Aidawati dan Radhiah usaha dua hektar tanaman tembikai secara fertigasi di Lembah Biotek Peladang

KOTA TINGGI: Masih ramai yang tidak begitu mengenali sistem teknologi pertanian fertigasi yang digunakan secara meluas petani moden masa kini bagi menghasilkan tanaman makanan yang berkualiti, terutama dalam usaha menembusi pasaran eksport.

Memilih kaedah fertigasi berbanding konvensional, penanaman yang diusahakan petani menjadi lebih mudah dan mampu mengeluarkan hasil yang lebih berkualiti serta memenuhi piawaian ditetapkan untuk tujuan eksport.

Menariknya, penggunaan kaedah itu iaitu baja dilarutkan dalam air dan disalurkan ke tanaman yang ditempatkan di rumah hijau menggunakan sistem paip khas, berjaya melahirkan dua wanita Johor yang tidak mempunyai pendidikan asas bidang pertanian, menjadi usahawan wanita pertama menerusi Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPKNJ) yang mengusahakan penanaman tembikai susu jenis `rock melon’.

Berbekalkan tapak seluas dua hektar di Lembah Biotek Peladang, di sini, mereka menanam 8,500 pokok tembikai, selain 10,000 buah itu sudah dipasarkan di pasaran tempatan dan luar negara sejak tahun lalu.

Aidawati Parman, 33, yang menetap di Taman Perling, berkata beliau dan rakannya, Radhiah Husein, 35, sama-sama bekerja di Akademi Binaan Malaysia sebelum berjinak-jinak dalam bidang industri tani itu.

Katanya, bermula sebagai rakan karib pada 1998 ketika bekerja di Pusat Pendidikan Berterusan UM, dan kemudian beralih kerja ke Akademi Binaan Malaysia, mereka mendapati bidang pertanian menawarkan pendapatan lumayan serta menjanjikan prospek yang cerah selepas menjalankan kajian melawat rakan lain yang mengusahakan tanaman sayuran.

Beliau berkata, selepas berbincang, mereka mengunjungi Pertubuhan Peladang Kawasan Johor Bahru Selatan (PPKJBS) pada akhir 2006 untuk mendapatkan maklumat lanjut serta nasihat sebelum menjalani latihan intensif selama seminggu.

“Menerusi latihan ini, kami dapati persaingan pasaran bagi tembikai rock melon masih kurang di negara ini, malah negara lebih banyak mengimportnya dari pasaran luar.

“Menyedari potensi tanaman bernilai tinggi ini yang boleh dijual antara RM8 hingga RM12 sekilogram, kami mengambil keputusan mengusahakannya bermula November 2007,” katanya.

Radhiah, yang menetap di Taman Seri Perang, Kota Tinggi, berkata pada peringkat permulaan, sebanyak RM70,000 modal operasi digunakan bagi penanaman 1,500 pokok sebelum menambah 7,000 pokok kira-kira tiga bulan lalu dengan tambahan modal RM100,000.

“Benih pada mulanya disemai dalam bekas semaian, dan apabila membesar menjadi pokok kecil pada usia 10 hari, ia kemudiannya dipindahkan ke dalam poli beg.

“Penanaman secara fertigasi memerlukan tanaman itu disokong palang dan tumbuh menegak di rumah hijau ini.

“Bermula tempoh itu, kami lebih menumpu kepada pemantauan dan pengurusan di ladang. Dalam proses ini, walaupun kedengaran mudah, namun kami perlu ke ladang setiap hari dengan bantuan tiga pekerja untuk menetapkan perjalanan baja secara sistematik,” katanya.

Pengurus Besar PPKJBS, Mohd Yusof Hassan, berkata pada peringkat awal, usahawan yang ingin menjalankan projek penanaman tembikai rock melon ini perlu menghadiri latihan intensif teori dan amali selama seminggu.

Katanya, bagi peringkat kedua, pihaknya membantu mengatur bantuan modal untuk usahawan sama ada secara sendiri atau pinjaman daripada Bank Pertanian atau institusi kewangan berkaitan, untuk kemudahan infrastruktur iaitu rumah hijau dan kos operasi.

“Kemudian, usahawan diajar aspek kepakaran iaitu cara mengendali dan mengurus projek termasuk pekerja, serta pengurusan kewangan sebelum ke peringkat terakhir, iaitu PPKNJ membantu usahawan mencari ruang pasaran bagi pemasaran produk terbabit.

“Peranan kami adalah sebagai mentor kepada usahawan,” katanya.

Beliau berkata, menggunakan nama PPKNJ yang lebih diyakini pelanggan berbanding nama persendirian, hasil awal kira-kira 1,500 buah seberat tiga tan yang dituai, terus dipasarkan kepada pelanggan tempatan termasuk Hotel Hyatt, Hotel New York dan Hotel Pan Pac di Johor Bahru, dan pasaran luar negara iaitu di Singapura, Batam di Indonesia, Timur Tengah serta beberapa negara Eropah.

Katanya, di Johor Bahru saja, buah rock melon ini mendapat sambutan sehingga permintaannya mencecah tiga tan sebulan manakala di Singapura dan Batam, Indonesia, permintaan melebihi lima tan sebulan.

“Kini menerusi 7,000 pokok yang ditanam dan baru dituai selepas tiga bulan matang, hanya 12.6 tan yang mampu diraih dalam tempoh tiga bulan. Ini bermakna sekiranya dicongak, dengan hanya 4.2 tan hasil dalam sebulan, kita hanya memenuhi 50 peratus keperluan pasaran tempatan dan luar negara ketika ini,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, sasaran PPKNJ melahirkan 20 usahawan bagi tanaman tembikai rock melon di Johor.

“Kini kami hanya mempunyai dua orang. Seramai 18 orang lagi diperlukan tahun ini bagi mencapai jangkaan menyumbang hasil pasaran sejumlah 300 tan setahun, sekali gus mengurangkan nilai import buah terbabit yang berjumlah RM2.5 juta ketika ini,” katanya.

Katanya, selain rock melon, PPKNJ juga mempunyai usahawan cendawan tiram, ternakan ayam daging, ternakan lembu fidlot, dan kambing Bore di sekitar lembah itu.

“Keseluruhan tanaman dan ternakan ini menggunakan teknologi Bio Booster, iaitu teknologi baru yang meningkatkan kualiti hasil pertanian dan ternakan,” katanya.

FAKTA: ‘Rock melon’

# Tembikai rock melon juga dikenali sebagai ‘cantaloupe’.

# Tembikai ini dikenali sebagai rock melon berikutan kulitnya yang kelihatan seperti batu.

# Di negara luar, rock melon turut diproses menjadi bahan minuman.

About these ads