Betik (Carica papaya) ialah tumbuhan semula jadi tropika Amerika. Buah betik berbentuk bujur yang agak panjang hingga ke bentuk yang hampir bulat. Kulit buah betik yang masak berwarna kuning cerah hinggalah kuning pekat. Isinya pula berwarna kuning, oren hingga ke warna merah cerah atau merah. Isi betik rasanya manis, sukulen dan aromanya seharum kesturi. Ia kaya dengan vitamin A dan C.

Pokok betik tumbuh tegak meninggi dan batangnya penuh dengan lingkaran parut bekas tangkai daun. Daun betik yang besar terbahagi kepada 5-9 cuping yang tidak sekata dan tumbuh pada sebelah atas bahagian pokok. Semua bahagian pokok betik termasuk daun, mengeluarkan getah putih apabila dicucuk.

Pokok betik membesar dengan baiknya di kawasan tropika. Ia hidup subur di kawasan yang menerima jumlah hujan yang sama sepanjang tahun tanpa banjir atau air bertakung, dan tempatnya terlindung daripada tiupan angin yang kencang.

Betik ditanam secara komersial di Selangor, Perak dan Johor. Di Johor pengeluaran betik varieti Eksotika secara komersial agak terhad akibat serangan virus bintik cecincin.

Antara pengeksport betik dunia, Malaysia menduduki tempat kedua selepas Mexico. Empat destinasi utama betik Malaysia ialah Hong Kong, Singapura, Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi. Pada tahun 2002 nilai eksport buah betik dianggarkan sebanyak RM69 juta.

Selain dimakan segar, betik juga digunakan sebagai bahan dalam jem, pengawet dan ditinkan sebagai koktel buah-buahan. Buah yang muda dimakan sebagai sayuran atau dijeruk. Papain iaitu enzim yang terdapat dalam getah betik digunakan sebagai pelembut daging.

Terdapat banyak varieti baka tulen yang nyata di dunia pada masa kini. Kebanyakannya diwujudkan daripada program pembiakan yang sistematik dan selainnya daripada pemilihan yang dilakukan oleh penanam betik sendiri. Baru-baru ini kaedah bioteknologi telah digunakan untuk mewujudkan betik varieti transgenik. Varieti betik boleh dihasilkan melalui pendebungaan sendiri atau pendebungaan silang. Pada amnya, varieti ginodiesius (mempunyai pokok hermafrodit dan betina) mengalami pendebungaan sendiri atau pendebungaan silang, manakala varieti diesius (mempunyai pokok betina dan jantan) didebungakan dengan tangan.

Varieti tempatan

Eksotika ialah baka seturunan berpendebungaan sendiri yang mempunyai ciri-ciri yang sama dengan Sunrise Solo kecuali saiz buahnya lebih besar. Di Malaysia ia amat popular untuk eksport dan pasaran tempatan. Hasil buahnya agak baik, lebih kurang 60 t/ha/tahun. Buahnya bersaiz kecil ke sederhana (400-800 g). Isinya berwarna oren-merah berbau harum dan kandungan gulanya tinggi iaitu 12-14 o Brix tetapi tidak tahan lama kerana teksturnya yang lembut. Ia juga agak rentan terhadap penyakit bintik buah dan penyakit daun atas berumpun/berkerekot.

Betik Sekaki atau dikenali sebagai betik Hong Kong ialah varieti kedua popular di Malaysia selepas Eksotika. Ia varieti pendebungaan silang dan pengeluar hasil yang prolifik (60-70 t/ha/tahun) dengan saiz buah yang sederhana iaitu 1.5-2.0 kg. Pokoknya agak rendah dan berbuah hampir ke tanah. Di ladang ia mudah diurus kerana sifatnya yang rintang terhadap penyakit daun atas berumpun/berkerekot. Betik Sekaki ini amat menarik, kulitnya licin, warna sekata dan bebas daripada bintik-bintik. Isinya merah, pejal tetapi kandungan gulanya tidak berapa tinggi iaitu 10 o Brix atau lebih rendah lagi.

Di Malaysia, hibrid F1 yang dinamakan Eksotika II telah diwujudkan daripada penghibridan titisan 19 dengan saudara sekandungnya, Eksotika (sebelumnya titisan 20). Hibrid ini telah diisytiharkan dalam tahun 1991, mempunyai ciri-ciri yang sama dengan Eksotika tetapi pengeluaran hasilnya 14-33% lebih tinggi kerana buahnya lebih besar dengan berat 600-800 kg sebiji. Rupa betik ini lebih menarik dengan kulit yang licin dan tahan terhadap bintik-bintik. Isinya lebih pejal dan tahan lebih lama, menjadikan ia lebih digemari untuk dieksport berbanding dengan varieti sebelumnya.


Gambar 1 : Sekaki, varieti buah besar yang popular di Malaysia


Gambar 2 : Eksotika II,varieti kecil untuk dieksport dari Malaysia


Gambar 3 : Rainbow, betik transgenik komersial dunia yang pertama dari Hawaii

Keterangan botani

Pokok betik mempunyai batang yang tegak meninggi dengan ketinggiannya mencapai 8 m dan tidak bercabang. Lilitan pangkal pokok 30-40 cm. Getah akan meleleh keluar dari mana-mana bahagian pokok yang tercedera atau terluka. Daun tumbuh dari bahagian puncak pokok, tersusun melingkari batang. Tangkai daun ini agak panjang dan mendatar dengan ukuran 35-105 cm. Daunnya besar dan lebar, terbahagi kepada 5-9 cuping yang tidak sekata bentuknya. Tulang dan urat daun berwarna kuning. Pokok betik boleh mengeluarkan bunga betina, jantan atau hermafrodit (sempurna). Bunganya wangi berisi dan licin mempunyai lima kelopak. Bunga berlainan jantina yang dihasilkan oleh pokok betik ini bergantung pada keadaan persekitaran dan tegasan.

Bentuk buah betik bujur hingga bulat dengan ukuran panjang 15-50 cm dan lebar 10-20 cm. Buah yang besar boleh mencapai berat sehingga 9 kg. Buah yang belum masak berwarna hijau dan keras dengan getah yang putih. Kulit buah yang masak berwarna kuning cair hingga ke kuning pekat, manakala isinya yang sukulen berwarna kuning, oren, jingga atau merah. Isinya juga manis berjus dengan bau haruman kesturi. Biji betik di dalam buah biasanya berwarna hitam dan dikelilingi selaput berisi yang lut sinar.

