PAPAR: Selepas terpikat melihat keunikan ikan keli Afrika bersaiz besar, seorang pengusaha kolam air tawar di Kampung Ambawa di sini, sanggup menempah anak ikan itu dari Semenanjung untuk diternak di kolamnya pada 1980-an.

Walaupun kosnya mahal sehingga mencecah lebih RM10,000, Awang Badar Awang Ismail, 62, tidak peduli asalkan minat untuk mencuba ternakan keli Afrika tercapai.

Ketika ditemui baru-baru ini, beliau berkata kini hatinya puas kerana usaha gigihnya sejak 20 tahun lalu tidak sia-sia, malah kini beliau dikenali satu-satunya pembekal ikan keli Afrika di daerah ini.

“Asalnya minat saya timbul selepas melihat ikan itu di kolam seorang kawan di Kampung Mawao, Membakut. Memandangkan ketika itu belum ada pembekal anak ikan keli Afrika di Sabah, saya terpaksa menempahnya dari Kuala Lumpur,” katanya yang membelanjakan kira-kira RM100 sebulan untuk membeli makanan ikan.

Beliau kini memiliki 16 kolam konkrit untuk menternak keli Afrika yang boleh menampung kira-kira 100 ekor tiap satu. Ikan lain yang diternak ialah tilapia merah, lampam, jelawat dan kap.

Benih ikan tidak lagi dibeli kerana beliau kini menghasilkannya sendiri.

Untuk sekali penetasan, lebih 4,000 anak ikan dihasilkan dan ia dijual kepada pengusaha kolam air tawar tempatan.

Setiap minggu beliau memasarkan 50 kilogram ikan keli Afrika dan mendapat RM500 berdasarkan harga RM10 sekilogram.

“Ada juga pelanggan datang sendiri ke kolam untuk membeli ikan matang atau anak ikan termasuk dari daerah lain seperti Keningau. Bagi ikan keli matang, hanya yang berumur lebih setahun dijual. Ikan kurang daripada usia itu dianggap kecil,” katanya.

Keli Afrika yang dijual Awang Badar beratnya antara 1 kilogram hingga 5 kilogram seekor.

Paling berat dimilikinya ketika ini ialah keli seberat 14 kilogram. Beliau berkata, menternak ikan keli Afrika tidak sukar asalkan dijaga dengan baik. Paling penting, penjagaan air dan makanan serta kawalan serangan haiwan liar seperti biawak dan burung.

About these ads