Bermula dengan sebuah kedai kecil di Jambatan Kota, Klang, Selangor pada 1998, wanita ini mengorak langkah mengembangkan perniagaannya sehingga ke peringkat nasional.Mungkin pada mulanya beliau berniaga atas dasar minat membela ikan-ikan perhiasan, namun hasil usaha yang berterusan, Zarifah Abd. Aziz kini muncul pelopor usahawan wanita dan bumiputera pertama yang mempunyai dan menjadikan kedai akuarium miliknya sebagai pusat pengumpul dan pengedar ikan-ikan hiasan di seluruh negeri.

Menurut Zarifah, yang juga Pengarah Urusan Zarifah Akuarium, pihaknya bertindak sebagai pusat pengumpulan ikan daripada para penternak ikan, mengedarkan ikan kepada kepada orang ramai dan ahli-ahli persatuan serta pelanggan dengan harga borong.

Strategi pemasaran kata Zarifah juga ditukar ke Rumah Kedai Kampung Idaman, Pelabuhan Klang, Selangor kerana permintaan yang tinggi terhadap ikan-ikan perhiasan ini.

Demi masa depan perniagaan, Zarifah nekad untuk menutup sementara rumah kedai ini dalam tempoh pengubahsuaian bagi memperbesar dan memodenkan pusat akuarium akuatik sesuai dengan perkembangan semasa.

Selain itu Zarifah Akuarium juga berharap lebih ramai usahawan bumiputera yang akan menceburi bidang ikan hiasan pada masa depan. Pada masa yang sama beliau berharap perniagaan itu dapat membantu kerajaan memperkenalkan ikan hiasan Malaysia kepada orang ramai.

Beliau juga merupakan antara individu terpenting di belakang Persatuan Ikan Hiasan Bumiputera Selangor yang ditubuhkan pada 2003.

Sempat bekerja di beberapa syarikat swasta untuk beberapa tahun, sebelum memilih berhenti untuk berniaga ikan-ikan hiasan, Zarifah mengakui seperti mana perniagaan lain, kerjaya ini juga sengit dengan persaingan.

“Sebenarnya berniaga ikan-ikan hiasan agak baru bagi bumiputera berbanding bangsa lain. Orang Melayu khususnya memang mempunyai kepakaran yang tinggi dalam bidang penternakan dan pembenihan ikan, tetapi kurang pengalaman dari segi pemasaran,” katanya.

Justeru, penubuhan Persatuan Ikan Hiasan Bumiputera Selangor bertujuan membantu bumiputera menyalurkan pengetahuan, pengalaman, mengedar dan mencari strategi baru dalam memasarkan ikan-ikan hiasan.

Menurutnya, sebagai seorang pengusaha dan peniaga ikan-ikan hiasan, strategi pemasaran kini tidak setakat hanya menunggu pelanggan datang ke kedai, tetapi ia memerlukan inisiatif lebih daripada itu.

Ini termasuk mengedar sendiri, memasuki pasar tani, menjual di pasar-pasar tertentu, berada di ekspo-ekspo dan sebagainya, yang bermakna penjual `datang’ kepada si pelanggan.

“Menerusi strategi pemasaran seperti ini juga kita dapat melihat apa yang orang lain mahu dan pendedahan daripada para peniaga lain,” katanya yang turut mendapatkan kursus dan menyertai program yang dikendalikan oleh Jabatan Perikanan Malaysia di seluruh negeri.

Selain itu, Zarifah Akuarium juga merupakan pelopor kepada penubuhan Kelab Ikan Hiasan dan Tumbuhan Akuatik Sekolah-Sekolah Negeri Selangor (KIHTAS) yang diwujudkan pada 2001.

Sehingga kini, sejumlah 45 buah sekolah di negeri Selangor dan sekolah agama kerajaan telah menubuhkan kelab ini.

Dalam pada itu Zarifah akuarium juga membantu mengusahakan landskap, taman mini dan akuatik ikan hiasan di sekolah-sekolah sekiranya terdapat permintaan daripada pihak sekolah.

Malah beliau juga bersedia untuk berkongsi pengetahuan dalam perkara ini di samping panduan susun atur taman mini dan landskap percuma di dalam akuarium yang mana pelanggan hanya membayar kos peralatan sahaja.

Seperti orang lain yang telah berjaya Zarifah juga bercadang untuk membesarkan perniagaannya sehingga dapat mengeksport ikan-ikan hiasan ke luar negara pada masa depan.

“Terdapat kira-kira 1500 spesies ikan hiasan termasuk ikan emas, gapi dan gaya serta ikan air tawar seperti temoleh, lampam, jelawat, kelah, sebarau dan arowana yang popular di Malaysia,” katanya.

Mendapat galakan daripada suami, Sharifuddin Ismail, perniagaan Zarifah banyak dibantu oleh anak sulungnya yang merupakan graduan universiti dari institusi tempatan, Muhammad Shahfrin Sharifuddin, 25.

Kepada mereka yang mahu mengetahui lebih lanjut mengenai perusahaan ikan hiasan boleh menghubungi Zarifah Akuarium di talian 012-3615424.

About these ads