Pertumbuhan dan pembentukan
Pokok betik ialah pokok yang cepat membesar dan memerlukan bekalan nutrien yang banyak untuk mengeluarkan hasil yang tinggi. Pokok betik biasanya ditanam daripada biji benih yang mengambil masa selama 2-3 minggu untuk bercambah.

Pokok betik boleh hidup sehingga 25 tahun atau lebih tetapi produktivitinya menurun mengikut umur. Bagi pengeluaran betik dan papain segar, pokok betik elok ditanam semula setiap 3 tahun. Kadar pertumbuhan awal yang tinggi akan mengaruh pembungaan awal (dalam masa 6 bulan selepas ditanam) dan pembuahan awal (buah matang selepas 4-5 bulan pembungaan). Kadar pertumbuhan buah yang sederhana tetapi stabil dan secara relatifnya agak cepat, perlu dikekalkan bagi menghasilkan buah sepanjang tahun dan dalam kuantiti yang tinggi.

Ekologi
Buah betik ialah spesies tropika dan hampir tropika, terbatas dalam kawasan antara 32° Utara dan 32° Selatan dari Khatulistiwa, dengan julat suhu 21-33°C. Ia memerlukan hujan atau pengairan yang banyak tetapi mesti mempunyai saliran yang baik. Ladang betik seharusnya terletak di lokasi yang terlindung atau dikelilingi oleh pengadang angin kerana angin yang kuat akan merosakkan, terutamanya pada tanah yang tak dapat bertahan dengan kehilangan air akibat perpeluhan yang banyak.

Pokok betik tumbuh dengan baiknya pada tanah cepat salir, yang kaya dengan bahan organik dan pH tanah 6.0-6.5. Ia tahan terhadap apa jua jenis tanah dengan syarat tanah tersebut cepat salir dan tidak terlalu kering. Tanah yang sangat berasid boleh dipulihkan dengan penambahan kapur pada kadar 2.4-4.8 t/ha. Pada tanah organik yang kaya dengan nutrien, pokok betik tumbuh dengan baik dan berbuah dengan banyak tetapi buahnya berkualiti rendah. Akar pokok betik amat sensitif terhadap air yang bertakung. Banjir boleh memusnahkan pokok betik walaupun dalam tempoh yang singkat.

Asal dan sejarah
Walaupun tempat sebenar asal pokok betik tidak diketahui, namun dipercayai bahawa pokok betik ialah tumbuhan semula jadi tropika Amerika, mungkin Selatan Mexico dan Amerika Tengah. Biji benih dibawa ke Panama, kemudian ke Republik Dominica sebelum 1525. Penanamannya merebak ke seluruh Amerika Selatan dan Tengah, selatan Mexico, India Barat dan Bahamas dan ke Bermuda pada tahun 1616. Pelayar bangsa Sepanyol membawa biji benih ke Filipina di sekitar 1550 dan seterusnya ke Melaka dan India. Kemudian biji benih dihantar dari India ke Nepal pada tahun 1626. Ia sampai ke Hawaii pada 1800-1820. Kini betik terkenal hampir ke seluruh kawasan tropika.

Pembiakan

Pokok betik biasanya dibiak menggunakan biji benih. Biji benih diambil daripada buah yang masak, dibasuh dahulu bagi membuang selaput gelatinnya, dikeringkan dan didebukan dengan racun kulat. Biji benih ini perlu disemai dengan segera kerana kebolehhidupannya akan hilang dengan cepat semasa dalam simpanan. Selepas direndam semalaman, biji betik boleh disemai di batas pasir atau disemai terus ke dalam beg politena. Bagi memberi saliran yang baik, campuran tanah yang digunakan ialah 50% pasir, 25% baja organik dan 25% tanah atas. Biasanya, sebanyak 30-50 g biji benih (kering) diperlukan bagi keluasan sehektar. Biji benih disemai sedalam 1 cm pada jarak 2.5 cm di bawah 75% teduhan.

Tanah mungkin perlu dilencunkan dengan racun kulat benomyl atau captan bagi menghalang penyakit lecur (sp. Pythium ). Campuran tanah yang steril boleh juga digunakan kerana anak benih betik mempunyai kadar kematian yang tinggi akibat penyakit lecuh. Bagi menyediakan campuran tanah yang steril, letakkan 50:50 tanah kepada ‘vermiculite’ di dalam ketuhar pada suhu 93°C selama sejam. Dalam keadaan yang ideal, biji benih biasanya bercambah dalam masa 2 minggu, tetapi kadang-kadang memakan masa selama 3-5 minggu. Asid giberelik boleh digunakan untuk mempercepat percambahan. Selepas 6-8 minggu, anak benih sedia untuk diubah ke ladang. Anak benih tidak berapa baik responnya semasa mengubah. Mengubah perlu dilakukan dengan berhati-hati dan pastikan ia diubah sekali sahaja. Semasa mengubah pastikan akar yang dibaluti tanah itu tidak rosak. Anak pokok yang diubah perlu kerap disiram sehingga pertumbuhannya mantap.

Walaupun tidak biasa diamalkan, pokok betik boleh dibiakkan daripada keratan tampang. Keratan in dibiarkan mengeras selama beberapa hari, kemudiannya disokong dengan hujungnya menyentuh tanah lembap yang subur sehingga keluar akar. Apabila keratan separa kayu keras ini ditanam, ia akan berakar

Penanaman
Keadaan iklim mempunyai kesan yang ketara terhadap pertumbuhan pokok betik. Pada keseluruhannya, prestasi pokok betik adalah yang terbaik di kawasan tropika, yang mempunyai ciri-ciri suhu yang panas, kelembapan tinggi dan taburan hujan yang baik. Ia tumbuh dengan baiknya di kawasan yang menerima taburan hujan yang seragam sepanjang tahun tanpa banjir kilat atau keadaan air yang bertakung. Oleh sebab pokok betik mempunyai akar yang cetek, ia amat mudah rosak atau mudah rebah apabila terdedah kepada angin yang kuat. Taufan yang kuat kerap menyebabkan pokok tercabut, batang pokok patah, daun koyak atau pengabsisan bunga. Pemulihan pokok yang terjejas agak lambat dan buah yang dikeluarkan agak kecil.

Pokok betik membesar dengan baiknya apabila menerima cahaya matahari yang secukupnya. Namun, ia boleh ditanam sebagai tanaman selingan di bawah pokok kelapa atau sebagai tanaman kontan di antara anak pokok buah-buahan seperti mangga, sitrus atau rambutan.

