Mei 2008
Arkib Bulanan
Mei 30, 2008
KUALA LUMPUR, 29 Mei — Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan menubuhkan sebuah Kompleks Pemasaran di negeri Sabah untuk membantu pembangunan pemasaran hasil perindustrian dan industri asas tani di negeri itu.
Pengerusinya, Datuk Rahim Bakri berkata pembinaan kompleks yang menelan belanja RM3 juta di laluan utama Jalan Tuaran itu akan memasarkan hasil pemasaran pertanian, menjadi pusat aktiviti pemborongan, pengredan, pembungkusan, dan pusat latihan petani.
“Ia akan turut menjadi pusat kajian pemasaran, pusat mengeskport atau kompleks bilik sejuk, pasar tani dan menempatkan pejabat pentadbiran FAMA negeri,” katanya pada sidang media sempena Majlis Jasamu Dikenang di Bangunan FAMA Point, di Selayang dekat sini, Khamis.
“Dengan pewujudan kompleks ini, ia akan membantu penguatkuasaan undang-undang dan mendidik para petani untuk menghasilkan produk pertanian yang berkualiti,” katanya.
Kompleks yang dijangka siap dibina awal tahun depan itu akan dibina di atas tanah seluas dua hektar, yang dibeli dari Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) Sdn Bhd.
Sementara itu, Majlis Jasamu Dikenang itu diadakan bagi meraikan Pengerusi FAMA yang akan melepaskan jawatannya pada 31 Mei ini.
Beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri sejak 23 April.
Selain itu, mesyuarat Tahunan Persatuan Perdagangan Rempah Malaysia (MASTA) yang julung kali diadakan di sini merupakan sebuah lagi usaha FAMA untuk membantu perkembangan industri rempah dalam negara.
– BERNAMA
Mei 30, 2008
Kawasan seluas 1.6 hektar bagi memudahkan nelayan memulakan ternakan ikan guna teknologi tinggi
JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri menyerahkan tanah seluas 1.6 hektar di Sungai Danga, di sini, kepada Persatuan Nelayan Johor (Penaja) untuk membangunkan projek akuakultur, yang dijangka mampu meningkatkan ekonomi kira-kira 7,000 ahli persatuan itu.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata tanah berkenaan sebelum ini dipajak kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan kini ia diserahkan kepada Penaja bagi membolehkan mereka memulakan projek menternak ikan menggunakan teknologi terkini.
Katanya, pemberian tanah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memastikan rakyat tempatan tidak diabai daripada peluang perniagaan ketika Johor menjadi tumpuan pelabur asing menerusi pembangunan Iskandar Malaysia.
“Kita harap dengan tanah seluas itu, Penaja boleh menjalankan kegiatan menternak ikan menggunakan kaedah dan teknologi bersesuaian peredaran masa dengan keuntungan diperoleh boleh dimanfaatkan semua ahlinya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Penaja ke-23 di Hotel New York, di sini, kelmarin.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Johor, Aziz Kaprawi; Ketua Pengarah LKIM, Datuk Mutafa Ahmad; Pengarah LKIM Johor, Hanafiah Husin dan Pengerusi Penaja, Mohamad Dolmat.
Pada majlis itu, Abdul Ghani turut menyerahkan bantuan RM15,000 sumbangan Penaja kepada lapan persatuan nelayan di seluruh negeri.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri mengalu-alukan anak nelayan yang berkemahiran dan berminat untuk maju dalam bidang perniagaan menyertai projek akuakultur itu.
Sementara itu, beliau memberi jaminan kerajaan negeri tidak akan menyisihkan nelayan di seluruh negeri daripada pembangunan dilaksanakan di sepanjang pesisiran pantai.
“Pesisiran pantai Johor agak panjang dari pantai barat ke pantai timur. Kita mahu apa saja bentuk pembangunan di situ membawa sama pembabitan masyarakat nelayan,” katanya.
Mei 30, 2008

Meskipun bergelar tauke, Nabil Sanusi dan isterinya, Surina Saad tetap turun membantu memetik cendawan untuk dipasarkan.
“Bukan senang hendak tanam cendawan,” demikian kata-kata yang terpacul dari mulut Nabil Sanusi, sebaik ditanya apakah beliau seronok dan tidak menyesal menceburi industri penanaman cendawan yang kini semakin popular itu.Kata-kata tersebut seakan satu ‘pukulan balas’ kepada mereka yang beria-ia ingin menceburi pertanian khususnya tanaman cendawan kerana membayangkan setiap helaian daun tanaman tersebut sebagai wang ringgit.
