Perusahaan makanan sejuk beku Aini maju

Pengusaha Kampung Melayu Panchor tak patah semangat walaupun pernah rugi akibat banjir Disember lalu

MUAR: Langkah kerajaan menggalakkan pengusaha produk makanan dan pembuatan di luar bandar membabitkan diri dalam bidang perusahaan kecil sederhana (PKS) bukan saja mampu menjana ekonomi pengusaha terbabit, tetapi turut memberi peluang pekerjaan kepada remaja.

Jika sebelum ini pengusaha industri kecil hanya mengeluarkan produk secara terhad berikutan kekurangan modal, melalui skim bantuan yang disediakan membolehkan pengusaha menambah baik perusahaan mereka dengan mengeluarkan produk bermutu sekali gus menaikkan taraf kepada PKS.

Kini produk PKS berjaya menembusi pasaran terbuka termasuk di pasar raya bertaraf antarabangsa, selain mendapat pesanan pemborong dengan kuantiti besar.

Malah ada pengusaha PKS yang menyediakan laman web sendiri di internet bagi memudahkan pelanggan membuat pesanan secara online selaras perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Sebagai contoh, pengusaha PKS Makanan Sejuk Beku Aini, di Kampung Melayu, Panchor, di sini, mengeluarkan lebih 20 produk makanan sejuk beku yang bukan saja memenuhi keperluan pasaran tempatan, malah di luar kawasan.

Pengusahanya, Aini Ayub. 50, berkata perusahaannya yang diasaskan pada 1980 dengan modal RM2,000 kini berkembang pesat dan modal pusingan sehingga RM250,000 dengan pasaran bulanan menjangkau RM30,000 sebulan.

Katanya, pada mulanya beliau menjalankan perusahaan membuat kuih-muih secara kecil-kecilan bagi memenuhi pesanan pada majlis amal dan keraian setempat.

Bagaimanapun, katanya, galakan pemimpin dan wakil rakyat dalam Parlimen Pagoh termasuk bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), menyuntik semangatnya berusaha lebih gigih bagi mengembangkan lagi perusahaannya.

“Selaku wakil rakyat Parlimen Pagoh, Muhyiddin turut menghadiahkan sebuah mesin pengadun tepung bagi meningkatkan lagi pengeluaran produk yang dihasilkan.

“Bagaimanapun, mesin berkenaan munsah bersama bengkel dan premis perniagaan akibat banjir besar yang melanda kawasan Panchor, akhir Disember lalu menyebabkan kami mengalami kerugian lebih RM200,000,” katanya ketika ditemui di perusahaannya, di Kampung Melayu Panchor, di sini, baru-baru ini.

Aini berkata, bencana yang menimpa dirinya dan penduduk negeri ini akibat banjir itu tidak menghalangnya daripada meneruskan perusahaannya walaupun keseluruhan peralatan termasuk empat mesin pengadun tepung dan peti sejuk serta produk yang siap untuk dipasarkan musnah dilanda banjir.

Beliau berkata, hasil dorongan dan nasihat pemimpin yang datang melawat untuk meninjau keadaan peralatan dan produk makanan yang musnah selepas banjir surut, mengembalikan semula semangatnya untuk meneruskan perusahaan yang tergendala akibat banjir.

Katanya, antara pemimpin yang melawat kawasan itu selain Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil serta pemimpin peringkat negeri dan wakil rakyat.

“Sempena lawatan itu, kami diberikan bantuan di bawah dana mangsa banjir untuk membeli mesin pengadun tepung yang baru berharga kira-kira RM50,000 yang membolehkan kami mengeluarkan semula produk makanan seperti dihasilkan sebelum ini.

“Selain itu, kami juga sedang memesan sebuah mesin menggulung tepung sarung kuih batang buruk bernilai kira-kira RM200,000 melalui pinjaman bank bagi membolehkannya menambah pengeluaran untuk memenuhi pesanan pelanggan,” katanya,

Aini berkata, pada hari biasa perusahaannya menggunakan lapan hingga 10 pekerja sambilan, tetapi meningkat kepada 50 hingga 60 pembantu menjelang sambutan Aidilfitri setiap tahun.

Beliau berkata, ini kerana setiap kali menjelang tiba musim perayaan itu perusahaannya menerima tempahan kuih batang buruk daripada pelanggan luar kawasan yang tinggi sekali gus memerlukan tenaga pekerja lebih ramai.

“PKS kami juga mempunyai sijil halal yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Johor (JAJ) dan bagi memudahkan peruncit serta pemborong membuat pesanan mereka boleh melayari laman web http://ainifoods.blogspot.com.

“Melalui laman web itu juga membolehkan orang ramai mengetahui lebih lanjut bukan saja produk yang dikeluarkan tetapi cara membuat pesanan mudah,” katanya.