Penyediaan tanah

Kawasan yang hendak ditanam dengan pokok betik perlu dibersihkan daripada tumbuh-tumbuhan kerana pokok betik amat sensitif terhadap persaingan. Pada kebanyakan tanah, satu pusingan bajak piring diikuti dengan satu pusingan bajak putar sudah memadai. Pada tanah yang mampat, subtanah dibajak sedalam 50 cm bagi membolehkan akar tembus jauh ke dalam tanah. Pembajakan subtanah membekalkan saliran yang lebih baik jika dibuat selari dengan garisan kontur tanah.

Kebanyakan tanah di kawasan tropika berasid dan memerlukan pengapuran sehingga mencapai pH 6 sebelum menanam pokok betik. Kawasan penanaman betik yang mendapat baja kapur yang cukup akan mengeluarkan buah lebih awal dan hasilnya lebih tinggi. Masa terbaik untuk menabur kapur (kalsium karbonat atau batu kapur magnesium kisar) ke tanah ialah selepas dua pusingan bajak piring. Sebanyak 3-4 t/ha diperlukan dan ia ditabur rata sama ada menggunakan traktor atau dengan menggunakan tangan. Selepas menabur, kapur dimasukkan ke dalam tanah dengan sekali pusingan bajak putar.

Selepas kapur disatukan ke dalam tanah, semburan menyeluruh kawasan yang dibajak menggunakan racun herba pracambah disyorkan. Ini bagi memastikan bahawa kawasan tersebut bebas daripada rumpai selama 6-8 minggu pertama pertumbuhan.

Pengapuran seharusnya dilaksanakan mengikut garis kontur dan setiap barisan jaraknya 2.7 m. Di dalam barisan, lubang digali pada jarak 1.8 m. Dengan jarak ini sebanyak 2000 pokok/ha boleh ditanam. Saiz lubang bergantung pada keadaan semula jadi tanah. Jika ia tanah yang rapuh, lubang sedalam 30 cm sudah memadai tetapi jika tanah itu jenis yang mampat atau tanah laterit yang keras ia digali sedalam 45 cm.

Mengubah anak benih

Peringkat unggul untuk mengubah anak benih dari nurseri ke ladang ialah di peringkat 8-12 helai daun pada anak benih. Di peringkat ini anak benih mengalami kejutan paling sedikit kerana saiznya yang optimum dan kecederaan akar yang minimum semasa mengeluarkan anak pokok ini dari polibeg.

Sebelum penanaman, 200 g TSP yang mengandungi 45% P2O5 dimasukkan ke dalam lubang dan digaul rata bersama tanah. Baja TSP lebih digemari berbanding Christmas Island Rock Phosphate (CIRP) walaupun harganya murah, kerana nutrien dalam TSP sedia untuk digunakan oleh anak pokok. Seperti yang telah dinyatakan, kebanyakan tanah di Malaysia berasid dan rendah kandungan fosfatnya. Dengan itu, suntikan awal fosfat akan mendatangkan kebaikan kepada pertumbuhan awal akar dan pucuk.

Proses penanaman sebenarnya mudah. Tanah di sekeliling lubang dimasukkan semula ke dalam lubang dan digaul dengan TSP yang sudah dimasukkan sebelumnya. Satu lubang kecil yang boleh memuatkan beg plastik anak pokok dibuat. Plastik polibeg dikoyak dengan berhati-hati supaya ketulan tanah berakar tidak terganggu dan ia di masukkan ke dalam lubang. Tanah di sekeliling pangkal pokok ditekan. Amalan menghentak-hentak tanah dengan kaki tidak digalakkan, kerana dengan cara ini tanah di sekeliling pokok menjadi cepat padat. Kedalaman penanaman yang paling baik ialah apabila aras tanah menutupi pangkal pokok setinggi 2 cm. Jika lebih cetek dari aras ini, anak pokok menghadapi risiko pendedahan permukaan akar akibat hakisan, manakala penanaman yang terlalu dalam akan menyebabkan penyakit reput pangkal.

Sistem penanaman dua dan tiga titik (tapak) pada amnya melibatkan penanaman dua atau tiga anak pokok pada satu titik pada jarak 30 cm antara satu sama lain. Selepas lebih kurang 3 bulan, apabila pokok mula berbunga, jantina pokok ketika ini boleh dibezakan dengan memeriksa bunganya. Bunga hermafrodit lebih panjang manakala bunga betina berbentuk bulat. Pokok yang betina dibuang meninggalkan hanya satu pokok hermafrodit pada satu titik. Apabila terdapat kes semua pokok betina tumbuh pada satu titik, hanya satu pokok betina ditinggalkan. Dengan menggunakan sistem ini, pencapaiannya ialah pokok hermafrodit 80-85% bagi penanaman dua titik dan lebih 90% bagi penanaman tiga titik.

Sungkupan polietilena di atas batas dapat mengurangkan kehilangan lembapan, larut lesap baja dan dapat mengawal rumpai dengan berkesan. Sungkupan organik seperti rumput, tatal kayu, sekam padi, tandan kosong kelapa sawit dan bahan-bahan yang lain juga boleh digunakan.

Jadual berikut menunjukkan jarak dan kepadatan tanaman

Jarak penanaman (m) Kepadatan tanaman (pokok/ha)
2.5 x 2.5 1,600
3.0 x 3.0 1,111

Pengurusan rumpai
Pengurusan rumpai ialah bahagian yang penting dalam penanaman pokok betik. Selepas pembersihan dan pembajakan piring, kawasan yang hendak ditanam itu perlu disembur secara menyeluruh dengan racun herba pracambah seperti diuron supaya tanah tersebut bebas daripada rumpai selama 6-8 minggu. Penggunaan racun herba yang minimum di peringkat awal pertumbuhan amat penting kerana batang anak pokok yang lembut sangat rentan terhadap kecederaan yang disebabkan oleh racun ini.

Selepas 3 bulan penanaman, rumpai mungkin muncul bertompok-tompok. Keadaan ini perlu diberi perhatian segera. Semburan perlu dilakukan di sebelah pagi apabila angin tidak kuat (kelajuan kurang daripada 1 m/saat) bagi mengelakkan pokok daripada terkena racun herba. Batang pokok betik kekal hijau selama 4-5 bulan selepas ditanam di ladang. Sentuhan secara langsung dengan racun herba boleh menyebabkan nekrosis, reput batang dan pokok akan rebah.

