Di Malaysia nanas merupakan tanaman buah-buahan yang penting dan diberi keutamaan. Pada tahun 1994, kawasan tanaman nanas proses dianggarkan seluas 7 730 hektar, iaitu 35% ditanam oleh pekebun kecil dan bakinya ditanam di estet-estet. Hampir keseluruhan kawasan ini terdapat di negeri Johor. Anggaran pengeluaran adalah sebanyak 160 000 tan setahun.

Nilai purata nanas proses yang dieksport adalah sebanyak RM 70 juta setahun. Ini merangkumi hampir 80% daripada jumlah semua buah-buahan yang diproses bagi Malaysia dan 5% daripada jumlah eksport nanas proses di pasaran dunia.

Berasaskan perangkaan 1994, anggaran keluasan kawasan nanas di Semenanjung Malaysia ialah 13,470 hektar, iaitu 85% didapati di Johor, 4% di Kelantan dan 3.8% di Selangor. Eksport nanas segar masih lagi kecil. Pada tahun 1990, nilai eksport adalah sebanyak RM3.56 juta dan telah meningkat kepada RM 7.1 juta pada tahun 1994. Hampir 96% jumlah eksport adalah ke negara Singapura. Prospek pasaran bagi nanas segar adalah baik di Jepun, Hong Kong dan negara-negara Timur Tengah selain permintaan tempatan.

Moris dan Sarawak merupakan varieti nanas segar yang ditanam masa kini. Nanas Moris kecil, dengan isi berwarna keemasan, agak kering, rangup dan mempunyai kandungan gula yang tinggi. Buah nanas Sarawak besar serta mempunyai isi yang berwarna pucat, tidak rangup dan berair. Kelemahan utama varieti Moris ialah buahnya mengecil di hujung dan daunnya berduri dan ini merumitkan pengurusan pengeluarannya.

Varieti Sarawak pula menghadapi masalah pembungaan yang terlalu rendah terutama di kawasan gambut. Kedua-dua varieti ini peka terhadap gejala teras hitam (black heart disorder) (BHD) akibat penyimpanan pada suhu rendah.

Berasaskan perangkaan 1994, anggaran keluasan kawasan nanas di Semenanjung Malaysia ialah 13,470 hektar, iaitu 85% didapati di Johor, 4% di Kelantan dan 3.8% di Selangor.

PERIHAL JOSAPINE

Asal usul

Pemilihan dibuat di Stesen Penyelidikan MARDI, Pontian daripada populasi hibrid F1 hasil daripada kacukan antara Nanas Johor (induk betina) dan Sarawak (debunga)

Ciri-ciri tampang

Pokok sangat subur, boleh dihormon pada umur 9 bulan.

  • Daun hijau keunguan, tidak berduri.
  • Saiz jambul sederhana, kadang-kadang lebih daripada satu
  • Biasanya 1-2 sulur buah/pokok
  • Sulur dan ratunnya baik.

  • Ciri-ciri pembungaan dan pembuahan

    Tindak balas pembungaan dengan bahan mengaruh sangat baik (90-100%). Berbuah awal – dari aruhan bunga hingga peringkat putik bunga mengambil masa 30 hari.

  • Dari aruhan bunga hingga pemetikan buah mengambil masa 127 hari
  • Hasil 60 tan/ha bagi tanaman pertama.
  • Ciri-ciri buah

    Kulit buah muda yang berwarna ungu gelap berubah menjadi merah jingga apabila masak.