Kepada Nabil, membayangkan sesuatu yang menguntungkan boleh menjadi pendorong dalam setiap perkara yang diusahakan tetapi dengan syarat, perlu mengusai ilmu yang berkaitan untuk menjamin kejayaan.
Nabil, 37, yang kini terlibat dalam industri automotif pada mulanya hanya ingin mempelbagaikan sumber ekonominya dan memilih cendawan tiram kelabu untuk diusahakan.
Pada 2005, beliau ditawarkan mengusahakan tanaman orkid di Johor oleh Persatuan Penanam Orkid tetapi atas faktor tertentu dan lokasi yang agak jauh, Nabil menolak tawaran tersebut.
Namun tekadnya untuk mengusahakan sesuatu yang menguntungkan tidak pernah padam malah, sering terfikir melakukan sesuatu yang terbaik untuk masa depan.
Takdir telah menentukan beliau menceburi perusahaan tanaman cendawan apabila dipertemukan dengan seorang rakan di Nilai, Negeri Sembilan yang telah mengusahakan tanaman tersebut terlebih dahulu.
Beliau yang disarankan untuk mencuba bidang tersebut tidak menunggu lama, dan dengan sokongan keluarganya, Nabil mengambil keputusan untuk terlibat secara serius.
Nabil tidak perlu menunggu lama, sama ada kerana terpaksa menubuhkan syarikat atau membuat pinjaman terlebih dahulu, tetapi seperti kebanyakan usahawan pertanian masa kini, dia terus sahaja memulakan usaha di atas sekeping tanah seluas kira-kira 0.4 hektar (satu ekar) milik keluarganya di Jalan Ahmad Khushasi, Jenderam Hulu, Sepang, Selangor.
PelaburanBerbekalkan wang simpanan, Nabil membuat pelaburan awal sebanyak RM200,000 untuk membina tiga rumah cendawan bersaiz 70 kaki x 30 kaki pada awal tahun lalu dan menambah empat rumah lagi secara berperingkat-peringkat.
Beliau juga mengambil keputusan untuk menubuhkan syarikat khas, NAS Agro Farm pada Oktober tahun lalu untuk menjalankan operasi di kawasan tanah tersebut yang pada asalnya dusun buah-buahan.
Tanpa meninggalkan kerjayanya sebelum ini, beliau menambah pelbagai kemudahan dan kelengkapan sebagai bukti kesungguhannya untuk terbabit secara serius.
Nabil yang turut dibantu isterinya, Surina Saad, juga terpaksa menggaji tujuh pekerja termasuk seorang penyelia memandangkan tanaman cendawan memerlukan tumpuan dan kerja yang banyak.
Ketika ini, dengan pelaburan keseluruhan kira-kira RM400,000, kompleks tanaman cendawan tersebut telah dikembangkan operasinya dengan tujuh rumah cendawan yang memuatkan kira-kira 200,000 polibeg. Rumah itu dilengkapi sebuah bilik suntikan benih, rumah menyediakan polibeg dan alat pengukusan dan alat mencampur adunan substrat (media).
“Saya juga sedang menyiapkan sebuah makmal menghasilkan benih cendawan menggunakan teknik kultur tisu bagi mengatasi masalah pengusaha untuk mendapatkan benih yang baik,” ujarnya.
Kelengkapan tersebut, kata beliau, dapat disediakan dengan bantuan peruntukan Jabatan Pertanian sebanyak RM10,000.
Nabil menjelaskan, beliau akan memberi tumpuan kepada pengeluaran benih, sebagai satu cabang perniagaan baru dalam industri tanaman cendawan supaya pengusaha sedia ada mudah mendapatkan bekalan.
Bagaimanapun katanya, pengeluaran benih yang boleh dilaksanakan dalam tempoh terdekat hanya akan dikomersialkan seawal-awalnya enam bulan daripada sekarang.
Ini kerana, beliau perlu terlebih dahulu memastikan benih yang dihasilkan bermutu tinggi sebelum dipasarkan kepada pengusaha lain.
Mengenai kemungkinan beliau akan menambah kemudahan sedia ada untuk meningkatkan pengeluaran, Nabil berkata, meskipun permintaan terhadap cendawan amat tinggi, tumpuan perlu diberikan kepada tanaman sedia ada.