Bagi mengurangkan sebarang kemungkinan kerosakan akibat racun herba semasa peringkat kritikal iaitu ketika batang pokok masih hijau, sungkupan pada setiap batang pokok amat disyorkan. Sungkupan serta merta di pangkal batang pokok dapat mengurangkan keperluan menggunakan racun herba di sekeliling pokok. Rumpai yang muncul sekali sekala boleh diracun atau dicangkul.

Merumpai menggunakan bahan kimia boleh dijalankan setiap 6 minggu. Namun, penyemburan bulanan mungkin perlu semasa musim lembap. Walaupun kosnya agak tinggi, basta disyorkan untuk digunakan dalam tempoh pertumbuhan awal kerana ia kurang fitotoksik terhadap anak pokok betik. Apabila pokok mencapai umur lebih 6 bulan, racun herba yang lebih murah boleh digunakan.

Mencantas
Pokok betik tidak perlu dicantas. Namun, ramai juga penanam yang mencubit anak pokok atau memotong pokok dewasa bagi menggalakkan percabangan bagi menghasilkan lebih banyak buah.

Pengairan

Pengairan merupakan aspek paling kritikal dalam penanaman pokok betik, terutamanya semasa peringkat awal pertumbuhan dan semasa kemarau yang panjang. Pada amnya, pokok betik perlu sentiasa berada dalam keadaan yang kering bagi mengelakkan penyakit bawaan udara (e.g. Phythophthora ) iaitu reput akar, tetapi ia memerlukan air yang cukup untuk daunnya yang besar. Kekurangan lembapan biasanya membantutkan pertumbuhan pokok dan menyebabkan bunga dan putik gugur. Oleh itu, bekalan air yang mencukupi melalui pengairan amatlah genting dan ia dapat membantu dalam meningkatkan saiz dan bilangan buah yang dapat dipasarkan. Namun, perlu berhati-hati supaya tiada lembapan berlebihan kerana ia akan menyebabkan kejadian penyakit yang tinggi.

Jumlah hujan bulanan yang minimum sebanyak 100 mm diperlukan tanpa pengairan tambahan bagi pengeluaran yang sederhana. Pengeluaran yang baik diperoleh dengan pemberian air 90 L/pokok/minggu sebaik saja selepas menanam atau semasa musim basah dan 120-240 L/pokok/minggu dalam tempoh kering.

Saliran yang baik perlu dipertimbangkan kerana pokok betik amat sensitif terhadap air yang bertakung. Akar akan reput selepas 24 jam terendam. Pokok yang terjejas akan kekal bantut. Daun bahagian bawah akan layu, menjadi kuning dan gugur, meninggalkan beberapa helai daun di puncak pokok. Apabila air surut, akar adventitius yang baru akan tumbuh dari akar yang masih sihat, tetapi pemulihan pokok amat lambat dan hasilnya tidak ekonomik. Pokok kerap tumbang kerana hilang tapak pegangan. Bagi mengatasi masalah ini, pastikan kawasan yang dipilih untuk menanam itu mempunyai tekstur tanah yang baik dengan saliran yang mencukupi.

Pengurusan rumpai
Pengurusan rumpai ialah bahagian yang penting dalam penanaman pokok betik. Selepas pembersihan dan pembajakan piring, kawasan yang hendak ditanam itu perlu disembur secara menyeluruh dengan racun herba pracambah seperti diuron supaya tanah tersebut bebas daripada rumpai selama 6-8 minggu. Penggunaan racun herba yang minimum di peringkat awal pertumbuhan amat penting kerana batang anak pokok yang lembut sangat rentan terhadap kecederaan yang disebabkan oleh racun ini.

Selepas 3 bulan penanaman, rumpai mungkin muncul bertompok-tompok. Keadaan ini perlu diberi perhatian segera. Semburan perlu dilakukan di sebelah pagi apabila angin tidak kuat (kelajuan kurang daripada 1 m/saat) bagi mengelakkan pokok daripada terkena racun herba. Batang pokok betik kekal hijau selama 4-5 bulan selepas ditanam di ladang. Sentuhan secara langsung dengan racun herba boleh menyebabkan nekrosis, reput batang dan pokok akan rebah.

Bagi mengurangkan sebarang kemungkinan kerosakan akibat racun herba semasa peringkat kritikal iaitu ketika batang pokok masih hijau, sungkupan pada setiap batang pokok amat disyorkan. Sungkupan serta merta di pangkal batang pokok dapat mengurangkan keperluan menggunakan racun herba di sekeliling pokok. Rumpai yang muncul sekali sekala boleh diracun atau dicangkul.

Merumpai menggunakan bahan kimia boleh dijalankan setiap 6 minggu. Namun, penyemburan bulanan mungkin perlu semasa musim lembap. Walaupun kosnya agak tinggi, basta disyorkan untuk digunakan dalam tempoh pertumbuhan awal kerana ia kurang fitotoksik terhadap anak pokok betik. Apabila pokok mencapai umur lebih 6 bulan, racun herba yang lebih murah boleh digunakan.

Mencantas
Pokok betik tidak perlu dicantas. Namun, ramai juga penanam yang mencubit anak pokok atau memotong pokok dewasa bagi menggalakkan percabangan bagi menghasilkan lebih banyak buah.

Pengairan
Pengairan merupakan aspek paling kritikal dalam penanaman pokok betik, terutamanya semasa peringkat awal pertumbuhan dan semasa kemarau yang panjang. Pada amnya, pokok betik perlu sentiasa berada dalam keadaan yang kering bagi mengelakkan penyakit bawaan udara (e.g. Phythophthora ) iaitu reput akar, tetapi ia memerlukan air yang cukup untuk daunnya yang besar. Kekurangan lembapan biasanya membantutkan pertumbuhan pokok dan menyebabkan bunga dan putik gugur. Oleh itu, bekalan air yang mencukupi melalui pengairan amatlah genting dan ia dapat membantu dalam meningkatkan saiz dan bilangan buah yang dapat dipasarkan. Namun, perlu berhati-hati supaya tiada lembapan berlebihan kerana ia akan menyebabkan kejadian penyakit yang tinggi.

Jumlah hujan bulanan yang minimum sebanyak 100 mm diperlukan tanpa pengairan tambahan bagi pengeluaran yang sederhana. Pengeluaran yang baik diperoleh dengan pemberian air 90 L/pokok/minggu sebaik saja selepas menanam atau semasa musim basah dan 120-240 L/pokok/minggu dalam tempoh kering.

