RAMBUTAN, pulasan dan mata kucing daripada famili Sapindaceae memang buah-buahan yang dikenali ramai. Bagaimanapun, banyak lagi spesies liar dalam famili Sapindaceae yang buahnya boleh dimakan, tetapi tidak begitu diketahui ramai.

Beberapa spesies menghasilkan buah yang enak dan digemari kanak-kanak, burung dan tupai. Pokok sebilangan spesies ini amat menarik dan boleh dijadikan unsur seni taman atau pohon teduhan.

Spesies yang wujud di Semenanjung Malaysia ialah redan, rambutan pacat, kelat layu, ceri Terengganu, gegelek, kasai, matua, lotong dan tengkuk biawak hidup liar di hutan. Pokok kasai kebanyakannya hidup liar, tetapi kini dimanfaatkan sebagai tanaman lebuh dan pohon teduhan bagi menghiasi dan menambah seri bandar raya Kuala Lumpur.

Beberapa spesies buah dalam famili ini wujud di Sabah dan Sarawak. Antara buah yang menarik di sana ialah tiga jenis mata kucing iaitu sau, isau dan kakus yang unik dan berbeza daripada yang ada di Semenanjung.

Bagi pokok redan, misalnya yang muda mempunyai kanopi berbentuk bulat diserikan dengan gugusan buah merah. Pokoknya sederhana tinggi dan berbanir kecil. Buah redan masam manis dan enak rasanya. Namun, potensinya belum diketahui. Daunnya jenis majmuk dan mempunyai satu hingga dua pasang anak daun. Tepi permukaan atas anak daun melengkung sedikit. Permukaan bawah daun berdebu halus. Buah redan kecil dan berbentuk bujur panjang.

Kulitnya merah cerah, menarik dan berkedut, tetapi tidak berbulu. Isinya putih dan lutsinar. Di Sabah dan Sarawak, wujud buah seakan-akan redan dan disebut serait, dijual di pasar tamu apabila tiba musimnya.

Pokok redan jarang ditanam dan kini jarang ditemui. Biasanya pokok ini hidup liar di pinggir hutan atau dalam hutan. Usaha perlu dilakukan bagi menanam pokok ini sebagai pokok teduhan, sekali gus menghalang kepupusannya.

Buah rambutan pacat pula seakan-akan buah redan, tetapi warnanya kuning. Kulit luarnya berbonggol-bonggol kecil. Walaupun nipis, isinya berwarna perang muda itu manis dan berjus. Pokoknya sederhana besar dan hidup liar di hutan.

Di Melaka dan Johor, pokok ini disebut kelat layu mungkin kerana rasa buahnya yang kelat manis dan daunnya melentur seakan-akan layu. Namun, di Utara Semenanjung dan Pantai Timur ia dinamakan mertajam.

Daya tarikan pokok ini terletak pada buah dan kanopinya. Buahnya didapati bergugus-gugus di hujung ranting. Jambak buah padat dengan buah yang kecil dan berwarna-warni apabila hampir matang. Warna ini terjadi apabila buah muda berwarna hijau bertukar menjadi jingga kemudian merah.

Buahnya berwarna ungu atau hitam apabila matang sepenuhnya. Setiap jambak mempunyai buah pada peringkat kematangan berbeza. Isi buah nipis, agak kering dan kelat-kelat manis rasanya.

Pokok kelat layu cukup menarik kerana kanopinya yang bulat, padat dan rendang. Pokok ini sering kali dimanfaatkan sebagai pokok teduhan, terutama di Terengganu, Kelantan dan Kedah. Pokok ini juga sesuai dijadikan unsur seni tanam atau ditanam berbaris-baris di tepi jalan sebagai tanaman lebuh.

Ciri yang menarik pada pokok ceri terengganu ialah pokok dan buahnya. Kanopinya kecil, rendang dan bulat. Daunnya jenis majmuk pinat dengan beberapa pasang anak daun yang lancip dan bersayap. Kecantikan pokok ini diserikan lagi pucuknya yang lembut melentur dan berwarna ungu muda.

Buah ceri terengganu bergugus-gugus seperti buah anggur. Kulitnya amat menarik seperti buah ceri, merah cerah, licin dan berkilat. Buah ini bergantungan pada dahan dan ranting kecil. Walaupun rasa buahnya manis, isinya nipis dan bijinya besar.