“Saya hanya mampu mengeluarkan 50 kilogram (kg) cendawan sehari sedangkan permintaan yang diterima sekurang-kurangnya 150 kg sehari dan kadangkala mencecah 200 kg,” ujarnya.
Tambahnya, cendawan merupakan tanaman yang sensitif dan memerlukan kawasan bersih sepanjang masa.
Penggunaan bahan kimia perlu dielakkan sama sekali tetapi pada masa yang sama kawalan penyakit perlu beri keutamaan.
Katanya, penyakit utama cendawan ialah kulat hijau dan oren dan ia boleh dikesan dengan memerhatikan sebarang perubahan warna pada polibeg yang telah disuntik dengan benih.
Cendawan katanya, boleh mengeluarkan hasil selepas dua bulan disuntik dan kemudiannya dieramkan.
Sepanjang tempoh dua bulan setengah berikutnya, kutipan hasil boleh dilakukan enam atau tujuh kali.
Setiap cendawan yang dipetik pula dianggarkan mempunyai berat antara 80 dan 100 gram.
Pada masa ini, beliau memasarkan cendawan harga RM7 sekilogram dengan pembeli datang sendiri ke ladangnya untuk mendapatkan bekalan.
Beliau juga akan cuba mengusahakan tanaman cendawan spesies abalone dan telinga kera yang merupakan cendawan yang sedap dan kenyal.
Syarikat Nabil juga akan menawarkan kursus kepada mereka yang berminat mendapatkan pengetahuan mengenai aspek penanaman cendawan dan sebuah bangunan khas untuk tujuan itu sedang dibina.
Dalam pada itu, beliau juga memulakan usaha awal menternak cacing untuk menghasilkan baja kompos dengan memanfaatkan semula bahan substrat yang telah digunakan.
Sebuah bangunan khas disediakan untuk tujuan itu.
Selepas lebih setahun beroperasi, usaha Nabil semakin menampakkan sinar yang diharapkan.
Tetapi bagi mereka yang berminat, dia sekali berpesan, supaya bertahan kerana cendawan bukan satu tanaman yang mudah diusahakan.
“Saya sendiri pernah dilanda pelbagai masalah terutama serangan penyakit yang memaksa polibeg yang mengandungi benih dimusnahkan selain serangan makhluk perosak,” ujarnya.
Fakta cendawan
Tidak mempunyai klorofil.
lMembiak melalui spora yang bercambah menjadi hyphae (mycelia apabila jumlahnya banyak) yang tidak nampak dengan mata kasar.
lHypahe yang bercambah membentuk primary mycelia dan kemudiannya secondary mycelia.
lMengumpul nutrien daripada substrat.
lBenih cendawan peringkat mycelia tumbuh atas substratnya sendiri seperti sekoi, barli gandum dan habuk kayu.
lCendawan yang popular ditanam ialah tiram kelabu (Pleurotus sajor-caju).
Mei 30, 2008

RAK yang dipenuhi beg cendawan mengandungi benih untuk proses pemeraman di Rumah Cendawan, UPM.
MINGGU ini, ruangan Bengkel Usahawan Cendawan Mega-Utusan bersama UPM-AgroBank memaparkan sebahagian lagi kaedah yang perlu diketahui sebelum melaksanakan projek tanaman cendawan. Ia terbahagi kepada:Memilih benihlBenih (spawn) yang baik akan meliputi bahan pemegangnya seperti gandum, sekoi, barli dan lain-lain.
lWarna putih akan memenuhi bahan pemegangnya tanpa dicemari warna lain.
lBenih induk disuntik kepada substrat lain dan diperam menjadi generasi ketiga dipanggil benih cendawan.
lDengan mengulangi suntikan dan pemeraman, lebih banyak benih dapat dihasilkan dari kultur induk tetapi makin lama akan merendahkan vitaliti benih.
Penyimpanan kultur induk dan subkultur penting contohnya dalam nitrogen cecair atau dengan parafin.
Benih yang baik akan menghasilkan badan buah yang baik, tebal dan gebu dan tidak berkerinting, tidak berwarna lain dan tidak mengeluarkan bau busuk atau hanyir.
Memilih dan menyediakan media atau substratSumber pemakanan utama bagi cendawan tiram kelabu ialah selulosa, hemiselulosa dan lignin.
Habuk kayu, kapas, hampas tebu, tongkol jagung dan perlukan bahan tambahan seperti dedak padi atau gandum untuk dijadikan substrat.
