DARIPADA dunia lakonan, nama yang tidak asing lagi seketika dulu khususnya dalam drama televisyen dan filem, kini rupanya sudah berubah profesion, sekali gus menyahut seruan kerajaan supaya rakyat negara kita terus berbudi kepada tanah.

Ketika dunia berdepan krisis makanan, langkah diambil Sidi Oraza, yang pernah memenangi Aktor Pembantu Terbaik menerusi filem Sayang Salmah pada 1996, ketika Festival Filem Asia Pasifik ke-41 di Auckland, New Zealand, adalah tepat pada masanya.

Pelakon terbabit atau nama sebenarnya, Syed Osman Syed Rastan, 43, kini adalah Pengerusi Eksekutif Diversatech (M) Sdn Bhd (Diversatech), syarikat ditubuhkan 10 tahun lalu yang dimiliki 100 peratus Bumiputera.

Syarikat pengilang dan pengeluar baja beribu pejabat di Bandar Baru Bangi, Selangor itu mengorak langkah mengeluarkan produk baja kimia dan organik dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sidi berkata, idea untuk menceburi bidang pengeluaran baja bermula selepas pulang daripada mengembara di China pada 1996 sebaik bersara daripada dunia lakonan.

“Seorang rakan memberitahu, ada tiga saja jenis perniagaan yang pasti boleh bertahan, walaupun ketika gawat iaitu makanan, filem dan baja. Jadi, saya pernah menceburi perniagaan makanan dan filem sebelum ini, kini baja pula,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bangi, baru-baru ini.

Seperti manusia yang memerlukan makanan tambahan termasuk vitamin untuk sihat, tanaman juga memerlukan 17 unsur nutrien untuk terus hidup subur dan mengeluarkan hasil berpanjangan.

Ada tanah yang mempunyai semua unsur yang diperlukan tanaman, tetapi tidak semua unsur boleh dikeluarkan dan dimanfaatkan pokok berkenaan.

Sehubungan itu, langkah terbaik terutama bagi petani dan peladang ialah menggunakan baja kimia atau organik bagi memastikan tanaman mereka mengeluarkan hasil memuaskan.

Dalam usaha memenuhi permintaan tempatan dan luar negara, Diversatech berusaha untuk mengeluarkan pelbagai jenis baja itu.

Bermula dengan satu produk baja dedaun yang dikenali sebagai Vito Grow Plus, kini Diversatech yang mempunyai kilang untuk memproses dan mengeluarkan baja di Semenyih sudah mengeluar dan memasarkan enam lagi produk.

Enam produk itu antaranya Zappa Plus, bahan rawatan benih padi yang dirumus bagi menggalakkan kecergasan anak padi dan bertindak sebagai perisai terhadap serangan kulat serta penyakit.

Baja organik Jitu pula dihasilkan bagi memperbaiki kesuburan dan struktur tanah, manakala baja Dammar bagi memberi ketahanan pada padi untuk mengawal serangan siput gondang mas.

Selain itu, baja padi NPK, Mampan, turut mampu membantu tanaman mendapatkan hasil yang maksimum dan baja Robust pula berfungsi meningkatkan kekebalan pokok secara semula jadi daripada serangan kulat seperti hawar seludang serta karah.

Baja Ajib yang dihasilkan menerusi teknologi dari Jerman pula mempunyai enzim aktif dan mikro nutrien lengkap dalam bentuk terlarut, yang diperbuat khusus untuk menampung kekurangan dan mencapai keseimbangan zat makanan dalam tanah tropika.

Sidi berkata, syarikatnya bukan saja menjalankan proses mengeluar baja, malah juga penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta memastikan produk yang dipasarkan benar-benar berhasil dengan mendapatkan maklum balas daripada petani.

Katanya, Diversatech adalah syarikat yang membantu mengkomersialkan beberapa hasil penyelidikan UPM untuk manfaat petani dan peladang di negara ini.

Bagi memastikan penyelidikan berterusan, sekali gus dapat menghasilkan produk bermutu tinggi, Diversatech yang mempunyai 55 kakitangan turut mempunyai tujuh pakar terdiri daripada ahli sains dari dalam dan luar negara dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya banyak mendapat kerjasama dan sokongan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Pertanian negeri di seluruh negara dan Mardi dalam usaha memasarkan produk syarikat itu.

Malah, katanya, produk keluaran syarikat itu turut memenangi beberapa anugerah pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Antaranya ialah Anugerah Reka Cipta dan Inovasi anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar bagi produk Vita Grow pada 2001, Anugerah Reka Cipta dan Inovasi UPM serta Anugerah Reka Cipta dan Inovasi Antarabangsa Geneva bagi produk Zappa pada 2002.

“Penubuhan syarikat ini adalah selaras dengan saranan kerajaan supaya menjadikan pertanian sebagai perniagaan.

“Selain itu, penghasilan baja ini juga sedikit sebanyak dapat membantu menangani krisis makanan dunia kerana apa yang kami buat ialah supaya petani dan peladang dapat meningkatkan hasil tanaman mereka dengan mutu yang lebih baik,” katanya.

Menceritakan keistimewaan pasukan kerja syarikat itu, Sidi berkata, pihaknya bukan sekadar mengeluarkan baja dan memasarkannya, malah turut turun padang membantu petani dari segi khidmat nasihat dan penyelidikan.

“Di Tiram Jaya, Tanjung Karang, misalnya, setiap kali musim menanam padi, semua tidak menjadi. Menerusi pertanian tepat, kami menjalankan kajian terhadap tanah daun padi dan cuaca serta menghasilkan baja yang bersesuaian dan akhirnya, Alhamdulillah, padi sesuai ditanam di kawasan sawah berkenaan,” katanya.

Menerusi syarikat yang berpegang kepada moto ‘Kami Membantu Petani Menyediakan Makanan Dunia’, Sidi berharap syarikatnya terus berkembang untuk membantu golongan petani dan peladang di negara ini.

About these ads