Pokok ceri ini banyak ditanam di Terengganu dan Johor. Di Johor, buah ini disebut kelelek atau gegelek. Kedua-dua spesies ini sangat sesuai ditanam sebagai unsur seni taman dan pokok teduhan di taman, sekitar rumah, sekolah atau surau dan tempat awam yang lain.

Dua batang pokok ini wujud di pekarangan masjid Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi.

Bentuk pokok kasai pula cantik dan menarik, dihiasi pucuk berwarna merah cerah. Kini pokok ini banyak ditanam sebagai tanaman lebuh bagi menghiasi landskap sekitar bandar raya Kuala Lumpur dan taman rekreasi.

Kanopinya sederhana besar, daunnya jenis majmuk pinat yang terdiri daripada tiga hingga lapan pasang anak daun. Buah kasai kecil dan berbentuk bujur panjang. Kulitnya rapuh dan berwarna hitam berdebu. Isinya nipis, lutsinar dan manis. Pokok kasai hidup liar di tepi sungai dan hutan. Ia mudah dikenali daripada jarak jauh kerana pucuknya merah.

Pokok yang seakan-akan kasai disebut matua. Pokok berasal dari Irian Barat (Indonesia) ini baru saja diperkenalkan di Malaysia. Buahnya seperti mata kucing atau longan. Isinya tebal dan rasanya manis. Di tempat asalnya, wujud beberapa jenis matua yang berbeza-beza, walaupun pokok ini masih hidup dalam keadaan liar.

Kebanyakan pokok lotong hidup liar di hutan. Pokoknya kira-kira 25 meter tinggi dengan kanopi yang sederhana besar. Anak daunnya besar dan melentur. Buahnya kira-kira lima sentimeter panjang. Kulitnya berwarna merah tua, diselaputi bulu tebal lembut yang melentur di hujung.

Isinya putih, lutsinar dan tidak lekang. Rasanya sangat manis dan berjus. Di Borneo, ada buah dalam spesies sama, dikenali rambutan gergasi.

Selain ditanam di Semenanjung Malaysia, pokok mata kucing juga wujud di Sarawak dan Sabah. Di Sarawak, pokok ini dikenali guring. Selain guring, ada tiga jenis mata kucing lagi yang agak berbeza daripada mata kucing yang wujud di Semenanjung.

Perbezaan utama ialah kulit buah yang mempunyai titik timbul yang lembut dan tumpul. Di kalangan penduduk tempatan, jenis buah ini disebut isau, sau dan kakus. Di Sarawak, semua jenis mata kucing ini wujud di sepanjang Sungai Rejang di Bahagian Sibu dan Kapit, iaitu dari Kanowit, Song, Kapit hingga ke Belaga.

Semua jenis mata kucing ini tergolong dalam spesies sama. Perbezaan utama ialah ciri buah. Isau – buah berbentuk bulat dan kulitnya berwarna hijau hingga buah masak. Sau – buah berbentuk bujur sedikit dan berwarna hijau hingga masak, manakala kakus, buah berbentuk bulat dan berwarna hijau, tetapi bertukar menjadi perang selepas masak.

Buah isau dan mata kucing umumnya lebih kecil daripada sau, manakala kakus mempunyai saiz yang pertengahan, iaitu antara isau dan sau. Isi buah isau lebih tebal dan manis daripada sau, kakus dan mata kucing.

Pokok tengkuk biawak hidup liar di hutan negeri Pahang, Perak dan Pulau Pinang. Buahnya lebih besar daripada rambutan pacat. Kulitnya berwarna ungu dan berbonggol-bonggol kecil. Isinya putih, lutsinar dan berjus. Rasanya masam manis dan harum baunya.

Kini usaha sedang dibuat untuk mengumpul semua spesies unik ini, iaitu khazanah yang tidak ternilai bagi negara ini. Usaha juga sedang dibuat untuk memperkenalkan spesies ini kepada orang ramai menerusi maklumat yang ditulis dan disebar.

‘Tak kenal maka tak cinta’, begitulah kata pepatah Melayu. Semua maklumat begini menambah kesedaran orang ramai mengenai kewujudan spesies buah-buahan nadir dan liar ini.

About these ads