Menolak tanggapan bahawa bidang pertanian tidak mempunyai potensi untuk melahirkan jutawan, tiga “petani” hari ini membuktikan bahawa industri itu mampu membawa pulangan lumayan.

Ketiga-tiga “petani” jutawan tersebut adalah Datuk Dr Zainuddin Wazir dari Seberang Prai, Pulau Pinang, Marahza Abdul Majid yang berasal dari Dungun, Terengganu dan Zubir Zabidi dari Alor Star, Kedah.

Mereka bertiga, yang menceburi bidang pertanian dengan jayanya, memberi pendapat serta berkongsi pengalaman dalam Program Bicara Jutawan Tani Melayu, anjuran biro pertanian Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Dr Zainuddin, seorang pakar jantung dari Island Hospital, Pulau Pinang, menceburi secara serius dalam penanaman pisang secara komersial melalui syarikatnya Synergy Farm Sdn Bhd.

Dengan memiliki kawasan ladang seluas 274 hektar, beliau berjaya menanam dan memasarkan pisang jenis “Cavendish”, sejenis pisang dari spesies terbaik kerana kandungan potassium serta kalori.

Bermula pada 2002, usaha beliau berkembang maju hingga berjaya membangunkan makmal pembenihan pisang dengan menggunakan proses tisu kultur.

Atas jenama “Tropicoast”, pisang yang dihasilkan ladangnya berjaya menembusi pasaran luar negara dan telahpun mencapai pengiktirafan Skim Akreditasi Ladang Malaysia, Malaysia Best dan Sijil ISO 9001/2000 bagi pengurusan ladang.

Synergy Farm, yang juga ditanam pelbagai buahbuahan tropika dan tananam hiasan, satusatunya ladang di Asia yang menerima pengiktirafan ISO.

“Saya bersedia berkongsi pengalaman dengan merencanakan skim tanaman pisang secara francais yang sememangnya teruji berdaya maju,” katanya di program tersebut.

Marahza, yang diberi Anugerah Belia Negara sebagai Wira Tani tahun ini, pula menceburi bidang penternakan lembu.

Langkahnya bermula dengan menyewa tanah seluas 50 hektar daripada Jabatan Perkhidmatan Haiwan di Pusat Latihan Veterinar Cermin Kiri, Jerangau, Dungun berbekalkan hanya 400 ekor lembu.

Tidak puas hati dengan pencapaiannya itu, beliau terus menghadiri pelbagai kursus serta bengkel untuk menimba pengalaman.

Ketika itulah tercetus idea untuk Marahza, seorang anak yatim sejak berumur satu tahun dan pernah bekerja sebagai operator pam minyak di Kuala Lumpur, untuk menghasilkan baja organik daripada najis lembu melalui proses fermentasi.

Sebuah kilang baja dan pusat latihan belia dalam bidang ini dibina syarikatnya dengan sokongan Jabatan Perkhidmatan Haiwan Negeri Terengganu.

Projek secara integrasi ini juga membabitkan penanaman jagung seluas 4 hektar dan pisang seluas 6 hektar.

Zubir pula, walaupun memiliki ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Cambridge University di London, tidak betah bekerja makan gaji.

Kini berusia 36 tahun, beliau berhasil mencipta nama sebagai salah seorang usahawan Melayu yang berjaya meneroka bidang perniagaan berasaskan makanan.

“Sesuatu yang melucukan ialah, saya mula terkenal dengan menjual kuah rojak. Pada 1991, berbekalkan hanya RM200 bahan rencah dan RM1,000 untuk membeli peralatan, saya memberanikan diri mengolah resipi kuah rojak hasil tangan ibu saya untuk jualan,” katanya kepada lebih 400 orang hadirin di program tersebut.

Bermula secara kecil-kecilan di Alor Star, Zubir mengorak langkah di atas nama Syarikat Zuza Food Industries & Enterprise, yang muncul sebagai sebuah syarikat usahawan Melayu yang baik dengan slogan “Citarasa Unggul”.

About these ads