Saliran yang baik perlu dipertimbangkan kerana pokok betik amat sensitif terhadap air yang bertakung. Akar akan reput selepas 24 jam terendam. Pokok yang terjejas akan kekal bantut. Daun bahagian bawah akan layu, menjadi kuning dan gugur, meninggalkan beberapa helai daun di puncak pokok. Apabila air surut, akar adventitius yang baru akan tumbuh dari akar yang masih sihat, tetapi pemulihan pokok amat lambat dan hasilnya tidak ekonomik. Pokok kerap tumbang kerana hilang tapak pegangan. Bagi mengatasi masalah ini, pastikan kawasan yang dipilih untuk menanam itu mempunyai tekstur tanah yang baik dengan saliran yang mencukupi.

Pembajaan

Dalam pengurusan yang baik, pokok betik yang membesar dengan pantas dan berterusan mempunyai potensi pengeluaran buah sepanjang bulan di sepanjang tahun. Dengan itu, bekalan nutrien yang banyak pada tempoh yang tetap untuk pertumbuhan yang baik dan pengeluaran buah yang berkualiti amat kritikal. Pengapuran tanah sebelum menanam ialah amalan yang baik, kerana pH tanah 6-6.5 dianggap optimum untuk pertumbuhan dan prestasi hasil bagi pokok betik. Bagi kebanyakan tanah di kawasan tropika, 3-4 t/ha kapur diperlukan. Pokok betik yang mendapat cukup baja kapur, berbuah lebih awal dengan hasil yang tinggi dan dapat dipasarkan.

Semasa peringkat awal pertumbuhan, bekalan nitrogen dan fosforus yang cukup perlu dibekalkan bagi memastikan pertumbuhan tampang yang baik. Pada peringkat pembuahan, aras kalium perlu ditambah bagi meningkatkan kualiti buah (supaya warna isi lebih menarik, lebih manis dan lebih pejal). Pada masa yang sama, aras fosforus pula perlu dikurangkan bagi mengekalkan saiz buah yang besar. Bagi nitrogen, arasnya tidak berubah di sepanjang peringkat tampang dan pembuahan. Namun, baja bernitrogen yang berlebihan terutamanya baja organik perlu dielakkan kerana ini akan menggalakkan balikan seks daripada bunga hermafrodit kepada bunga betina yang menghasilkan buah yang tidak menentu bentuknya.

Faktor kepelbagaian jenis tanah, keadaan cuaca dan amalan pengurusan, membuatkannya perlu untuk membentuk pengesyoran bagi sesuatu kawasan yang khusus berasaskan analisis tanah dan foliar. Di Malaysia sebanyak 50-100 g/pokok rumusan 15:15:15 diberikan setiap bulan sehingga anak pokok berumur 4 bulan. Selepas itu, rumusan 12:12:17:2 diberikan sebanyak 180 g/pokok setiap bulan. Sebagai tambahan kepada baja bukan organik yang disyorkan, tahi ayam, efluen kilang kelapa sawit atau baja organik yang lain ditambah dalam tempoh yang tetap. Pemberian baja organik ini perlu dihadkan kepada 2 kg/pokok dalam tempoh 4 bulan kerana pemberian baja organik yang tinggi mengaruh pertumbuhan tampang secara berlebihan dan mengurangkan hasil dan kualiti buah.

Kekurangan nutrien
Kekurangan boron amat penting dalam penanaman betik, terutamanya apabila ditanam di tanah berpasir. Bagi pokok yang sedang membesar, daun yang muda menjadi rapuh dan berbentuk mencengkam. Pada peringkat pembuahan, simptomnya ditunjukkan pada buah yang menjadi herot dengan kulit yang kasar dan permukaan buah berbenjol-benjol (Gambar 1). Pokok yang terjejas terbantut pertumbuhannya, pembentukan buah merosot teruk manakala buah yang terjejas tidak menghasilkan biji, tidak terbentuk dengan baik dan pemasakan tidak sekata dengan kandungan gula yang rendah. Kekurangan boron boleh dirawat dengan menggunakan borax sebanyak 5-10 g/pokok atau semburan foliar dengan 0.25% larutan borax .


Gambar 1: Permukaan buah betik yang kasar atau berbenjol-benjol kerana kekurangan boron. Foto oleh P. Raveendranathan

FERTILISER APPLICATION

Fasa

Umur pokok*(bulan ) Jenis baja Kadar/bulan Masa membaja
Vegetatif 1 15:15:15 (NPK) 50g Sekali setiap bulan
3 15:15:15 (NPK) 100g Sekali setiap bulan

* Pada tempoh ½ tahun 2 kg/pokok bahan organik tanaman diberikan TSP1 = Triple Super Phosphate

Baja borax (1-5 g/pokok) perlu ditambah jika simptom kekurangan boron kelihatan.

Pembungaan dan pembuahan

Pokok betik boleh dibezakan berasaskan jenis seksual, iaitu sama ada pokok hermafrodit, pokok jantan atau pokok betina. Pokok hermafrodit biasanya mengeluarkan satu atau beberapa bunga dwiseks pada setiap buku ruas. Bunga dwiseks ini sensitif terhadap persekitaran dan dari semasa ke semasa boleh berubah ke balikan seksnya sama ada menjadi bunga betina atau bunga jantan. Pokok betina menghasilkan satu atau dua bunga betina pada setiap buku ruas, manakala pokok jantan tidak berbuah tetapi mengeluarkan banyak pendulus bunga jantan yang panjang. Walaupun kedua-dua pokok betina dan hermafrodit boleh berbuah, pokok betina menghasilkan buah yang bulat manakala pokok hermafrodit menghasilkan buah yang agak panjang berbentuk silinder.

Produktiviti pokok betik boleh terjejas teruk disebabkan keadaan cuaca. Terutamanya, hujan, suhu, kelembapan relatif dan taufan yang amat mempengaruhi pembungaan, pembuahan, kejadian penyakit dan kematangan buah. Kemarau yang panjang yang dikaitkan dengan suhu yang tinggi, menjejaskan pengeluaran buah dengan teruk kerana keadaan tersebut mengaruh penguguran struktur bunga dan buah yang menyebabkan fasa steril atau putus buah pada batang pokok (Gambar 2).
Di sebaliknya pula, suhu dingin dan keadaan yang basah akan menyebabkan bunga hermafrodit berbalik menjadi bunga betina, menghasilkan buah yang tidak menentu bentuknya (Gambar 3), yang tidak dapat dipasarkan. Keadaan cuaca yang panas tidak memberikan kesan terhadap hasil betik di Malaysia.