  • Buah berbentuk silinder
  • Matanya besar membonjol, iaitu seperti nanas Spanish
  • Buah bersaiz sederhana (1.2-1.5 kg.)
  • Isi buah kuning keemasan dengan tekstur yang agak rangup dan kering
  • Sangat manis (TSS 16-17%) dengan perisa asid yang seimbang
  • Penyimpanannya baik, mutu buah tidak berubah walaupun buah sudah terlalu masak
  • Tiada tanda gejala teras hitam berlaku dalam buah apabila buah disimpan pada suhu 10 °C selama 2 minggu dan didedahkan pada suhu bilik selama 5 hari.
  • PROGRAM PENGHIBRIDAN NANAS DI MARDI

    Satu program penghibridan yang sistematik telah dimulakan di Stesen Penyelidikan Tanah Gambut Bersepadu MARDI, Pontian, Johor pada tahun 1984. Objektif program ini adalah untuk membaiki hasil dan mutu varieti-varieti nanas yang sedia ada. Empat kultivar yang mewakili tiga kumpulan utama nanas iaitu Sarawak (Cayenne), Moris (Queen), Johor (Spanish) dan Masmerah (Spanish) telah dikacuk secara dialel lengkap. Lima puluh ribu anak benih telah dibiak daripada kacukan ini dan seterusnya dinilai. Dalam tahun 1987, 300 pemilihan telah dibuat untuk penilaian seterusnya. Daripada populasi ini, 13 pemilihan dibuat pada tahun 1990 untuk penilaian ketiga. Dalam tahun 1991, pemilihan yang lebih teliti telah dibuat untuk memilih enam varieti yang paling berpotensi untuk dibuat penilaian di tiga lokasi iaitu Pontian, Bukit Tangga dan Kluang.

    Penilaian tersebut telah menunjukkan bahawa salah satu pemilihan seperti Josapine mempunyai banyak ciri-ciri yang diingini untuk pengeluaran buah segar dan didapati lebih baik berbanding dengan varieti seperti Moris dan Sarawak.

    AMALAN KULTUR

    Bahan tanaman biasanya terdiri daripada jambul dan sulur.

  • Jarak tanaman 90 cm x 60 cm x 30 cm (2 baris berkembar) dengan sistem penanaman pokok utama disyorkan bagi mendapat hasil dan mutu buah yang seragam.
  • Pembajaan di tanah gambut menggunakan 435 kg amonium sulfat + 6 kg CIRP + 163 kg `Muriate of potash’ sehektar setiap kali pembajaan pada 2, 5 dan 8 bulan selepas ditanam. Manakala di tanah mineral, baja N:P:K 15:15:15 sebanyak 860 kg sehektar setiap kali pembajaan pada 2 dan 5 bulan selepas ditanam dan N:P:K:Mg 12:12:17:2+TE pada kadar yang sama pada 8 bulan selepas ditanam disyorkan
  • Baja semburan mengandungi campuran 42 g kuprum sulfat, 42 g zink sulfat, 21 g ferus sulfat, 640 g kapur dan 640 g urea dalam setiap 18 liter air. Penyemburan dibuat pada 1 dan 4 bulan selepas ditanam bagi kedua-dua jenis tanah
  • Pengaruhan bunga pada masa 9 bulan selepas ditanam dengan menggunakan etefon (300 bahagian/juta) dan 3% urea (40 mL sepokok)
  • Buah dipetik pada peringkat `dua mata’ matang.
  • BAHAN TANAMAN

    Sehingga kini, MARDI telah menyediakan 700 ribu anak pokok hibrid baru ini. Bahan-bahan tanaman ini akan dibekalkan kepada pekebun kecil, agensi-agensi kerajaan dan pihak swasta untuk ditanam dan meningkatkan pembiakan bahan tanaman hibrid baru ini.

    KESIMPULAN

    Hibrid baru nanas Josapine yang dihasilkan oleh MARDI selepas penyelidikan selama satu dekad mempunyai mutu yang jauh lebih baik daripada varieti segar masa kini (Moris dan Sarawak). Hibrid ini istimewa kerana lebih rintang terhadap teras hitam. Oleh itu, hibrid baru ini lebih berpotensi untuk pasaran eksport melalui pengangkutan laut dengan menggunakan kontena berhawa dingin. Usaha-usaha untuk meningkatkan pengeluaran dan pembekalan bahan tanaman sedang giat dijalankan.

    About these ads