Pelbagai bahan sisa pertanian sesuai dijadikan bahan media bagi cendawan tiram iaitu kulat putih reput yang menggunakan lignin dan selulos bersama sebagai sumber karbon dan akan memutihkan hosnya.
Rumah cendawanRuang yang bersih diperlukan bagi pertumbuhan cendawan di samping persekitaran yang sesuai daripada segi suhu, pengudaraan, cahaya redup dan kemudahan sumber air. Pemilihan lokasi rumah penting daripada segi pemasaran.
Tidak perlu membuat struktur yang mahal dan canggih sebaliknya memadai dengan menutup keliling struktur dengan jaring plastik hitam supaya redup dan mendapat pengudaraan mencukupi.
lRak kayu diperlukan bagi menyusun beg cendawan yang hendak diperam hingga sampai ke peringkat penghasilan.
lHarga rak kayu berukuran 5 kaki x 6 kaki x 1.2 kaki biasanya (RM400).
lDua setengah rak boleh memuatkan 1,050 beg cendawan.
lSaiz rumah- 20 kaki x 15 kaki dengan rumah menyimpan media – 5 kaki x 10 kaki.
lPenyediaan beg dan kukus beg- 10 kaki x 15 kak.i
lBilik suntik- 7 kaki x 10 kaki.
lBangunan lain yang diperlukan untuk penyimpanan beg cendawan di atas rak.
PersekitaranlIni termasuk suhu, kelembapan bandingan, cahaya, karbon dioksida, dan keasidan substrat.
lBila suhu tinggi kelembapan bandingan.
lSuhu tinggi menggalakkan metabolisme badan buah yang meningkatkan kadar pernafasan dan karbon dioksida tinggi.
Cendawan tiram perlukan berbeza dalam setiap peringkat.
Dalam pemeraman, kelembapan sesuai ialah antara 65 dan 70 peratus tetapi semasa pembentukan badan buah ia memerlukan antara 80 dan 90 peratus dan bersuhu rendah.
PemasaranlSangat mustahak memandangkan hasil yang dikeluarkan perlu segera dipasarkan.
lOleh itu, kajian pasaran perlu dilakukan terlebih dahulu.
lPengurusan dan Penyelenggaraan
lKebersihan adalah penting dan setiap kali memetik hasil, segala sampah sarap perlu dibersihkan segera bagi mengelakkan masalah serangga dan perosak.
Bahan kimia tidak dibenarkan sama sekali digunakan di dalam rumah cendawan bagi mengelak keracunan terhadap cendawan.
Mei 30, 2008
Selepas kejayaan penganjuran pertama Bengkel Usahawan Cendawan, Sisipan Mega Utusan Malaysia mengorak langkah setapak lagi dengan menganjurkan Bengkel Usahawan Kambing dengan kerjasama rakan-rakan strategiknya.Bengkel Usahawan Kambing Mega-Utusan kali ini akan dianjurkan dengan memberi sedikit kelainan yang mana peserta diperlukan menginap bersama keluarga angkat di Banghuris Homestay, Sepang.
Bengkel selama dua hari tersebut mengehadkan penyertaan 150 orang sahaja dan akan diadakan dengan kerjasama syarikat pengimport kambing terbesar tempatan, Perfect Agro Sdn. Bhd. dengan kerjasama AgroBank (dulunya Bank Pertanian Malaysia), dan Pusat Pengembangan, Keusahawan dan Pemajuan Profesional (APEEC), Universiti Putra Malaysia.
Maklumat Bengkel
Tempat: Banghuris Homestay, Sepang, Selangor.
Tarikh : 14 hingga 15 Jun 2008 (Sabtu dan Ahad)
PengenalanPerkembangan positif industri ternakan kambing telah berjaya menarik perhatian ramai usahawan untuk menceburkan diri dalam industri ini. Secara tidak langsung, industri ini dilihat mampu berkembang maju sebagai satu bidang ekonomi yang baik kepada negara.
Antara baka kambing yang popular di kalangan penternak adalah Boer, Jamnapari, Saanen, Katjang serta beberapa jenis bebiri seperti Merino, Barbados, Damara dan lain-lain.
Pada masa kini, permintaan terhadap kambing amat tinggi terutamanya bagi tujuan sembelihan dan juga pembiakbakaan.