Penjarangan buah ialah amalan penting yang akan mengawal pengeluaran dan meningkatkan peratusan buah yang mempunyai saiz yang seragam yang boleh dipasarkan. Selepas berputik, peringkat awal pembentukan buah sangat cepat. Putik yang lambat membesar selepas lebih kurang seminggu berputik, mungkin tidak akan menjadi buah yang boleh dipasarkan. Oleh sebab buah seperti ini tidak berbiji dan kecil saiznya, ia harus dibuang. Buah lain yang perlu dibuang ialah putik yang tidak menentu bentuknya dan yang menunjukkan tanda-tanda kerosakan. Pada amnya, disyorkan supaya hanya sebiji buah ditinggalkan pada setiap buku ruas. Apabila terdapat banyak putik pada satu buku ruas hanya yang terbesar sahaja disimpan.

Oleh sebab pokok betik tidak dapat ditentukan jantan betinanya sehingga mula berbunga, iaitu selepas 6 bulan percambahan, jadi dalam ladang yang kecil, pastikan hanya 3 atau 4 pokok betina atau tanam pokok hermafrodit. Buah menjadi matang selepas 4 bulan pembungaan. Bergantung pada varieti yang ditanam, keadaan iklim dan amalan pengurusan kultur, hasil buah betik yang boleh dipasarkan berjulat daripada serendah beberapa tan hingga ke 60 t/ha. Biasanya sebanyak 100 biji/pokok boleh didapati dalam tempoh penuaian 1.5-2 tahun. Selepas itu bahagian pokok sebelah atas boleh dicantas bagi mengeluarkan cabang sekunder bagi menghasilkan lebih buah. Untuk tahun pertama, lebih kurang 15-20 t/ha buah boleh diperoleh dan 30-50 t/ha pada tahun kedua.

RINGKASAN PROSES PENGELUARAN BUAH BETIK

Tindakan Apa tindakan perlu diambil? Bagaimana tindakan dilakukan? Bila tindakan diambil? Kenapa tindakan dilakukan?
Membuat baris dan lubang Membaris dan memacak pancang pada jarak 1.8 m x 2.7 m di sepanjang garis kontur, gali lubang 30 cm x 30 cm x 30 cm Membuat baris, secara manual gali lubang dengan tangan atau menggunakan mesin.
Mengubah Tambah 200 g TSP, aras tanah 2 cm dari pangkal pokok Secara manual Anak benih mempunyai 8-12 helai daun. Peringkat anak benih mengalami paling sedikit kejutan, suntikan awal fosfat untuk anak benih
Pengairan 60–90 L/pokok/minggu selepas menanam dan semasa musim lembap, 120-240 L/pokok/minggu semasa tempoh kering Pembanjiran alur, perenjis mikro, jet, pemancar titis. Kritikal di peringkat awal pertumbuhan dan semasa kemarau yang berpanjangan Kekurangan lembapan membantutkan pertumbuhan tetapi air yang berlebihan membawa kepada penyakit akar.
Kawalan rumpai Racun herba pracambah, semburan tompok, sungkupan di sekeliling pangkal pokok. Secara manual Sebelum menanam, setiap 6 minggu Bagi menghalang saingan dengan pokok betik
Penuaian Buah dipetik dengan tangan Secara manual atau menggunakan galah panjang yang mempunyai bakul dawai. 17-20 minggu selepas antesis bunga, indeks warna 2 atau 3

Kematangan buah
Pokok betik di kawasan tropika mula berbunga 3- 4 bulan selepas ditanam dan buah matang 5 bulan kemudian. Selepas antesis bunga iaitu antara 17-20 minggu, terdapat pelbagai peringkat kematangan buah yang optimum. Kepelbagaian ini dipengaruhi oleh cuaca dan umur pokok. Menuai pada peringkat kematangan yang sesuai sangat perlu bagi memastikan kualiti dan tempoh penyimpanan dapat dimaksimumkan.

Penuaian
Buah hendaklah dipetik pada indeks warna 2 atau 3 bagi membolehkan masa yang lebih untuk pengendalian dan penyimpanan seterusnya. Pada peringkat ini terdapat juga sedikit kerosakan yang disebabkan oleh antraknos atau lalat buah. Buah pada indeks warna 1 tidak sesuai dipetik untuk dimakan segar kerana belum matang dan ia tidak akan menjadi lembut atau berubah warna. Buah yang dipetik pada indeks warna 4 dan 5 juga tidak sesuai kerana sudah masak dan tidak boleh disimpan lama untuk tujuan pemasaran.
Buah sulung keluar lebih kurang 1-1.4 m dari aras tanah, jadi memetik buah dengan menggunakan tangan pada tahun pertama agak selesa. Pada tahun kedua pemetikan buah menjadi rumit kerana buah melebihi aras yang boleh dicapai tangan. Dalam keadaan ini, bagi memudahkan pemetikan buah, galah panjang yang mempunyai bakul dawai yang beralaskan span di hujungnya boleh digunakan. Selain itu, di hujung galah juga boleh dipasangkan jaring nilon yang diikat pada bingkai bulat, gunanya untuk menadah buah yang tanggal dari pokok. Buah yang dipetik disusun dalam bakul plastik yang dilapis kain atau surat khabar bagi menghalang kecederaan pada buah.

Kemusiman pengeluaran buah
Buah betik dianggap buah yang tidak bermusim tetapi menunjukkan puncak pengeluaran yang nyata dalam kitaran hayatnya. Puncak pengeluaran berlaku setiap 3 bulan, bermula dengan puncak pertama pada bulan ke 11 selepas penanaman. Fasa pengeluaran terbaik ialah di sekitar bulan ke 13 dan 14. Puncak-puncak selepas ini kurang nyata sehinggalah pokok mencapai penghujung jangka hayatnya lebih kurang 18-24 bulan. Corak pengeluaran boleh dipengaruh oleh keadaan cuaca terutamanya taburan hujan. Dalam keadaan kemarau, pemasakan buah terlambat selama 2 minggu atau lebih dan beberapa biji buah pada pokok yang sama masak serentak apabila hujan mula turun.

