KUALA LUMPUR 13 Jan. – Krisana Agarwood Sdn. Bhd. (Krisana Agarwood) yang terlibat dalam penghasilan gaharu merancang mengembangkan industri yang diceburinya itu dengan menyediakan perkhidmatan penanaman gaharu kepada petani-petani kecil.

Pengerusinya, Datuk Seri Diraja Syed Razlan Jamalullail berkata, industri tersebut menawarkan peluang perniagaan yang baik kepada para penguasa tanaman itu memandangkan permintaannya yang tinggi.

‘‘Kini pasaran hanya dapat memenuhi 35 peratus daripada permintaan dunia, dengan ini peluang untuk Malaysia menjadi pengeksport amat cerah,’’ katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Krisana Agarwood merupakan syarikat usaha sama antara Laksaman Resources Sdn. Bhd. (M) dan Borai Krisana Partnership Ltd. (Thailand).

Pokok gaharu yang seakan-akan pokok getah itu menghasilkan kayu berbau wangi dan mempunyai resin atau antibodi yang berharga mempunyai pelbagai kegunaan.

Gaharu merupakan kayu berbau wangi dan kini harga pasarannya ialah kira-kira RM8,000 hingga RM10,000 sekilogram.

Menurut Syed Razlan, antara perkhidmatan yang ditawarkan syarikat itu ialah menyediakan benih pokok dengan menjualnya dalam bentuk pokok kecil pada harga yang berpatutan.

Selain itu, katanya, syarikat berkenaan turut menyediakan perkhidmatan nasihat dan juru runding berhubung penjagaan pokok gaharu dengan cara yang betul.

Tambah Syed Razlan, beberapa pakar akan dihantar untuk memeriksa dan memantau keadaan pokok supaya bersedia menerima suntikan (bagi membantu penghasilan risen gaharu) pada umur lima tahun.

‘‘Syarikat turut menawarkan perkhidmatan suntikan dan penjualan bahan suntikan, ia terpulang kepada pemilik pokok gaharu tersebut sama ada mereka sendiri hendak menyuntik atau memerlukan perkhidmatan kami,’’ katanya.

Proses penyuntikan pokok harus dilakukan dengan berhati-hati kerana jika proses itu tidak mengikut cara yang betul akan mengurangkan pengeluaran risen gaharu, sekali gus boleh mengakibatkan penurunan harga serta kualiti pokok tersebut.

Seterusnya, Syed Razlan berkata, syarikat turut menawarkan perkhidmatan penuaian atau penebangan pokok untuk mendapatkan hasil.

Tambah beliau, Krisana Agarwood juga menawarkan perkhidmatan pemasaran sekiranya pemilik tidak mempunyai pengalaman dalam selok belok pasaran kayu gaharu.

‘‘Bagi petani-petani di kawasan luar bandar yang berminat untuk menceburi bidang ini, sekiranya mereka mempunyai tanah pertanian, kos yang diperlukan untuk menanam 800 pokok gaharu ialah kira-kira RM50,000,’’ ujarnya.

About these ads