Berita Harian, 9 Mei 2004

Oleh Ismail Mat

ka04telur.jpg

PROSES penggredan serta penyusunan telur dilakukan sepenuhnya
oleh mesin. – gambar oleh Surianie Mohd Hanif

PERTELINGKAHAN menentukan siapa wujud lebih dulu – ayam atau telur, masih belum selesai. Namun, satu lagi perkembangan baru lebih membingungkan apabila ada telur yang ditetaskan bukan hasil persenyawaan ayam jantan dan betina.

Satu fakta yang mungkin tidak disedari ramai ketika ini menunjukkan kira-kira 16 juta telur yang dijual dalam pasaran tempatan setiap hari sebenarnya tidak boleh diram dan ditetas untuk menghasilkan anak ayam.

Ini kerana ayam betina yang diternak untuk tujuan penghasilan telur, tidak pernah dikelaminkan dengan ayam jantan seperti proses penghasilan telur bagi tujuan penetasan anak ayam.

Bukan setakat itu saja, telur kini memasuki dimensi baru sejajar dengan perkembangan sains dan teknologi sehingga membawa kepada penghasilan pelbagai spesies atau jenis telur.

Ketika ini, industri tempatan menghasilkan 18 juta telur ayam sehari, termasuk dua juta daripadanya dieksport ke Singapura bagi memenuhi keperluan penduduk republik berkenaan.

Antara syarikat tempatan yang menjadi pengeluar utama telur ayam yang memenuhi keperluan rakyat negara ini, termasuklah Lay Hong Berhad (LHB), TPC, LTK dan Consolidated Farm.

LHB mengimport kira-kira 40,000 induk ayam secara lima peringkat dari Belanda dan United Kingdom setiap tahun merangkumi satu ayam jantan bagi setiap 10 ayam betina untuk menghasilkan anak ayam telur keperluan syarikat itu.

Telur ayam kini bukan hanya menjadi sumber protein mudah dan murah kepada pengguna, sebaliknya kini memiliki ciri-ciri dan fungsi tertentu seperti kaya dengan vitamin, mineral dan rendah kolesterol.

Dari ladang LHB, selain telur biasa dikenali Farm Fresh (segar dari ladang), syarikat itu turut mengeluarkan telur ayam dengan fungsi istimewa mengikut jenama NutriPlus iaitu Organic Selinium, Omega 3, Kolestrol Rendah dan Klasik dengan Vitamin E serta Telur Cair atau Liquid Egg untuk kegunaan industri.

Status kediaman ayam telur juga sudah dinaik taraf bagaikan sebuah ‘hotel’ mewah. Reban beratap rembia dengan hama melata serta bau busuk najisnya dengan buruh yang mengutip telur setiap pagi yang pernah penulis saksikan di kampung ketika kecil dulu, rupa-rupanya sudah menjadi sejarah.

ka04telur1.jpg

REBAN moden ayam telur dilengkapi pendingin udara yang
dikendali sepenuhnya dengan mesin dan sentiasa
bersih dan tidak berbau busuk.

Kunjungan penulis ke ladang ternakan ayam telur milik LHB di Bukit Kapar, Klang, dapat menyaksikan sendiri betapa tingginya teknologi dalam industri itu di negara ini.

Diiringi Pengarah Eksekutif LHB, Yeap Weng Hong, ketibaan kami dikejutkan apabila kenderaan yang dinaiki perlu berhenti di pintu masuk untuk menjalani proses semburan bahan kimia menerusi sistem Bio-Security.

Sebelum dibenarkan memasuki reban, kami diarah menanggalkan pakaian sebelum masuk menjalani proses Bio-Security secara automatik dalam sebuah bilik khas, mandi serta memakai pakaian ladang yang disediakan.

Memang lucu dan mengejutkan kerana ini pengalaman pertama saya memasuki kawasan reban itu, tetapi itulah proses keselamatan biologi yang dilaksanakan secara ketat oleh ladang itu terhadap semua pekerjanya.

Kata Yeap, tiada siapa yang terkecuali daripada proses itu setiap kali hendak masuk ke reban berkenaan walaupun dirinya sendiri dan kakitangan pengurusan kanan lain, demi keselamatan semua ayam di ladang itu.

Sebaik memasuki reban yang berkeluasan kira-kira 3,000 meter persegi, kami menyedari betapa mewahnya reban ayam itu yang dilengkapi pendingin udara untuk mengawal suhu pada kedudukan 28 darjah Selsius sepanjang masa.

Suasana dalam reban moden itu tidak busuk, sekali gus sukar untuk mencari lalat dalam ladang itu berbanding sistem ternakan terbuka.

Walaupun reban sepanjang 150 meter itu menempatkan 76,000 ayam telur dengan agihan enam ekor setiap kotak, namun ia hanya memerlukan dua pekerja untuk mengawasi pemakanan, kutipan telur serta aspek teknikal lain.

Semua reban LHB menggunakan teknologi moden untuk dan menyalurkan makanan, mengutip telur, membersihkan najis, penentuan saiz penggredan telur mengikut berat dan penyusun telur dalam rak.

Keadaan itu membolehkan telur yang dihasilkan setiap hari digerakkan ke ruang pengumpulan dengan cepat. Pekerja yang mengawasinya pada setiap peringkat hanya bertugas mengalihkan telur yang retak atau pecah.

Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran LHB, Peter Siow, berkata dalam tempoh tiga hari, semua telur ayam dari ladang itu akan masuk ke pasaran pengguna seluruh negara, termasuk dieksport ke beberapa negara Asean.

Ladang LHB diasaskan mendiang Yap Seak Yong pada 1960-an, bermula dengan pengeluaran kurang 10,000 telur sehari sebelum diambil alih tiga anaknya diketuai Yap Hoong Chai, yang kini menjadi Pengarah Urusan Kumpulan LHB mulai 1973.

LHB yang disenaraikan di Papan Kedua Bursa Malaysia pada 1994, mempunyai 1.3 juta ayam yang menghasilkan lebih sejuta telur setiap hari di lima ladang iaitu di Kapar, Ijok, Jeram, Melaka dan Kota Kinabalu.

Penghasilan telur ayam dengan fungsi istimewa adalah proses yang sukar tetapi berjaya dilaksanakan hasil penyelidikan saintifik terhadap kandungan setiap telur dan pemakanan terhadap ayam.

LHB bekerjasama dengan Alltech Biotechnology Amerika Syarikat yang menghasilkan makanan khas untuk meningkatkan Selenium yang diluluskan oleh Pentadbiran Dadah dan Makanan (FDA) Amerika Syarikat.

Makanan khas itu kemudian diberikan kepada ayam yang seterusnya meningkatkan tahap Selenium dalam telur yang dihasilkan ayam, yang seterusnya dimakan manusia.

Makanan khas yang turut mengandungi vitamin, flaxseed, jagung, kacang soya dan Carotenoids diberikan kepada ayam, akan menentukan jenis telur sama ada Selenium, Omega 3 atau Vitamin E yang akan dihasilkan ayam di reban.

Siow berkata, perbezaan antara jenis telur yang dihasilkan itu sukar dibuat tetapi dapat dilakukan berdasarkan rekod pemakanan yang diberikan kepada semua ayam. Semua telur yang terhasil dari setiap reban ditanda jenisnya mengikut rekod berkenaan.

Seekor ayam menghabiskan kira-kira 110 gram makanan sehari. Bagaimanapun, telur pertama yang dihasilkan setiap ayam ketika berusia 17 minggu tidak mempunyai nilai pasaran kerana beratnya tidak mencapai 40 gram.

Kata Siow, telur ayam LHB hanya dihantar untuk jualan dalam pasaran apabila mencapai sekurang-kurangnya Gred F iaitu 40 gram (gm) yang biasanya dihasilkan ketika usia 19 minggu.

Katanya, ketika ini, telur ayam yang dikeluarkan oleh LHB dipasarkan mengikut tujuh saiz iaitu AA (70gm ke atas); A (65-69gm); B (60-64gm); C (55-59gm); D (50-54gm); E (45-49gm) dan F (40-44gm) dan Telur Cair.

Telur Cair dihasilkan daripada telur ayam yang dipecahkan di kilang mengguna mesin khas yang berupaya mengasingkan telur merah dan telur putih dan kulit telur sebelum dibungkus dan dipasarkan.

Setiap telur ayam mempunyai tempoh hayat 21 hari jika disimpan pada suhu bilik sebelum telur merahnya pecah dan membusuk pada hari ke 28. Hayat telur meningkat tiga kali ganda jika disimpan dalam peti sejuk.

Bagi telur yang tersimpan lama dan tidak diketahui tarikhnya, pengguna dinasihat memecahkan terlebih dulu telur itu dalam piring, jika telur merahnya belum pecah, ia masih boleh dimakan.

Telur juga boleh dikenal pasti sama ada masih baik atau sudah rosak secara dimasukkan ke dalam bekas berisi air. Telur yang rosak akan terapung kerana poket udara yang terbentuk dan membesar di dalamnya.

Seekor ayam telur di ladang mampu menghasilkan sehingga 280 telur sepanjang tempoh dua tahun hidup dalam reban.

Selepas itu, ia akan dijual sebagai ayam tua kerana pada umur itu, ayam sudah melepasi tahap penghasilan telur yang baik apabila gagal menepati prinsip empat hari tiga telur walaupun kuat makan tetapi kurang bertelur.

Setiap ayam mengambil masa 21 hingga 22 jam untuk menghasilkan sebiji telur dalam badannya sebelum dikeluarkan. Selepas berehat sekejap, proses penghasilan telur dalam badan itu berulang semula.

Keadaan itu menyebabkan ayam terbabit hanya makan dan menghasilkan telur sepanjang masa kerana tiada aktiviti yang dilakukan dalam kotak kurungan dalam reban. Berikutan keupayaan ayam makan kira-kira 110 gram dedak sehari, ia juga membuang 100 gram najis untuk tempoh sama. Ini bermakna LHB yang mempunyai 1.3 juta ayam, mengumpulkan 130 tan tahi ayam sehari.

Pengurus Evergreen Organic Fertilisers Sdn Bhd, SF Siow, berkata tahi ayam yang dikumpul setiap hari itu apabila diproses menghasilkan kira-kira 30 tan baja organik dan pihaknya memasarkan 900 tan baja organik tahi ayam setiap bulan.

About these ads