Corak pengeluaran buah betik Eksotika
Mengatur tarikh penanaman yang berperingkat-peringkat tidak menjamin puncak pengeluaran yang disasarkan (juga berperingkat-peringkat), kerana pokok betik amat sensitif terhadap perubahan cuaca dan pengeluaran bunga paling prolifik semasa musim hujan. Dengan itu, semua pokok betik dalam lokasi yang sama, akan memberi respon sewajarnya dan menunjukkan persamaan dalam corak pengeluaran tanpa mengira umur. Corak pembuahan yang ditunjukkan oleh tempoh puncak dan kurang daya pengeluaran akibat kepelbagaian keadaan cuaca menyebabkan bekalan dan harga betik tidak stabil.

Rajah pengendalian lepas tuai

Pengendalian lepas tuai bagi buah betik memerlukan pemerhatian dan penjagaan yang rapi. Buah betik rentan terhadap beberapa faktor yang boleh mengurangkan kebolehpasaran, termasuklah suhu yang terlampau tinggi atau rendah atau suhu yang kerap turun naik, lembapan, penyakit dan kerosakan mekanikal. Pendedahan kepada faktor-faktor ini melalui pengendalian yang tidak betul boleh menyebabkan buah tidak atau terlebih masak, kualiti tidak konsisten dan rasa tidak sedap. Ini menyebabkan kerugian lepas tuai yang tinggi. Jika dikendali dengan baik, buah betik boleh mengekalkan tempoh simpan selama 4-6 bulan dalam keadaan tropika yang ambien (25-28°C), atau sehingga 3 minggu pada suhu rendah (10-12°C).

PENGGREDAN

Bagi tujuan eksport hanya buah hermafrodit berbentuk piriform dipilih dan digred mengikut peringkat kematangan (indeks kematangan) dan saiz. Buah dikelaskan sebagai besar (601-800 g), sederhana (361-600 g) dan kecil (250-350 g). Buah yang besar dan sederhana biasanya dieksport ke Singapura, China dan Timur Tengah, manakala buah yang kecil dipasarkan ke Eropah. Pada masa ini betik Eksotika tidak dieksport ke Jepun, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat kerana negara-negara tersebut mempunyai peraturan kuarantin yang ketat yang memerlukan penyahserangan lepas tuai.

Indeks warna

Kematangan betik Eksotika dibahagikan kepada 6 peringkat warna kulit seperti berikut:

Indeks warna 1 : Hijau keseluruhan
Indeks warna 2 : Hijau dengan kesan warna kuning
Indeks warna 3 : Lebih warna hijau daripada warna kuning
Indeks warna 4 : Lebih warna kuning daripada warna hijau
Indeks warna 5 : Kuning dengan kesan warna hijau
Indeks warna 6 : Kuning keseluruhan


Gambar 1 : Indeks kematangan buah betik
Baris atas, kiri ke kanan : Indeks 1-3

Baris bawah, kiri ke kanan : indeks 4-6

Pemilihan dan pembasuhan

Di rumah pembungkusan buah betik dipilih mengikut saiz, bentuk (jantan/betina), indeks warna, kecacatan (buah berkarpel) dan kerosakan yang disebabkan perosak, penyakit, kecederaan mekanikal dll. Bagi betik Eksotika buah yang beratnya kurang daripada 250 g atau melebihi 800 g dianggap dalam julat yang tidak boleh diterima. Buah yang rosak, cacat, terlalu masak dan berbentuk bulat (betina) juga ditolak. Pemilihan amat penting terutamanya pada buah yang hendak dieksport. Hanya buah dengan indeks warna 2 diterima untuk eksport. Buah yang mempunyai indeks warna 3 hingga 5 biasanya dijual di pasaran tempatan. Buah dengan indeks warna 6 terlalu masak dan ditolak. Selepas pemilihan, tangkai buah dipotong tidak melebihi 5 mm. Buah-buah ini kemudian dibasuh di bawah air paip yang mengalir bagi membuang getah, kotoran, serangga dan benda asing.

Kerosakan mekanikal

Kerosakan pada kulit selepas sahaja dipetik akibat pengendalian yang cuai, mengisi buah ke dalam kotak secara berlebihan dan pergerakan yang berlebihan semasa diangkut di ladang akan meninggalkan kesan bergetah, tercucuk, parut dan lebam. Semasa proses pemasakan bahagian yang lebam akan menjadi lembut dan berwarna gelap, dan mudah dijangkiti kulat serta bakteria. Kesan yang sama boleh terjadi akibat pengendalian yang kurang cermat semasa membasuh, menggred dan membungkus. Dengan mengambil langkah-langkah pengawalan di sepanjang prosedur pengendalian, kerosakan dapat dikurangkan. Pekerja perlu dilatih tentang teknik penuaian, perlunya pelapik diletakkan di dalam kotak di bahagian bawah dan kotak hanya boleh diisi dengan satu lapisan buah sahaja. Di ladang, tangkai betik perlu dibuang bagi menghalang buah daripada tercucuk atau tercalar dengan buah yang bersebelahan. Kenderaan yang digunakan untuk mengangkut buah dari ladang ke rumah pembungkusan perlu dipandu dengan perlahan dan berhati-hati. Semasa pengendalian di rumah pembungkusan, buah tidak boleh sama sekali dibaling atau terjatuh, dan dalam operasi automatik pula, semua mesin yang digunakan perlu dilapik.

Lelasan pada kulit akan menyebabkan warna buah berbelak-belak seperti pulau (bahagian kulit kekal hijau dan tenggelam apabila buah betul-betul masak). Keadaan ini mempercepat kadar kehilangan air. Kecederaan seperti lelasan dan tercucuk lebih penting daripada kecederaan impak terhadap buah betik.

POST HARVEST TREATMENTS

Gangguan-gangguan patologi
Penyakit antraknos (sp. Colletotrichum) mudah tersebar luas dalam tempoh penyimpanan yang lama di ladang yang lembap dan kawalan penyakit sebelum tuai yang tidak sesuai atau ladang yang tidak bersih. Kehadiran penyakit ditunjukkan dengan tompok-tompok hitam atau perang yang halus yang menjadi semakin besar dan bergabung lalu tenggelam.

Reput phomopsis yang disebabkan oleh Phomopsis caricae-papayae bermula di pangkal buah atau luka pada kulit buah. Penyakit ini cepat menular pada buah yang masak. Tisu terjangkit menjadi lembut dan sedikit gelap.

Reput alternaria disebabkan oleh Alternaria alternata berlaku selepas kecederaan dingin pada buah betik yang disimpan pada suhu kurang daripada -12°C.