Beliau berkata, selain mendapat tempahan daripada peruncit, produk keluarannya juga dipasarkan di pasar tani di daerah ini dan Ledang melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Katanya, antara produk makanan sejuk beku yang dihasilkan PKS, karipap, koci keledek, kebab daging, kasturi, keria, samosa, begedil daging, popia, pau, roti canai, cucur badak, donut dan batang buruk.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Melayu, Jamal Sudin, berkata PKS Makanan Sejuk Beku Aini turut menjana ekonomi wanita dan suri rumah yang bekerja secara sambilan di perusahaan berkenaan.

Beliau berkata, suri rumah yang tidak mempunyai pekerjaan berpeluang memperoleh pendapatan sampingan sehingga lebih RM500 sebulan bergantung kepada jumlah hari mereka bekerja.

“Sikap ramah mesra Aini juga kepada pelanggan dan penduduk kampung menyebabkan premis perniagaannya sentiasa dikunjungi pelanggan.

“Pengeluaran produk makanan bermutu yang dihasilkan juga menyebabkan Kampung Melayu terkenal di kalangan penduduk luar kawasan,” katanya.

Pengerusi JKKK Kampung Jawa, Aladdin Ahmad, berkata selain menghasilkan produk bermutu, kuih- muih yang dihasilkan Perusahaan Makanan Sejuk Beku Aini juga dijual dengan harga berpatutan.

Berikutan itu, katanya, perusahaan PKS Aini mampu bersaing dengan produk PKS lain sekali gus membolehkan perusahaannya bertahan lebih lama.

Pengerusi JKKK Kampung Sungai Renggam, Bardan Amat Kastik, berkata perusahaan PKS Aini boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang mendorong sebahagian besar wanita di kawasan berkenaan membabitkan diri dalam bidang berkenaan pada masa depan.

FAKTA: Perusahaan Makanan Sejuk Beku Aini

# Perusahaan Makanan Sejuk Beku Aini, Kampung Melayu, Panchor, Muar, diasaskan penubuhannya pada tahun 1980 dengan modal RM2,000.

# Kini berkembang pesat dengan modal pusingan RM250,000 dan jumlah pasaran bulanan RM30,000 sebulan.

# Menghasilkan lebih 20 produk makanan sejuk beku yang mendapat pasaran menggalakkan termasuk pasar tani dan dan pasar raya.

7 thoughts on “Perusahaan makanan sejuk beku Aini maju

  1. Terima kasih di atas perkongsian maklumat. Alhamdulillah ia dapat mencetus sekilas pandang senario pengusaha di dalam bidang ini. Beberapa persoalan saya…Dari manakah boleh saya dapatkan garispanduan cara pemprosesan yang betul untuk makanan sejuk beku ini? Apa yang boleh dibuatkan sejuk beku, apa yang tidak… cara memasak dan pembungkusan…Siapa atau agensi manakah yang patutnya saya hubungi?

  2. Alhamdulillah dan tahniah buat pn aini semoga perniagaan ini akan berkembang maju..
    harap dapat tunjuk ajar..dari puan aini.. maklumat yang sama yang di tanya oleh Wan noor dan saya juga ingin mengetahuinya…
    Terimakasih…

  3. Assalamualaikum kak..

    saya ni memang bercadang untuk membuka perniagaan sejuk beku ini, tetapi saya tidak tahu macamana untuk mulakan..ape perkara yang perlu saya buat?perkara pertama yang perlu saya buat…lesen perniagaan dah ada,cuma permulaan tu saya bler skit…camna nak dapatkan sijil halal…mintak tolong akak bagi nasihat dan pandangan…

  4. salam..
    saya merupkan pengusaha makan sejuk beku di senawang…
    saya ingin bertanya..
    bagaimanakh cara terbaik untuk memasarkan mknn sejuk beku ini..wpun dengan packaging biasa…
    satu lagi..
    boleh tak puan nyatakan average harga produk frozen puan..
    ini untuk mencarik kadar harga di pasaran..
    terima kasih untuk perkongsian ilmu dari puan…

  5. salam Puan…tahniah juga dari saya.Saya turut berbangga dengan semangta jitu puan dalam bidang ini.Just untuk perkongsian idea..selain daripada produk serunding yg telah berada di pasaran dalam bentuk lebih komersial….sy ingin tanya pendapat puan tentang produk daging dendeng yg lazat dan tahan lama tanpa pengawet9 2 bulan di dalam peti sejuk kerana dimasak lama dan kering..ia sedap dimakan bersama nasi dan ketupat atau dibuat inti.prosesnya mmg diketahui rumit bagi yg biasa menikmati makanan ini tetapi hidangan ini amat istimewa.Jika puan berminat sila klik http://rasadulu-lina.blogspot.com.
    semoga puan bertambah success ya

  6. Saya ada membuat makanan sejuk beku secara kecil-kecilan, antaranya ialah karipap ,samosa,temosa, donut,n murtabak mini,bolehkah syarikat puan tolong pasarkan murtabak mini saya.?kalau puan terima harga boleh dirundingkan kemudian,utk pengetahuan puan saya beroperasi di sarang buaya ,muar

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s