Antara faktor utama yang mendorong ramai usahawan menceburi industri ini adalah:
lKeuntungan jangka panjang yang baik.
lPermintaan pasaran yang tinggi.
lKhasiat daging serta susu kambing yang baik untuk kesihatan.
Objektif
Memberikan pendedahan dan pengetahuan asas berkaitan industri ternakan kambing serta mengenal pasti potensi perniagaan dalam industri ini.
Kumpulan Sasaran Terbuka kepada semua orang awam dan bakal penternak yang berminat untuk menceburkan diri dalam industri ternakan kambing. Kursus ini dihadkan kepada 150 orang peserta sahaja.
Tenaga PengajarTenaga pengajar terdiri daripada pihak pengurusan Perfect Agro Sdn. Bhd. serta Dr. P. Azhar Zakaria selaku Penasihat Ternakan kepada syarikat yang juga merupakan seorang pakar dalam bidang ternakan di Malaysia begitu juga dengan khidmat nasihat daripada APEEC serta AgroBank.
Yuran Penyertaan
lYuran penyertaan adalah RM250 seorang.
lYuran merangkumi bahan bertulis, penginapan, lawatan, makan dan minum selama dua hari.
Mei 30, 2008
DI SEBALIK kemanisan dan keenakan buah betik, satu rahsia baru telah terungkai yang memperlihatkan penemuan struktur genetik terbaru buah tropika itu dijumpai sekali gus menyempurnakan genom betik.
Hasil penyelidikan saintis dari Perkhidmatan Penyelidikan Pertanian (ARS), Pusat Penyelidikan Pertanian Lembangan Pasifik di Hilo, Hawaii, Amerika Syarikat satu kajian dijalankan dengan menanam papaya berteraskan penjujukan genom.
Menurut Pengarahnya, Dennis Gonsalves, betik isi merah, Sun Up ‘itu telah mula dijalankan sejak tahun 1985 untuk menghasilkan buah betik varieti baru secara ubahsuaian genetik.
Penyeldidikan tersebut dijalankan menerusi kerjasama Universiti Hawaii-Manoa dan syarikat Pharmacia di Michigan bagi melindungi daripada ancaman virus ringspot.
”Virus tersebut merupakan ancaman kepada betik sekali gus merosakkan tanaman tersebut sejak dari tahun 1992 di Hawaii,” katanya.
Namun, pada tahun 1998, genetik betik dari projek SunUp turut digabungkan dengan betik isi kuning.
Hasil daripada penggabungan tersebut buah betik yang dipanggil Rainbow dapat dihasilkan dan ia tahan daripada serangan virus.
Penelitian juga mendapati, hasil tanaman betik yang dihasilkan melalui projek tersebut membolehkan penemuan trait genetik lain yang mampu mempengaruhi rasa, tekstur, aroma kandungan nutrisi dan tahan serangga perosak.
Dalam pada itu, buah betik kaya dengan vitamin A dan C serta mengandungi sumber mineral yang tinggi.
Mei 30, 2008
Posted by harizamrry under
Agro - Info Buletin 1 Comment
IPOH 29 Mei – Kegemaran merakamkan gambar bunga orkid sebagai subjek utama dalam kerja fotografi akhirnya menimbulkan minat seorang pemuda untuk menjadikan bunga tersebut sebagai tanaman kesayangannya.
Dominic Chong, 37, yang mengusahakan sebuah restoran di Jalan Persiaran Greenhill di sini gemar bermain dengan kamera pada masa lapang dan berasa gembira apabila berpeluang merakamkan bunga orkid sebagai subjek rakamannya.
Beliau yang masih bujang mendapati imej bunga orkid dirakamkan cukup cantik untuk dijadikan koleksi gambar simpanan tetapi tidak tergerak hati mahu menanam bunga tersebut sehinggalah berubah fikiran sejak lima tahun lalu.
”Entah kenapa setelah sekian lama hanya berminat merakamkan gambar bunga orkid, hati saya tiba-tiba tergerak mahu cuba menanamnya sebagai hobi.
”Sebaik melihat bunga orkid yang saya tanam pertama kali tumbuh elok, saya tidak menoleh ke belakang lalu menjadikan kerja menanam dan mengumpul orkid sebagai hobi utama sehingga kini,” katanya.
Beliau ditemui semasa menyertai Pertandingan dan Promosi Orkid di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini semalam.