Masalah suhu rendah

Menyimpan buah betik yang belum masak pada suhu 10°C akan menyebabkan kecederaan dingin. Simptomnya termasuklah permukaan buah menjadi lekuk, penyahwarnaan pada kulit dan isi, pemasakan tidak sempurna, rasa tidak sedap dan kerentanan terhadap kejadian penyakit meningkat. Buah betik yang masak tahan disimpan pada suhu rendah, tetapi pengangkutan buah yang masak (lebih 50% kuning) tidak disyorkan kerana kerentanan terhadap kerosakan mekanikal dan lebam.

Masalah suhu tinggi

Mendedahkan buah betik pada suhu lebih 30°C dan melebihi 10 hari akan menyebabkan kecederaan haba (masak tidak sekata, masak berbelak, warna tidak cantik, pelembutan tidak normal, lekuk permukaan dan cepat busuk). Penyejukan segera ke suhu 13°C selepas rawatan haba dapat meminimumkan kecederaan haba.

Rawatan air panas
Ramai pengeksport mengamalkan kaedah rawatan ini bagi mengurangkan penyakit lepas tuai terutamanya apabila buah dieksport melalui jalan laut. Rawatan ini tidak perlu jika buah diangkut melalui udara atau dipasarkan di pasaran tempatan. Selepas dibasuh, buah dicelup ke dalam air panas pada suhu 49°C selama 10 minit. Kemudian buah ini disejukkan di bawah air paip yang mengalir selama 10 minit sebelum dirawat dengan racun kulat.

Pencelupan dengan racun kulat

Buah yang dimakan segar tidak perlu dirawat dengan racun kulat. Namun, buah yang hendak disimpan atau dieksport perlu dirawat dengan suspensi propiconazole yang mengandungi 250 bpj bahan aktif selama 5 minit. Mencelup buah ke dalam racun kulat dapat mengawal penyakit lepas tuai seperti antraknos (Colletotrichum) dan reput hujung batang (Botryodiplodia, Phomopsis). Selepas dicelup, buah dikeringkan di atas rak pengeringan yang sudah dialas dengan pelapik poliuretana atau span. Kipas boleh digunakan bagi mempercepat pengeringan.

Pembungkusan
Buah betik dibungkus dalam kotak teleskopik papan gentian beralun (CFB) dengan bahagian tangkai buah menghala ke lantai kotak. Sebelum menyusun buah ke dalam kotak CFB, setiap biji buah disampul dengan sampul poliuretana atau dibungkus dengan surat khabar. Bahan pembalut ini akan dapat mengelakkan kecederaan terhadap buah semasa buah diangkut. Buah ini dipek dalam kotak 6 kg, yang biasanya mengandungi 6-18 biji buah sekotak. Pembungkusan sebegini biasanya untuk dieksport melalui udara atau pengangkutan jarak dekat melalui laut ke Hong Kong. Bagi varieti Sekaki yang lebih besar, ia dipek di dalam kotak 20 kg. Setiap kotak mengandungi 12-18 biji buah


Gambar 2 : Kotak pembungkusan betik Eksotika 6 kg yang standard untuk dieksport

Bagi pengangkutan jarak jauh yang menggunakan kapal laut, buah dipek di dalam bungkusan atmosfera terubahsuai (MAP). Bagi mengadakan suasana atmosfera terubah suai (MA), kotak CFB dilapis dengan beg polietilena berketumpatan rendah (LDPE) setebal 0.04 mm. Mulut beg diikat dengan gelang getah. Di dalam setiap beg, 40 g penyerap etilena (nama dagangan ‘cleanpack’) dibungkus bersama-sama dengan buah bagi membantutkan pemasakan buah semasa dalam perjalanan. Dengan menggunakan kaedah pembungkusan sebegini, buah boleh dieksport ke Timur Tengah melalui jalan laut. MAP dengan suhu penyimpanan 10-12°C dapat mengekalkan kualiti buah betik Eksotika selama 3 minggu. Tempoh ini cukup untuk perjalanan yang jauh (10-12 hari), pemeriksaan kastam dan kuarantin di pelabuhan (1-2 hari) dan pengedaran dan pemasaran buah (6-7 hari).

Penyimpanan
Buah yang mempunyai indeks warna 2 dan 3 boleh disimpan dalam keadaan ambien (25-30°C) selama 5-7 hari, manakala buah yang mempunyai indeks warna 4 dan 5 hanya boleh bertahan selama 2-3 hari. Buah yang hendak diangkut melalui udara mengelilingi dunia perlu disimpan pada suhu 10-12°C, tahan disimpan selama 2 minggu atau lebih. Dengan MAP tempoh simpan boleh dipanjangkan ke 3 minggu iaitu cukup tempoh untuk pengangkutan laut ke Hong Kong dan Timur Tengah.

Pengangkutan

Pasaran domestik
Pasaran domestik jarang memerlukan nilai tambah atau pembungkusan yang canggih. Dengan itu buah betik pada indeks warna 2 dan 3 dibungkus di dalam bakul plastik yang boleh disusun bertingkat-tingkat, bakul atau bekas yang boleh diguna semula dan diangkut menggunakan lori tanpa pendinginan.

Pasaran eksport

Kontena sejuk yang beroperasi pada suhu 10-12°C sesuai untuk buah betik di dalam kotak CFB (dengan atau tanpa MAP) yang menggunakan pengangkutan laut. Kontena berukuran 40 kaki boleh memuatkan 2000 hingga 3500 kotak betik Eksotika (kotak 6 kg) dan betik Sekaki (kotak 20 kg). Bagi eksport melalui udara, setiap palet boleh mengisi 204 kotak betik Eksotika (kotak 6 kg).


Gambar 3 : Kontena sejuk berukuran 40 kaki untuk pengangkutan laut betik Eksotika ke Hong Kong

Buah betik masak pada suhu 15-30°C. Suhu kurang daripada 15°C (seperti di dalam kontena dingin) dan suhu yang rendah semasa musim sejuk akan membantutkan pemasakan buah. Bagi mengatasi masalah ini, apabila sampai ke destinasi, buah dipindahkan dari pembungkusan MAP ke dalam bilik pemasakan ‘flow-through’ yang mempunyai kelembapan relatif 85-90% untuk pemasakan. Buah diaruh untuk masak dengan didedahkan kepada 5 bpj etilena selama 24 jam. Satu lagi kaedah untuk mengaruh kemasakan buah ialah dengan pendedahan singkat kepada etilena sebelum dibungkus ke dalam kontena dingin.

About these ads