SITIAWAN 30 Mac – Keputusan berhenti daripada kerja makan gaji, semata-mata mahu mengejar cita-cita menjadi petani akhirnya membuahkan kejayaan kepada Rusli Jarkasi, 43, apabila dia akhirnya bergelar penanam nangka berjaya di kampungnya di Kampung Kayan di sini.
Lebih membanggakan, nangka yang ditanamnya bukan setakat mendatangkan hasil lumayan tetapi turut menarik perhatian kerana memiliki saiz luar biasa besar sehingga digelar ‘nangka gergasi’ apabila beratnya mencecah 80 kilogram sebiji atau sebesar tong gas.
Menurut Rusli, penjagaan sempurna dan pembajaan berjadual menjadikan pokok nangka yang ditanam di kebunnya mampu mengeluarkan buah yang besar dalam tempoh dua bulan.
“Ramai pelanggan yang melihat nangka ini kagum dengan saiznya dan memuji rasanya yang manis serta enak apabila dimakan,” katanya ketika ditemui di gerai jualannya di Jalan Lekir di sini hari ini.
Rusli berkata, dia tidak mempunyai pengetahuan asas tentang teknik penanaman nangka tetapi percaya caranya menjaga tanaman itu dengan teliti dan memberi pembajaan secara berjadual telah membolehkan pokok nangka yang ditanamnya hidup subur.
Katanya, kedudukan kebunnya berhampiran dengan sungai juga merupakan kelebihan kerana nangka memerlukan sumber air yang mencukupi.
“Pembabitan saya dalam bidang tanaman nangka ibarat ‘bidan terjun’ kerana tidak memiliki pengetahuan asas tentang teknik penanaman buah tersebut tetapi saya tidak takut mencuba.
“Saya bertekad menceburi bidang pertanian kerana sudah bosan bekerja makan gaji yang dirasakan tidak sesuai dengan jiwa saya.
“Alhamdulillah, pengorbanan saya berbaloi apabila tanaman ini mendatangkan sumber pendapatan yang lumayan kepada saya,” kata bekas pekerja sebuah kilang di sini.
Sumber: Utusan Online
April 7, 2009 at 12:59 pm
A,kum …adad blog atau gambar kebun tuan tak..Urgent…azmi