PERDANA Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan anak-anak ikan hiasan semasa melawat projek ikan hiasan Bendang Man, Sik Kedah

BAGI kebanyakan penduduk di negara ini, nama seperti ranchu, black moor, red ryukin, oranda dan lion head tidak begitu dikenali berbanding ikan siakap, kerapu, keli dan patin. Bagaimanapun, tanpa disedari, ikan hiasan dari negara ini telah menjelajah ke merata tempat di seluruh pelosok dunia. Walaupun permintaan terhadap ikan hiasan tidak sehebat ikan bagi tujuan makanan,

Malaysia sebenarnya merupakan salah satu antara tiga negara pembekal utama ikan hiasan di dunia selepas Singapura dan Amerika Syarikat. Menyedari kepentingan itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui MoA Incorporated (MOA Inc.) telah berganding bahu dengan beberapa agensi kerajaan meningkatkan pengeluaran ikan hiasan.

Justeru, Kampung Bendang Man, Sik, Kedah merupakan salah satu lokasi yang dipilih kerajaan untuk melaksanakan projek berkenaan. Tanah seluas 4.45 hektar di kampung tersebut yang sebelum ini terbiar dan tidak berdaya maju kini mampu mendatangkan hasil lumayan kepada masyarakat di situ. Kawasan tersebut dikatakan sesuai untuk pembangunan akuakultur air tawar memandangkan ia terletak di lembah sungai dan persekitaran yang nyaman.

Sebahagian besar daripada spesies ikan hiasan yang dibiakkan di situ merupakan spesies eksotik yang berasal dari China dan Indonesia. Antara spesies utama yang dikeluarkan setakat ini ialah ikan emas atau Carrassius auratus dan koi. Ikan tersebut dikatakan mempunyai nilai tinggi dalam pasaran ikan hiasan tempatan dan antarabangsa.

Menurut Pengurus Projek Ternakan Ikan Hiasan Bendang Man, Othman Husin, projek tersebut digerakkan pada Julai tahun lalu dengan kos RM2.03 juta. Katanya, pembangunan projek tersebut dijalankan kerajaan di bawah program Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Daerah Sik dengan pelaksana utama Jabatan Perikanan Kedah.

“Sebanyak 314 kolam simen berukuran 15’ X 15’ dan 19 kolam tanah 25’ X 50’ telah dibina di kawasan ini. “Buat masa sekarang, kita mengeluarkan ikan emas dari varieti calico, oranda, pearlscale, blackmoor, panda, ranchu, red ryukin dan Siam lion head.

“Bagi ikan kap Jepun pula varieti yang dipilih adalah kohako, koromi dan shusui,” katanya. Kesemua ikan tersebut dipilih berdasarkan nilai estetikanya yang tinggi di samping permintaan hangat di pasaran. Othman memberitahu, proses mengeluarkan ikan di situ mengambil masa selama empat bulan bagi setiap pusingan.

“Antara proses-proses yang dilalui ialah melakukan pembenihan, pemindahan ke kolam tanah dan pemindahan semula ke kolam simen sehinggalah memperoleh hasil memberangsangkan. “Setiap ekor ikan yang dihasilkan akan mencapai ukuran empat inci dan memenuhi ciri-ciri yang ditetapkan iaitu badan tegap, ekor terbuka, pergerakan mantap, serta lengkap dengan sirip,” ujarnya.

Beliau berkata, sehingga kini, pihaknya mampu mengeluarkan 20,000 ekor ikan hiasan dengan harga RM2 seekor setiap tiga bulan. Dalam pada itu, Othman menjelaskan, projek berkenaan memberikan manfaat kepada kirakira 40 keluarga penduduk kawasan perumahan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) Kampung Bendang Man. Katanya, melalui projek tersebut, setiap seorang daripada sebuah keluarga dipilih menyertai program berkenaan.

“Mereka dipilih untuk mempelajari kaedah-kaedah pengurusan dan penjagaan ikan hiasan dengan dibayar pendapatan tambahan RM300 sebulan. “Selepas proses pengeluaran ikan sudah mantap, mereka diberi peluang menjadi peserta program dengan mampu menjana pendapatan RM600 sebulan,” ujar beliau lagi.

Dari segi pasaran pula, Othman berkata, pihaknya tidak menghadapi masalah memasarkan produk ikan hiasan memandangkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum ini memeterai perjanjian dengan sebuah syarikat swasta. Katanya, kesemua produk yang dikeluarkan tersebut akan dibeli oleh Subang Aquatics Sdn. Bhd. dengan harga yang telah dipersetujui sebelum ini.”Mereka juga akan membekalkan tenaga pakar di samping makanan ikan dan peralatan bersesuaian,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Mohd. Zahari Baharom, 37, berkata, dia dan keluarga bertuah kerana dipilih bekerja di situ memandangkan sebelum ini pendapatannya tidak menentu. “Rata-rata penduduk di sini sebelum ini merupakan penoreh getah dan hidup dalam kemiskinan. “Bagaimanapun, apabila kerajaan mengambil keputusan mewujudkan projek ini, ramai penduduk mendapat manfaat kerana mendapat pekerjaan di samping pendapatan bulanan secara tetap,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Norlia Wali, 37, berkata, dia berbangga kerana dapat mengikuti program berkenaan. “Saya berazam untuk mempelajari cara-cara menternak ikan hiasan dengan lebih baik,” katanya.

 

MOHD Zahari Baharom mengasingkan ikan mas red ryukin.
NORLIA Wali (kanan) dan Norzawiyah Abu Bakar memberi makanan kepada ikan hiasan di kolam projek ternakan ikan hiasan Kampung Bendang Man, Sik Kedah.

Projek Ternakan Ikan Hiasan Bendang Man

Susun atur projek

Keluasan kawasan: 4.45 hektar
Hak milik: Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA)
Status tanah: terbiar
Kos projek: RM2.03 juta.

Objektif

● Meningkatkan pendapatan peserta daripada RM350 kepada melebihi RM1,500 sebulan
● Meningkatkan pengeluaran ikan hiasan
● Membuka kawasan ternakan hiasan baru
● Mewujudkan industri hiliran daripada ternakan ikan hiasan

Peserta projek Bilangan: 40
Pekerjaan: Penoreh getah
Pendapatan: RM350-RM650 sebulan
Umur: Lingkungan 32-66 tahun

Sasaran pendapatan

Pusingan ternakan: empat pusingan/tahun
Pengeluaran setiap pusingan: 100,000 ekor
Pengeluaran/tahun: 400,000 ekor
Harga: RM1.90 seekor
Hasil (empat pusingan): RM760,000
Kos operasi: RM36,000
Hasil setahun: RM724,000
Tabungan 20 peratus: RM144,800
Agihan peserta: RM579,200
Pendapatan peserta/setahun: RM14,480

About these ads