusi kacukan benih tempatan dan tilapia dari Taiwan, Indonesia atau Thailand,” katanya ketika ditemui Berita Harian baru-baru ini.

Menerusi kaedah berkenaan, induk ikan tilapia merah akan dihasilkan di pusat akuakultur sebelum ia diedarkan kepada pengusaha yang akan menternaknya bagi tujuan pembenihan dengan induk berkenaan perlu diganti selepas lima pusingan penetasan.

Ketika ini 10,000 induk ikan tilapia merah hibrid milik Alex boleh menghasilkan purata 100,000 benih ikan hibrid sebulan dengan purata setiap induk betina menghasilkan antara 300 hingga 500 anak ikan dalam tempoh 21 hari proses penetasan.

“Dalam sebulan saya dapat menuai sekitar 100,000 benih ikan tilapia hibrid dan pekerja akan menangkapnya untuk dipindahkan ke dalam tangki simen bagi tempoh tiga minggu lagi sebelum dipindahkan ke kolam ternakan.

“Anak ikan tilapia hibrid yang berusia bawah seminggu umpama bayi kecil dengan makanannya juga berlainan daripada ikan dewasa kerana kami terpaksa memberikannya makanan jenis tepung ‘Cargill High Protein Powder Feed’ dua kali sehari,” katanya.

Setiap hari, pekerja kolam akan menangkap anak ikan tilapia hibrid yang berusia bawah seminggu menggunakan jaring halus untuk diasingkan dari kolam induknya ke dalam tangki simen khas.

Daripada jumlah yang berjaya dipindahkan ke tangki simen, kurang daripada lima peratus anak ikan hibrid berkenaan akan mati berbanding sehingga 20 peratus bagi anak ikan tilapia yang dihasilkan daripada baka tempatan.

Namun, teknik penjagaan yang rapi harus diberikan kepada anak ikan hibrid yang dipindahkan ke kolam simen sehingga ia berusia tiga minggu bagi memastikan ia dapat menyesuaikan diri daripada keadaan asalnya yang tinggal di dalam mulut induknya sehingga berusia hampir sebulan.

Alex berkata, anak ikan tilapia hibrid hanya akan diberi makan tepung protein sehingga ia berusia tiga minggu sebelum ia dipindahkan ke kolam ternakan dan diberi pula makanan dalam bentuk palet.

“Masalah yang dihadapi kini adalah ikan hibrid ini cepat membesar dan saya memerlukan lebih banyak kolam ternakan bagi menampung jumlah anak ikan yang semakin meningkat ketika ini.

“Oleh itu, saya mempelawa pengusaha kolam yang berminat membeli anak ikan hibrid daripada kami pada harga 10 sen seekor, dengan syarat selepas dapat dituai saya akan membelinya kembali pada harga RM5 sekilogram,” katanya.

Ketika ini kira-kira 10 pengusaha kolam sudah menyertai skim berkenaan dengan mereka turut menikmati subsidi makanan ikan dari Jabatan Pertanian.

Mana-mana pihak yang berminat menyertai skim ini boleh menghubungi Honey Aquaculture di talian 019-8885950.

About these ads