
TEKUN: Pekerja memeriksa buah pitaya di kebun peserta projek pertanian berkelompok GSA Chamek.
Pemilik dusun tak menyesal tebang durian untuk tanam pokok pitaya dua tahun lalu
KLUANG: Lambakan durian di pasaran sehingga menyebabkan harganya menjunam menyebabkan lapan pemilik dusun di Kampung GSA, Chamek, di sini, nekad menebang pokok durian yang sudah mengeluarkan hasil kira-kira dua tahun lalu dan mereka cuba menanam buah pitaya atau buah naga sebagai ganti.
Lapan pekebun itu kemudian sepakat mengusahakan tanaman buah pitaya secara berkelompok kerana mereka percaya, bekerja dalam satu kumpulan akan memastikan usaha mereka lebih berjaya dan mereka juga yakin, buah pitaya mampu memberi pulangan lumayan, tambahan pula pengeluarannya bukan bermusim seperti `si raja buah’ yang mereka usahakan sebelum ini.
Keputusan lapan pekebun itu menebang pokok durian mereka dan kemudian dijual untuk sebagai kayu balak ternyata berbaloi dan kini mereka sudah boleh menarik nafas lega, apabila tanaman pitaya yang mereka usaha mampu memberi pulangan lumayan dan berterusan sepanjang tahun.
Seorang pengusaha, Abdul Khalid Baba, 46, berkata pada awalnya beliau menggunakan wang hasil jualan pokok durian yang ditebang itu sebagai modal untuk memulakan usahanya menceburi tanaman buah pitaya.
Beliau berkata, pada mulanya beliau bimbang untuk mencuba tanaman baru itu kerana tidak ramai Bumiputera khususnya kaum Melayu mengusahakan tanaman pitaya secara komersial.

PELBAGAIKAN KEGIATAN: Ternakan kambing boer turut diusahakan peserta di Kampung GSA Chamek.
Namun, berbekalkan semangat serta sokongan rakan-rakannya yang membentuk satu kumpulan untuk menjayakan projek tanaman berkelompok, beliau yakin usaha itu akan berjaya.
“Mula-mula saya menggunakan wang hasil jualan pokok durian untuk membeli 1,000 tiang untuk menanam buah pitaya dan tidak sampai setahun usaha saya itu sudah berjaya dan mengeluarkan hasil yang cukup baik, begitu juga rakan-rakan saya yang turut serta dalam projek secara berkelompok yang kami jalankan.
“Dengan modal itu, saya membeli 1,000 lagi tiang menjadikan tanaman pitaya saya kini berjumlah 2,000 tiang dan kini saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi, kerana saya semakin yakin dengan tanaman ini,” katanya.
Abdul Khalid berkata, walaupun beliau mendapat latihan formal dari Pusat Pertanian Ayer Hitam, beliau tidak mahu mengusahakan tanaman itu bersendirian kerana yakin, semakin ramai yang mengusahakan, peluang untuk berjaya akan lebih cerah.
“Saya katakan demikian kerana jika jumlah pengusaha tanaman yang sama agak ramai, peluang kita untuk menembusi pasaran yang besar juga agak cerah dan inilah matlamat yang kami tetapkan.
“Buah pitaya yang kami usahakan bukan saja sudah mendapat permintaan yang tinggi di pasaran tempatan malah sudah berjaya menembusi pasaran luar negara terutama Hong Kong dan kini kami sedang mengintai peluang pasaran di Eropah pula,” katanya.
Seorang lagi peserta projek tanaman pitaya berkelompok itu, Samsul Amri Razali, 33, berkata banyak kelebihan mengusahakan tanaman secara berkelompok itu kerana selain berkongsi kemahiran, mereka juga boleh saling membantu terutama jika menghadapi masalah.
“Jika kehabisan baja, kita boleh mendapatkan bantuan rakan-rakan lain, begitu juga jika kita menghadapi masalah lain berkaitan tanaman ini.
“Inilah kelebihan menjalankan projek secara berkelompok ini dan kami mungkin tidak akan berjaya seperti sekarang jika kami menjalankan kegiatan aktiviti pertanian secara berasingan,” katanya.
Bagi Mohd Fauzi Saim, 38, pula berkata mengusahakan tanaman secara berkelompok juga memudahkan mereka menentukan harga pasaran hasil tanaman mereka.
Beliau berkata, langkah itu dibuat bagi menstabilkan harga buah sekali gus memastikan pengusaha mendapat keuntungan yang setimpal.
“Jika kita menjual bersendirian, mungkin harga berlainan tetapi dengan pengeluaran secara berkelompok kami dapat menetapkan harga buah pitaya kami pada harga yang sama dan ini akan membuatkan harga buah ini stabil.
“Projek secara berkelompok ini perlu dilaksanakan dalam aktivti pertanian lain kerana dengan cara ini banyak kerumitan dapat diatasi kerana jumlah kita ramai,” katanya.
Selain menanam buah pitaya, projek berkelompok Kampung GSA Chamek itu turut menternak kambing boer bagi menambah pendapatan.
Penternakan kambing itu bermula pada 2006 dan kini jumlah kambing Boer yang mereka usahakan mencecah 86 ekor dan sudah memberi pulangan memberangsangkan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Aziz Kaprawi, menyarankan petani supaya bersedia mengusahakan pertanian secara berkelompok kerana cara itu dapat menjimatkan kos serta memudahkan pengusahanya membuat pemantauan terhadap tanaman mereka.
Beliau berkata, kaedah pertanian secara berkelompok itu sudah lama dilaksanakan di Thailand dan ternyata ia berjaya meletakkan bidang pertanian di negara itu antara yang terbaik di rantau ini.
“Petani di Thailand bergabung dan berkongsi kepakaran masing-masing sehingga mereka mampu mengeluarkan hasil pertanian yang bermutu dan mendapat permintaan baik di pasaran antarabangsa termasuk di negara kita sendiri.
“Pendekatan seperti inilah yang harus kita kembangkan dan dijadikan amalan dalam masyarakat petani di negeri ini kerana saya percaya dengan cara ini, penghasilan produk pertanian kita dapat ditingkatkan,” katanya.
Aziz berkata, satu lagi kaedah yang berkesan untuk mempelbagaikan pengeluaran hasil pertanian dalam kuantiti yang besar ialah dengan melaksanakan projek satu kampung satu jenis tanaman.
“Aktiviti satu kampung satu tanaman ini boleh kita laksanakan menerusi projek tanaman secara berkelompok seperti pengeluaran buah pitaya dari Kampung GSA Chamek ini.
“Kampung lain pula disarankan melaksanakan projek pertanian berkelompok dengan memberi tumpuan kepada tanaman lain dan saya percaya pelbagai hasil pertanian dapat kita keluarkan yang bukan saja untuk menampung keperluan makanan tempatan malah boleh kita pasarkan ke negara lain,” katanya.