Thu 28 Feb 2008
SKIM AKREDITASI LADANG MALAYSIA
Posted by admin under Agro - Journal Pertanian
[3] Comments
Objektif:
Satu skim persijilan yang dirangka oleh Jabatan Pertanian untuk memberi pengiktirafan kepada ladang-ladang yang mengamalkan amalan pertanian yang baik berkonsepkan mesra alam sekitar dan menghasilkan produk yang berkualiti, selamat dan sesuai dimakan.
Proses Akreditasi:
Proses untuk persijilan dan akreditasi melibatkan kerja-kerja pemprosesan permohonan, pemeriksaan ladang dan kawasan, verifikasi amalan ladang, analisis hasil ladang, penilaian dan kelulusan oleh Jawatankuasa dan seterusnya pendaftaran dan persijilan.
Pelaksanaan:
Lawatan ke ladang akan dijalankan oleh pegawai-pegawai pemeriksa yang dilantik berasaskan maklumat yang diperolehi mengenai ladang tersebut serta amalan-amalan yang diikuti dan dinilai berpandukan standard dan garispanduan yang telah ditetapkan. Tiga aspek penilaian akan diberi tumpuan untuk tujuan akreditasi iaitu kesesuaian ladang dan persekitaran, amalan pertanian yang dilaksanakan dan kualiti produk yang dihasilkan. Maklumat-maklumat bagi penilaian ini diperolehi melalui pemeriksaan tanah dan kawasan persekitaran ladang, rekod ladang yang disimpan oleh pengusaha, temubual dengan pengusaha serta pemerhatian tentang amalan-amalannya, pemeriksaan tempat-tempat tertentu, serta pengambilan hasil ladang yang sedia untuk dipasar bagi tujuan analisis.
Penilaian mengenai kesesuaian ladang dan persekitran tanah dan tanaman serta risiko ladang kepada persekitaran. Amalan pertanian yang baik pula mengambilkira pengurusan tanah dan substrat, penggunaan bahan tanaman dan input, pengurusan pembajaan dan kawalan perosak, pengendalian lepastuai, pengurusan dan pembuangan sisa ladang, penggredan, pembungkusan dan perlabelan serta kebajikan dan kemudahan pekerja. Produk-produk yang dikeluarkan dari ladang-ladang ini pula hendaklah berkualiti dan selamat untuk dimakan dan yang mempunyai bentuk, rupa dan rasa yang baik serta mengandungi sisabaki racun perosak dan kandungan logam berat di bawah paras yang dibenarkan.
Syarat Persijilan:
Ladang-ladang yang diberi sijil hendaklah mematuhi syarat-syarat utama Akreditasi seperti berikut:
Syarat:
1.Diusahakan secara sah
2. Mempunyai laporan pemeriksaan tanah
3.Mempunyai ladang di kawasan kecerunan yang sesuai untuk tanaman yang diusahakan
4.Mengusahakan ladang di paras ketinggian kurang dari 1,000 meter di atas paras laut
5.Mengamalkan langkah-langkah pemuliharaan tanah
6.Menyimpan rekod ladang dengan sempurna
7.Tidak menggunakan enapcement untuk pembajaan
8.Tidak menggunakan bahan tanaman jenis GMO
9.Menggunakan racun perosak yang berdaftar
10.Mengamalkan pengurusan perosak bersepadu
11.Memastikan pekerja berpakaian sesuai untuk kerja-kerja meracun
12.Mempunyai tempat simpanan racun yang sempurna
13.Mengamalkan sistem penuaian, pungutan dan pengangkutan hasil yang baik
14.Mengamalkan pengurusan pembuangan sisa ladang yang baik
15.Menggaji pekerja yang sah dan berumur >16 tahun
16.Mengeluarkan hasil pertanian yang mempunyai kandungan sisa baki racun perosak di bawah paras yang dibenarkan (Jadual16 Akta Makanan 1983)
17.Mengeluarkan hasil pertanian yang mempunyai kandungan logam berat (As, Pb, Hg.Cd) di bawah paras yang dibenarkan (Jadual 14 Akta Makanan 1983)
Ladang yang mematuhi semua syarat-syarat utama yang ditetapkan akan menerima sijil Skim Akreditasi Ladang Malaysia dan boleh menggunakan logo SALM. Persijilan adalah sah untuk tempoh setahun dan perlanjutan tempoh bergantung kepada penyimpanan rekod ladang dan analisis hasil ladang yang akan dibuat dari semasa ke semasa.
Kesimpulan:
Skim Akreditasi Ladang Malaysia melalui pengiktirafan dan penggunaan logo SALM, merupakan program yang boleh memberi kelebihan dalam meningkatkan kualiti keluaran pertanian supaya negara dapat bersaing di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Untuk Keterangan lanjut sila hubungi
Urusetia Akreditasi Ladang Malaysia
Jabatan Pertanian Semenanjung Malaysia
Tel: 603-26175449 / 5479
Fax: 603-26918563
E-mail: norma@doa.moa.my



DALAM menggalakkan penglibatan lebih ramai bumiputera untuk menjadi usahawan tani yang berjaya, Kementerian Pertanian dan Industri Tani menerusi pelbagai agensi dan jabatannya telah menyediakan saluran peruntukan sebagai kemudahan dari sudut modal permulaan. Salah sebuah agensi yang paling sinonim dengan tanggungjawab tersebut ialah Bank Pertanian Malaysia (BPM) yang sehingga kini hampir 38 tahun telah membiayai aktiviti-aktiviti berasaskan pertanian.
TIDAK seperti sektor penternakan ruminan lain terutamanya lembu, sektor penternakan kambing di negara ini masih lagi rendah dan kurang mendapat sambutan untuk diusahakan secara besarbesaran. Ia mungkin disebabkan oleh kurangnya pengambilan daging kambing di kalangan rakyat di negara ini yang mana secara puratanya memakan kira-kira 0.5 kilogram setahun berbanding lima kilogram daging lembu. Namun secara perbandingannya, jumlah 0.5 kilogram itu sebenarnya mewakili kira-kira 700,000 ekor kambing setahun dan ia sebenarnya jauh lebih tinggi daripada jumlah pengeluaran ketika ini iaitu sekitar 200,000 ekor.