Dominic merupakan pemenang utama pertandingan orkid dalam Pesta Orkid Bandar Raya Ipoh 2008 yang diadakan mulai semalam hingga Isnin depan sempena Ulang Tahun Ke-20 Bandar Raya Ipoh.
Beliau yang mempertandingkan orkid hybrid bernama Rhy Retusa dalam pertandingan ini menerima hadiah wang tunai berjumlah RM500.
Menurut Dominic, kemenangan tersebut adalah kedua diterimanya sejak lima tahun aktif menanam orkid.
Sebelum ini, beliau pernah menjuarai pertandingan bunga di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) yang diadakan di Putrajaya dua tahun lalu.
Mei 30, 2008
SEKTOR pertanian dan industri asas tani adalah antara bidang utama yang diberi penekanan kerajaan bagi memastikan golongan penternak, petani dan nelayan tempatan menambah pendapatan tambahan, sekali gus meningkatkan pulangan ekonomi kendiri dan negara.
Terengganu adalah antara negeri yang mengorak langkah pantas meningkatkan sektor industri asas tani, selaras hasrat pemimpin Perdana Menteri supaya memartabatkan sektor itu ke tahap lebih tinggi. Apatah lagi, negeri itu memiliki keistimewaan tersendiri dengan majoriti penduduknya cenderung membabitkan diri dalam bidang pertanian, selain memiliki banyak kawasan berpotensi untuk dibangunkan.
Lawatan sehari Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Rozi Mamat ke beberapa lokasi projek pertanian dan ternakan kendalian Terengganu Agriculture Development Corporation Sdn Bhd (TADC) serta Perbadanan Memajukan Iktisad Terengganu (Permint) baru-baru ini memperlihatkan kesungguhan agensi itu memaju serta menjadikan bidang pertanian dan industri asas tani lebih moden.
Peranan utama TADC adalah untuk menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi Terengganu, menaikkan pendapatan penduduk dan seterusnya meningkatkan taraf hidup rakyat. Permint pula yang memiliki pengalaman luas dalam pelbagai industri berazam membangunkan sektor pertanian dengan memberi penekanan kepada sektor perikanan.
Lawatan turut disertai Pengurus Besar Permint, Datuk Zakaria Awang dan Pengarah Eksekutif TADC, Adnan Ghazali bermula di Kompleks Pengeluaran Barramundi fasa pertama di Tanjung Demong, Besut yang menempatkan operasi pengeluaran ikan siakap kendalian syarikat akuakultur antarabangsa yang beribu pejabat di Australia Barat, Cell Aquacultrue Limited (Cell).
TADC menguasai 70 peratus ekuiti dalam usaha sama dengan Cell menubuhkan Trg Cell Sdn Bhd (Trg Cell) bagi membangunkan sistem untuk industri akuakultur, termasuk mengeluar dan membekalkan ikan pelbagai spesies berkualiti, membekal dan memasang sistem pemasaran ikan, menguruskan operasi, jualan dan pemasaran produk.
Konsep ternakan ikan tertutup yang pertama seumpamanya di negara ini yang dimulakan tiga tahun lalu sudah mula menampakkan hasil dan diyakini mampu menjadi pemangkin pengeluaran hasil makanan bukan saja untuk pasaran tempatan, malah luar negara.
Fokus menjadikan Terengganu pengeluar utama industri akuakultur pada peringkat antarabangsa, pelan pembangunan Trg Cell meliputi pembangunan pusat penetasan pelbagai spesies ikan bertaraf dunia. Pelan pembangunan peringkat pertama sudah bermula dan akan mencapai kapasiti pengeluaran maksimum sehingga lapan juta anak benih ikan setahun, yang akan menjadikan Terengganu salah satu pusat penetasan ikan terbesar di dunia.
Rozi berkata, impak dan faedah program usaha sama itu mampu mewujudkan pulangan antara RM800 dan RM1,000 sebulan kepada graduan dan usahawan, selain peluang kerja kepada rakyat tempatan dengan pendapatan RM250 hingga RM300 sebulan dengan pengeluaran fasa pertama dianggarkan mencecah 100 hingga 120 tan metrik setahun.
“Melalui langkah mengubah corak penternakan tradisional dan kecil-kecilan kepada yang lebih moden dan berkembang bukan saja akan meningkatkan pengeluaran dan pendapatan rakyat, malah mampu mengikis pemikiran lapuk bahawa bidang pertanian, penternakan dan nelayan yang sinonim dengan kemiskinan.
