PERTAMBAHAN penduduk yang semakin ketara mengakibatkan tekanan untuk mendapatkan makanan meningkat.

Dengan penurunan jumlah tangkapan dan pendaratan ikan sejak kebelakangan ini, sektor akuakultur yang sebelum ini hanya menjadi penyokong kepada industri penangkapan ikan dilihat mampu berkembang pesat seterusnya menjadi penyelamat kepada keadaan tersebut.

Menurut pakar nutrisi ikan dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Roshada Hashim, akuakultur adalah satu industri mesra alam namun pengurusan yang kurang baik telah memberi gambaran negatif tentang sektor ini.

Oleh itu, katanya, sektor akuakultur mesra alam dengan kesan pencemaran sifar merupakan cabaran.

Katanya, terdapat tiga jenis penternakan akuakultur iaitu ekstensif, semi-intensif dan intensif yang perbezaannya dilihat dari segi kadar stok, pemakanan dan pengurusan pemberian makanan.

Untuk sistem ekstensif, katanya, keperluan nutrisi ikan dibekalkan sepenuhnya oleh sumber semula jadi dari kolam seperti zooplankton dan fitoplankton.

Manakala untuk sistem semi-intensif, penggunaan baja kolam dari bahan perkumuhan haiwan atau kimia seperti usus ayam, hasil buangan rumah sembelihan, ikan baja dan daun ubi kayu digunakan untuk keperluan nutrisi ikan.

Berbeza dengan kedua-dua sistem ini, sistem intensif memerlukan kos pengeluaran yang tinggi kerana kadar pertukaran air adalah tinggi di samping harga nutrien yang mahal.

Menurut Dr. Roshada, ketiga-tiga sistem penternakan ini mempunyai kebaikan dan kelemahan yang tersendiri sekiranya dirujuk kepada aspek sosioekonomi dan alam sekitar.

”Daripada sudut pemakanan ikan, penternakan semi-intensif dan intensif berpotensi memberi kesan buruk kepada persekitaran sekiranya pemakanan yang sesuai serta strategi pemberian makanan yang bijak tidak dilaksanakan.

Beliau memberi contoh, sistem akuakultur intensif yang semakin berkembang dengan penggunaan serbuk ikan dan antibiotik menyebabkan kesannya kepada alam sekitar telah mula dipersoalkan.

Tambahan pula, serbuk ikan – iaitu sumber protein utama yang digunakan dalam pemakanan ikan – sering digunakan dengan berlebihan padahal ia boleh digantikan pada paras-paras tertentu dengan sumber-sumber protein tumbuhan untuk mengurangkan kesan pencemaran fosfat.

Katanya, disebabkan penggunaan bahan-bahan makanan tidak sesuai, pandangan negatif telah diberikan kepada sistem akuakultur dan keupayaannya untuk mencapai kemapanan tanpa memusnahkan ekosistem sedia ada seperti pinggir pantai, paya bakau dan air tawar telah mula diragui.

Tambahnya, ini berikutan sikap penternak sendiri yang lebih memilih sistem penternakan bersandarkan kedudukan kewangan seperti memilih usus ayam sebagai sumber makanan ikan.

Sumber ini tidak stabil dalam air dan menyebabkan pengumpulan minyak yang mana jika dialirkan keluar kolam akan menyebabkan kerosakan alam sekitar.

Katanya, pengamalan kaedah akuakultur lebih bertanggungjawab dengan beberapa ciri tertentu dapat meminimumkan kesan negatif terhadap alam sekitar.

Dr. Roshada berkata, sudah sampai masanya para penternak membuka minda mereka terhadap sistem penternakan mesra alam seperti penternakan ikan keli di Amerika Syarikat yang menggunakan air kolam yang sama untuk beberapa kitar penternakannya dengan cara tidak mengeringkan kolam semasa musim penuaian.

Strategi lain, katanya, ialah mengekalkan paras air kolam lebih rendah daripada paras aliran air paip keluar dan peningkatan paras air akibat hujan boleh dibiarkan keluar melalui longkang.

”Ini akan mengurangkan jumlah air yang dikeluarkan dan dapat mengoptimumkan kapasiti bagi asimilasi bahan buangan semula jadi dari ekosistem kolam,” ujar beliau.

Bagi kolam ikan air tawar pula, katanya, sistem aquaponik iaitu kombinasi antara akuakultur dan hidroponik adalah sesuai kerana asimilasi efluennya yang kaya dengan nutrien seperti fosfat, ammonia, nitrit dan nitrat amat diperlukan untuk pertumbuhan tanaman.

Melalui sistem itu, efluen dari kolam dialirkan melalui tapak pertanian yang akan menyerap nutrien tersebut seterusnya mengurangkan kepekatannya.

Oleh itu, katanya, air yang keluar daripada tapak tumbuh-tumbuhan tersebut boleh digunakan semula dengan mengepamnya ke dalam kolam untuk kegunaan seterusnya.

Selain kaedah pengurusan yang cekap, katanya, penggunaan makanan berkualiti tinggi tidak harus diabaikan kerana kandungan nutrisi dan bentuk fizikal makanan ikan serta pengurusan pemberian makannya adalah perlu untuk meminimumkan impak akuakultur kepada persekitaran.

”Pencemaran biasanya disebabkan oleh lebihan pemberian makanan. Oleh itu memahami tabiat pemakanan ikan serta kadar pemberian makanan yang optimum dan kekerapannya boleh mengawal pencemaran alam sekitar,” katanya.

Menurut Dr. Roshada, strategi lain yang dapat dijalankan untuk mengurangkan pengumpulan protein dalam kolam adalah dengan mengamalkan sistem pemberian makanan bercampur antara yang tinggi dan rendah proteinnya.

About these ads