“Kita mahu keluar daripada kepompong itu dan membuktikan bahawa bidang akuakultur dan agrotani mampu melahirkan jutawan yang terkenal dalam dan luar negara dengan hasil produk lebih standard untuk pasaran antarabangsa,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telemong.
Satu lagi projek seumpamanya ialah projek ternakan ikan kerapu harimau menggunakan sistem ‘flow through’ di Kampung Rhu Sepuluh, Setiu yang beroperasi dengan 72 tangki ternakan yang mengepam dan mengalirkan air laut terus ke dalam kolam takungan.
Menariknya, projek ini turut menyediakan enam kolam rawatan ikan berpenyakit yang ditempatkan dalam air laut ditakung bercampur ubatan untuk memulihkan ikan yang sakit sebelum dijual di pasaran.
Dua jenis kerapu utama diternak di situ ialah kerapu harimau dan kerapu tikus yang diletakkan dalam kolam fiber yang putaran airnya ditukar sebanyak tiga kali sehari dan setiap ekor ikan ini dijual di pasaran tempatan dan Hong Kong pada harga mencecah RM30 hingga RM35 seekor.
Setakat ini, dianggarkan sebanyak dua tan tuaian sudah dibuat dengan 16 peserta Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) dilantik sehingga berupaya meraih pendapatan sebanyak lebih RM500 sebulan sebagai pendapatan sampingan.
Di Kampung Fikri, Setiu pula projek ternakan dalam kolam menggunakan teknologi ‘high density recirculation pond water cultured system’ yang dibangunkan di atas tanah seluas 200 hektar milik kerajaan negeri dengan operasi 16 kolam ternakan udang dan siakap yang terbahagi kepada dua fasa.
Projek usaha sama TADC dengan Fenomena Luas Sdn Bhd (FLSB) melalui anak syarikat TRG Aquaculture Sdn Bhd yang menumpukan pasaran produk ke Amerika Syarikat dan Eropah dalam bentuk filet, manakala ikan hidup lebih menjurus kepada pasaran Hong Kong dan Singapura.
Rozi berkata, empat peserta PPRT sudah dilantik sebagai peserta program dengan pendapatan sekurang-kurangnya RM780 sebulan dan penambahan peserta akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut perancangan dan pengoperasian ternakan syarikat.
Aspek pertanian di negeri itu akan lebih cekap dan maju dengan pembinaan Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Hasil Tani di Kampung Telaga Papan, Setiu yang akan menjadi hab masuk dan keluar hasil tani daripada seluruh negeri yang akan melalui proses pembungkusan menepati standard antarabangsa untuk pasaran negara luar dan tempatan.
“Di sinilah buah-buahan akan diproses sebelum dibungkus mengikut standard pasaran antarabangsa. Sebelum ini, hasil tani kita agak sukar menembusi pasaran antarabangsa kerana produk tidak menepati saiz dan standard pasaran di sana, tetapi kini dengan prasarana dan kemudahan serba moden, produk kita bakal bersaing dengan produk dari negara lain.
“Skim Kesejahteraan Petani (Sutratani) di sini juga sudah memulakan tiga modul dengan anggaran RM4 juta membabitkan lapan peserta dengan setiap inkubator. Untuk satu pusingan lengkap dengan anggaran masa 16 bulan, dua jenis tanaman akan ditanam dan menghasilkan jangkaan pengeluaran setiap modul pada purata 14,000 polibeg mentimun dan cili.
“Program ini memberi manfaat jangka panjang untuk meningkatkan pendapatan petani. Kita berharap dengan pendekatan pertanian secara moden membabitkan peserta inkubator secara terus dan terancang akan memberi rangsangan baru bagi sektor pertanian di negeri ini,” katanya.
Mei 28, 2008
SEMPORNA 27 Mei – Projek unjam yang dilaksanakan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberikan impak positif dalam meningkatkan hasil laut sekali gus meningkatkan pendapatan nelayan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin berkata, menerusi projek tersebut didapati hasil tangkapan nelayan pesisir pantai semakin meningkat berbanding sebelum ini.
Katanya, berdasarkan kajian yang dilaksanakan LKIM bersama Universiti Putra Malaysia terbukti unjam-unjam ini memberi impak yang amat baik kepada peningkatan pendapatan nelayan iaitu antara 40 hingga 88 peratus.
“Kepadatan ikan di kawasan unjam-unjam juga menunjukkan peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding di kawasan terbuka,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran Ladang Ikan di Laut (unjam) di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Sulabayan, Datuk Harman Ahmad; Ketua Pengarah LKIM, Datuk Mustafa Ahmad; Pengarah LKIM Negeri, Zainal Ali dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri, Jumahat Intang.
Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri berkata, program seperti itu bukan sahaja sukar dilaksanakan, malah turut melibatkan perbelanjaan serta peruntukan yang agak besar.
Jelasnya, sehingga kini LKIM telah membelanjakan lebih RM5 juta bagi melaksana projek unjam di perairan Sabah iaitu di Papar, Semporna, Tawau, Sandakan, Pulau Banggi, Kudat, Kota Belud, Tuaran dan Kuala Penyu.
Justeru itu katanya, semua nelayan perlu merebut peluang dan mengambil manfaat sepenuhnya daripada program tersebut selain sentiasa memberikan kerjasama yang baik kepada kerajaan.
“Di sini jelas kepada kita bahawa program pembinaan unjam-unjam sama ada yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh LKIM dapat memberikan impak amat besar bukan sahaja kepada masyarakat nelayan setempat malah dapat membantu meningkatkan ekonomi negara.
“Justeru janganlah kita musnahkan atau sengaja melakukan aktiviti yang tidak sihat seperti mengebom ikan di kawasan unjam kerana perbuatan ini bukan sahaja merosakkan struktur unjam, malahan mengakibatkan kematian ikan, seterusnya menjadikan kawasan unjam tersebut tidak produktif,” katanya,
Mei 27, 2008
KUALA LUMPUR, 24 Mei — Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2008 (MAHA 2008) yang bakal berlangsung pada 11 hingga 23 Ogos, akan menerima penyertaan buat pertama kalinya dari Afrika Selatan dan Taiwan.
MAHA 2008, aktiviti dwi-tahunan yang mengumpulkan agensi-agensi kerajaan dan komuniti industri pertanian tempatan dalam satu bumbung, turut menyaksikan penyertaan dari negara-negara luar seperti Eropah dan India, kata Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz.
“MAHA merupakan pameran pertanian yang terbesar di Malaysia. Sambutan orang ramai terhadap MAHA pada pameran-pameran lepas begitu menggalakkan.
“Satu format baru telah dimulakan pada tahun 2002 di mana MAHA menerima penyertaan dari syarikat-syarikat antarabangsa. Negara-negara baru yang akan menyertai MAHA 2008 termasuk Afrika Selatan dan Taiwan,” katanya dalam sesi temubual Helo Malaysia di Bernama TV di sini, Sabtu malam.
Sehubungan itu, beliau yakin menerima 1,500 peserta untuk tahun ini berbanding hampir 1,000 peserta pada tahun 2006.
Pameran MAHA yang sebelum ini (MAHA 2006) telah dapat menarik lebih daripada satu juta pengunjung dan beliau menjangka MAHA tahun ini akan menjadi lebih hebat, terutama dengan tersedianya tapak pameran kekal di Taman Pameran Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS), yang dianggarkan menelan belanja RM220 juta.
“Pameran terakhir menggunakan marquee tents, tetapi MAHA tahun ini ada struktur bangunan yang lebih selesa, besar dan hebat,” jelas Mohamed Shariff.
Beliau berkata MAHA 2008 juga menerima penyertaan daripada lebih 350 peniaga dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang akan mengetengah dan memasarkan produk tempatan dari hasil pertanian.
Apa yang lebih menarik, lebih daripada 100 makanan popular dan istimewa dari setiap negeri juga akan dipaparkan semasa pameran itu mee udang dari Pulau Pinang dan mee bandung dari Muar, Johor, katanya lagi.
MAHA 2008 yang dianjurkan oleh FAMA dan akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dijangka menjadi acara terbesar tahun ini untuk industri asas tani di mana ia telah dinamakan sebagai pameran terbesar di Malaysia oleh Malaysia Book of Records.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed baru-baru ini mensasarkan MAHA 2008 mampu menarik 1.3 juta pengunjung dari luar dan dalam negara.
Mustapa berkata hampir 1,000 penyertaan telahpun diterima di mana 11 daripadanya adalah dari luar negara.
Tahun ini juga menyaksikan Australia dipilih sebagai “negara tetamu” kerana ia adalah sebuah negara yang paling berjaya dalam bidang pertanian.
– BERNAMA
Laman Berikutnya »